Sunday, August 21, 2011

Ramadhan Dan Kenangan



Kini dua pertiga daripada Ramadhan sudah bersama kita. Beruntunglah bagi mereka yang benar-benar sedang memanfaatkan kehadiran bulan yang penuh barakah ini. Masih tidak rugi bagi sesiapa yang baru hendak memulakan kayuhan ibadah bersempena dengan kedatangannya. Akan rugilah orang yang mensia-siakan ketibaan bulan yang sememangnya telah diperuntukkan untuk umat Nabi Muhammad.



Bagi saya, kehadiran Ramadhan setiap tahun tentunya mempunyai kenangan tersendiri yang telah berlaku dalam hidup saya pada masa lalu. Sebenarnya saya mula berpuasa dalam erti kata yang sebenar ketika saya berusia 7 tahun. Sebelum berusia sedemikian, saya berpuasa juga tapi kadang penuh, kebanyakannya setengah hari sahaja. Begitulah di zaman kanak-kanak. Namun demikian, ibadah berpuasa tetap menjadi latihan ketika datangnya bulan Ramadhan seawal saya berusia 5 tahun lagi. Demikianlah.

Walaupun saya mula berpuasa dalam keadaan sebenar ketika berusia 7 tahun, tetapi puasa saya pada tahun berkenaan tidak penuh. Masih segar dalam ingatan saya, pada tahun tersebut saya dapat berpuasa penuh sebanyak 23 hari sahaja. Selebihnya saya hanya berpuasa setengah hari sahaja. Ada sekali peristiwa, saya terpaksa membatalkan puasa saya di hadapan ibu saya kerana beliau menemui saya sedang makan biskut pada waktu tengah hari. Saya lupa, bukan sahaja Tuhan melihat perbuatan keji saya itu, bahkan Dia memperlihatkannya pula kepada ibu saya. Oleh kerana peristiwa tersebut mendatangkan kesan yang begitu mendalam pada diri saya, maka itulah juga sehingga ke hari ini pun peristiwa “malang” masih segar dalam ingatan.

Ketika saya di sekolah rendah (SKPK Princess Elizabeth, Johor Baru), puasa saya lebih teratur. Maklumlah, kesempatan untuk mencuri-curi makan boleh dikatakan tidak ada. Lagipun peristiwa saya ditangkap makan biskut oleh ibu saya sebelumnya sentiasa membentengi saya daripada cuba curi-curi makan ketika berpuasa. Demikianlah mendalamnya didikan yang telah ditarbiahkan oleh ibu saya kepada saya walaupun ketika itu saya masih kecil lagi. Satu keistimewaan bagi sesiapa di sekitar Bandaraya Johor Baru ketika itu ialah, setiap kali masuk waktu berbuka, sedas bedilan meriam akan dilepaskan. Bergema bunyinya dan boleh didengar dengan jelas di SKPK Princess Elizabeth.



Ketika saya di sekolah rendah juga, waktu untuk kami bersahur ialah pada sekitar jam 2 pagi. Selepas makan, kami akan tidur semula hingga pagi. Saya sedikit hairan, mengapa waktu sahur (ketika itu) jam 2 pagi? Mengapa tidak dilewatkan lagi, jam 4 pagi umpamanya? Daripada maklumat salah seorang guru ketika itu, saya dapat tahu, memang tahun-tahun sebelumnya waktu sahur ialah sekitar jam 4 pagi. Walau bagaimanapun, ada segelintir murid yang agak nakal sedikit waktu itu, bukan sahaja mereka tidak tidur semula selepas makan sahur, bahkan ada di antara mereka yang sampai main bola sepak selepas sahur. Perkara sebegini memanglah agak menyusahkan kakitangan sokongan sekolah yang bertugas. Akhirnya, untuk membendung masalah sedemikian, maka itulah waktu makan sahur ketika itu telah diubah kepada jam 2 pagi. Jadi, selepas sahur, memang kami tiada pilihan lain selain tidur semula. Saya tidak pastilah pula pada hari ini jam berapa pula waktu sahur bagi murid-murid di sekolah berkenaan. (Kisah mengenai bagaimana murid cacat penglihatan bermain bola sepak ada saya postingkan menerusi blog ini pada hujung tahun 2008).



Sewaktu di sekolah rendah juga, adakalanya bagi murid-murid yang dapat berpuasa penuh akan diberikan ganjaran. Pada masa itu, ganjaran yang popular ialah wang. Saya masih ingat lagi, Cikgu Salmah merupakan guru yang rajin memberikan ganjaran sedemikian. Bagi murid yang dapat berpuasa penuh akandapat 50 sen. Masa itu,jumlah wang sebanyak itu bagi peringkat kanak-kanak pula memang terasa besar. Saya pernah mendapat ganjaran sebanyak yang sepatutnya tapi bukan dalam semua tahun.

Semasa berbuka puasa pula, kami akan makan buah tamar dan kuih sekeping dua serta minum air manis sebaik sahaja masuk waktu berbuka. Setelah itu, kami akan solat maghrib. Selepas solat maghrib, baru dihidangkan nasi. Bagi saya, cara sebegini lebih teratur dan lebih mudah untuk mengerjakan solat maghrib.

Saya masih ingat lagi, adakalanya dalam bulan puasa, ramai juga yang sakit. Bila sakit, ada “lesen” untuk berbuka. Cakap sahaja pada kakitangan asrama: “Kak, saya sakit, rasanya tak larat nak puasa”. Kakitangan asrama akan menjawab: “Kalau tak larat, berbukalah”. Sebab itulah juga saya tidak pernah mendapat ganjaran kerana berpuasa penuh setiap tahun! Mama Haikal pun lebih kurang juga.

Saya serta rakan-rakan yang lain sudah pun didedahkan dengan ibadat solat sunat tarawih sejak di peringkat sekolah rendah lagi. Cikgu Sulaiman Shafie (Allahyarham) akan datang ke sekolah pada setiap malam Ramadhan dan seterusnya akan menjadi imam kepada kami bermula dengan solat isya hinggalah selesai solat sunat witir. Waktu itu, kami mengerjakan solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat dan dicampur dengan witir 3 rakaat. Tiada rungutan kerana mengerjakan solat dengan rakaat yang sebanyak itu. Manakala bilal untuk tarawaih pula akan dipilih dalam kalangan murid-murid yang senior. Saya pernah diberi kepercayaan oleh Cikgu Sulaiman untuk menjadi bilal ketika saya di darjah 5. Sampai bila-bila pun, saya tetap mengakui bahawa suasana solat sunat tarawih semasa di sekolah rendah merupakan antara yang paling meriah dan merupakan sesuatu yang paling manis dan indah dalam hidup saya.

Untuk pendidikan menengah pula, saya telah berpindah ke KL. Waktu itu, saya bersekolah di St. John’s Institution, tetapi saya tinggal di asrama SMPK Setapak. Demikianlah yang saya lalui dari tingkatan 1 hingga tingkatan 6 atas. Di peringkat sekolah menengah, rasanya ibadah puasa semakin mantap. Namun begitu, terdapat sedikit sebanyak perbezaan khususnya dari sudut suasana. Semasa saya di tingkatan 1 dan 2, saya bersekolah dalam sesi petang. Jadi, bila datang bulan puasa, terasa juga keletihannya. Keadaan lebih mencabar semasa saya di tingkatan 1. Sudahlah bersekolah sesi petang, kenderaan asrama (SMPK Setapak) pula rosak sampai hampir 10 bulan. Tempoh tersebut turut merangkumi bulan puasa. Dalam tempoh kenderaan rosak, saya serta rakan-rakan lain yang bersekolah luar, terpaksa pergi dan balik sekolah dengan menaiki kenderaan awam. Bayangkan, bila bulan puasa, sudahlah keletihan bila bersekolah petang, kena balik ke asrama pula dengan kenderaan awam. Bila balik dari sekolah pada waktu petang, saya terpaksa berebut dengan orang ramai untuk menaiki bas. Kalau penumpang bas yang lain kasihan, saya akan dapat tempat duduk. Kalau tidak, saya berdiri sahaja dari Lebuh Ampang sampai hentian bas berhampiran asrama tempat saya tinggal. Walaupun agak perit ketika itu, tapi kesannya tetap ada. Setidak-tidaknya, saya dan rakan-rakan senasib waktu itu telah melalui satu tarbiah bukan dalam keadaan dimanjakan.

Semasa di peringkat sekolah menengah, solat sunat tarawih turut dilaksanakan, tetapi kali ini ia dilaksanakan sepenuhnya oleh para penghuni asrama. Dari imam, bilal hinggalah maamum, semuanya penghuni asrama belaka. Kami mengerjakan solat sunat tarawih sebanyak 8 rakaat sahaja. Mulanya terasa ganjil juga, maklumlah dari 20 rakaat turun merudum kepada hanya 8 rakaat sahaja. Kata orang tua-tua, alah bisa tegal biasa. Hari ini, terasa pelik pula kalau buat solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat. Berbeza semasa di sekolah rendah, waktu sahur di SMPK Setapak ketika itu ialah pada jam 4.30 pagi.

Setiap kali bulan Ramadhan, Persatuan Pelajar Islam (PPI) St. John’s Institution sering menganjurkan majlis berbuka puasa di sekolah. Sekurang-kurangnya sehari dalam sebulan. Setelah saya memasuki sesi pagi waktu persekolahan iaitu di tingkatan 3 dan ke atas, boleh dikatakan hampir setiap tahun saya tidak melepaskan peluang untuk menghadiri majlis berkenaan. Untuk itu, Ustaz Haji Ahmad Hussein akan menulis surat kepada warden asrama dengan memaklumkan mengenai majlis berkenaan serta meminta pelepasan untuk saya serta beberapa orang rakan lain bagi menyertai majlis tersebut. Seingat saya, surat berkenaan tidak pernah menghampakan. Selepas menghadiri majlis berbuka di sekolah, saya serta beberapa rakan akan ke Masjid Jamik Jalan Tun Perak untuk solat isya dan seterusnya bersolat tarawih. Ketika inilah saya mula terdedah dengan solat tarawih di luar asrama serta majlis moreh yang diadakan selepas selesai solat tarawih. Saya akan tiba semula di asrama sekitar jam 11 malam. Bila warden asrama bertanya sebab lewat tiba semula di asrama, saya berterus-terang sahaja. Warden tidak berkata apa-apa. Tahun berikutnya bila surat yang sama ditulis, saya akan mendapat pelepasan seperti biasa. Begitulah.

Bila saya tamat pengajian dari Universiti Malaya (UM), perubahan telah mula berlaku dalam kehidupan saya. Sebelum ini, saya banyak menghabiskan masa dengan kehidupan di asrama (termasuklah semasa menuntut di UM). Setelah tamat pengajian tinggi, saya mula belajar hidup sendiri. Dengan hasrat untuk tidak mahu menyusahkan keluarga, saya telah memilih untuk terus tinggal di KL. Waktu itu, saya masih belum lagi bertugas selaku pendidik seperti hari ini. Oleh itu, makan, minum dan tempat tinggal kena uruskan sendiri.



Perubahan cara dan persekitaran hidup sedikit sebanyak turut membawa perubahan kepada bulan Ramadhan yang saya lalui. Pada bulan November 1992, saya mula menjadi warga Brickfields. Bila tiba waktu berbuka, saya serta rakan-rakan yang lain akan mencari gerai makan yang sesuai untuk berbuka. Antara gerai yang menjadi tumpuan waktu itu termasuklah gerai Hamid, gerai Kak Fauziah dan juga gerai Zul (gerai Mahmud). Ada ketikanya, gerai Hamid akan beroperasi selama 24 jam sehari dalam bulan Ramadhan. Gerai berkenaan hanya akan tutup pada hari Ahad sahaja. Jadi ia sedikit sebanyak telah mengurangkan masalah kami yang bujang khususnya untuk mencari tempat bersahur. Berbuka puasa dan bersahur dengan rakan-rakan ada kemeriahannya yang tersendiri. Masing-masing dengan cara mereka sendiri ketika berbuka mahupun bersahur. Ada yang makan sedikit, ada yang makan banyak, ada yang makan alah kadar. Oleh kerana makan di gerai, jenis makanannya pula beraneka. Hanya kemampuan duit dan nafsu makan yang akan menentukan jenis dan kuantiti makanan yang terhidang ketika berbuka dan juga bersahur.

Oleh kerana makan dan minum kena cari sendiri dan tidak lagi terhidang sebagaimana di asrama sewaktu zaman persekolahan dan di kolej kediaman semasa di UM, maka ada hari-harinya nasib saya tidaklah sebaik mana. Ada masanya, terutamanya hari minggu, boleh dikatakan semua gerai di sekitar Brickfields akan tutup. Kalau ada pun yang buka pasti cepat habis kerana lebih dahulu telah diserbu oleh pelanggan yang datang lebih awal. Untuk mengatasi masalah sedemikian dan sebagai persediaan sahur, saya akan membeli makanan setelah selesai solat sunat tarawih. Makanan tersebut akan saya simpan untuk dimakan sewaktu sahur. Jadi, bila tiba waktu sahur, makanan tersebut telah sejuk. Sejuk pun sejuklah. Saya makan dan telan juga sewaktu bersahur. Tatkala inilah saya akan teringat kembali sewaktu tinggal di asrama sebelumnya. Ada kalanya, bila tidak sempat membeli makanan, saya akan makan buah kurma sahaja untuk sahur. Jumlah buah kurma yang saya telan bukannya sebiji dua, ada kalanya sampai sekitar 30 biji. Rupa-rupanya ia lebih dari mencukupi daripada sekadar mengalas perut.

Solat tarawih pula dilakukan bersama jemaah lain di surau Kampung Katijah (waktu itu). Oleh kerana surau berkenaan diuruskan oleh golongan mamak, maka imamnya juga terdiri daripada golongan berkenaan. Bukanlah ada masalah apa pun, tapi kalau baca Alfatihah dan surah sewaktu solat, masha-Allah, laju macam kereta api ekspres.

Ada kalanya, saya dan seorang dua rakan lain akan berbuka puasa di masjid-masjid tertentu disekitar Kuala Lumpur. Waktu itu, saya agak arif masjid mana yang mewah ketika berbuka dan untuk moreh. Boleh dikatakan, bila tiba bulan Ramadhan, bagi golongan bujang dan musafir di sekitar KL, ia juga merupakan masa untuk berjimat cermat. Maklumlah, setiap hari boleh menikmati juadah berbuka dan moreh secara percuma. Pilih sahaja masjid yang mana satu.

Seperkara yang mungkin tidak luput dari ingatan saya ialah, suatu ketika beberapa rakan telah mencadangkan supaya rumah sewaan saya dijadikan tempat untuk solat isya dan solat sunat tarawih di sepanjang Ramadhan. Mulanya saya teragak-agak untuk menerima cadangan berkenaan. Namun begitu, setelah berfikir dan mendapat persetujuan daripada rakan-rakan serumah yang lain termasuklah Cikgu Jais, akhirnya saya bersetuju. Maka untuk sepanjang Ramadhan beberapa tahun, rumah sewaan kami jadi tempat saya serta beberapa rakan lain mengerjakan solat isya dan solat sunat tarawih. Antara jemaah yang paling setia termasuklah Saudara Zainal Abidin, Hafiz Chali, Muhammad Mahmud (Allahyarham), Kaspan Adnan, Jamil Bustam, Mohd Rosmadi serta beberapa rakan yang lain.

Bila saya memasuki alam berumah tangga, sekali lagi perubahan drastik berlaku dalam kehidupan yang saya jalani. Bulan Ramadhan yang saya lalui paling terurus, termasuklah waktu berbuka dan bersahur. Saya tidak lagi sekadar telan buah kurma atau makan sup sejuk. Maha benarlah sebagaimana sabda junjungan yang mulia, salah satu daripada saat yang menggembirakan bagi orang yang berpuasa ialah ketika waktu berbuka, selain daripada ketika bertemu dengan Tuhan di akhirat kelak. Bahkan kegembiraan sewaktu berbuka akan berganda-ganda bilamana ia turut disertai oleh isteri dan anak tersayang.

Setiap kali Ramadhan tiba, kenangan lalu pasti datang mengimbas. Sesungguhnya suka duka masa lampau banyak mempengaruhi cara dan corak kehidupan yang sedang saya jalani masa kini. Walaupun yang telah berlalu itu tidak akan kembali lagi, tetapi kita boleh jadikan apa yang telah berlaku sebagai pedoman tatkala meniti hari-hari yang mendatang.

No comments: