Kunjungan Ke Singapura
Semalam (24 November) saya dan keluarga telah berkesempatan untuk berkunjung ke Singapura. Seharian kami berada di pulau yang pernah “dilanggar todak” tersebut. Sebenarnya, saya dan keluarga telah merancang untuk ke Singapura hujung tahun lepas. Walau bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu rancangan tersebut terpaksa ditangguhkan. Alhamdulillah, kali ini rancangan kami sekeluarga telah dimakbulkan Allah.
Sedari awal lagi, kami sekeluarga memang bertekad iaitu kunjungan ke Singapura bukan sekali-kali untuk membeli-belah. Selain daripada menziarahi kakak sepupu saya yang tinggal di sana, saya sememangnya memendam hasrat untuk mengunjungi 3 tempat iaitu Masjid Sultan, Istana Kampung Gelam dan Geylang. Kesemua kawasan ini mempunyai kepentingan kepada sejarah petempatan orang Melayu di singapura.
Sekitar jam 8.30 pagi (24 November), Shahril dan Azizan telah sedia menanti kami di lobi hotel. Saya memang merancang untuk menggunakan pengangkutan awam sahaja kali ini. Shahril dan Azizan kemudiannya menghantar kami ke stesen bas awam di Larkin. Setibanya saya dan keluarga di stesen bas Larkin, saya pun terus menuju ke tempat money changer untuk menukar wang Malaysia ke Dollar Singapura. RM 500.00 yang kami tukar, kami dapat 202.50 Dollar Singapura. Saya rasa cukuplah untuk berbelanja sehari di kota Singa nanti. Setelah itu, kami pun mengisi borang imigresen. Ada orang yang tolong isikan. Kami bayar RM 5.00 untuk perkhidmatan tersebut.
Lebih kurang jam 9.45 pagi, bas yang membawa kami ke Singapura pun bergerak meninggalkan stesen bas Larkin. Sejak awal lagi kakak sepupu saya telah berpesan supaya kami menggunakan perkhidmatan bas ekspres yang berwarna merah. Kami akur saja. Sebelum tiba ke tempat destinasi, kami terpaksa melalui (berhenti) di dua pusat pemeriksaan atau check point, iaitu di sebelah Malaysia dan juga di sebelah Singapura.
Akhirnya kami tiba di Rochor Road. Kakak Zaleha (kakak sepupu saya) telah sedia menanti.
Dari stesen bas Rochor Road, kami berjalan kaki sahaja melintasi King George Avenue, kemudiannya ke Maude Road. Di sinilah letaknya rumah Kak Zaleha. Di sini hampir semua rumah berbentuk flat. Setibanya kami di rumahnya, Kak Zaleha terus menjamu kami dengan minuman. Begitulah adat orang Melayu bila menerima tetamu. Setelah itu, makan tengah hari pula dihidangkan. Abang Akob, suami Kak Zaleha tak ada di rumah kerana ada urusan di Bangi. Walau bagaimanapun, kedatangan kami telah beliau maklum.
Setelah solat zohor, lebih kurang jam 1.30 tengah hari, kami sekeluarga dengan ditemani Kak Zaleha pun bergerak ke destinasi pertama, iaitu Masjid Sultan. Walaupun jaraknya tidaklah sejauh mana, saya sengaja guna perkhidmatan teksi. Bukannya apa, sekadar untuk menambah pengalaman. Pemandunya berbangsa Cina. Biasalah, cakap Melayu memang tidak fasih, tapi pemandu berkenaan cuba juga untuk berbahasa Melayu. Oleh kerana saya kasihan mendengarkan beliau terkial-kial untuk berbahasa Melayu, saya terus gunakan bahasa Inggeris. Barulah rancak komunikasi antara kami.
Masjid Sultan merupakan antara masjid tertua di Singapura. Di persekitaran masjid ini barulah telinga saya dapat menangkap perbualan dalam bahasa Melayu. Sejak dari saya tiba tadi, telinga saya hanya menangkap perbualan orang ramai sama ada dalam bahasa Inggeris atau Cina. Di persekitaran masjid ini terdapat kedai-kedai yang menjual berbagai barangan, termasuklah tudung, kain, kedai makan, permainan kanak-kanak dan sebagainya. Kak Zaleha memberitahu saya, di Singapura tidak terdapat warung atau gerai tepi jalan seperti di Malaysia.
Setelah meneliti persekitaran luar, saya pun masuklah ke dalam masjid. Hari itu terdapat ramai juga pelancong di persekitaran masjid ini. Para pelancong juga boleh memasuki kawasan dalam masjid tetapi tidak di ruang solat. Setelah masuk ke dalam masjid, sudah tentulah saya tidak akan melepaskan peluang untuk mengerjakan solat tahyatul masjid. Untuk itu, seorang pelancong dari Portugal yang beragama islam telah menawarkan diri untuk membantu saya. Mulanya beliau membawa saya ke tempat berwudhu’ (mengambil air sembahyang). Setelah itu, beliau membawa saya ke ruang solat pula. Beliau tunggu saya hingga saya selesai solat. Selepas itu, pelancong berkenaan baru membawa saya bertemu dengan isteri saya semula. Semoga Allah merahmati beliau.
Saya juga berkesempatan berbual dengan seorang anak tempatan yang bernama Abu Ahmad. Beliau pernah bekerja di Kuala Lumpur. Katanya, menurut jadual, petang ini kambing-kambing untuk upacara qurban akan tiba. Katanya lagi, kambing-kambing tersebut diimport dari Australia. Upacara qurban tersebut akan dijalankan di pekarangan masjid ini juga.
Saya juga dimaklumkan, terdapat beberapa makam orang tertentu di sekitar masjid ini. Oleh kerana keadaan tidak sesuai, saya tidaklah meminta untuk menziarahi makam-makam berkenaan. Lagipun sebelumnya, Kak Zaleha memberitahu saya, orang ramai tidak dibenarkan untuk ke makam tersebut atas sebab-sebab tertentu. Setakat yang saya maklum, antara makam yang terdapat di sini ialah makam keluarga dan keturunan Almarhum Sultan Hussein yang memerintah Singapura antara tahun 1819-1835.
Dari Masjid Sultan, kami bergerak ke Malay Heritage Centre. Dahulunya ia adalah Istana Kampung Gelam, tempat persemayaman Sultan Hussein. Oleh kerana jaraknya yang tidak jauh, kami hanya berjalan kaki sahaja. Kalau dahulu ia merupakan istana tempat bersemayamnya seorang raja Melayu, kini ia hanya merupakan sebuah muzium tempat orang ramai bernostalgia dengan kegemilangan silam. Untuk masuk ke dalam bangunannya, kami dikenakan bayaran 4 Dollar Singapura. Luqman percuma. Di kaunter, saya disapa oleh kakitangan yang bertugas. Beliau bertanya dari mana saya datang. Saya memberitahu saya dari KL. Katanya, beliau berasal dari Pulau Pinang.
Bangunan ini merupakan binaan 2 tingkat. Ia telah diubah suai oleh pemerintah Singapura beberapa tahun lalu. Di tingkat bawah, antara barangan/bahan yang dipamirkan termasuklah senjata orang Melayu, sejarah petempatan awal, dokumen perjanjian antara Raffles dengan Sultan Hussein yang ditulis dalam tulisan Jawi (tetapi ia nampak usang dan ada antara tulisannya yang sukar dibaca lagi), mengenai keluarga Sultan Hussein dan sebagainya.
Selain itu, terdapat juga salasilah sultan Johor sekarang. Sultan Abdul Jalil (1699-1718) mempunyai anak bernama Tun Abbas. Tun Abbas pula mempunyai anak bernama Tun Abdul Jamal. Anaknya pula bernama Temenggung Abdul Hamid. Anaknya pula bernama Temenggung Abdul Rahman. Anaknya pula bernama Temenggung Daeng Ibrahim. Anak Temenggung Daeng Ibrahim inilah adalah Sultan Abu Bakar, sultan Johor moden yang pertama. Ini bermakna, kesultanan Johor, Pahang dan Terengganu hari ini adalah dari keturunan yang sama.
Beberapa unit komputer turut disediakan untuk kemudahan pengunjung. Melalui komputer berkenaan, para pengunjung boleh menggunakannya untuk mendapat maklumat lanjut mengenai sesuatu perkara menerusi audio visual. Saya turut menggunakannya (dengan bantuan isteri sebab tak ada JAWS) untuk mendapatkan maklumat mengenai kehidupan awal orang Melayu di Singapura. Para pengunjung turut dihiburkan dengan muzik dan lagu Melayu tetapi dengan volume yang perlahan. Sewaktu saya sedang berkunjung, irama syair sedang dikumandangkan. Seperkara yang menarik di sini ialah, keterangan mengenai bahan atau barangan ditulis dalam bahasa Melayu.
Hari ini, keagungan dan kegemilangan kesultanan Melayu hanya jadi bahan pamiran sahaja. Mengapa hari ini orang Melayu hanya mampu bernostalgia dengan keemilangan silam? Antara sebabnya ialah mungkin kerana syarat-syarat dalam Waadat Sang Saperba telah dinodai. Sekiranya orang Melayu terus-terusan berpecah-belah, maka jangan hairan suatu hari nanti, kita sekali lagi akan jadi khadam di bumi sendiri. Kalau dahulu keagungan kesultanan Melayu merentasi selat dan lautan, hari ini ia hanya terperosok dalam muzium seperti ini. Demikianlah sejarah memberitahu dan mengajar kita.
Agak lama juga saya menghabiskan masa di sini. Setelah agak puas (belum puas dalam erti kata yang sebenar), kami pun bergeraklah ke Geylang pula. Sekali lagi saya memilih untuk menggunakan perkhidmatan teksi. Kak Zaleha mencadangkan kami gunakan bas sahaja, tapi saya menolaknya. Kali ini, pemandu teksi berbangsa Melayu. Kata pemandu teksi ini, di Singapura waktu antara jam 5 petang hingga 8 malam, tambang teksi akan naik sebanyak 35%. Tujuannya untuk tidak menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan teksi pada waktu sesak seperti itu.
Geylang merupakan kawasan perniagaan yang ramai orang Melayu. Di sini, sekali lagi telinga saya dapat menangkap perbualan dalam bahasa Melayu dengan agak kerap. Bagi orang Melayu dan Islam, kalau nak cari makanan halal, maka di sinilah tempatnya. Sesampai sahaja di Geylang, kami terus mencari tempat makan. Saya memesan nasi rawon. Sebenarnya sudah lama saya mendengar nama makanan ini tapi tak pernah merasainya. Peluang keemasan seperti ini sudah tentulah tak akan saya lepaskan. Setelah dirasa, hmmm ia memang sedap dan menyelerakan. Harganya baru 3.50 Dollar Singapura. Cubalah convert kepada Ringgit Malaysia. Kata salah seorang peniaga di sini, kalau malam, tempat ini lebih hidup.
Setelah menjamu selera, kami pun bergerak ke Kampung Melayu yang terletak tidak jauh. Sewaktu berjalan, kami terserempak dengan kubur yang tertulis nama Labu bin Labi. Kalau tak silap saya, kisah mengenai Labu bin Labi pernah keluar dalaam akhbar beberapa ketika lalu. Menurut catatan pada kubur tersebut, Labu bin Labi telah meninggal dunia pada tahun 1961.
Kak Zaleha memberitahu, kubur ini tidak lama lagi akan dikorek untuk dipindahkan ke tempat lain. Kata Kak Zaleha lagi, kawasan Kampung Melayu akan dirobohkan untuk dibina baru. Para peniaganya akan dipindahkan ke tempat lain. Memang pun, sewaktu melalui kawasan Kampung Melayu, suasananya sunyi macam kawasan mati. Hanya beberapa kedai sahaja yang masih beroperasi.
Dari kawasan Kampung Melayu, kami berjalan kaki lagi dan akhirnya kami singgah di Muslim Convert Association Of Singapore (MCAS). Saya dimaklumkan, MCAS berperanan seumpama PERKIM jika di Malaysia. Ia tempat mereka yang baru memeluk Islam untuk belajar mengenai agama Islam. Tingkat bawah adalah untuk aktiviti seperti kelas, manakala tingkat atas pula merupakan ruang solat. Kata Kak Zaleha, kalau dalam bulan Ramadhan, tempat ini meriah kerana setiap hari majlis berbuka puasa secara beramai-ramai dianjurkan di sini.
Dari MCAS, kami berjalan kaki lagi dan kali ini menghala ke stesen MRT Paya Lebar. Saya dapati, di sepanjang tempat pejalan kaki tak ada track khas sebagai laluan bebas halangan khususnya untuk pejalan kaki yang cacat penglihatan sebagaimana yang ada di Brickfields. Nampaknya, dalam hal ini, KL lebih prihatin daripada Singapura. Walau bagaimanapun, apalah gunanya kalau ada track laluan bebas halangan, tetapi pada hakikatnya ia penuh dengan rintangan!
Di stesen MRT Paya Lebar, kami menaiki MRT untuk ke Changi Airport. Ketika sedang menunggu MRT, saya dapat mendengar dengan jelas pengumuman oleh pihak berkuasa MRT di stesen berkenaan dibuat dalam 4 bahasa, iaitu bahasa Inggeris, Mandarin, Melayu dan Tamil. Bila MRT tiba, para penumpangnya tidak berebut-rebut menaiki train, mereka masuk dengan tertib. Di dalam train, saya pada mulanya berdiri, kemudian ada penumpang lain terus memberi tempat duduk kepada saya, isteri saya dan Luqman. Kami melalui stesen Yunos, Kembangan, Bedok dan turun di stesen Tanah Merah. Di sini, kami naik satu lagi perkhidmatan MRT untuk ke Changi Airport.
Changi Airport merupakan antara lapangan terbang yang sibuk. Kak Zaleha memberitahu saya, ada kalanya orang datang ke mari sekadar untuk menenangkan fikiran sahaja. Saya pun tak pasti mengapa tempat seperti ini digunakan untuk menenangkan fikiran. Di sini, saya juga berpeluang untuk menaiki sky train untuk ke terminal dua dan kembali semula ke terminal utama. Setelah puas menikmati pemandangan di Changi Airport, kami pun menaiki semula MRT untuk pulang ke rumah kak Zaleha.
Dari aspek kebersihan, saya akui Singapura memang antara bandar yang bersih. Rakyatnya juga berbudi bahasa walaupun dengan orang luar. Untuk mendapat pertolongan, ia sangat mudah kerana orang Singapura memang ramah dan mudah menolong. Walaupun mungkin sebahagian besar orang Singapura tidak fasih berbahasa Melayu, namun begitu mereka akan cuba juga bertutur dalam bahasa Melayu jika mereka tahu kita tidak fasih berbahasa Inggeris.
Setelah solat maghrib (dan isya secara jamak), kami pun berangkat pulang semula ke JB. Walaupun Kak Zaleha memujuk supaya kami tidur sahaja di rumahnya untuk semalam dua, saya menolaknya. Lagipun pagi esok saya ada satu lagi pertemuan dengan seorang pensyarah UTM. Akhirnya, Kak Zaleha dengan berat hati terpaksa melepaskan kami untuk pulang ke JB. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Kak Zaleha (kakak sepupu saya) yang sudi menjadi “pemandu pelancong” di sepanjang kunjungan saya dan keluarga ke Singapura.
Lebih kurang jam 9.15 kami tiba di stesen bas Larkin. Saya terus ke money changer untuk menjual semula Dollar Singapura yang masih berbaki. Kami hanya berbelanja sebanyak 50 Dollar Singapura sahaja, iaitu untuk tambang dan makan. 150.00 Dollar Singapura kami jual semula dan kami dapat kembali sebanyak RM 368.20. Kami makan malam di Larkin sebelum kembali semula ke hotel.
Walaupun tanpa penglihatan, ia tidak menghalang saya untuk mencari dan mengalami pengalaman sendiri.
Salam dari Melaka.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
2 comments:
very informative,well done,terima kasih..
saya seorang peminat sejarah,info di sini,sangat menarik..terima kasih..
Post a Comment