Sunday, April 26, 2015

Siri Jelajah Tun Mahathir




Pada 25 April (Sabtu), saya berkesempatan menghadiri siri ceramah yang disampaikan oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ceramah berlangsung di K Club, Taman Melawati, Selangor. Siri ceramah berkenaan diberi nama “Tun Dr. Mahathir: Bicara Negarawan Ulung”.

(suasana sebelum ketibaan Tun Mahathir)


Tun Mahathir mula berceramah sekitar jam 10 pagi. Saya sendiri telah tiba ke lokasi ceramah sekitar jam 9.25 pagi. Sewaktu saya sampai, kenderaan sudah banyak. Saya sendiri terpaksa meletakkan kenderaan agak jauh dari premis tempat berlangsungnya ceramah berkenaan.

Tujuan utama saya hadir ialah untuk mendengar sendiri secara lebih dekat isi ceramah yang disampaikan oleh insan yang digelar “negarawan ulung” ini. Kalau sekadar untuk mendengar ceramah beliau, ia berlambak di lelaman Youtube, tetapi untuk merasai sendiri suasana tatkala ceramah disampaikan, maka di sinilah antara tempatnya.

Berdasarkan pendengaran saya serta saksi mata, memang orang ramai menghadiri ceramah beliau kali ini. Walaupun ceramah beliau tidak diwar-warkan di media arus perdana, ia tetap mendapat sambutan hangat. Khabarnya ada juga sepanduk yang memberitahu kononnya ceramah beliau akan berlangsung pada 26 April, tetapi ia tidak menggugat kehadiran orang ramai.



Berdasarkan ulasan daripada orang ramai yang tertangkap oleh telinga saya yang berhampiran tempat saya duduk, rata-rata mereka merupakan pendokong setia Tun Mahathir. Ada yang menyanjung kehebatan buah fikiran beliau. Ada yang masih merasai beeliau (Tun Mahathir) masih perdana menteri Malaysia. Ada yang mangkagumi keupayaan Tun Mahathir untuk bersuara walaupun dalam usia hampir 90 tahun.

Berdasarkan pendengaran saya juga, orang ramai yang hadir datangnya daripada pelbagai tempat. Mereka bukan sahaja datang dari kawasan sekitar seperti saya, tetapi ada juga yang datang dari negeri-negeri lain. Jadi, bolehlah saya membuat rumusan awal, kehebatan Tun Mahathir masih belum tergugat.



Ruang utama hanya boleh dimasuki oleh mereka yang ada kad sahaja. Bagi hadirin yang tidak mempunyai apa-apa kad seperti saya, kami terpaksa menonton/mendengar ceramah Tun Mahathir di ruang luar sahaja. Ruang ini pula agak panas. Hadirin hanya boleh menonton melalui skrin yang disediakan. Orang seperti saya pula hanya mendengar menerusi pembesar suara yang disediakan. Mungkin kerana keinginan yang tinggi untuk mendengar isi ceramah Tun Mahathir, maka situasi yang agak panas tidak menjadi halangan. Apa yang penting mereka dapat mengikuti apa yang disampaikan oleh Tun Mahathir dengan jelas.

Malangnya ia tidak berlaku seperti yang diharapkan. Para hadirin yang mengikuti ceramah Tun Mahathir dari ruang yang tidak eksklusif tidak dapat mengikuti ceramahnya dengan baik. Segala-galanya berpunca daripada sistem pembesar suaranya yang buruk dan amat perlahan suaranya. Walaupun hal demikian telah dimaklumkan kepada pihak yang berkaitan, ia tidak mendapat kerjasama yang sewajarnya. Hal ini saya sandarkan kepada rungutan salah seorang daripada hadirin yang duduk di hadapan saya. Sekali-sekala saya mendengar gelakan dan tepukan dari ruang utama tapi tidak tahu apa yang mereka tepuk dan gelakkan.

Setelah sekitar 40 minit ceramah berlangsung dan sistem pembesar suaranya tidak juga dibaiki, orang ramai yang mengikuti ceramah di ruang yang tidak eksklusif mula meninggalkan lokasi ceramah. Saya dan isteri juga berbuat demikian. Saya turut mendengar sebilangan hadirin meluahkan kekecewaan masing-masing terhadap pihak penganjur dan juga sistem pembesar suaranya yang buruk.

(Orang ramai mula tinggalkan dewan kerana sistem audio yang buruk)


Kalau saya tidak silap, ini merupakan siri pertama daripada siri jelajah yang akan dilakukan oleh Tun Mahathir. Nampaknya siri pertama ini sudah mempamirkan penganjuran yang tidak sempurna. Hadirin yang datang merungut. Orang ramai meninggalkan majlis sebelum ceramah berakhir. Yang syok sendiri ialah mereka yang berada dalam ruang yang selesa dan lebih eksklusif sahaja.

Saya tidak berhasrat untuk mengupas isi ceramah Tun Mahathir kelmarin. Lagipun saya masih belum mendengarnya semula.


Monday, April 13, 2015

SMS Daripada Saudara Yusiran




Pada 12 April 2015 (Ahad), saya ada menerima SMS daripada Saudara Yusiran Ahmad. Berdasarkan kandungan sms-nya, saya yakin saya bukan penerima tunggal SMS berkenaan. Mungkin ramai lagi rakan lain yang turut sama menerima SMS berkenaan. Berdasarkan kandungan sms-nya juga, saya rasa Saudara Yusiran sememangnya sedang berada dalam kesempitan hidup tahap jingga.



Oleh itu, selaku sahabat dan rakan beliau, marilah kita sama-sama membantu beliau setakat yang kita mampu. Kisah beliau sudah beberapa kali saya muatkan menerusi blog ini. Selain daripada pihak individu, saya rasa badan bukan kerajaan khususnya yang berorientasikan golongan cacat penglihatan juga harus membantu beliau. Kalau sebuah badan bukan kerajaan menghulurkan RM30.00 setiap bulan, bila 10 badan yang serupa menghulurkan jumlah yang sama, saya rasa sudah tentulah ia dapat mengurangkan kesempitan yang sedang dihadapinya bbagi meneruskan hidupnya. Pada hari ini jumlah badan bukan kerajaan yang berteraskan golongan cacat penglihatan ada berbelas banyaknya. Adalah amat mengecewakan jika sebuah pun enggan tampil untuk membantu beliau.

Selain menghulurkan bantuan berbentuk kewangan, badan-badan berkenaan juga boleh memikirkan kaedah lain untuk membantu beliau bagi jangka panjang. Kalau hal yang besar-besar boleh diberi perhatian, saya rasa hal yang sekecil ini seharusnya diberikan perhatian juga. Marilah kita selaku rakan senasib beliau yang tampil dahulu untuk membantu beliau sama ada secara individu apatah lagi menerusi badan-badan bukan kerajaan yang kita sebagai ahlinya atau sebagai pemimpinnya.

Di bawah ini, saya sisipkan kandungan penuh SMS daripada Saudara Yusiran bin Ahmad untuk tatapan kita semua.

TEL:+60193944047
Date:12.04.2015 14:37:48
Salam sejahtra tuan tuan dan puan puan yang saya muliakan!adalah saya Yuseran Ahmad ingin merayu kepada tuan tuan dan puan puan agar dapat menghulurkan sedikit bantuan berupa sumbangan iklas ini disebabkan EPC daripada jkm telah pun dipotong dalam masa 4 bulan sampai kini saya telah keputusan wuang untuk berbelanja!sumbangan tuan tuan dan puan puan amat saya hargai!dari itu saya uchapkan terima kaseh diatas sumbangan anda semua!semoga tuhan memberkati anda semua dari saya Yuseran Ahmad. berikut inilah nombor akaun saya! Akaun bsn 14119-00001361-4.


Jika ada sesiapa yang ingin menghubungi beliau, bolehlah gunakan nombor telefon seperti di atas, tetapi ia merupakan telefon rakan serumahnya. Jika ada sesiapa yang telah sudi membantu beliau dengan cara memasukkan wang ke dalam akaun seperti yang tertera nombornya, harap dapat memaklumkannya kepada beliau. Maklumlah sebelah kaki beliau sudah tiada buat selama-lamanya. Jadi amat sukar bagi beliau bergerak untuk menyemak baki terakhir akaunnya.

Harap coretan ini akan dapat perhatian daripada semua pihak yang prihatin.

Terima kasih.

Wednesday, April 8, 2015

PERTIS - FPQS USIM




Secara tidak rasminya, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) sudah pun menjalin hubungan dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), khususnya dengan Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS) sejak tahun 2008 lagi. Kebetulan pula , tahun 2008 merupakan tahun pertama di mana fakulti berkenaan memperkenalkan kursus yang berkaitan dengan tulisan Braille, terutamanya Quran Braille dan Jawi Braille. Uniknya kursus berkenaan ditawarkan kepada pelajar yang berpenglihatan.

(Antara pelajar USIM yang mengikuti kelas berkaitan Braille tahun 2009)


Untuk maklumat bersama, tiada kursus khusus dengan OKU penglihatan yang diajar di fakulti berkenaan. Ini bermakna, tiada subjek berkaitan O&M, pedagogi atau yang seumpamanya yang mengkhusus dengan golongan cacat penglihatan yang diajar di fakulti berkenaan. Kursus yang diketengahkan benar-benar mengkhusus kepada sistem tulisan Quran dan Jawi Braille semata-mata.



Selain itu, sejak tahun 2008, boleh dikatakan hampir setiap tahun para pelajar yang terlibat di FPQS, USIM akan datang ke ibu pejabat PERTIS untuk tujuan tertentu. Antaranya untuk melaksanakan sebahagian daripada kerja kursus, untuk mendalami lebih lanjut tentang tulisan Quran Braille, untuk mempelajari penggunaan perisian Duxbury Braille Translator (DBT), atau setidak-tidaknya mengadakan lawatan muhibah sambil mendalami lagi info mengenai golongan OKU.

Di samping kunjungan muhibah daripada para pelajarnya, para pensyarahnya juga turut sama mengadakan kunjungan ke ibu pejabat PERTIS dan juga di pejabat wilayah terutamanya PERTIS Terengganu. Di samping mengeratkan hubungan peringkat institusi, kunjungan sedemikian amat besar faedahnya ke arah mewujudkan saling memahami antara kedua-dua pihak iaitu di peringkat AJK PERTIS dengan kakitangan peringkat fakulti. Justeru, boleh dikatakan hubungan antara kedua-dua pihak sentiasa berada pada tahap terbaik sepanjang masa.

Selain itu, FPQS juga sering menganjurkan majlis ilmu seperti forum atau seminar. Tujuannya untuk mendekatkan antara para pelajar dengan masyarakat OKU khususnya mereka yang cacat penglihatan. Setahu saya, majlis ilmu sedemikian dianjurkan oleh para pelajar sendiri. Manakala kakitangan akademiknya bertindak selaku pemantau dan penasihat. Tujuannya ialah untuk memberi pendedahan dan pengalaman yang secukupnya kepada para pelajar dalam menganjurkan majlis-majlis yang bersifat rasmi dan yang melibatkan orang luar. Dalam majlis-majlis sedemikian, biasanya mereka akan mengundang PERTIS sama ada sebagai ahli panel, pembentang kertas kerja atau setidak-tidaknya sebagai tetamu khas. Setelah melalui pengalaman sedemikian beberapa tahun, saya merasakan ia telah menghasilkan manfaat yang amat besar. Para pelajar dapat didedahkan dengan masyarakat OKU penglihatan dengan lebih dekat lagi. Bagi mereka, kesempatan sedemikian bukannya mudah untuk diperolehi.



Bagi saya, kemuncak hubungan antara kedua-dua pihak ialah bilamana termetrainya memorandum persefahaman (MOU) pada 12 Mac 2012 di USIM. Memorandum ditandatangani sendiri oleh Prof. Datuk Muhammad Muda yang merupakan Naib Canselor USIM ketika itu bagi pihak USIM dan saya sendiri menandatangani bagi pihak PERTIS. Penandatanganan memorandum berkenaan amat penting terutamanya bagi PERTIS sendiri kerana ia telah mewujudkan kerjasama secara lebih rasmi dengan USIM. Penandatanganan MOU berkenaan juga merupakan pengiktirafan yang tinggi terhadap PERTIS oleh USIM. Ia juga merupakan kejayaan PERTIS dalam usahanya untuk “memasyarakatkan PERTIS”. Maklumlah pada ketika itu dan di saat ini pun PERTIS merupakan sebuah organisasi yang masih lagi di tahap “sedang bertatih”. Maka itu, jalinan hubungan dengan institusi seperti USIM amat penting dan seharusnya sentiasa berada di tahap terbaik sepanjang masa.



Antara sumbangan besar FPQS USIM ialah bilamana berjaya menghasilkan Iqra’ dalam bentuk Braille. Ini membuktikan FPQS USIM telah berjaya menguasai kemahiran sistem tulisan Quran dan Jawi Braille dengan begitu baik sekali. Dengan persetujuan daripada pihak yang berkaitan di USIM, soft copy Iqra’ dalam bentuk Braille telah diserahkan kepada bahagian penerbitan PERTIS untuk dimanfaatkan oleh golongan sasar. Hasilnya, hari ini ramai golongan cacat penglihatan dapat belajar iqra’ dengan menggunakan buku Iqra’ Braille yang telah diusahakan oleh FPQS USIM. Di samping itu, tidak dapat dinafikan juga PERTIS turut meraih pendapatan yang bukan sedikit jumlahnya daripada buku berkenaan untuk kepentingan persatuan. Sedangkan pada masa yang sama, pihak yang telah mengusahakan buku berkenaan di USIM tidak meminta habuan atas apa yang telah mereka usahakan.

Kita selalu mengharapkan supaya panas biarlah sampai ke petang. Kita juga tidak pernah menyangka sebelum panas sempat sampai hingga ke petang, hujan sudah pun turun pada waktu tengah hari. Tatkala jalinan hubungan antara PERTIS dengan FPQS USIM berada pada tahap yang cukup harmoni, rupa-rupanya ada individu tertentu yang telah berkelakuan tidak baik sehingga berupaya mencacatkan hubungan PERTIS – FPQS USIM yang sedia ada. Kelakuan, kata-kata dan ulasannya dalam media sosial amat tidak cocok dengan kecacatan dan perwatakannya. Kehadiran individu yang bersifat lain kulit dan lain isi ini dalam satu majlis di USIM baru-baru ini rupa-rupanya telah mencalarkan hubungan baik antara PERTIS dan USIM. Situasi ini digawatkan lagi bilamana ada individu (pihak ketiga) lain yang tidak tahu hujung pangkal isu sebenar turut melontarkan komen yang tidak sepadan dengan penampilannya selaku kononnya orang yang berilmu dan berpengetahuan. Saya penuh yakin, mazhab mana sekalipun, termasuklah para imam dalam dalangan ahlul bait tidak mengajar pengikutnya supaya mencaci, memaki atau menghamburkan kata-kata carut terhadap orang lain, terutamanya terhadap saudara-saudara yang seagama dengannya.

Bagi saya, adalah tidak kena bila individu berkenaan cuba membandingkan antara USIM dengan sebuah lagi IPTA lain. Seperti yang saya katakan, di FPQS USIM, kursus yang berkaitan dengan pendidikan khas masih belum lagi diperkenalkan. Apa yang ada ialah kursus berkaitan sistem tulisan Quran dan Jawi Braille sahaja. Sedangkan IPTA yang menjadi bandingannya sememangnya mengkhusus dalam pendidikan khas. Jadi sudah tentulah para pelajar IPTA berkenaan sudah pun didedahkan dengan pelbagai aspek dalam bidang pendidikan khas. Sesungguhnya keikhlasan dan kesudian kakitangan dan para pelajar FPQS USIM untuk menjalinkan hubungan dengan kita merupakan suatu rahmat yang tiada ternilai harganya.

Saya amat bersetuju dengan pendapat dan kenyataan pimpinan tertinggi PERTIS bahawa kelakuan dan kenyataan tidak berhemah daripada individu berkenaan bukan mewakili pendirian PERTIS. Pada masa yang sama, kita juga harus ingat iaitu individu berkaitan berada dalam majlis berkenaan atas kapasitinya salah seorang daripada wakil PERTIS. Oleh itu, bilamana beliau berkelakuan kurang wajar, sedikit sebanyak tempiasnya turut terpercik kepada PERTIS juga. Lain kali bila hendak memilih mana-mana individu untuk mewakili PERTIS ke mana-mana majlis rasmi, periksalah dahulu isi dan kulitnya.

Sepanjang penglibatan saya dalam konteks hubungan antara PERTIS dan USIM, tidak pernah sekali pun saya terasa hati atau berkecil hati atau terasa diperlekehkan atau terasa didiskriminasikan atau yang seumpamanya oleh mana-mana pihak di FPQS USIM. Daripada kakitangan biasa di pejabat hinggalah ke dekannya, termasuklah para pelajarnya, kehadiran saya ke fakulti berkenaan sentiasa mendapat layanan yang cukup baik dan mesra. Bahkan saya sering merasa malu kerana sering diberikan layanan yang sedemikian rupa.

Justeru, saya penuh yakin, apa yang terjadi baru-baru ini bukanlah kerana pihak yang berkenaan di FPQS USIM tidak tahu memberi layanan kepada tetamunya yang OKU. Sebaliknya ia berpunca daripada sikap individu berkenaan yang kurang berhemah, sensitif tak tentu hala, merasa dirinya hebat tak tentu fasal serta tidak memahami matlamat dan tujuan sebenar beliau berada di majlis berkenaan.

Selaku OKU, kita jangan sekali-kali sensitif tak tentu hala, nanti semua orang tidak mahu berkawan dengan kita. Apabila kita berada di tengah masyarakat, jangan sekali-kali mengharapkan layanan yang istimewa, yang sepatutnya kita terima ialah layanan yang sama rata. Selaku OKU juga, jangan sekali-kali kita merasa cukup hebat kerana orang yang berpenglihatan itu jauh lebih hebat daripada kita. Jika kita ada sedikit kelebihan, itu bukan tanda kita hebat, sebaliknya ia merupakan tanda keadilan Tuhan ke atas makluk-Nya. Ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

Kepada para pelajar FPQS USIM yang terlibat dengan forum baru-baru ini, ingatlah bidalan orang tua-tua, walaupun rambut sama hitam tetapi hati tak sama putih. Walaupun kami sama cacat penglihatan, tetapi corak dan cara berfikir tetap berbeza. Saya amat berharap, apa yang telah berlaku tempoh hari tidak akan mencacatkan persepsi anda terhadap golongan OKU penglihatan.

Di samping itu, lebih jauh lagi saya juga amat berharap semoga hubungan baik dan intim antara PERTIS dengan USIM khususnya dengan FPQS tidak akan terjejas dengan kelakuan dan tindakan tidak berhemah daripada individu berkenaan. Saya amat berharap “kerana nila setitik habis susu sebelanga” tidak akan berlaku dalam konteks hubungan antara PERTIS dan FPQS USIM.

Pihak pimpinan tertinggi PERTIS juga harus mengambil langkah-langkah tertentu agar perkara yang serupa tidak berlaku pada masa hadapan. Ia bukan sahaja dalam konteks hubungan dengan FPQS USIM bahkan seharusnya mencakupi semua pihak dalam hubungan luar PERTIS. Mana-mana individu yang sering bersifat tidak berhemah dan berpotensi untuk mencalarkan nama baik PERTIS tidak seharusnya mewakili persatuan dalam mana-mana majlis rasmi yang melibatkan organisasi atau institusi lain.

Sejarah memberitahu kita, iaitu sesiapa yang merasa dirinya lebih baik atau lebih hebat daripada orang lain, dia berpotensi besar untuk sesat sepanjang hayat.


Wednesday, April 1, 2015

GST



Hari ini (1 April 2015) merupakan hari yang paling bersejarah dalam sejarah negara kita. Hari ini merupakan hari pertama di mana sistem cukai perkhidmatan dan barangan (GST) mula dilaksanakan. Seluruh rakyat akan terlibat tiada mengira siapa.

Saya tidaklah berhasrat untuk membicarakan perkara ini secara serius. Rasanya lebih elok kita membicarakannya secara santai sahaja. Biar gaya dan cara mana pun kita membicarakan hal ini, ia tetap dilaksanakan dan kita semua harus akur dengan pelaksanaannya.

Sebelum ini pelbagai pihak telah mengutarakan pelbagai pandangan mengenai pelaksanaan GST ini. Ada yang begini dan ada juga yang begitu. Ada pro dan ada juga yang kontras. Antara tokoh ternama yang turut sama melontarkan pandangannya ialah seorang mantan perdana menteri dan juga seorang mantan menteri kewangan. Oleh kerana kedua-duanya sekadar mantan, maka pandangan kedua-duanya pun berstatus mantan jugalah.

Biar apa pun, seperkara yang tidak dapat dinafikan, kesan langsung dan golongan paling awal yang akan merasai kesan daripada pelaksanaan GST ini akan dirasai oleh golongan berpendapatan rendah. Walhal mereka merupakan antara penyokong tegar pihak yang begitu bersungguh-sungguh untuk melaksanakan sistem GST ini. Kasihan mereka!

Sebenarnya beberapa hari sebelum hari pertama pelaksanaan GST ini, harga makanan telah pun naik. Khabarnya juga harga beberapa barangan lain juga sudah pun dinaikkan. Sebagai contoh, saya biasa beli/makan burgar di sebuah kedai. Sebelum ini harga 1 burgar daging ialah RM2.80. Walau bagaimanapun, beberapa hari sebelum 1 April, harganya sudah pun naik kepada RM3.00 sebiji. Bila saya tanya mengapa harga burgar sudah naik, penjualnya tidak menjawab, sekadar tersenyum untuk memperlihatkan giginya sahaja.

Hakikatnya harga barangan di negara kita bukan dikawal oleh pihak yang berkuasa. Apa yang sering berlaku ialah kuasa pasaran lebih unggul dalam menentukan harga sesuatu barangan daripada kuasa pihak yang berkuasa. Maka itulah, kenaikan harga barangan yang sering berlaku gagal ditangani oleh pihak yang berkuasa. Ini terbukti bilamana penurunan sementara harga minyak pada bulan Januari dan Februari baru-baru ini tidak langsung memberi kesan kepada penurunan harga barangan. Dengan pelaksanaan GST ini sudah tentulah semakin sukar untuk pihak yang berkuasa untuk menstabilkan harga pelbagai barangan. Bila harga sesuatu barangan atau perkhidmatan sudah naik, maka amat sukar untuk harganya turun lagi.

Langkah untuk menaikkan gaji dan upah sektor awam dan swasta juga tidak akan memberi kesan yang baik untuk jangka panjang. Apabila gaji dan upah naik, ia akan mendorong untuk kenaikan harga barangan dengan lebih drastik lagi. Pada masa yang sama, pihak yang berkuasa juga tidak berkuasa untuk meletakkan harga semua barangan dan perkhidmatan di bawah skim kawalan harga. Ia memang mustahil untuk dilakukan. Akhirnya golongan yang paling awal yang akan menerima kesan ialah mereka yang berpendapatan rendah dan juga mereka yang berpendapatan tidak tetap. Apa nak buat, nasib badanlah!

Pelaksanaan GST mulai hari ini juga turut menyerlahkan kreativiti masyarakat kita. Pelbagai makna akronim berbeza terhasil daripada 3 huruf berkenaan – GST. Ada yang begini dan ada yang begitu. Mungkin ini salah satu untuk mengurangkan stress kerana usaha untuk menghalang pelaksanaan GST gagal.

Ada juga yang meminta supaya kita mulakan hari ini dengan niat persis macam niat awal bulan Ramadhan pula. Semuanya gara-gara pelaksanaan GST.

Selain itu, ada juga yang menyebarkan di media sosial beberapa hadith tentang kenaikan harga barangan yang kononnya pernah berlaku di zaman Rasulullah S.A.W. Terus terang saya akui sebelum ini saya tidak pernah diperdengarkan dengan hadith-hadith sedemikian. Benar tidaknya, wallahu aalam. Mengenai hal ini saya tidak mahu mengulas lanjut. Para pakar hadith boleh memberi pandangan mereka.

Orang ramai akan mulai merasai kesan pelaksanaan GST ini setelah pelaksanaannya berjalan untuk tempoh tertentu. Mungkinkah ia berbentuk tepukan gemuruh atau mungkin bernada keluhan panjang. Sama-samalah kita nantikan!