Sunday, November 22, 2009

Coretan Malam

Alhamdulillah, sebesar puji dan syukur saya ke hadhrat Allah kerana saya sekeluarga telah selamat tiba di Bandaraya Johor Baharu sekitar jam 3.30 petang tadi. Saya juga bersyukur kerana di sepanjang perjalanan dari KL ke JB yang mengambil masa sekitar 3 jam setengah, segalanya aman dan lancar. Sebenarnya tujuan penting saya ke JB ialah untuk menghadiri satu mesyuarat penting bersama-sama pasukan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Mengikut jadual, mesyuarat akan berlangsung sehari penuh esok.





Setibanya saya dan keluarga di JB, kami telah disambut oleh salah seorang pensyarah dari UTM. Kami kemudiannya telah dibawa ke sebuah hotel yang letaknya tidak jauh dari UTM. Di sinilah kami akan menginap untuk beberapa hari ini.



Sekitar jam 5.30, oleh kerana ada masa terluang, saya sekeluarga pun berkesempatan menziarahi Cikgu Salmah di rumahnya di Larkin. Kedatangan kami telah disambut dengan begitu mesra sekali. Sebenarnya, tujuan utama saya ke rumah Cikgu Salmah ialah untuk menyiapkan bahagian akhir tulisan saya mengenai beliau. Ia juga sebagai memenuhi cadangan salah seorang pengunjung blog ini yang pernah mencadangkan supaya saya turut menulis mengenai sumbangan beliau dalam bidang pendidikan khas. Nama Cikgu Salmah mungkin tidak dikenali oleh generasi pendidikan khas cacat penglihatan hari ini, sama ada dalam kalangan murid apatah lagi dalam kalangan tenaga pengajarnya. Namun begitu, berkat dan manfaat daripada ilmu yang telah beliau curahkan sentiasa subur dan segar menyirami generasi pendidikan khas cacat penglihatan hingga ke hari ini. Insha Allah, tulisan penuh mengenai Cikgu Salmah akan saya muatkan dalam posting-posting yang akan datang.

Salam dari JB.

1 comment:

puterimualim said...

Didoakan agar Allah memberkati, merahmati dan memberi ganjaran kebaikan segala jasa yang ikhlas yang diberikan oleh semua para guru terhadap anak muridnya. Demikian juga untuk Cikgu Salmah. Amiiiiin....