Sunday, December 27, 2015

Kerjasama PAS – UMNO



Sejak kebelakangan ini, isu kerjasama antara PAS –UMNO sememangnya mnjadi bualan tanpa henti khususnya dalam kalangan ahli akar umbi kedua-dua parti siasah tersebut. Isu ini juga turut mendapat perhatian istimewa daripada kalangan pemerhati dan penganilisis politik. Namun demikian, isu kerjasama antara kedua-dua parti siasah berkenan seringkali dilihat dari sudut dan persepsi yang berbeza antara ahli PAS dan juga UMNO. Bahkan dalam kalangan ahli PAS sendiri, isu kerjasama ini juga sudah dilihat dari dua motif yang berbeza.

Dari sudut sejarah, hubungan atau kerjasama antara PAS dan UMNO bukanlah satu perkara baru. PAS itu sendiri lahir daripada UMNO. PAS muncul sebagai sebuah entiti politik tersendiri apabila sebilangan ahli dalam UMNO ketika itu mempunyai pendekatan yang berbeza dalam mencorakkan hala tuju bangsa Melayu era pramerdeka. Satu pihak ingin agar orang Melayu mengikut landasan sekular dengan meletakkan perpaduan bangsa sebagai teras terpentingnya. Manakala satu pihak lagi ingin meletakkan Islam sebagai teras terpenting dalam mencorakkan hala tuju bangsa Melayu.

Ekoran daripada perbezaan ini, maka pada tahun 1951 golongan yang ingin mendaulatkan Islam menerusi landasan siasah telah menubuhkan sebuah parti baru yang dikenali sebagai Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS). Manakala UMNO kekal dengan identitinya dan terus mendapat kepercayaan daripada British untuk menerajui Persekutuan Tanah Melayu era pasca merdeka.

Sekitar tahun 1972, dengan karisme dan kewibawaan yang ada pada Tun Abdul Razak, PAS berjaya dibawa masuk dan bergabung ke dalam parti Perikatan yang kemudiannya dikenali sebagai Barisan Nasional (BN). Dari satu segi, penyertaan PAS ke dalam BN mempunyai signifikan yang tersendiri. Perpaduan orang Melayu kelihatan kian utuh. Kebetulan pula penyertaan PAS berlaku beberapa tahun selepas tragedi 13 Mei. Ia sudah tentu menjadi faktor pemangkin kepada keperluan untuk orang Melayu lebih bersatu padu khususnya dalam politik. Keputusan pilihanraya umum pada tahun 1974 telah membuahkan hasil yang positif terhadap penyatuan dan kesatuan orang Melayu.

Walau bagaimanapun, ungkapan langit tidak selalunya cerah turut menyelubungi dunia politik orang Melayu. Sekitar setahun selepas Tun Abdul Razak meninggal dunia, politik orang Melayu mula berkocak dan berombak semula. Hubungan PAS – UMNO ketika itu yang sering menuju belah selepas retak akhirnya tidak dapat diselamatkan lagi. Keadaan diburukkan lagi apabila karisme dan kredibiliti untuk membawa perpaduan bagi orang Melayu yang sedia ada pada Tun Abdul Razak tidak dimiliki oleh pemimpin Melayu yang lain. Kesudahannya, pada sekitar tahun 1977, PAS telah ditendang daripada BN.

Peristiwa pemecatan PAS daripada BN mempunyai implikasi yang cukup serius. Sudahlah ditendang daripada BN bagai tong sampah buruk nan tidak berguna, dalam pilihanraya negeri pada tahun 1978, PAS kehilangan negeri Kelantan pula daripada genggaman kekuasaannya. Inilah yang dikatakan orang, bukan tunduk sebarang tunduk, tunduk bertujuan untuk menanduk. PAS ditanduk oleh seterunya hingga tersungkur menyembam bumi. PAS terpaksa mengambil masa 12 tahun lamanya untuk mengambil kembali Kelantan daripada UMNO/BN melalui pilihanraya umum pada tahun 1990. Kini, jika PAS tersalah langkah dan silap membuat percaturan, maka tidak hairanlah untuk kali yang ke seterusnya PAS akan kehilangan Kelantan sekali lagi.

Sesungguhnya, bagi sesetengah pemimpin PAS, peristiwa pemecatan PAS daripada BN telah meninggalkan kesan yang cukup mendalam. Justeru, ada dalam kalangan pemimpin sedemikian yang berpegang teguh iaitu tidak harus PAS mengadakan penggabungan dengan UMNO dengan apa cara sekali pun. Bahkan ada dalam kalangan mereka yang berpegang iaitu penggabungan PAS dan UMNO hanya boleh berlaku sekiranya UMNO yang terlebih dahulu menukar dasarnya supaya selari dengan apa yang sedang diperjuangkan oleh PAS. Maka itu, bagi pemimpin seperti ini, mana-mana pemimpin PAS yang cuba membawa PAS untuk bersatu atau bergabung semula dengan UMNO dianggap mengkhianati parti dan perjuangan PAS.

Hari ini, sekali lagi isu kerjasama PAS – UMNO menjadi bahan bualan hangat khususnya dalam kalangan ahli akar umbi kedua-dua parti siasah berkenaan. Bagi sesetengah orang UMNO, pada ketika ini kerjasama PAS – UMNO kian penting khasnya bagi menangani pelbagai isu dalaman yang sedang dihadapi parti berkenaan. Selain itu, kerjasama berkenaan juga diharap akan dapat mengimbangi kemerosotan sokongan orang Melayu yang dikatakan kian berkurangan terhadap UMNO. Ada juga yang berpandangan kerjasama ini penting bagi membolehkan UMNO/BN memperolehi jumlah dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat yang akan memberi laluan lebih mudah untuk kerajaan yang sedia ada meminda Perlembagaan Persekutuan bila dirasakan perlu. Kerjasama PAS –UMNO juga dirasakan penting bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 nanti. Ia merupakan antara strategi bagi mengekang kemerosotan berterusan jumlah kerusi yang dimenangi UMNO/BN dalam dua pilihanraya umum sebelumnya.

Ada juga pihak yang berpandangan kerjasama PAS – UMNO juga penting bagi mengembalikan semula perpaduan orang Melayu. Ini bermakna mereka mengakui UMNO sudah tidak berupaya lagi untuk menyatukan bangsa Melayu tanpa sokongan daripada kumpulan siasah Melayu yang lain. Dalam hal ini, UMNO perlu ingat PAS bukannya satu-satunya parti siasah yang berterasna sokongan orang Melayu selain UMNO. Pada hari ini, sekurang-kurangnya ada dua lagi parti siasah yang berteraskan orang melayu iaitu PKR dan PAN. Jika perpaduan Melayu merupakan asas agenda UMNO kini, maka penglibatan kedua-dua kumpulan tersebut juga tidak boleh dipandang sepi dan diketepikan begitu sahaja.

Dalam kalangan ahli akar umbi PAS pula, isu kerjasama antara PAS – UMNO lebih mendapat perhatian. Ia dikatakan antara elemen penting yang bakal menentukan hidup mati parti siasah berkenaan dalam masa terdekat. Bagi sesetengah ahli PAS, peristiwa pemecatan parti berkenaan daripada BN pada hujung dekad 70-an lalu tetap segar dalam ingatan. Bagi golongan ini, peristiwa tersebut sepatutnya dijadikan sempadan yang cukup berkesan bagi menentukan corak hubungan antara PAS – UMNO selanjutnya. PAS tidak sepatutnya membenarkan organisasinya dipatuk dua kali oleh ular yang sama. Jika hal sedemikian berlaku, maka PAS akan mati buat selama-lamanya. Perjuangan tokoh-tokoh ternama sebelumnya dalam PAS seperti (Allahyarham) Datuk Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nikmat dan (Allahyarham) Datuk Seri Dr. Burhanuddin Al-Helmi akan hanya tinggal sejarah semata-mata.

Ada juga dalam kalangan pendokong PAS yang berpendapat, UMNO hanya ingat pada sokongan PAS bila parti sekular itu dalam keadaan tersepit dan terdesak sahaja. Bila ia pulih semula, maka PAS akan ditendang semula bagai tong sampah buruk yang tidak berguna sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini. Maka itu, ada dalam kalangan ahli PAS yang berpandangan, hubungan antara PAS – UMNO boleh terjalin jika parti yang berteraskan Melayu itu menukar dasar siasahnya daripada bersifat bangsa dan sekular kepada berteraskan agama Islam.

Realitinya hari ini, hubungan dan kerjasama antara PAS – UMNO baru di peringkat cakap-cakap dan bunga-bunga sahaja. Belum ada lagi kenyataan rasmi yang membenarkan hubungan dan kerjasama sedemikian yang dikeluarkan terutamanya oleh pimpinan PAS. Namun demikian, walaupun isu ini masih lagi di peringkat cakap-cakap dan bunga-bunga, ia sudah pun memberi kesan buruk yang besar kepada PAS. Belum pun berlaku kerjasama secara rasmi, PAS sudah pun berpecah. Golongan ulamak dan kumpulan profesional yang sebelum ini bertaut cukup erat, kini sudah membelah haluan masing-masing. Dengan ini, usaha untuk melemahkan PAS dari luar nampaknya semakin membuahkan hasil. Oleh yang demikian, PAS berkemungkinan akan terpecah seluruhnya bilamana berlakunya pemetraian secara rasmi kerjasama antara parti berkenaan dengan UMNO.

Jika berdasarkan media yang ada hubungan dengan PAS serta kenyataan beberapa orang pemimpinnya, kerjasama antara PAS – UMNO seolah-olahnya tidak akan berlaku. Namun demikian, ada sumber lain yang seolah-olahnya menyatakan bahawa kerjasama antara kedua-dua parti siasah orang Melayu dan Islam itu sedang berlaku dalam senyap. Hal sebeginilah yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan ahli akar umbi PAS. Ada kalanya mereka keliru dengan lagak dan gelagat pemimpin tertingginya. Jika ikut cakap, seolahnya tiada sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO, tetapi ada tindak-tanduknya yang membayangkan seolah-olahnya ada sandiwara yang sedang berlaku dalam senyap. Persoalan dan kekeliruan seperti inilah yang merupakan virus perpecahan secara senyap yang sedang melanda PAS. Pada pengamatan sesetengah pihak, sebahagian besar ahli PAS masih tidak bersedia untuk melihat parti siasah dokongan mereka mengadakan hubungan dengan UMNO secara rasmi. Jika berlaku juga kerjasama dalam apa bentuk sekali pun, maka sudah pasti PAS akan berpecah-belah yang sukar untuk dipulihkan.

Ada yang berpandangan, adalah lebih wajar bagi mana-mana pemimpin PAS yang ingin bergabung dengan UMNO bertindak meninggalkan PAS dan sertai terus UMNO secara individu. Tidak perlu mengheret PAS secara organisasi untuk turut sama bergabung sama ada dalam BN atau menyertai UMNO. Ini kerana pihak yang berkenaan percaya majoriti ahli PAS masih belum bersedia untuk mengadakan kerjasama secara rasmi dengan parti berkenaan.

Sekiranya PAS lemah atau hancur, rasanya ia juga tidak memberi sebarang keuntungan dan manfaat kepada UMNo. Jika apa-apa berlaku pada PAS, tidak semestinya ahli dan para pendokongnya akan berpaling dan menyokong UMNO. Sebaliknya mereka sudah pun ada parti alternatif lain untuk diberikan sokongan. Apa yang akan hancur ialah perpaduan orang Melayu itu sendiri. Para penyokong dan pendokong tegar PAS akan semakin jauh daripada UMNO. Ia juga bermakna usaha ke arah perpaduan orang Melayu akan menjadi semakin sukar dan berliku.

Sejarah menjelaskan bahawa peristiwa pemecatan PAS daripada BN pada akhir dekad 70-an lalu kini menjadi tembok penghalang kepada penyokong PAS tertentu untuk mempercayai semula UMNO. Peristiwa tersebut merupakan antara faktor utama sebilangan ahli PAS tidak lagi mempercayai UMNO. Maka itulah sebilangan mereka masih enggan melupai dan memaafkan UMNO di atas apa yang pernah berlaku.

Persoalan pokoknya, perpaduan bangsa Melayu sememangnya merupakan satu agenda yang cukup penting untuk ditangani segera. Sama ada kita sedar atau pun tidak, bangsa Melayu semakin kehilangan apa yang sebelum ini menjadi hak eksklusif bangsa dan negara kita. Sekiranya isu ini dibiarkan berlarutan dan berpanjangan, saya bimbang keadaan akan sampai ke tahap nasi sudah menjadi bubur. Waktu itu sesal kemudian sudah tidak berguna lagi. Walau kita akan menangis dengan air mata darah sekalipun, yang sudah berlaku itu akan berlalu tanpa menoleh kepada kita lagi. Kita tidak sepatutnya menunggu sehingga landaan satu lagi musibah dahsyat ke atas bangsa Melayu baru kita hendak belajar memahami erti sebenar makna perpaduan. Sebelum ini pun pelbagai saranan dan cadangan sudah dilontarkan ke arah menaut dan mengukuhkan semula perpaduan bangsa. Namun demikian, selagi agenda politik masih menjadi teras kepada perpaduan yang ingin dicapai, maka selagi itulah pula perpaduan yang dinanti-nantikan tak mungkin akan kunjung tiba. Ia tidak ubah bagai menanti ayam jantan bertelur sahaja.

Saya bukannya pendokong mana-mana parti siasah. Saya sekadar melontarkan pandangan dan buah fikiran yang tidak sepertinya untuk dijadikan bahan renungan kita bersama.


Wednesday, December 23, 2015

Bertemu Rakan-rakan Lama (Catatan Lewat)




Pada 12 Disember (Sabtu) yang lalu, saya berkesempatan menghadiri satu majlis yang mempertemukan bekas-bekas penuntut St. John’s Institution (SJI), Kuala Lumpur yang pernah menuntut di sekolah berkenaan pada tahun 1985. Ketika itu kami semua berada di tingkatan 5 dan turut menduduki SPM pada hujung tahun berkenaan. Majlis berkenaan telah berlangsung di sebelah petang. Lokasi pertemuan pula ialah di sekitar tapak perhimpunan sekolah tersebut.





St. John’s Institution telah ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1904. Ia terletak di Jalan Bukit Nanas, di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Walaupun pada awalnya ia merupakan sebuah sekolah kendalian mubaligh kristian, tetapi tahun-tahun berikutnya sekolah tersebut telah dibuka kepada semua murid tanpa mengira latar belakang, agama, bangsa dan keturunan. Menurut catatan yang ada di bahagian hadapan sekolah, ramai bekas penuntut sekolah berkenaan kini merupakan orang ternama dan berjaya. Antara mereka termasuklah DYMM Sultan Selangor, DYMM Sultan Perak, Tan Sri AmRin Buang (Ketua Audit Negara), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (Gabenor Bank Negara), Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (perdana menteri sekarang) dan ramai lagi. Manakala dalam kalangan warga cacat penglihatan yang pernah menuntut di sekolah berkenaan termasuklah Datuk Dr. (Allahyarham) Ismail Salleh.



Saya sendiri pernah menuntut di sekolah berkenaan dari tahun 1981 (tingkatan 1) hingga tahun 1987 (tingkatan 6 atas). Tiada kelas khas di SJI. Saya serta rakan-rakan senasib yang berpeluang menuntut di SJI belajar satu kelas dengan rakan-rakan lain yang berpenglihatan. Kami diajar oleh guru-guru mata pelajaran yang sama. Bezanya ialah saya serta rakan-rakan senasib menggunakan braille sebagai medium menulis dan membaca. Memang sejak dari dahulu, kini dan mungkin untuk selama-lamanya, keperluan bahan bacaan Braille tidak pernah cukup dan lengkap. Namun demikian ia sama sekali tidak pernah menjadi penghalang kepada kami yang tidak berpenglihatan untuk sama-sama bersaing dengan rakan-rakan yang berpenglihatan. Kalau hendak disenaraikan nama guru yang pernah mengajar saya ketika di SJI memang panjang dan ramai. Kepada mereka, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan.




(Kami tetap mesra seperti dahulu juga)


Keunikan persekitaran pembelajaran di SJI ialah kesediaan rakan-rakan yang berpenglihatan untuk membantu kami yang tidak berpenglihatan pada bila-bila masa. Bantuan yang diberi termasuklah sebagai pembaca sukarela. Rakan-rakan yang berpenglihatan akan membacakan bahan-bahan bacaan yang tidak terdapat dalam tulisan Braille untuk manfaat kami yang tidak berpenglihatan. Selain itu, bila guru menulis di papan hitam, rakan yang duduk di sebelah akan membacakan kepada kami apa yang guru berkenaan tulis. Mereka yang sudi menghulurkan bantuan pula tidak mengira bangsa dan agama.

Pergaulan akrab antara murid yang tidak berpenglihatan dengan rakan-rakan sebaya yang berpenglihatan sejak dari bangku sekolah mempunyai kesan jangka panjang yang mungkin tidak terfikir oleh kita semua. Bagi mereka yang berpenglihatan yang pernah berpengalaman bergaul dengan rakan-rakan yang tidak berpenglihatan, setelah dewasa mereka lebih bersifat terbuka dan berfikiran lebih positif terhadap mereka yang tidak berpenglihatan. Lazimnya mereka lebih memahami dan menghargai kebolehan dan kemampuan ahli masyarakat lain yang tidak berpenglihatan.

Manakala bagi golongan tidak berpenglihatan yang berpengalaman bergaul dengan rakan-rakan sebaya yang berpenglihatan sejak di bangku sekolah, lazimnya mereka akan lebih berkemampuan untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat. Golongan yang berpengalaman sedemikian juga kebiasaannya lebih bersedia untuk bersaing secara terbuka dalam masyarakat dalam apa jua bidang yang sesuai.

Maka itulah, konsep sekolah percantuman (integrated program) iaitu yang membolehkan murid yang tidak berpenglihatan yang sesuai belajar satu kelas dengan rakan-rakan sebaya yang berpenglihatan harus diteruskan dan tidak sepatutnya dihentikan. Pandangan ini berdasarkan pengalaman peribadi yang pernah saya lalui sendiri. Ianya merupakan satu pengalaman yang cukup manis, berharga, berkesan dan tidak mungkin dilupakan dalam hidup buat selama-lamanya. Barang diingat, pengalaman saya belajar satu kelas dengan rakan-rakan sebaya yang berpenglihatan bukannya setahun setengah, tetapi menjangkau ke hampir 7 tahun lamanya.

Seperkara lagi yang perlu saya ketengahkan di sini ialah, antara pihak lain yang telah memberi sumbangan besar kepada murid-murid yang tidak berpenglihatan di SJI ketika itu ialah guru-guru resos dan juga kelab RRVS (Resource Room Voluntary Service). Kedua-duanya telah berperanan cukup penting bagi membolehkan murid-murid yang tidak berpenglihatan mampu untuk bersaing dengan rakan-rakan sebaya yang berpenglihatan. Antara guru-guru resos ketika itu termasuklah Cikgu Majmin Din, Mr. Cheng, Mr. Khoo Peng Kui, Cikgu Aniat dan lain-lain lagi.

Kini setelah 30 tahun berlalu, bila bertemu semula, kami tetap mesra seperti dahulu juga. Jika 30 tahun yang lalu kami sama-sama menduduki SPM, 30 tahun kemudiannya ramai antara kami yang sudah berjaya dalam hidup masing-masing.

Di sini saya tidak lupa untuk mengkalung ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada guru-guru yang turut sama hadir dalam perjumpaan tempoh hari. Antara guru yang sempat saya temui termasuklah Mr. Tee Kok Bin, guru yang pernah mengajar saya mata pelajaran akaun. Saya turut mengambil mata pelajaran akaun hingga ke peringkat SPM dan telah beroleh keputusan yang baik.








(bila bertemu pelbagai kisah silam diceritakan semula)


Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih khasnya kepada rakan-rakan yang pernah belajar satu kelas dengan saya dari tingkatan 1 hinggalah tingkatan 6 atas kerana kalianlah yang cukup banyak membantu saya dalam bidang pelajaran. Kalau tidak kerana pertolongan dan kebaikan kalian masa lalu, mungkin sukar untuk saya mengecapi apa yang saya ada hari ini.

Di samping itu, saya juga tidak lupa mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah berusaha keras untuk menjayakan perjumpaan tempoh hari. Antara mereka termasuklah Sharifuddin, Azaddin dan lain-lainnya.

Kalau ada sumur di ladang
Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur panjang
Kita akan berjumpa lagi.

Tuesday, December 15, 2015

pengharaman vape





Isu vape belum sejuk lagi. Ia tetap menjadi perbincangan pelbagai pihak khususnya di negara kita. Jika sekali fikir, sepatutnya vape tidak seharusnya menjadi isu besar. Sekiranya semua pihak sama-sama berasaskan kepada satu perkara asas, iaitu kesihatan, sudah tentulah isu vape amat mudah difahami dan diselesaikan dengan senang. Sekiranya Kita menanti sehingga keburukan vape menjadi virus baru hendak faham akan keburukannya, mungkin pada saat itu ia sudah terlambat. Sebab itulah orang tua-tua kita ada berpesan, sediakan payung sebelum hujan dan jangan selepas terhantuk baru tengadah.

Di peringkat kerajaan pun, tindakan masih belum sekata. Satu kementerian pernah menyarankan agar vape ini diharamkan. Manakala ada pula kementerian yang lain berpendapat sebaliknya. Akhirnya kabinet gagal membuat keputusan terbaik mengenai isu ini. Keadaan mungkin diburukkan lagi bilamana ada pengguna vape yang dikaitkan dengan orang besar-besar tertentu. Mereka ini pula tidak segan silu menonjolkan sahsiah diri mereka dengan vape.

Bagi saya, langkah negeri Johor di bawah naungan ke bawah Duli Tuanku Sultan Ibrahim Ibn Almarhum Sultan Iskandar yang mengharamkan vape di seluruh negeri berkenaan merupakan satu langkah berani dan terpuji. Biar apa pun ulasan dan komen orang lain terhadap langkah berkenaan, ketegasan Tuanku Sultan Johor yang tidak lagi menoleh ke belakang dalam pengharaman vape di negeri berkenaan amat disanjung tinggi. Shabas dan tahniah patik persembahkan ke bawah Duli Tuanku!!! Patik berkeyakinan tinggi, bila langkah yang betul dan benar diambil, bukan sahaja seluruh rakyat Johor akan bersama Tuanku, bahkan Tuanku akan turut ditolong oleh Allah Rabbul Alamin.

Justeru, negeri-negeri lain juga harus mengikut jejak langkah negeri Johor dalam pengharaman vape ini. Pelaksanaan perkara yang baik jangan ditangguh lagi. Sekiranya kebanyakan negeri sudah mengikut jejak langkah Johor, mungkin pada ketika itu Kerajaan Persekutuan tidak ada pilihan lain lagi.

Kalau saya tidak silap, mulai hari ini, kerajaan Singapura juga turut mengharamkan vape di seluruh republik berkenaan. Ini menjelaskan lagi bahawa langkah negeri Johor dalam pengharaman vape merupakan satu langkah yang tepat dan betul. Bilamana kita sudah tahu keburukan sesuatu perkara, jangan tangguh-tangguh lagi untuk membanterasnya. Jangan tunggu hingga nasi sudah jadi bubur baru hendak menyesal. Bukankah sesal kemudian tidak berguna lagi.

Selain vape, pihak yang berkuasa juga harus memberi perhatian kepada penggunaan shisha. Beberapa tuan guru yang saya tanyai, mereka berpendapat shisha adalah haram pengunaannya. Sedangkan fenomena penghisapan shisha merupakan suatu perkara biasa di kebanyakan restoran Arab. Setakat yang saya temui, sebuah restoran Arab, iaitu Taj Hadharamaut di Melati Utama, KL, tidak menjual shisha.

Walau bagaimanapun, setakat ini, tiada sebarang langkah terutamanya oleh pihak yang berkuasa telah dilaksanakan untuk turut sama mengharamkan shisha. Setakat yang saya maklum, negara Singapura telah pun mengambil langkah-langkah tertentu sejak setahun yang lalu bagi mengharamkan shisha di seluruh republik berkenaan. Bagaimana sebuah negara bukan Islam sudah menyedari keburukan shisha dan telah pun mengambil langkah tertentu untuk mengharamkannya. Sedangkan negara kita telah sudah sekian lama menjadikan Islam sebagai agama rasmi tetapi masih belum menyedari akan hal ini.

Malu juga dibuatnya.