Wednesday, June 3, 2015

Usul Menolak Penggunaan Kod Wasilah Alquran Braille



Sepertimana yang mungkin kita telah ketahui, Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-20, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah berlangsung di Hotel Adamson, Kuala Lumpur hujung minggu lepas. Walaupun sejak mesyuarat agung tahun lalu saya tidak lagi merupakan Yang Di-Pertua PERTIS, namun ia bukan menghalang saya untuk terus menghadiri mesyuarat berkenaan pada kali ini. Sepertimana penjelasan saya sebelum ini, pengunduran saya selaku YDP PERTIS adalah atas kehendak sendiri atas sebab-sebab tertentu dan bukan kerana ditolak ahli.

Ada beberapa perkara yang saya rasa perlu untuk saya ketengahkan hasil daripada mesyuarat agung PERTIS kali ini. Satu daripadanya yang akan saya beri penekanan dalam tulisan kali ini ialah usul menolak penggunaan kod wasilah Alquran Braille. Saya sendiri telah membentangkan usul berkenaan dan dimasukkan sebagai usul tergempar dalam mesyuarat agung berkenaan.

Bagi mereka yang tidak akrab dengan sejarah dan kaedah tulisan Alquran Braille, tentulah hal ini tidak langsung memberi sebarang makna.Bahkan ada sesetengahnya beranggapan kod wasilah Alquran Braille dengan kaedah Alquran Braille yang sedang digunakan sekarang sama sahaja dan tiada apa beza pun. Maka itulah sudah beberapa kali ada pihak-pihak tertentu menggesa saya supaya terima sahaja kod wasilah Alquran Braille dan jangan banyak soal. Walau bagaimanapun, dalam hal ini, oleh kerana saya amat yakin saya berada atas landasan yang betul, maka saya tidak pernah bergerak dan berganjak daripada pendirian asal saya iaitu menolak sama sekali penggunaan kod wasilah Alquran Braille, dahulu, kini dan untuk selamanya. Maka itulah pernah suatu ketika dahulu ada pihak tertentu beranggapan saya seorang yang keras kepala.Amat menghairankan bilamana kata-kata sedemikian dilemparkan kepada saya oleh individu yang bukan pun pengguna Braille apatah lagi Alquran Braille. Sedangkan saya serta rakan-rakan yang sependirian dengan saya merupakan pengguna tegar sistem Braille dan juga pengguna Alquran Braille sepanjang hayat!

Secara ringkasnya, kaedah penulisan Alquran Braille yang sedang digunakan di negara kita hari ini (termasuklah kaedah penulisan Alquran Braille yang digunakan oleh PERTIS) sudah pun digunakan sejak naskah Alquran Braille yang pertama sampai ke Tanah Melayu pada sekitar dekad 50-an dahulu. Sistem penulisan Alquran Braille berkenaan dihasilkan oleh negara-negara Arab dan bukannya ciptaan orang tempatan di Tanah Melayu.Sistem penulisan Alquran Braille berkenaan lengkap dengan huruf, tanda baris dan juga tanda bacanya tetapi dalam bentul Braille.Sebarang perubahan kemudiannya amat bergantung kepada perubahan dan perkembangan yang berlaku di negara-negara Arab. Maknanya selaku pengguna Alquran Braille tempatan, kita sama sekali tidak membuat sebarang perubahan melainkan ikut apa sahaja perkembangan atau perubahan (jika ada) yang berlaku di negara-negara Arab.

Pada tahun 1983, satu usaha mula digerakkan menerusi Kementerian Pelajaran Malaysia ketika itu untuk menstruktur semula kaedah penulisan Alquran Braille khususnya di Malaysia.Dengan itu, satu jawatankuasa telah dibentuk untuk tujuan tersebut. Menurut Ustaz Mohd Nor Awang Ngah, salah seorang yang pernah menganggotai jawatankuasa berkenaan, tujuan asal jawatankuasa berkenaan ialah untuk membangunkan kaedah tulisan Braille mashaf Malaysia. Walau bagaimanapun, katanya lagi, apabila jawatankuasa berkenaan mula menyimpang daripada tujuan asal penubuhannya, beliau telah menarik diri daripada menganggotai jawatankuasa berkenaan.Saya tidak pasti jawatankuasa berkenaan mempunyai berapa ramai ahlinya.Setakat yang saya maklum, terdapat hanya sekitar 2 orang sahaja ahlinya yang merupakan mereka yang cacat penglihatan.

Setelah dibangunkan kod wasilah Alquran Braille berkenaan, selaku pengguna Alquran Braille sepanjang hayat, saya mendapati kod berkenaan jauh menyimpang daripada kaedah sebenar penulisan Alquran apatah lagi Alquran Braille. Hendak dikatakan kod Braille bahasa Arab pun bukan kerana kod wasilah berkenaan dipendekkan bersekali dengan tanda baris, sedangkan tulisan bahasa Arab Braille yang sebenar dibangunkan berasaskan tulisan tanpa baris.Hendak dikatakan kod Alquran Braille pun bukan kerana ada tanda-tanda baris tertentu yang “disembunyikan” dalam kod tertentu pula.Sebagai contoh, titik 5 dan huruf ta mewakili kalimah “ta bawah, lam mati, kaf atas”.Titik 5 dan huruf ba pula mewakili kalimah “ba atas, ain mati, dhod ataws”.Sedangkan Alquran Braille yang digunakan oleh seluruh dunia mempunyai huruf, tanda baris dan tanda baca yang boleh dilihat dan boleh dirasa secara jelas dan nyata. Tidak perlulah saya perturunkan lagi contoh-contoh lain kerana ia hanya akan memeningkan kepala para pembaca sahaja.

Jika tujuan asalnya untuk menyebarkan kod wasilah Alquran Braille berkenaan ke seluruh dunia, bagi saya ia hanya sekadar bermimpi di siang hari semata-mata. Hanya mereka yang terlebih telan panadol sahaja yang akan bercita-cita sedemikian. Sepertimana yang telahsaya nyatakan sebelum ini, negara-negara Arab dan Islam yang lain sudah pun mempunyai kod Braille Alquran yang boleh dikatakan seragam. Kalau ada pun perbezaan ia Cuma kecil dan tidak merosakkan keseragaman kod Braille Alquran itu sendiri. Bahkan di Malaysia sendiri penggunaan kod wasilah Alquran Braille tidak pernah mendapat sambutan daripada majoriti para penggunanya.Golongan cacat penglihatan yang hafiz Alquran dan mahir dengan tulisan Alquran Braille juga turut menolak penggunaan kod wasilah Alquran Braille berkenaan. Para pengkaji Alquran Braille juga tidak optimis dengan masa depan penggunaan kod wasilah Alquran Braille berkenaan. Jadi untuk siapa lagi kod wasilah Alquran Braille berkenaan?

Setelah sekitar 32 tahun berlalu, penggunaan dan sambutan terhadap kod wasilah Alquran Braille tidak pernah menunjukkan tanda-tanda positif.Malahan senaskah Alquran Braille yang berasaskan kod wasilah Alquran Braille berkenaan tidak pernah terhasil daripadanya.Ada ketikanya saya sendiri merasakan kehadiran kod wasilah Alquran Braille lebih banyak membantutkan usaha untuk memartabatkan Alquran Braille itu sendiri.Oleh itu, saya menggesa semua pihak yang berkaitan supaya berhentilah daripada terus berusaha untuk menyebarkan lagi kod wasilah Alquran Braille berkenaan.Bagi saya usaha sedemikian sia-sia dan buang masa sahaja.

Antara lain, usul berkenaan menyatakan iaitu seluruh ahli PERTIS menolak sekeras-kerasnya penggunaan kod wasilah Alquran Braille dengan apa cara sekali pun. Penggunaan kaedah tulisan Alquran Braille di Malaysia hendaklah berasaskan kod Alquran Braille yang sedang digunakan oleh PERTIS.Sebarang perubahan dalam kaedah penulisan Alquran Braille hendaklah tertakluk kepada perubahan dan perkembangan yang berlaku di negara-negara Arab iaitu sebagaimana yang diputuskan oleh pihak yang berauthoriti di rantau berkenaan.Sebagai maklumat semua, teks asal usul berkenaan tidak diketengahkan dalam tulisan ini.

Antara sebab penolakan penggunaan kod wasilah Alquran Braille ialah:

1. Ia tidak selaras dengan kaedah penulisan Alquran Braille di seluruh dunia.
2. Ia amat menyukarkan untuk mempelajari Alquran Braille sama ada oleh mereka yang tidak berpenglihatan mahupun mereka yang berpenglihatan.
3. Ia boleh membantutkan usaha untuk memartabatkan tulisan Alquran Braille.
4. Ia tidak selaras dengan kaedah penulisan Alquran yang sebenar.
5. Tiada sebarang keperluan untuk meringkaskan lagi kaedah penulisan Alquran Braille sebagaimana yang terkandung dalam kod wasilah Alquran Braille.
6. Kod wasilah Alquran Braille menyebabkan sukar untuk mempelajari tajwid bagi pengguna Alquran Braille.
7. Kod wasilah Alquran Braille juga mengandungi kekeliruan-kekeliruan tertentu terutama bagi huruf dan barisnya.
8. Kod wasilah Alquran Braille juga tiada kaitan dengan kaedah rasm Uthmani Braille.

Alhamdulillah sebesar-besar puji dan syukur ke hadhrat Allah kerana usul yang saya bentangkan itu telah mendapat kelulusan dan persetujuan sebulat suara oleh para ahli yang hadir dalam mesyuarat agung berkenaan.Rata-rata mereka adalah pengguna Alquran Braille sepanjang hayat. Sudah tentulah mereka (ahli PERTIS dan peserta mesyuarat agung) lebih memahami apa yang saya bentangkan dalam mesyuarat tersebut.

Sekitar seminggu sebelum berlangsungnya Mesyuarat Agung PERTIS Kali Ke-20, satu bengkel penyeragaman kod Braille telah diadakan.Bengkel berkenaan telah berlangsung di Melaka.Salah satu resolusi yang telah dipersetujui dalam bengkel berkenaan ialah menolak penggunaan kod wasilah Alquran Braille.Penulisan Alquran Braille hendaklah dilaksanakan sebagaimana kaedah yang biasa digunakan selama ini.

Kedua-dua hasil dan keputusan usul dan resolusi di atas menunjukkan bahawa para pengguna Alquran Braille di negara ini telah menolak dengan kuat penggunaan kod wasilah Alquran Braille.Ia juga merupakan mesej yang cukup jelas iaitu kod wasilah Alquran Braille sama sekali tidak mendapat tempat khususnya dalam kalangan pengguna dan pencinta Alquran Braille. Adalah diharapkan semoga isu dan persoalan mengenai kod wasilah Alquran Braille akan menemui titik noktahnya di sini. Selepas ini, harapnya tiada lagi mana-mana pihak yang cuba memaksa penggunaan kod wasilah Alquran Braille yang telah ditolak itu dengan apa alasan sekali pun. Besarlah harapan semua pihak agar usaha-usaha untuk memartabatkan Alquran Braille akan dapat dilaksanakan dengan lebih rancak lagi selepas ini.


No comments: