Thursday, June 23, 2016

Dr. Shahril Saat





Dr. Syahril Saat merupakan salah seorang daripada ahli kumpulan penyelidik Ebraille yang telah terlibat secara aktif dan secara berterusan sehingga terhasilnya panel Alquran ebraille. Saya mula mengenali beliau sejak tahun 2009 iaitu ketika projek penghasilan Alquran ebraille masih di peringkat awal lagi.


(Dr. Shahril)


Dr. Syahril Saat telah beroleh ijazah sarjana muda daripada UTM pada tahun 2008. Seterusnya beliau telah berjaya pula memperoleh ijazah sarjana juga daripada UTM pada tahun 2011. Penyelia beliau ketika itu ialah Prof. Madya Dr. Mohd Zarhamdy sendiri. Pada tahun 2016, Dr. Syahril Saat telah berjaya memperolehi ijazah kedoktoran falsafahnya daripada Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP). Manakala pada 1 Jun yang lalu, Dr. Syahril Saat telah diterima bertugas secara tetap sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai. Ini bermakna, tahun 2016 merupakan “tahun untuk Dr. Syahril” kerana dalam tahun yang sama beliau beroleh dua perkara besar iaitu ijazah kedoktoran falsafahnya dan juga pekerjaan selaku pensyarah di UTM. Syabas dan tahniah diucapkan kepada beliau.




Sepertimana yang dinyatakan di atas, Dr. Syahril merupakan antara ahli penyelidik yang telah terlibat dengan projek ebraille ini sejak dari awal lagi. Keterlibatan beliau berterusan hingga kini. Walaupun tatkala beliau sedang menuntut di UNIMAP, komitmen beliau terhadap penyelidikan ebraille tidak pernah luntur. Ada ketikanya beliau akan datang ke UTM Skudai untuk membantu bidang penyelidikan yang sedang berjalan. Kebiasaannya di mana kumpulan penyelidik ebraille berbengkel, Dr. Syahril akan turut serta.

Seperkara lagi, Dr. Syahril juga seorang anak muda yang mudah belajar dan cepat pula dapat bila ditunjuk ajar. Sebagai seorang ahli penyelidik yang sudah berkecimpung dengan ehwal yang berkaitan dengan Braille, beliau tidak segan silu untuk bertanya apa sahaja perkara yang berkaitan dengan Braille. Semangat seumpama ini sentiasa subur dalam jiwa beliau. Maka itulah, bagi saya, orang muda seperti beliau sememangnya sangat diperlukan khasnya dalam penyelidikan yang sentiasa sarat dengan ujian dan cabaran sepanjang masa.




Di samping itu, pasukan penyelidik ebraille FKMUTM ini mempunyai cara tersendiri bagi memastikan kesinambungan penyelidikan ebraille ini akan berterusan pada masa akan datang. Untuk itu, pada pemerhatian saya, secara perlahan-lahan pasukan penyelidik yang lebih senior sudah mula mencurahkan ilmu, pengetahuan serta pengalaman masing-masing kepada golongan penyelidik yang lebih muda seperti Dr. Syahril. Untuk maklumat bersama, di peringkat awal penyelidikan ebraille di FKM UTM ini diterajui oleh Prof. Madya Dr. Mohamed Hussein, Prof. Madya Dr. Mohd Syafiek, Prof. Madya Dr. Mohd Zarhamdy, Tn. Hj. Mohd Yunus dan En. Abdul Rahman Musa. Mereka inilah yang telah bersusah payah meneroka bidang penyelidikan ebraille dalam kondisi ketika itu pengetahuan mereka mengenai Braille masih di tahap permulaan. Secara perlahan-lahan mereka merangkak mendaki ujian dan cabaran yang mendepani bidang penyelidikan baru bagi mereka. Kini kelima-lima ahli penyelidik terawal ini setidak-tidaknya boleh bersyukur dan tersenyum puas bila melihat hasil jerih payah mereka semakin membuahkan hasil yang membanggakan.

Bagi memastikan bidang penyelidikan ebraille tidak terhenti di pertengahan jalan, kini bidang penyelidikan ini mula diceburi oleh golongan pensyarah muda yang berbakat, berminat serta mempunyai komitmen tinggi. Selain Dr. Syahril, antara tenaga muda lain yang mula terlibat dalam kumpulan penyelidik ebraill ini termasuklah Dr. Zair Asrar serta Dr. Maziah. Berdasarkan pengalaman tatkala menghadiri bengkel berkaitan dengan Iqra’ Braille beberapa kali, saya dapat merasakan komitmen serta minat para pensyarah muda ini dalam bidang ebraille cukup tinggi. Saya turut yakin, Ustaz Qushairi dan Cikgu Wan Suhaimi juga turut bersetuju dengan apa yang saya katakan kerana kami sama-sama terlibat secara langsung dalam beberapa bengkel Iqra’ Braille yang pernah diadakan.

Rasanya tidak menjadi kesalahan untuk saya turut berkongsi di sini, iaitu antara bahan yang sedang dalam peringkat penghasilan oleh kumpulan penyelidik ebraille ialah Kamus Dewan. Selama ini, Kamus Dewan sudah pun diterbitkan dalam bentuk cetakan Braille. Ia terdiri daripada 65 jilid kesemuanya. Apabila Kamus Dewan bentuk ebrailla ini siap kelak, keseluruhan kamus berkenaan akan termuat hanya dalam satu data stick sahaja yang boleh diakses dengan menggunakan panel ebraille. Ini bermakna, kita selaku pengguna tidak perlu lagi meredah 65 jilid untuk mencari makna satu-satu perkataan. Dengan sistem menu mudah yang disediakan, pencarian makna satu-satu perkataan akan menjadi jauh lebih mudah dan cepat. Ia boleh diakses dalam bentuk tulisan Brailleyang akan timbul pada panel ebraille. Demikianlah.

Di sini, saya suka menyarankan kepada semua badan bukan kerajaan terutamanya yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan supaya memberi sokongan padu dalam apa jua bentuk kepada kumpulan penyelidik ebraille. Rasanya, dengan sokongan daripada badan-badan bukan kerajaan, ia akan mencerahkan lagi masa depan bidang penyelidikan ebraille ini. Bidang penyelidikan yang sedang diterokai kini tidak lagi terbatas kepada Alquran Braille dan Iqra’ Braille sahaja, bahkan ia sudah mula melangkaui bidang yang lebih besar seperti Kamus Dewan. Lagipun, bidang penyelidikan yang sedang mereka terokai bukan untuk mereka, tetapi untuk kita.

Kepada Dr. Syahril dan ahli kumpulan penyelidik ebraille yang lain, terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan. Teruskan usaha murni anda. Jangan menoleh ke belakang lagi. Kami sentiasa berdoa agar usaha anda akan sentiasa beroleh keberkatan dunia dan akhirat.


1 comment:

hati kristal said...

Ya, mereka terlalu bersungguh-sungguh. kesungguhan mereka tidak keterlaluan jika saya kata mengalahkan kesungguhan mereka yang berwajib dalam dunia pendidikan khas masalah penglihatan itu sendiri. secara peribadi, saya terlalu-lalu amat kagum dengan kesungguhan mereka. semoga Allah membalas jasa mereka kelak. amin.