Monday, June 10, 2013

Rakan-rakan Yang Kembali Ke Rahmatullah




Terlebih dahulu saya mohon berbanyak maaf kerana lewat berkongsi beberapa maklumat dan catatan sehari dua ini menerusi blog ini. Ini disebabkan liputan untuk kemudahan capaian kepada internet bagi pelanggan Celcom di lokasi saya berada iaitu di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Cawangan Pantai Timur di Besut, Terengganu amat tidak memuaskan. Justeru saya bukan sahaja tidak dapat menyemak segala email baru yang mungkin saya terima, bahkan saya juga gagal untuk mengemas kini catatan pada blog ini. Hendak kata tak bayar bil, semakan terakhir yang saya buat pada hujung bulan lalu menunjukkan saya terlebih bayar. Kalau ada mana-mana orang Celcom yang terbaca maklumat ini pun bagus juga. Mudah-mudahan adalah rancangan untuk memperbaiki keadaan suatu hari nanti. Siapalah agaknya ADUN dan MP di kawasan ini?


Mudah-mudahan apa yang saya kongsikan ini tidaklah begitu "basi" beritanya.


Dukacita dimaklumkan bahawa Pn. Raimah Md Lazim telah kembali ke Rahmatullah pada 9 Jun 2013 (Ahad). Beliau yang juga merupakan seorang OKU penglihatan telah meninggal dunia pada jam 12.03 tengah malam. Beliau berasal dari Terengganu. Beliau pernah bersekolah di SKPK Princess Elizabeth di Johor Baru untuk pendidikan rendah dan kemudiannya ke SMPK Setapak untuk pendidikan menengah. Beliau merupakan seorang kakitangan awam.


Sementara itu, pada 8 Jun (Sabtu) pula, seorang lagi rakan iaitu Anuar bin Ramlan juga telah kembali ke rahmatullah. Dalam kalangan rakan-rakan yang rapat dengan beliau, beliau juga dikenali dengan panggilan Anuar Tambi

.

Mudah-mudahan kedua-dua roh rakan kita ini akan mendapat keampunan dan rahmat di sisi Allah dan ditempatkan bersama-sama dengan golongan solihin.


Alfatihah ....


Thursday, June 6, 2013

PERTIS Pahang



Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) negeri Pahang merupakan PERTIS peringkat negeri yang paling awal ditubuhkan selepas penubuhan PERTIS pringkat Pusat. Jika PERTIS Pusat telah ditubuhkan pada tahun 1996, PERTIS Pahang pula telah ditubuhkan setahun kemudian iaitu pada tahun 1997. Sejak itu, PERTIS Pahang telah melalui pelbagai cabaran, dugaan, perit jerih serta pasang surut pengalaman yang telah menjadikan perjalanan usianya lebih berwarna-warni. Warna-warni pengalaman inilah yang menyebabkan adakalanya dalam diam saya merasa kagum dengan perjalanan PERTIS Pahang.


Dari aspek ahli jawatankuasanya (AJK), secara umumnya ia dibarisi oleh mereka yang tidaklah setinggi mana pelajaran masing-masing (tidak berniat untuk merendahkan mereka). Bolehlah dikatakan, mereka yang menganggotai AJK PERTIS Pahang merupakan golongan yang sudah berusia (55 tahun dan ke atas) dan bekerja sendiri atau sebagai juruurut. Kalau saya tidak silap, hanya AJK sesi 2013-2014 yang baru terpilih pada bulan April lalu, baru ada seorang guru yang menjadi salah seorang AJK biasanya. Namun demikian, dari segi amanah dan komitmen pula, ternyata setakat ini mereka telah berjaya melaksanakannya dengan baik sekadar yang termampu oleh mereka.



(kelas alquran braille pertis pahang dikendalikan cik siti fatimah)



Jika sekiranya ada aktiviti yang berlangsung untuk dua atau tiga hari berturut-turut, ada dalam kalangan AJK yang bertugas tidak pulang ke rumah. Sebaliknya mereka akan bermalam sahaja di pejabat PERTIS. Bila saya tanya mengapa, mereka memberitahu, tujuannya adalah untuk menjimatkan kos. Jika mereka berulang alik dengan menggunakan perkhidmatan teksi dari pejabat PERTIS Pahang ke Lanchang umpamanya, ia akan menelan belanja RM 60.00 untuk dua hala sahaja. Bayangkanlah jika aktiviti berlangsung untuk tempoh dua hari atau lebih berturut-turut, sudah tentulah kosnya akan lebih tinggi. Untuk menggunakan perkhidmatan bas pula, adakalanya masa perjalanan bas berkenaan tidak menentu. Sedangkan mereka harus tiba di lokasi aktiviti iaitu di pejabat PERTIS Pahang sebelum waktu aktiviti bermula. Demikian saya dimaklumkan.


Dari segi taburan populasi ahli-ahli pula, para ahli PERTIS Pahang tinggal di seluruh pelusuk Pahang khususnya daerah Temerloh. Bahkan ada juga yang menetap hingga ke Lanchang, Maran dan Kuantan. Namun begitu, bila PERTIS Pahang yang berpejabat di Mambang Brulang, Mentakab, menganjurkan sebarang aktiviti, kelazimannya mereka akan hadir. Walaupun sistem pengangkutan di Pahang tidaklah secanggih sebagaimana di KL, tetapi ia bukan halangan untuk para ahli PERTIS Pahang untuk sama-sama meraikan apa jua kegiatan anjuran PERTIS Pahang.



(majlis sambutan maulidul rasul pertis pahang 1434 hijrah)



Antara aktiviti yang kerap dianjurkan termasuklah sambutan pelbagai hari kebesaran Islam seperti maulidul Rasul, sambutan isra’ mikraj, majlis maal hijrah, sambutan hari raya aidil fitri, majlis berbuka puasa dan sebagainya. Selain itu, PERTIS Pahang juga turut menganjurkan beberapa kelas pengajian asas seperti kelas Jawi Braille dan juga kelas pengajian Alquran Braille. Boleh dikatakan kehadiran dan sambutan daripada para ahlinya tidak mengecewakan.


Kegigihan para ahli PERTIS Pahang dalam memberi sokongan dan dokongan kepada setiap aktiviti PERTIS khususnya di Pahang amat mengujakan. Justeru, bagi saya, sudah tiba masanya bagi pihak-pihak tertentu di Pahang, khususnya agensi kerajaan negeri dan sektor korporat khasnya di Pahang memberikan dokongan dan sokongan lebih padu kepada PERTIS Pahang. Bukanlah tiada langsung sokongan selama ini, tetapi ia boleh dipertingkatkan lagi memandangkan sambutan daripada ahli sendiri tidaklah mengecewakan.



(kelas alquran braille anjuran pertis pahang dikendalikan oleh cik nurhafizah)



Baru-baru ini, saya berkesempatan mengunjungi PERTIS Pahang. Selain sebagai melaksanakan tugas saya selaku YDP PERTIS Pusat dan juga selaku penyelaras PERTIS Pahang, tujuan saya adalah untuk memberikan sokongan moral khususnya kepada barisan AJK Pahang yang ada. Jika mereka boleh melaksanakan tanggungjawab walaupun dalam serba kepayahan, malu rasanya jika saya gagal menunjukkan muka biar pun untuk sekali-sekala.


Adalah diharapkan semoga PERTIS Pahang akan lebih gigih lagi dalam melaksanakan apa jua aktiviti bagi membangunkan ummah khasnya dalam kalangan orang seperti kita. Sudah memang menjadi fitrah bahawa segala usaha dakwah akan menghadapi pelbagai bentuk cabaran dan rintangan. Untuk itu, janganlah sekali-kali kita menoleh lagi ke belakang. Kita sudah pun memberi komitmen untuk melaksanakan tanggungjawab ini menerusi pemilihan baru-baru ini, marilah kita sama-sama laksanakan tanggungjawab ini sehingga ia berjaya, insha-Allah. Marilah kita sama-sama beringat iaitu sekiranya apa yang sedang kita sama-sama usahakan ini adalah semata-mata kerana Allah, maka pasti kita akan mendapat pertolongan dari Allah jua.





Wednesday, June 5, 2013

Pemergian S. Samsudin Satu Kehilangan



Semalam (4 Jun), kita telah sama-sama menerima berita tentang perginya S. Samsudin ke rahmatullah. Menurut berita, beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya pada sekitar jam 11.00 pagi di kediamannya di Singapura. Hari ini pula, jenazah beliau telah selamat disemadikan di pusara Abadi, Singapura.


S. Samsudin merupakan seorang pelakon yang cukup terkenal. Antara filem yang pernah beliau bintangi termasuklah Bujang Lapuk, Ali Baba Bujang Lapuk, Pendekar Bujang Lapuk, Seniman Bujang Lapuk, Tiga Abdul, Labu Labi dan sebagainya. Filem-filem yang disenaraikan di atas merupakan kombinasi lakonan di antara beliau dengan P. Ramlee (Allahyarham) dan juga Aziz Satar. Trio Bujang Lapuk ini memang cukup terkenal dan amat mantap dalam persembahan lakonan mereka.


Pemergian S. Samsudin ke rahmatullah iaitu setelah 40 tahun pemergian yang sama oleh P. Ramlee ke rahmatullah pada tahun 1973. Kini filem-filem yang pernah dibintangi oleh S. Samsudin (Allahyarham) hanya tinggal kenangan dan akan menjadi bahan sejarah sampai bila-bila. Pada hemat saya, generasi akan datang pasti tidak akan jemu menonton filem-filem lakonan S. Samsudin. Inilah keunikan dan keistimewaan persembahan lakonan trio Bujang Lapuk.


Kepada keluarga Allahyarham S. Samsudin, takziah diucapkan. Saya dan juga yang lainnya sentiasa berdoa semoga roh beliau akan sentiasa dalam peliharaan dan perlindungan Allah hendaknya sepanjang masa. Sesungguhnya pemergian beliau merupakan satu kehilangan buat kita semua.


Walaupun catatan ini amat ringkat, namun ia merupakan sebagai tanda bahawa saya mengingati dan meminati Allahyarham.



Alfatihah ....


Tuesday, June 4, 2013

Raja Dan Rakyat



Bagi sebahagian besar orang Melayu, penghormatan mereka terhadap institusi raja masih tinggi. Bagi mereka, institusi raja masih punya peranan penting dalam sistem pentadbiran dan institusi sosial moden hari ini. Walaupun hari ini negara kita mempraktikkan sistem raja berperlembagaan, tetapi institusi raja masih mendapat tempat yang tinggi khususnya dalam kalangan orang Melayu. Justeru, sebarang penghinaan kepada institusi raja-raja Melayu dianggap penghinaan juga kepada orang Melayu.


Maka itulah juga sebahagian besar orang Melayu masih lagi “berhalus” bila berkomunikasi dengan raja-raja Melayu. Biar bagaimana sekalipun fiil dan perangai raja-raja Melayu itu, orang Melayu tetap membahasakan raja-raja mereka sebagai “tuanku” iaitu singkatan kepada “tuan kepada aku”. Sebelum mula bicara dengan raja-raja, orang Melayu akan mohon ampun terlebih dahulu, takut-takut apa yang akan dibicarakan itu sama ada dari segi kalimah mahupun ayat tidak mendapat perkenan daripada raja-raja. Orang Melayu pula bila berbicara dengan raja akan membahasakan diri mereka sebagai “patik” atau “pacal” yang hina. Selepas selesai berbicara, sekali lagi orang Melayu akan memohon ampun kepada raja supaya apa yang telah dibicarakan dan jika ada yang tidak berkenan oleh raja diharap akan mendapat keampunan daripada baginda. Selain itu, masyarakat Melayu turut memberikan pelbagai keistimewaan kepada raja-raja mereka. Ini termasuklah warna kuning, penggunaan perkataan-perkataan tertentu yang hanya dikhususkan untuk raja, memberi laluan kepada pengamalan adat-istiadat tertentu, dan sebagainya. Demikianlah cara orang Melayu memuliakan raja mereka dari dahulu hingga kini. Sebahagian besar orang Melayu masih memulaiakan raja-raja mereka dari segenap aspek dari hujung rambut hingga hujung kaki. Atas dasar ketaatan dan kepercayaanh kepada agama, orang Melayu tidaklah sampai menganggap raja-raja mereka sebagai maksum. Demikianlah.


Dalam sistem raja berperlembagaan hari ini, institusi raja merupakan lambang kenegaraan yang sangat penting. Penghinaan kepada institusi raja dianggap penghinaan juga kepada negara. Sebab itulah pihak yang melawan raja dianggap melawan negara, saling tak tumpah dengan konsep daulat dan derhaka yang pernah di amalkan di negeri-negeri Melayu masa dahulu. Maka itulah juga raja-raja tidak boleh berpihak dalam semua tindakan baginda, melainkan hanya memihak kepada yang benar dan berkepentingan negara sahaja.


Baru-baru ini, timbul isu penghinaan kepada Yang Di-Pertuan Agong. Ekoran itu, beberapa laporan polis telah dibuat. Selain itu, seorang dua orang besar pula turut melontarkan ulasan yang mengkritik terhadap bentuk penghinaan berkenaan. Sekali imbas kritikan seorang dua orang besar berkenaan ada asasnya. Pada masa yang sama, pihak yang telah melontarkan penghinaan tersebut akan berhadapan dengan dakwaan pula. Mereka pasti dicari hingga ke lubang cacing. Begitulah kaedahnya orang Melayu mempertahankan raja-raja Melayu dan institusinya.


Pada masa sama, penghinaan berkenaan juga menunjukkan tidak semua rakyat Malaysia memahami apatah lagi untuk menghormati raja-raja Melayu dan institusinya. Penghinaan sedemikian jika dibiarkan berterusan pasti akan menyebabkan berlakunya keresahan dalam masyarakat. Kita harus menjunjung tinggi institusi raja sebagaimana kita seharusnya menjunjung tinggi perlembagaan negara kita. Ingat, sesiapa yang sabit dengan kesalahan melawan Yang Di-Pertuan Agong, hukumannya mati!




Demikianlah kita memelihara institusi raja-raja Melayu. Kita memeliharanya dengan penuh kemuliaan, penuh penghormatan dan menerusi undang-undang. Begitulah kasih dan cinta kita terhadap raja-raja Melayu dan institusinya yang sama-sama kita warisi sejak zaman berzaman. Inilah pusaka bangsa yang telah diwariskan kepada kita oleh Sultan Muhammad (almarhum) salah seorang sultan dalam kesultanan Melayu Melaka dahulu kerana bagindalah yang mula-mula menetapkan adat istiadat diraja yang masih diguna pakai hingga ke hari ini.


Persoalan sejauh mana pula raja-raja Melayu bertanggungjawab memelihara dan melindungi hamba rakyatnya, terpulanglah kepada sifat dan sikap raja-raja itu sendiri. Apabila hamba Melayu itu telah mencurahkan segala taat dan setia mereka kepada raja-raja tanpa berbelah bagi, maka sesungguhnya orang Melayu telah pun melaksanakan amanah mereka kepada tuan mereka. Pada hemat saya, Waadat (perjanjian) Sang Sapurba merupakan asas kepada bentuk hubungan dan tanggungjawab di antara raja-raja Melayu dengan sekalian hamba rakyatnya. Sama ada kita menganggap waadat tersebut sebagai lagenda ataupun metos, tetapi apa yang terkandung dalam waadat tersebut merupakan asas yang masih kita sama-sama ikuti dan warisi hingga ke hari ini.


Berdasarkan kepada waadat tersebut, orang Melayu hendaklah mencurahkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada raja-raja Melayu walau bagaimana jua pun fiil dan perangai raja-raja Melayu itu. Menurut perjanjian itu lagi, orang Melayu boleh dijatuhi hukuman bunuh jika sabit kesalahannya kerana menderhaka. Maka itulah agaknya, pada hari ini, sesiapa yang sabit kesalahannya kerana melawan Yang Di-Pertuan Agong, maka orang berkenaan boleh dijatuhi hukuman mati.


Menurut perjanjian berkenaan juga, raja-raja juga mempunyai amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Raja-raja tidak boleh mengaibkan mana-mana hamba Melayu. Jika besar sekali pun dosa dan kesalahan mereka dan jika sabit dengan hukum syarak, maka bunuh sahaja mereka dan orang yang didapati bersalah itu tidak boleh diaibkan dengan apa cara sekali pun. Di akhir perjanjian tersebut, ada dinyatakan bahawa jika sekiranya raja-raja Melayu ingkar pada perjanjian tersebut, maka tidaklah menjadi kewajipan segala hamba Melayu untuk mentaati lagi perjanjian berkenaan. Demikianlah.



(kawasan Istana Kampung Gelam pada tahun 2009)



Jika sekiranya mana-mana hamba rakyat itu diaibkan, dinista, dihamburkan dengan kata-kata keji atau dipermalui, maka itu sebagai tanda bahawa raja-raja berkenaan akan kehilangan negerinya. Kalau pun negeri itu tidak hilang, zuriat raja berkenaan mungkin tidak lagi akan mewarisi takhta itu lagi. Darjat anak cucunya pula akan setara dengan status hamba rakyat yang lain. Ada kemungkinan mereka juga akan merempat dan berkelana sebagaimana pacal-pacal yang lain juga. Demikianlah perjanjian yang sudah termetrai di antara raja-raja Melayu dengan segala orang Melayu. Ia merupakan garis panduan yang menetapkan tanggungjawab di antara pemerintah dengan golongan yang diperintah. Maknanya jika ia dipatuhi maka akan harmonilah hubungan di antara pihak yang memerintah dengan golongan yang diperintah. Sebaliknya jika ia dimungkiri, maka musibah akan menimpa mana-mana pihak yang mula-mula memungkirinya. Sesungguhnya bila dibuka semula lipatan sejarah, ternyata ada benarnya tentang implikasi yang telah menimpa pihak-pihak yang telah memungkiri perjanjian tersebut.


Jika sekiranya golongan raja-raja itu tergelincir daripada landasan tanggungjawabnya selaku pemerintah dan golongan atasan, maka menjadi tanggungjawab orang besar-besar pula untuk menegur, menasihati atau menunjuk ajar dengan cara yang baik dan dengan penuh berhemah. Ingatlah baik-baik bagaimana Tun Perak dengan penuh diplomasi telah menegur golongan raja bila budi dan fiil mereka tidak lagi selari dengan apa yang sepatutnya. Walaupun anaknya sendiri, Tun Besar, mati dibunuh oleh putera raja yang bakal menjadi sultan suatu hari kelak, tetapi dengan tegas Tun Perak telah menghalang orang Melayu daripada menderhaka kepada raja mereka. Namun demikian, dengan penuh diplomasi Tun Perak telah memberi isyarat jelas kepada sultan yang sedang memerintah bahawa puteranya itu tidak sesuai lagi untuk dijadikan sultan kelak. Sebagai seorang sultan yang bijak, isyarat daripada Tun Perak itu amat difahami baginda. Lalu puteranya itu dibuang ke Pahang. Putera baginda yang lain pula diangkat selaku pewaris takhta Melaka. Manakala kepada orang besar-besar yang sentiasa bersama raja, ingat-ingatlah pula pesa Tun Perak, anak harimau jangan diajar makan daging, kelak dia ditangkapnya.



(Istana Melaka kini tinggal replika sahaja)



Buku Sejarah Melayu juga telah mentamsilkan bahawa Raja itu umpama api manakala orang besar-besar pula umpama kayu. Api tidak akan dapat menyala jika tanpa kayu. Selanjutnya, buku yang sama juga menerangkan bahawa raja umpa pohon manakala hamba rakyat pula umpa akar. Pohon tidak akan dapat berdiri tegak jika tanpa sokongan akar yang kukuh. Demikianlah muafakat yang sepatutnya terjalin di antara raja dan rakyat. Jika salah satu pihak ingkar dan mungkir, ia pasti akan merugikan pihak yang satu lagi.


Ketaatan orang Melayu tanpa berbelah bagi kepada raja-raja mereka pula harus disusuli dengan raja-raja Melayu menunjukkan sikap dan sifat kasih sayang, memelihara serta melindungi semua hamba rakyat tanpa mengira siapa mereka. Raja-raja Melayu juga hendaklah menjalankan pemerintahan dengan penuh keadilan, tanggungjawab dan saksama dalam semua segi. Jika dirasakan sesuai, contohilah apa yang pernah dilakukan oleh Amirul Mu’minin, Khalifah Umar bin Al-Khattab iaitu dengan menyamar diri untuk mengetahui sendiri keadaan sebenar hamba rakyat dan golongan marhaen. Adakalanya sembah orang tertentu mengenai situasi hamba rakyat bukanlah semuanya betul.


Golongan kerabat raja di semua peringkat pula hendaklah turut sama menyayangi dan mengasihi sekalian hamba rakyat dengan sepenuhnya. Adalah tidak molek jika ada antara mana-mana kaum kerabat raja yang bersifat angkuh dan sombong hanya semata-mata mereka adalah kerabat raja. Alangkah baiknya jika sifat sedemikian diganti dengan sifat-sifat terpuji seperti bersyukur dan merendah diri. Sesungguhnya meredah diri itu sama sekali tidak akan merendahkan peribadi kalian. Sama ada disedari atau tidak, sekalian hamba rakyat sentiasa berdoa untuk kesejahteraan raja-raja mereka dan kaum kerabatnya, sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Dalam ribuan doa tersebut, mungkin ada satu dua doa daripada hamba rakyat yang baik dan alim yang mendapat perkenan daripada Allah.


Satu keistimewaan yang dikurniakan Allah kepada sekalian raja-raja ialah di mana doa mereka tiada hijab di sisi Allah. Syaratnya raja-raja berkenaan mestilah merupakan raja yang adil dalam menjalankan pemerintahan. Sebab itulah juga dalam pepatah orang tua-tua ada disebut, raja adil raja disembah.


Walaupun kini kita sudah memasuki millennium ketiga selepas Masihi dan berada di zaman yang serba canggih, biarpun zaman raja berkuasa mutlak sudah berganti dengan era raja berperlembagaan, tetapi fungsi institusi raja masih lagi relevan. Syaratnya kedua-dua pihak, sama ada raja mahupun rakyat, haruslah melaksanakan amanah serta tanggungjawab masing-masing selari dan selaras dengan garis panduan umum sebagaimana yang telah termetrai dalam Waadat Sang Saperba kerana waadat berkenaan masih dan akan terus relevan. Bangsa kita akan ditimpa musibah yang tidak terduga jika waadat tersebut dimungkiri oleh mana-mana pihak.





Selamat Pengantin Baru



Pada hujung minggu lepas, sekurang-kurangnya terdapat dua mempelai yang telah melangsungkan walimatul urus masing-masing. Mereka merupakan rakan-rakan saya juga. Pada 31 Mei 2013 (Jumaat), Cikgu Zainuddin Ali telah selamat melangsungkan majlis walimatul urusnya bersama-sama pasangan pilihan beliau, Cikgu Latifah. Khabarnya majlis berkenaan telah berlangsung di Machang. Manakala pada 1 Jun 2013 (Sabtu) pula, Cikgu Haji Mohd Hafiz Abdul Rahman telah melangsungkan majlis walimatul urus bersama pasangan pilihan beliau, Mastura di Alor Setar.


Kepada kedua-dua pasangan mempelai, saya memohon berbanyak maaf kerana tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan anda semua. Rancangan untuk hadir memang ada, tapi apakan daya, saya hanya mampu merancang sedangkan yang menentukannya ialah Yang Maha Esa. Namun demikian, doa saya sentiasa mengiringi anda tatkala anda memasuki gerbang alam rumah tangga. Semoga anda semua kekal hingga ke syurga serta sentiasa dilimpahi rahmat dan barakah dari-Nya sepanjang masa.


Oleh kerana saya tidak hadir, maka foto anda semua tidak adalah di sini!

Monday, June 3, 2013

Hidangan Ikan Paten



Bandar Temerloh amat sinonim dengan ikan paten. Maka itu, tidak hairanlah bilamana bandar ini juga turut terkenal dengan jolokan Bandar Ikan Paten. Pelbagai spesies ikan paten boleh ditemui di sekitar daerah ini sama ada dalam bentuk hidangan, yang masih hidup liar di dalam sungai mahupun yang sedang diternak.






Setiap kali saya ke Temerloh, saya pasti akan mencuri kesempatan untuk menikmati hidangan ikan paten di sini. Kebiasaannya saya akan mengunjungi kawasan medan selera yang terletak di tepi sungai di bandar Temerloh. Bagi saya, di sini merupakan antara tempat menikmati hidangan ikan paten yang paling menyelerakan. Justeru, tidak hairanlah bilamana medan selera di sini sentiasa ramai pengunjung. Situasi kian meriah bila menjelangnya waktu tengah hari. Kedai-kedai makan di sini pasti sesak dengan pelanggan. Mereka bukan sahaja dari sekitar Temerloh, bahkan ramai juga yang datang dari luar Pahang.






Keistimewaan masakan di sini ialah ia sentiasa sedap, enak dan sungguh menyelerakan. Ini ditambah lagi dengan pelbagai cara untuk menikmati masakan ikan paten. Sepanjang kunjungan saya ke medan selera ini, saya tidak pernah merasai hidangan ikan paten yang tidak sedap. Manakala harganya pula, bagi saya ia berpatutan.


Beberapa minggu lalu, sewaktu saya menghadiri satu mesyuarat di KL, ada juga dihidangkan masakan ikan paten. Walau bagaimanapun, rasanya kurang memuaskan. Bila dijamah, ia seakan masih ada rasa tanah lagi. Oleh kerana rasanya yang tidak enak, hidangan ikan berkenaan gagal untuk saya habiskan. Ingatan saya terus menerpa pada medan selera di bandar Temerloh.


Seorang blogger tersohor pernah bercerita kepada saya, adakalanya beliau akan ke Temerloh hanya semata-mata untuk menikmati hidangan ikan paten yang sebenarnya. Selesai menjamu selera, beliau akan kembali semula ke KL. Demikianlah penangan dan tarikan ikan paten di bandar Temerloh.




Adakalanya kalau saya teringin merasai makan masakan ikan paten dan tidak berkesempatan untuk ke Temerloh, saya akan mendapatkannya daripada salah seorang rakan sejawat di sekolah. Isteri guru ini kebiasaannya memang ada menyimpan stok ikan paten. Oleh kerana isteri saya juga orang Pahang, sedikit sebanyak dia boleh juga memasak ikan paten, tapi rasanya kurang sedikit daripada masakan di medan selera di tepi sungai bandar Temerloh.




Saturday, June 1, 2013

Al-Tasneem



Al-Tasneem Corporation Sn Bhd merupakan sebuah syarikat yang terlibat secara langsung dalam mengeluarkan Alquran dengan pembaca pen. Selain itu, ia turut menjual pelbagai jenis buku keagamaan. Syarikat ini turut menumpukan pengeluaran bahan-bahan bacaan berbentuk digital seperti Quran digital, Muqaddam digital dan sebagainya. Ia merupakan syarikat usaha sama antara usahawan Malaysia dengan usahawan Mesir. Pejabat utamanya ialah di Taman Melati Utama, Kuala Lumpur.


Baru-baru ini, saya telah dijemput oleh syarikat Al-Tasneem untuk berkongsi sedikit pengetahuan yang saya ada mengenai penggunaan perisian untuk menghasilkan bahan-bahan berbentuk Braille. Dalam perkongsian tersebut, saya turut membuat beberapa cadangan ke arah memantapkan bahan-bahan bentuk Braille yang ingin dihasilkan oleh Al-Tasneem.





Pada masa sama, Al-Tasneem baru sahaja membeli seunit mesin pencetak Braille (Braille embosser). Kita semua sedia maklum, mesin pencetak berkenaan bukan sedikit hargana. Jika Al-Tasneem sudah sampai ke tahap membeli mesin embosser, sudah tentulah ia sudah mempunai rancangan tersendiri yang berkaitan dengan pengeluaran bahan-bahan Braille itu sendiri.


Salah satu rancangan yang sedang diusahakannya ialah untuk menghasilkan Alquran Braille dengan penggunaan read pen. Ia bukanlah Alquran Braille penuh. Sebaliknya pen khas akan digunakan beserta dengan tanda-tanda Braille tertentu. Tanda-tanda Braille berkenaan bukanlah tanda yang asing, tetapi merupakan tanda yang sangat biasa digunakan seperti nombor. Dengan meletakkan hujung pen ke atas tanda Braille tertentu maka pen tersebut akan membunyikan (mengalunkan) ayat Alquran yang tertentu pula. Sebagai contoh, jika kita meletakkan hujung pen berkenaan pada nombor 30 surah Abasa, maka pen berkenaan akan membunyikan (membaca) ayat 30 dari surah Abasa.


Bagi saya, keistimewaan projek ini ialah terdapat pilihan alunan bacaan beberapa qari yang boleh dipilih sendiri oleh penggunanya. Selain itu ia turut dibekalkan dengan opsyen terjemahan dalam bahasa Melayu. Setakat ini, Alquran Braille besertaread pen kelolaan Al-Tasneem telah berjaya menghasilkan juzuk 30 sebagai projek rintis. Setakat yang saya maklum, hanya 3 orang cacat penglihatan di negara kita yang ada menyimpan Alquran Braille juzuk 30 beserta read pen keluaran Al-Tasneem.


Saya pernah memberitahu kepada salah seorang “orang besar” dalam Al-Tasneem, sekiranya anda melakukan semuanya ini untuk memperoleh keuntungan, anda mungkin akan kecewa. Sebaliknya, jika anda melakukannya sebagai usaha dakwah serta khidmat dan tanggungjawab sosial anda kepada golongan seperti saya, insha-Alah anda akan beroleh kepuasan daripadanya.


Kini setelah melihat kejayaan projek rintis berkenaan, Al-Tasneem ingin pergi lebih jauh lagi secara bersendirian. Justeru, Al-Tasneem telah mula mengorak langkah dengan menyediakan prasarana asas untuk ke arah itu. Di samping itu, Al-Tasneem juga mula melatih kakitangannya yang amat berkemahiran dalam bidang ICT untuk mempelajari selok-belok tulisan dan penerbitan Braille. Sudah tentulah, selaku anggota masyarakat cacat penglihatan, saya amat mengalu-alukan hasrat murni Al-Tasneem.


Bagi saya, kita harus memberi sokongan padu ke atas usaha-usaha yang sedang dilakukan oleh Al-Tasneem. Kalau pun kita tidak dapat memberi sumbangan wang ringgit,setidak-tidaknya kita dapat memberikan sokongan dalam bentuk doa dan buah fikiran. Adalah diharapkan semoga tiada mana-mana pihak yang akan mengambil kesempatan di atas usaha murni yang sedang dilaksanakan oleh Al-Tasneem.