Sunday, May 29, 2016

AJK PERTIS Pusat Sesi 2016 - 2018




Sepertimana yang telah sama-sama kita semua maklumi, Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) peringkat pusat telah berlangsung pada 28 Mei (Sabtu). Agenda terpenting dalam mesyuarat berkenaan ialah pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat persatuan berkenaan yang akan menerusikan agenda kepimpinannya untuk sesi 2016 – 2018.

Berikut adalah senarai AJK PERTIS Pusat untuk sesi 2016 – 2018 yang telah terpilih:

1. En. Mohamad Faizal bin Che Yusof (Yang Di-Pertua).
2. En. Zamzuri bin Ghani (Naib Yang Di-Pertua).
3. En. Mohd Shahril Azri (Setiausaha Agung).
4. En. Osman Nordin Omar (Bendahari Pusat).
5. Cikgu Jasmadin Budin (AJK Pusat Biasa).
6. Cikgu Md Rozi bin Nafi (AJK Pusat Biasa).
7. Ustaz Mohd Nor Awang Ngah (AJK Pusat Biasa).

Bagi saya, dari satu sudut, PERTIS berjaya mentransisikan barisan kepimpinannya daripada golongan lama kepada golongan yang lebih muda secara tertib dan teratur. Perkara ini sangat penting bagi memastikan agar persatuan ini tidak ketandusan pemimpin pada masa hadapan. Gabung jalin pengalaman antara pemimpin lama dan baru sangat penting ke arah memantapkan persatuan dalam semua kondisi dan situasi. Walaupun semua AJK Pusat kali ini kaum adam belaka, harapnya ia tidak akan memberi kesan negatif kepada sokongan daripada kaum hawa kepada persatuan ini.

Kepada mereka yang telah terpilih, setinggi-tinggi tahniah diucapkan. Harapnya tiada sesiapa pun yang telah terpilih akan hanya menjadi pemimpin di pertengahan jalan.

Friday, May 27, 2016

Kak Nik Sudah Sihat




Dua hari yang lalu, saya dan isteri berkesempatan untuk berkunjung ke rumah En. Hanafiah. Hasrat untuk menziarahi beliau dan isteri sememangnya sudah terpasang sejak kami dimaklumkan tentang kesihatan Kak Nik (isterinya) yang semakin pulih. Setelah Kak Nik keluar hospital, kami memang bercadang untuk ke rumah mereka. Setelah terhalang oleh pelbagai urusan, akhirnya pada petang Rabu lalu kami telah berkesempatan untuk ke rumah mereka.

(En Hanafiah dan isterinya)


Seperti biasa, kunjungan kami sentiasa disambut dengan begitu mesra sekali oleh En. Hanafiah dan Kak Nik. Kami berbicara rancak khasnya mengenai saat-saat Kak Nik mula ditimpa denggi hinggalah beliau keluar hospital. Menurut Kak Nik, beliau terlantar di HKL selama dua minggu. Begitu rancak sekali Kak Nik bercerita. Saya dan En. Hanafiah lebih banyak mendengar sementara Kak Nik dan isteri saya yang lebih banyak mendominasi keadaan.

En. Hanafiah turut berterima kasih kepada semua rakan terutamanya guru-guru SMPK Setapak yang sentiasa berdoa untuk kesihatan Kak Nik. Katanya, berkat doa rakan-rakan banyak membantu memulihkan kesihatan Kak Nik.

Mudah-mudahan En. Hanafiah, Kak Nik serta seisi keluarganya sentiasa dilimpahi dengan kesihatan, kebahagiaan serta keberkatan hidup dunia dan akhirat. Terima kasih juga saya dan isteri ucapkan atas layanan yang begitu mesra yang diberikan kepada kami semasa kunjungan tempoh hari. Semoga hubungan silatul rahim antara kita akan sentiasa erat, insha-Allah.


Selamat Bermesyuarat Kepada Ahli PERTIS



Bermula 27 Mei 2016 (Jumaat), Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) akan menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan peringkat kebangsaan kali ke-21. Ini bermakna, PERTIS kini sudah pun berusia 21 tahun. Saya difahamkan, mesyuarat agung kali ini akan berlangsung dari 27 hingga 28 Mei.

Berdasarkan daripada sumber dalaman PERTIS yang cukup dipercayai ada mengkhabarkan iaitu aset keseluruhan PERTIS kini sudah pun melebihi RM sejuta. Ia mencakupi keseluruhan wang tunai serta aset yang bukan berbentuk wang tunai. Berdasarkan maklumat demikian, ia merupakan suatu pencapaian yang positih kepada PERTIS sendiri yang baru berusia 21 tahun. Jika jumlah aset semakin meningkat, maka elakkan sama sekali daripada unsur pembaziran. Pada masa yang sama, jangan lupa untuk melaksanakan tanggungjawab sosial khususnya kepada seluruh umat muslimin tanpa mengira sama ada mereka ahli atau pun sebaliknya. Mungkin dengan pelaksanaan tanggungjawab sosial sedemikian, akan terbuka pula pintu lebih ramai lagi mereka yang berkelayakan untuk memohon menjadi ahli PERTIS sama ada Ahli Biasa mahupun sebagai Ahli Sekutu.

Dalam mesyuarat agung kali ini juga, selain daripada pembentangan minit mesyuarat dan laporan tahunan, pemilihan AJK Pusat untuk semua jawatan juga akan dilangsungkan. Mereka yang terpilih nanti akan berkhidmat selama dua tahun sehingga tahun 2018. Apa yang sudah dipastikan iaitu En. Mohd Bukhari telah membuat hebahan di aplikasi whatsapp bahawa mulai sekarang beliau tidak lagi akan bertanding untuk sebarang jawatan AJK PERTIS Pusat sehingga ke akhir hayat (kecuali untuk jawatan auditor).

Khabarnya dokumen mesyuarat kali ini cukup tebal. Untuk yang bertulisan biasa ia berketebalan melebihi 100 halaman? Manakala yang bertulisan Braille pula ia berketebalan hampir 280 halaman? Saya pun tertanya-tanya sendirian, ini dokumen mesyuarat atau novel mesyuarat? Selain itu, jumlah yang dicetak juga agak banyak. Kononnya untuk PERTIS Pahang sahaja sekitar 20 naskah bertulisan biasa akan disediakan. Sekiranya semua ahli yang mendapat dokumen mesyuarat berkenaan membacanya secara teliti dan secara terperinci, kemudian berupaya menjadikannya sebagai asas untuk menghasilkan suatu perbincangan dan keputusan yang jitu dan mantap dalam mesyuarat nanti, maka penyediaan dokumen mesyuarat yang tebal itu tidaklah sia-sia sama sekali. Namun demikian, sekiranya dokumen berkenaan tidak dibaca, tidak diteliti dan tidak diperincikan untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk masa depan PERTIS, yang kemudiannya dokumen berkenaan akan dibakulsampahkan sahaja, maka penyediaan dokumen mesyuarat sedemikian hanya merupakan satu pembaziran semata-mata.

Dengan perasaan sedikit sedih, saya ingin memaklumkan iaitu saya tidak dapat menghadiri mesyuarat agung tahunan PERTIS kali ini atas sebab yang tidak dapat saya elakkan. Ini kali pertama saya gagal menghadiri mesyuarat PERTIS peringkat kebangsaan dalam tempoh 13 tahun. Berdasarkan keputusan yang diguna pakai oleh PERTIS sejak tahun 1998, sesiapa yang tidak hadir dalam mesyuarat agung tahunannya, maka beliau tidak boleh bertanding untuk sebarang jawatan AJK Pusat.

Kepada semua ahli yang akan hadir dalam mesyuarat agung nanti, selamat bermesyuarat saya ucapkan. Pilihlah dalam kalangan anda mereka yang benar-benar layak untuk memimpin PERTIS untuk tempoh 2 tahun yang akan datang. Gunakanlah kesempatan bermesyuarat untuk sama-sama melonjakkan lagi PERTIS sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang akan dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat demi mencapai segala objektif penubuhannya.

Wednesday, May 11, 2016

PERTIS Dan Cabaran




Saya pernah menulis dengan menggunakan tajuk seperti di atas menerusi blog ini beberapa kali. Walaupun bunyi tajuknya serupa, tetapi isi kandungannya tetap berbeza. Kali ini, tulisan saya juga diberi tajuk yang sama juga tetapi dengan konteks dan kandungan yang tetap berbeza.

Dalam mengharungi kelangsung kewujudannya, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) sentiasa didepani dengan pelbagai cabaran. Secara positifnya, jika barisan pimpinan yang ada berjaya mengharungi setiap cabaran yang ada, maka ia sudah tentu akan memanjangkan lagi hayat PERTIS itu sendiri. Sebaliknya, sekiranya barisan pimpinan PERTIS gagal mengatasi rintangan dan cabaran yang tidak pernah berhenti berkunjung, maka sudah pastilah organisasi berkenaan akan pendek umur dibuatnya.

Mulai tahun lepas, PERTIS sudah pun mempunyai dua pejabat di lembah Kelang, iaitu satu di Taman Ibu Kota, Gombak yang sudah sedia beroperasi selama ini. Ia juga merupakan ibu pejabat PERTIS peringkat kebangsaan. Manakala sebuah lagi ialah di Brickfields yang telah pun dibuka mulai tahun lepas. Penambahan premis sekaligus akan mengakibatkan penambahan dalam kos operasi. Sekiranya PERTIS mampu menjana pendapat persatuan sekurang-kurangnya untuk sekali ganda, maka penambahan premis sebagaimana yang sudah dilaksanakan adalah wajar. Walau bagaimanapun, sekiranya PERTIS tidak mampu untuk menjana pendapatan seiring dengan penambahan dan kenaikan kos, maka penubuhan sebuah lagi premis merupakan langkah yang kurang bijak khususnya untuk jangka panjang. Namun demikian, saya yakin barisan pimpinan yang ada sudah pun menghalusi semua perkara dan keperluan sebelum memutuskan untuk menambah bilangan premis tahun lepas.

Selain itu, saya juga mendapat maklumat bahawa PERTIS sudah mula mengenakan bayaran kepada sesiapa yang akan hadir dalam program ceramah anjurannya. Mungkin kerana sudah kekurangan dana, maka PERTIS terpaksa melaksanakan langkah sedemikian. Lagi pun, jumlah bayaran yang dikenakan agaknya tidaklah setinggi mana iaitu sekitar RM3 hingga RM5 sahaja. Setakat yang saya maklum juga, setakat ini kehadiran dalam ceramah anjuran PERTIS selepas dikenakan bayaran masih memberangsangkan. Contohnya program ceramah yang telah diadakan pada 10 April lalu, khabarnya sambutannya cukup menggalakkan. Ini menunjukkan para ahli serta mereka yang hadir sememangnya tidak kisah dengan sedikit bayaran yang dikenakan oleh PERTIS. Sambil mendapat ilmu daripada ceramah yang disampaikan, mereka juga boleh menderma kepada PERTIS.

Namun demikian, pada hemat saya berdasarkan kedudukankewangan PERTIS setakat ini, masih tiada keperluan untuk mengenakan bayaran dalam program ceramah yang dianjurkan. Bagi saya, setiap program ceramah anjuran PERTIS bolehlah dianggap sebagai tanggungjawab sosial persatuan kepada seluruh komuniti cacat penglihatan khususnya dan kepada umat Islam umumnya. Jika dikenakan bayaran, ia berkemungkinan besar akan memberi kesan dalam jangka panjang kepada program serupa. Orang ramai akan hadir jika topiknya menarik dan penceramahnya hebat. Barulah berbaloi apa yang mereka bayar. Sekiranya topiknya kurang menarik dan penceramahnya pula masih belum ada nama, mungkin kehadiran orang ramai akan berkurangan. Dengan itu, objektif untuk penyebaran ilmu khasnya kepada komuniti kita tidak akan kesampaian.

Justeru, saya suka menyarankan agar bayaran yang dikenakan dimansuhkan untuk setiap program ceramah anjuran PERTIS. Sebagaimana yang saya nyatakan tadi, jadikanlah setiap program ceramah tersebut sebagai tanggungjawab sosial persatuan kepada masyarakat. Lagi pun, banyak lagi cara lain yang boleh dilaksanakan untuk menjana pendapatan PERTIS. Sekiranya kos penganjuran sudah meningkat, carilah kaedah lain untuk mengurangkan kosnya. Janan untuknya pasti ada. Dari aspek yang lain pula, saya berpandangan sekiranya program ceramah diadakan tanpa mengenakan sebarang bayaran, rasanya barakahnya akan bertambah, insha-Allah. Jika bertambah barakah padanya, insha-Allah Tuhan akan membuka jalan lain pula untuk PERTIS menjana perolehannya. (Untuk lebih lanjut, sila rujuk juzuk ke-28, Surah At-Talaq (surah ke-65), ayat 2 dan 3).

Selain itu, Saya tidak lagi mendengar mengenai penerusan program 1Masjid 1Alquran Btraille yang pernah dilaksanakan beberapa tahun lalu. Setakat yang saya maklum, sekitar 59 buah masjid di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah pun ada sekurang-kurangnya 1 naskah Alquran Braille daripada PERTIS hasil pelaksanaan program berkenaan. Berdasarkan maklum balas yang pernah saya terima hasil pelaksanaan program berkenaan, ia sememangnya memberi manfaat kepada jemaah yang cacat penglihatan. Program sedemikian juga telah memberi kesedaran dan pendedahan kepada masjid dan para jemaahnya tentang kewujudan Alquran Braille serta kemudahan yang dapat dimanfaatkan oleh pengguna sasarnya. Sekiranya pelaksanaannya sudah terhenti, maka usaha untuk meneruskannya semula harus digerakkan.

Di samping itu juga, dari kejauhan saya mendengar ada pendapat yang mengatakan kononnya sedikit kesulitan yang terjadi khususnya dalam pentadbiran PERTIS hari ini gara-gara Yang Di-Pertuanya (YDP) tinggal nun jauh di Kelantan sedangkan ibu pejabat dan pusat pentadbiran terletak di Kuala lumpur. Bagi saya perkara sedemikian bukanlah satu masalah besar. Hal yang serupa juga pernah terjadi antara tahun 2006 hintta tahun 2010. Ketika itu, Cikgu Mohamad Ismail (Allahyarham) selaku YDP bermastautin di Kuala Terengganu sedangkan ibu pejabat dan AJK pusat yang lain di KL. Namun demikian ia bukanlah satu masalah besar. Ini kerana setiap AJK Pusat ketika itu tahu melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan berkesan. Lagipun tiada sebarang sengketa besar yang terjadi. Semuanya bersatu dalam satu saf pimpinan. Sekiranya timbul sebarang masalah, AJK Pusat yang ada ketika itu akan terus menghubungi YDP di Kuala Terengganu bagi mendapatkan keputusan yang terbaik tanpa membelakangkan sesiapa.

Secara organisasinya, semua biro yang ada dalam PERTIS mempunyai peranan dan kepentingan yang sama rata. Semua biro harus bersatu dan bergerak persis anggota dalam satu tubuh badan. Sekiranya salah satu anggotanya sakit atau rosak, maka akan sakitlah dan rosaklah seluruh organisasi berkenaan. Oleh itu, setiap AJK dan ketua biro harus faham secara mendalam tanggungjawab dan tugas masing-masing dalam sebuah persatuan seperti PERTIS. Setiap tindakan harus mengambil kira survival persatuan untuk jangka panjang. Tindakan seperti tikus membaiki labu hanya akan mengakibatkan jangka hayat persatuan tidak akan bertahan lama.

Biro Penerbitan merupakan salah satu biro yang terdapat di peringkat AJK Pusat. Peranan biro ini sememangnya penting dan besar. Sewaktu di peringkat awal kejayaan perolehan tender untuk menghasilkan buku teks Braille, Biro Penerbitan PERTIS hanya diyakini untuk mengendalikan sebuah buku sahaja iaitu buku pendidikan Islam. Beberapa tahun kemudia, ia bertambah kepada dua buah buku iaitu buku Bahasa Arab. Beberapa tahun kemudian, ia bertambah lagi kepada 4 buah buku pula. Namun demikian, kalau saya tidak silap, pada tahun terakhir, PERTIS hanya berjaya memperolehi sebuah buku sahaja. Apa sudah jadi? Mungkin pimpinan PERTIS kurang maklum ada pihak lain yang cuba memberi saingan yang kurang sihat kepada PERTIS!

Satu lagi aspek yang perlu diberi perhatian oleh PERTIS ialah hubungan luarnya. Ke arah merealisasikan tema “Memasyarakatkan PERTIS”, PERTIS seharusnya mengekalkan jalinan hubungan yang sudah sedia ada sebelum ini di samping menambah lagi jalinan hubungan dengan seberapa banyak individu, organisasi badan bukan kerajaan, agensi dan jabatan kerajaan, institusi keilmuan serta masyarakat secara umumnya. Hal ini saya ketengahkan kerana dari kejauhan ada terdengar kononnya ada pihak tertentu yang semakin hambar dengan PERTIS. Semoga berita yang mula kedengaran itu palsu semata-mata.

Sejak akhir-akhir ini semakin ramai yang bertanya sama ada saya akan bertanding semula dalam sesi pemilihan barisan pimpinan PERTIS dalam mesyuarat agungnya pada hujung Mei nanti.

Monday, May 9, 2016

Menghadiri Majlis Perkahwinan Anak Cikgu Maimun





Pada 8 Mei (Ahad), saya sekeluarga berkesempatan menghadiri majlis perkahwinan anak cikgu Maimun Ismail. Majlis telah berlangsung di rumah beliau iaitu di Tasik Puteri, Selangor. Seingat saya, ini kali ketiga saya menghadiri perkahwinan anak beliau. Ini bermakna, Cikgu Maimun sudah ada tiga orang menantu setakat ini.


(Cikgu Maimun)


Saya tiba di lokasi majlis sekitar jam 12.30 tengah hari. Ketika itu para tetamu semakin ramai. Apa yang menariknya bagi saya dalam majlis kali ini ialah makanan disajikan secara street food. Di samping itu, juadah yang disediakan pula pelbagai.

Antara rakan sejawat yang sempat saya temui dalam majlis berkenaan termasuklah Datin Nurhayati dan Datuk Zamani, Cikgu Rizal Tan dan keluarganya serta Cikgu Zinaida dan keluarganya.

Kepada pasangan pengantin, diucapkan selamat pengantin baru. Doa kami semoga kekal bahagia hingga ke syurga. Kepada Cikgu Maimun dan keluarga pula, tahniah diucapkan kerana sudah ada tiga orang menantu. Rupa-rupanya persaraan bukan pemisah hubungan silatul rahim antara kita. Semoga keceriaan, kebahagian serta keberkatan Ilahi sentiasa bersama Cikgu Maimun sekeluarga. Terima kasih juga kerana masih ingat kepada saya sekeluarga.

Di bawah ini saya sisipkan beberapa foto yang sempat diambil dalam majlis berkenaan. Maaflah foto pengantin tidak sempat diambil.





Sunday, May 8, 2016

Keputusan PRN Sarawak: Sekadar Coretan




Pada 7 Mei (Sabtu), Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak kali ke-11 telah berlangsung. Berdasarkan keputusan akhir, Barisan nasional (BN) berjaya memenangi 72 kerusi daripada 82 kerusi. Manakala DAP pula berjaya menenangi 7 kerusi dan PKR pula berjaya memenangi 3 kerusi. Dalam pilihanraya umum negeri ke 10 pada tahun 2011 lalu, BN telah memperolehi 55 daripada 71 kerusi, DAP 12 kerusi, PKR 3 kerusi manakala bebas 1 kerusi.

Berdasarkan keputusan PRN Sarawak semalam, BN bukan sahaja telah berjaya mempertahankan kedudukannya selaku kerajaan yang memerintah, bahkan jumlah kerusi yang dimenanginya juga turut bertambah. Dengan erti kata lain, BN telah mendapat semula mandat rakyat dengan kemenangan besar yang cukup bergaya. Manakala DAP pula telah hilang 5 kerusinya. PKR pula sekadar berjaya mempertahankan jumlah 3 kerusi yang dimenangi pada PRN ke-10 yang lalu. Sementara itu, parti PAS dan PAN belum berjaya mendapat sebarang kerusi sulung masing-masing di bumi kenyalang.

Berdasarkan keputusan PRN semalam, ada beberapa perkara yang harus diberikan perhatian, bukan sahaja oleh golongan pemerhati politik, tetapi ia juga harus dianalisis secara terperinci oleh golongan ahli politik supaya mereka tidak lagi sentiasa terjun ke lembah “syok sendiri” pada masa akan datang.

Walaupun BN telah berjaya menang besar, namun demikian posmotem dalaman juga perlu dilaksanakan. Tujuannya ialah untuk mengenal pasti faktor-faktor yang membawa kepada kemenangan besar parti berkenaan dalam PRN kali ini. Sekiranya perlu, sebab-sebab kemenangan besar berkenaan juga boleh digunakan untuk menghadapi pilihanraya umum peringkat parlimen yang akan berlangsung sekitar setahun dua lagi. Sekiranya relevan, ia bukan sahaja boleh digunakan lagi di Sarawak, tetapi mungkin boleh juga digunakan di negeri-negeri lain pula. Demikianlah.

Bagi saya, antara faktor yang telah membawa kemenangan besar di Sarawak dalam PRN kali ini ialah politik pembangunan yang dibawa oleh BN Sarawak. Oleh kerana sebahagian besar Sarawak merupakan kawasan luar bandar yang masih belum maju, maka politik pembangunan masih penting dan tetap laku dalam kalangan para pengundi di Sarawak. Mereka sememangnya mengharapkan agar kawasan masing-masing akan dilimpahi dengan nikmat pembangunan sebagaimana di kawasan bandar. Justeru janji pembangunan yang sentiasa menjadi modal calon BN dalam PRN kali ini amat berkesan. Semoga janji tersebut akan dapat ditepati selepas ini.




Di samping itu, populariti ketua menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem juga merupakan faktor penyumbang kepada kemenangan besar BN dalam PRN Sarawak semalam. Walaupun sesetengah ahli politik pembangkang menyifatkan beliau seorang yang angkuh, tetapi bagi pengundi Sarawak beliau adalah sebaliknya. Maka itulah para pengundi di Sarawak telah memberikan undi yang lebih besar kepada beliau dan pasukannya dalam PRN kali ini.

Selain itu, kekuatan jentera BN di Sarawak juga merupakan faktor penting yang telah membawa kemenangan kepada parti berkenaan. BN Sarawak tidak keseorangan kerana BN pusat sentiasa memberi sokongan padu dari belakang. Dengan kekuatan yang ada inilah BN dapat memasuki hampir ke seluruh pelusuk Sarawak untuk berkempen. Hal ini amat terbukti,dalam kemalangan helikopter Khamis lalu, semua mangsa yang terlibat kebetulannya bukan orang Sarawak.

Di samping itu, pada pemerhatian saya juga isu-isu luar Sarawak tidak mendapat tempat dalam kalangan orang Sarawak. Walaupun pengerusi BN Pusat masih dibelenggu dengan pelbagai isu seperti isu 1MDB dan derma 2.6 bilion dan yang seumpamanya, ia sama sekali tidak memberi kesan kepada orang Sarawak. Para pengundi di Sarawak tidak menjadikan isu sedemikian sebagai pertimbangan utama untuk menolak calon-calon BN. Mungkin bagi pengundi Sarawak yang lebih penting ialah usaha ke arah merealisasikan pelaksanaan konsep Sarawak untuk orang Sarawak pada masa hadapan.

Perpecahan dalam kalangan parti-parti pembangkang di Sarawak turut memberi ruang yang lebih luas kepada BN untuk meraih kemenangan yang lebih besar dalam PRN kali ini. Walaupun DAP dan PKR sama-sama menyertai Pakatan Harapan, tetapi mereka telah menentang antara satu sama lain di 6 kerusi DUN. Hal ini telah menimbulkan persepsi yang kurang baik khususnya kepada para pengundi sendiri. Dengan erti kata lain, penjenamaan semula gabungan parti-parti pembangkang daripada Pakatan Rakyat kepada Pakatan Harapan masih gagal untuk menambat hati para pengundi di Sarawak.

Sementara itu, PAS dan PAN yang sama-sama cuba memperolehi kerusi sulung masing-masing tetap gagal kali ini. Biar pun semasa berkempen, PAS semakin yakin akan beroleh kerusi sulungnya dalam PRN kali ini, ternyata harapan mereka hanya sekadar retorik sahaja. Kegagalan PAN pula sememangnya telah diduga sejak awal lagi. Sekiranya PAN dan PAS bergabung sekali pun, belum tahu lagi kerusi sulung akan dapat mereka perolehi dalam PRN kali ini.

Kemenangan besar BN di Sarawak juga turut membawa mesej penting kepada BN pusat. Kekuatan dan kestabilan BN secara keseluruhannya semakin bergantung kepada sokongan padu daripada Sarawak dan Sabah. Justeru, pandangan, cadangan, permintaan dan tuntutan BN di kedua-dua negeri berkenaan tidak lagi boleh dipandang remeh oleh BN pusat. Peranan yang lebih besar dan keterlibatan ahli politik BN dari Sarawak dan Sabah di peringkat pusat harus direalisasikan dengan secepat mungkin. Konsep Sarawak Untuk Orang Sarawak juga harus dikotakan secara wajar tetapi jangan sampai ke tahap boleh membawa perpecahan pula kepada Persekutuan Malaysia.

Sementara itu, kemenangan besar BN di Sarawak juga mempunyai makna yang cukup signifikan khususnya kepada Datuk Seri Najib. Populariti beliau dan BN masih utuh dan kuat. Ini bermakna beliau ada asas untuk terus duduk di kerusi perdana menteri. Mungkin beliau juga sudah dapat kekuatan baru untuk meneruskan legasinya. Namun demikian, selera dan cita rasa orang semenanjung mungkin berbeza dengan orang Sarawak.

Sementara itu, kekalahan besar oleh parti-parti pembangkang dalam PRN Sarawak kali ini boleh dijadikan satu pengajaran yang amat berguna bagi memperbaiki keadaan pada masa akan datang. Memang selamanya iaitu perpecahan dan pertembungan sesama sendiri tidak pernah membawa keuntungan kepada pihak yang berkenaan. Pertembungan sedemikian hanya menampilkan ketidaksatuan dalam kalangan parti-parti pembangkang sahaja khususnya di kaca mata para pengundi. Justeru, dalam konteks Sarawak, Pakatan Harapan sudah menjadi pakatan hampa.

Kepada yang menang tahniah diucapkan. Janji semasa berkempen umpama benih yang disemai. Jika elok bajanya nanti, maka akan eloklah bunga dan buahnya kelak.