Pagi tadi, saya berkesempatan menghadiri sesi dialog bersama-sama YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Sesi berkenaan telah berlangsung di dewan utama, Kompleks Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields, Kuala Lumpur. Saya tiba di Kompleks MAB sekitar jam 10.35 pagi. Kehadiran saya adalah selaku Yang Di-Pertua Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Selain saya, PERTIS turut diwakili En. Zamzuri Ghani (Bendahari Kehormat) dan Pn. Arilzoh Mokhtar (AJK Pusat Biasa).
Sesi dialog ini dihadiri bukan sahaja golongan cacat penglihatan semata-mata, bahkan segala jenis OKU turut sama hadir. Selain itu, mereka yang tidak cacat tetapi turut sama hadir bagi mewakili badan-badan bukan kerajaan yang ada kaitan dengan kategori kecacatan tertentu. Seingat saya, saya pernah menghadiri sesi yang sama, juga mewakili PERTIS pada 9 Ogos 2009 (Ahad) yang lalu. Ketika itu, sesi berkenaan telah berlangsung di Hotel Meridian, KL Sentral. Kali ini, ia berlangsung di dewan utama, Kompleks MAB. Saya tidak mahulah membuat apa-apa telahan mengenai tempat penganjuran sesi dialog ini. Anjurkanlah di mana pun, asalkan venue penganjurannya mudah diakses oleh golongan sasar, sudah memadai.
Sekitar jam 11.05 YB menteri pula tiba. Setelah ucapan ringkas daripada YB menteri, maka sesi dialog pun dimulakan. Sesi kali ini dipengerusikan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat. Agaknya sudah menjadi semacam adat, bila YB menteri turun, maka segala pembesar di kementerian berkenaan juga akan turut sama turun padang. Antara orang besar kementerian yang hadir termasuklah Ketua Setiausaha Kementerian, Timbalan KSU Kementerian, Ketua Pengarah Jabatan kebajikan Masyarakat, Timbalan Ketua Pengarah, beberapa orang pengarah bahagian dan lain-lain lagi. Tidak ketinggalan dan turut sama hadir ialah seorang penolong pengarahnya yang cacat penglihatan.
Format yang digunakan untuk sesi dialog kali ini ialah di mana para peserta dialog akan dibenarkan untuk bercakap mengenai apa sahaja isu yang berkaitan dengan OKU dalam masa yang terhad. Pihak YB Menteri pula akan mencelah jika perlu untuk bertanyakan maklumat lanjut. Rasanya, kakitangan kementerian tertentu pula akan mengambil nota dan catatan untuk keperluan YB Menteri. Majlis telah berlangsung hingga lebih kurang jam 1.40 tengah hari. Pada pendengaran saya, dewan MAB memang penuh dengan para peserta yang merangkumi pelbagai kategori kecacatan serta wakil pelbagai NGO.
Pelbagai isu telah diketengahkan oleh para peserta. Isu-isu yang diketengahkan pula amat berkaitan dengan kecacatan yang dialami. Yang pastinya, lain kecacatan, lain pula masalah/cabaran yang dihadapi. Justeru, ia semestinya memerlukan cara penyelesaian yang berbeza.
Untuk golongan cacat penglihatan, antara isu yang sempat diketengahkan termasuklah isu mengenai trek laluan khas yang kadangkala tidak mesra pengguna, penguatkuasaan yang lemah, isu pengemis, pelaksanaan dasar 1% dalam sektor pekerjaan, serta lain-lain lagi.
Berbeza dengan sesi sebelumnya yang pernah saya hadiri dua tahun yang lalu, dalam sesi kali ini saya tidak bercakap. Saya lebih suka mendengar orang lain bercakap. Saya sekadar mendengar isu-isu yang dibangkitkan dan kemudian cuba membuat analisis sendiri. Pada masa yang sama, saya memberi sokongan moral kepada En. Abbas Asyaari (Pengerusi SBM Cawangan KL/Selangor) yang duduk di sebelah kanan saya supaya bercakap.
Bagi saya, cara turun padang sebegini yang telah diamalkan oleh YB Menteri ada baiknya. Setidak-tidaknya beliau dapat mendengar sendiri daripada golongan sasar mengenai isu dan masalah semasa yang sedang dihadapi. Maknanya, YB Menteri tidak sekadar mendapat maklumat daripada orang tengahnya semata-mata.
Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan kepada Cik Siti Hajar kerana sudi membantu saya untuk mengambil foto yang kemudiannya dapat saya muatkan menerusi blog ini.
No comments:
Post a Comment