Sudah menjadi fenomena biasa bagi saya dan juga mungkin kebanyakan daripada kita apabila sering didatangi oleh individu tertentu sambil memohon derma. Antara lokasi yang kerap berlaku situasi sedemikian ialah di tempat-tempat makan seperti gerai atau restoran, stesen-stesen minyak, di hentian R&R, di hadapan bank dan sebagainya. Golongan peminta derma yang saya maksudkan merupakan mereka yang berpenglihatan, kelihatan sihat dan acapkali pula berperwatakan baik. Lazimnya tujuan memohon derma adalah untuk pembiayaan rumah anak-anak yatim, pembinaan surau atau masjid, pembinaan madrasah dan sekolah agama atau yang seumpamanya. Fenomena di atas sering saya temui di banyak tempat. Tidak keterlaluan jika saya katakan, ia berlaku hampir pada setiap hari. Perlu saya tegaskan di sini, mereka yang menjual barangan seperti kerepek dan keropok tidak termasuk dalam golongan yang sedang saya bincangkan.
Bagi saya, sama ada kita hendak memberi atau menyumbang kepada golongan peminta derma di atas atau sebaliknya, ia terpulang kepada keikhlasan serta kepercayaan masing-masing kepada golongan peminta derma berkenaan serta tujuan mereka meminta derma. Biar apa pun, “Tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima”.
Walau bagaimanapun, oleh kerana fenomena di atas kerap saya temui, beberapa persoalan muncul dalam minda saya. Adakah mereka ini merupakan golongan peminta derma yang benar-benar meminta bagi membantu pihak-pihak yang memerlukan? Walaupun saya tiada statistik sebenar mengenai jumlah golongan berkenaan, tetapi mengapa saya boleh menemui mereka hampir pada setiap hari di lokasi yang berbeza pula? Tidak adakah pihak yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai golongan ini?
Gelagat golongan peminta derma ini pula pelbagai. Ada yang akan memujuk sehingga mendapat derma daripada yang diminta. Ada juga yang seakan tidak mahu berganjak sehinggalah dia beroleh sesuatu. Ada juga yang membawa sesuatu seperti CD/VCD, buku, pelbagai minyak dan sebagainya untuk “dijual” tetapi kelazimannya harga yang ditawarkan lebih tinggi daripada harga pasaran bagi barangan yang sama. Alasannya mudah, membeli sambil menyumbang.
Apa yang menjadi kehairanan saya ialah, kemunculan golongan peminta derma seperti di atas jarang dipersoalkan oleh mana-mana pihak. Setakat yang saya ketahui, jarang pihak-pihak tertentu untuk menyiasat sama ada tujuan golongan meminta derma untuk tujuan yang betul atau sebaliknya. Oleh kerana golongan ini ada sesuatu untuk dikemukakan seperti risalah, resit, pelbagai barangan dan sebagainya, jadi mereka tidak boleh dikategorikan sebagai kutu rayau, orang papa atau pengemis. Mungkin kita sekadar boleh mengkategorikan golongan ini sebagai peminta derma sahaja.
Saya dapat merasakan bilangan golongan sebegini semakin ramai. Sebab itulah saya dan mungkin kita juga dapat menemui golongan seperti ini di merata tempat. Persoalannya, jika tujuan golongan ini meminta derma untuk tujuan pembinaan surau, masjid, rumah anak-anak yatim dan seumpamanya, di manakah peranan institusi-institusi tertentu untuk membantu golongan berkenaan? Kita sering berbangga bilamana pungutan zakat meningkat setiap tahun. Adakah kita juga boleh merasa bangga jikalau golongan peminta derma untuk tujuan kebajikan ini juga turut meningkat?
Bukanlah tujuan saya untuk menimbulkan keraguan kepada golongan peminta derma seperti ini. Apa yang saya bimbangi ialah ada pihak atau individu yang tidak bertanggungjawab dengan mengambil kesempatan di atas kemurahan hati sebahagian besar daripada kita untuk menderma dan menyumbang dengan menyamar seperti orang baik dan meminta derma kononnya untuk tujuan kebajikan. Maklumlah pada zaman hampir kiamat sebegini, seorang manusia kadangkala berupaya untuk menyamar dan berlakon sehingga sepuluh perwatakan.
Sekiranya tujuan golongan peminta derma ini benar-benar baik, jujur dan ikhlas untuk berbuat kebajikan, bagi saya ia tiada salahnya. Orang ramai pula memang digalakkan untuk menyumbang kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Walau bagaimanapun, adalah menjadi hak mereka yang akan menderma untuk bertanya lebih lanjut latar belakang peminta derma serta tujuan derma berkenaan. Jadi kepada peminta derma, jangan marah atau berkecil hati bila anda ditanya beberapa soalan sebelum sejumlah derma dihulurkan.
Salam dari Kuantan.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment