Sunday, August 14, 2011

Biara Buddha Anjurkan Majlis Buka Puasa



Rancangan sebuah biara Buddha di Brickfields yang akan menganjurkan majlis buka puasa pada 20 Ogos ini memang sudah diketahui oleh kebanyakan mereka yang cacat penglihatan. Ia turut dihebahkan menerusi talian maklumat Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) sejak seminggu dua yang lalu. Beberapa hari lalu, ia turut dimuatkan pula menerusi blog Merah Tinta (MSO) iaitu berdasarkan kiriman email daripada salah seorang penjenguk blog berkenaan.

Berdasarkan maklumat yang dihebahkan, makanan yang akan disediakan halal. Manakala waktunya pula semestinyalah waktu berbuka puasa bagi seluruh umat Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pengangkutan untuk ke biara tersebut juga disediakan. Sesiapa sahaja yang cacat penglihatan memang diundang ke majlis berkenaan asalkan berdaftar terlebih dahulu dengan orang/pihak yang telah ditentukan. Menurut maklumat yang dihebahkan majlis berkenaan juga akan diserikan dengan cabutan nombor bertuah.

Pada masa (tarikh dan waktu) yang sama, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) juga turut menganjurkan majlis berbuka puasa khusus untuk para ahlinya. Majlis akan berlangsung di sekitar Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur.

Di sini, saya bukan hendak membicarakan mengenai hukum berbuka puasa di tempat ibadat agama lain bagi penganut Islam. Lagi pun, ilmu agama yang ada pada saya masih dangkal dan ia sama sekali tidak melayakkan saya untuk menjatuhkan apa-apa fatwa mengenai hukum berbuka puasa di tempat ibadat agama lain. Lagi pun, kalau salah memberi pendapat, ia dianggap bertentangan pula dengan konsep 1Malaysia. Pernah ke Rasulullah mengutarakan konsep 1Madinah sewaktu baginda menjadi pemimpin di sana?

Berbalik kepada majlis berbuka puasa sebagaimana di atas, setakat yang saya maklum, berbuka puasa bukan setakat semata-mata makan dan minum bila masuk waktu maghrib. Pada saat itu, Allah menurunkan keberkatan bagi orang yang sedang berbuka puasa. Dalam satu hadith yang sahin, antara lain Rasulullah bersabda: “Bagi orang yang berpuasa, mereka akan mendapat dua kegembiraan, iaitu ketika berbuka puasa dan ketika menemui Tuhannya di akhirat nanti.” Sesuaikah kita mendapat salah satu kegembiraan sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah sedangkan ketika itu kita berada di tempat ibadat agama lain?

Seperkara lagi, berbuka puasa berlaku serentak dengan waktu maghrib. Dengan pelbagai acara untuk satu-satu majlis berbuka puasa seperti cabutan nombor bertuah, selain daripada makan, minum, sembang dan lain-lain lagi, ada kemungkinan ruang untuk melaksanakan solat maghrib juga akan kian kesempitan. Selaku umat Islam, kita harus faham, kewajipan solat 5 waktu sama tarafnya dengan kewajipan berpuasa. Sebab itulah kedua-duanya (puasa dan solat 5 waktu) merupakan 2 perkara daripada 5 perkara dalam rukun Islam. Bolehkah pihak penganjur menyediakan waktu dan ruang untuk solat maghrib kepada jemputan yang beragama Islam sebagaimana sewajibnya? Saya tidak mengatakan solat di tempat ibadat orang lain hukumnya tidak sah!

Bagi pihak penganjur dan juga biara Buddha berkenaan, mereka mungkin tidak begitu memahami konsep berbuka puasa. Bagi mereka, berbuka puasa ialah makan bila tiba masanya. Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita selaku umat Islam untuk memberikan penerangan yang sejelas-jelasnya kepada pihak penganjur mengenai berbuka puasa menurut kaca mata Islam supaya pihak yang berkenaan lebih memahaminya. Di sini, saya berkeyakinan, sekiranya pihak penganjur diberikan penjelasan mengenai konsep berbuka puasa yang sebenar menurut Islam secara berhemah dan dengan tutur kata yang baik, mereka boleh menerimanya. Hasrat untuk memperluaskan pemahaman mengenai derma mata sememangnya baik. Justeru, ia harus dilaksanakan dengan cara yang baik juga yang sepatutnya tidak bercanggah dengan nilai-nilai agama semua pihak yang dijemput ke majlis berkenaan.

Kepada rakan-rakan senasib yang seakidah dan bercadang untuk menghadiri majlis berkenaan, tepuk dada tanyalah iman. Jangan kerana sepinggan makanan, secawan minuman dan sehelai nombor bertuah, akidah kita jadikan taruhan.

Harus difahami, saya bukan membincangkan isu ini dari sudut hukum, saya sekadar memperkatakannya dari sudut kesesuaian majlis itu sahaja.

No comments: