Sunday, July 31, 2016

Pilihanraya Negeri Pulau Pinang: Sekadar Jangkaan



Akhirnya Ketua Menteri Pulau Pinang telah membatalkan hasratnya untuk mengadakan pilihanraya negeri lebih awal. Sebenarnya, sebelum pengumuman pembatalan tersebut, saya telah pun menyediakan satu tulisan mengenainya tetapi tidak dapat dimasukkan ke dalam blog ini lantaran saya berada di kampung yang mana kemudahan internetnya masih terbatas. Namun demikian, di bawah ini saya ketengahkan juga apa yang telah saya tulis mengenai tajuk di atas sekadar untuk tatapan kita bersama. Untuk berita pembatalan pilihanraya awal sila baca
Di sini

(Draf posting awal adalah seperti di bawah ini)

Setakat ini, sama ada kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan rancangannya untuk mengadakan pilihanraya negeri lebih awal atau sebaliknya masih lagi menjadi teka-teki. Ini kerana kata sepakat masih lagi belum dicapai mengenai keperluan dan kepentingan pilihanraya berkenaan. Selain itu, setiap parti komponen juga harus melihat kesan pilihanraya berkenaan kepada parti masing-masing jika pilihanraya yang dicadangkan itu diadakan juga pada waktu sekarang.

Dari sudut sebuah keranaan, sepertimana yang telah saya tulis melalui blog ini sebelum ini, pilihanraya berkenaan tidak sepatutnya diadakan. Ini kerana kerajaan negeri yang ada sekarang masih cukup stabil, kukuh dan mendapat sokongan padu sama ada di dalam DUN mahupun di luar DUN. Jika diadakan juga pilihanraya berkenaan, bagi saya ia sekadar membazirkan wang rakyat sahaja. Adalah lebih bijak dan lebih strategik jika pilihanraya yang dicadangkan itu ditunda sehingga tamat tempoh penggal sekarang.

Namun demikian, bagi DAP, salah sebuah parti komponen yang terpenting dalam koalisi parti yang sedang membentuk kerajaan Pulau Pinang, melihat kepentingan dan kewajaran pilihanraya negeri untuk diadakan sekarang dari sudut yang berbeza. Berdasarkan mood yang ada, DAP cukup yakin parti berkenaan sedang mendapat lonjakan sokongan rakyat Pulau Pinang yang menghampiri ke tahap maksimum. Mungkin bagi DAP, tujuan pilihanraya lebih awal ini diadakan bukan sekadar untuk membentuk sebuah kerajaan, tetapi ia juga mungkin bertujuan untuk menunjukkan kepada pihak-pihak tertentu betapa besar dan kukuhnya sokongan rakyat terhadap kerajaan yang ada khususnya terhadap DAP sendiri. Biar apa pun bentuk tindakan yang bakal dikenakan ke atas ketua menterinya, sokongan rakyat bukan sahaja tidak berganjak malahan akan terus bertambah kukuh. Demikianlah.

Selain itu, menerusi pilihanraya negeri ini juga DAP mengharapkan untuk memperolehi jumlah kerusi DUN yang lebih daripada yang ada sekarang. Sebagai pengetahuan bersama, pada masa ini DAP mempunyai 19 kerusi daripada 40 kerusi DUN kesemuanya. Dengan jumlah kerusi yang ada, DAP tidak boleh membentuk kerajaan secara bersendirian. DAP juga tidak boleh melulus dan melaksanakan apa jua dasar yang disukainya secara bersendirian. Sekiranya menerusi pilihanraya ini DAP berjaya memperolehi sekurang-kurangnya 21 kerusi, maka parti berkenaan boleh membentuk kerajaan secara bersendirian jika ia mahu. Parti berkenaan juga boleh meluluskan dan melaksanakan apa juga dasar yang disukainya secara bersendirian kecuali meminda perlembagaan negeri.

Walau bagaimanapun, sekiranya DAP berjaya memperolehi jumlah kerusi yang diidamkannya, iaitu sekurang-kurangnya 21 kerusi, saya amat yakin parti berkenaan tidak akan mengenepikan rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan. PKR dan PAN tetap akan dijemput bersamanya untuk membentuk kerajaan dengan syarat kedua-dua parti berkenaan juga ada wakil mereka di DUN Pulau Pinang. Namun demikian, dalam soal pelaksanaan sesuatu dasar atau keputusan, DAP sudah tentu mempunyai kekuatan tersendiri untuk melaksanakannya tanpa terlebih dahulu mendengar pandangan daripada rakan-rakan PH. Ini bermakna, sekiranya perlu, DAP boleh mengenepikan pandangan kedua-dua rakan sepolitiknya demi melaksanakan keputusan tertentu yang dirasakan mempunyai kepentingan kepada partinya.

Bagi PKR pula, amat sukar bagi parti berkenaan untuk menilai tahap sokongan rakyat Pulau Pinang sekiranya pilihanraya negeri diadakan sekarang. Ketiadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim sedikit sebanyak turut menterencatkan kekuatan parti berkenaan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat negeri Pulau Pinang. Di samping itu, beberapa masalah dalaman yang melanda parti berkenaan juga turut mengganggu kekuatan dan kemampuan PKR untuk mempertahankan jumlah kerusi yang ada. Di samping itu, oleh kerana asas kekuatan sokongan PKR adalah daripada para pengundi Melayu, maka ia turut menyukarkan parti berkenaan untuk mengukur kekuatan sebenar sokongan yang ada jika pilihanraya negeri diadakan sekarang. Sayugia diingat, sokongan para pengundi Melayu berbeza daripada sokongan para pengundi Cina. Kebiasaannya sokongan para pengundi Cina lebih stabil, lebih padu dan sering menampakkan kesatuan. Manakala sokongan para pengundi Melayu pula sering berbelah bagi dan masih lagi tidak boleh dipisahkan daripada sebuah parti yang selama ini dianggap keramat. Maka itulah juga sejak tahun 2008, kekuatan kerajaan negeri Pulau Pinang sebenarnya terletak kepada sokongan pengundi Cina kepada DAP dan bukannya sokongan pengundi Melayu kepada PKR atau PAS.

Bagi PAS pula, sekiranya pilihanraya negeri Pulau Pinang diadakan sekarang, ada kemungkinan juga satu kerusi yang ada buat masa ini boleh terlepas daripada genggaman. Ini kerana kekuatan kerusi PAS sebenarnya turut bergantung kepada sokongan para pengundi Pakatan Rakyat sebelum ini. Dengan berkuburnya pakatan tersebut, maka berkubur jugalah sokongan daripada pengundi pelbagai bangsa terhadap parti berkenaan. PAS sekarang amat bergantung kepada sokongan pengundi tradisinya sahaja. Kehadiran calon PAN yang dijangka akan meletakkan calonnya di kerusi yang selama ini ditandingi oleh PAS turut akan memberi laluan yang cukup getir dan sukar kepada PAS di Pulau Pinang. Blok pembangkang ketiga yang dicanangkan oleh PAS tidak mempunyai sebarang makna kepada PAS. Berdasarkan kepada realiti yang ada, blok pembangkang ketiga ciptaan PAS dan IBM seakan tidak wujud langsung. Inilah hakikat yang cukup pahit untuk ditelan oleh PAS.

Bagi PAN pula, memanglah parti berkenaan nampak beriya-iya benar supaya pilihanraya negeri diadakan sekrang. Menerusi pilihanraya ini PAN dapat mengukur kekuatan sebenar yang dimilikinya. Walaupun mungkin calon PAN tidak menang, tetapi parti berkenaan sudah cukup gembira dan seronok sekiranya jumlah undi yang diperolehinya melebihi daripada jumlah undi yang diperolehi oleh PAS. Lihat sahajalah apa yang telah berlaku dalam pilihanraya kecil parlimen Sg Besar tempoh hari. Kalah tidak mengapa asalkan jumlah undi yang diperolehinya lebih daripada apa yang diperolehi oleh PAS.

Namun demikian, dalam konteks negeri Pulau Pinang, ada kemungkinan juga PAN akan mampu untuk melahir kerusi sulungnya menerusi pilihanraya. Ini berdasarkan kedudukan parti tersebut yang merupakan salah sebuah komponen dalam Pakatan Harapan sudah tentulah akan mendapat sokongan daripada para pengundi daripada pelbagai bangsa. Ini ditambah pula dengan jentera pilihanraya yang lebih kuat dan ramai daripada PH itu sendiri. Dengan erti kata lain, kemampuan PAN untuk mengambil alih tempat PAS di Pulau Pinang tidak boleh dinafikan. Jika PAS ada semangat, PAN pula ada semangat dan kemampuan.

Dari satu sudut pula, persaingan antara PAS dan PAN merupakan sesuatu yang cukup menyedihkan. Kedua-duanya bukan sahaja bukan seagama dan sebangsa, tetapi kedua-duanya pernah berada dalam satu jemaah tak berapa lama dahulu. Namun demikian, sepertimana yang saya pernah katakan, permusuhan dalam politik tidak pernah kenal batasan. Kebiasaannya permusuhan dalam politik lebih menjurus kepada untuk menghancurkan lawan daripada mencari jalan untuk bertolak ansur dan berdamai. Justeru, persaingan antara PAS dan PAN lebih kepada yang kalah menjadi abu dan yang menang menjadi arang. Yang akan ketawa terbahak-bahak ialah orang lain. Itulah yang bakal dilihat dalam pilihanraya negeri Pulau Pinang jika ia diadakan dalam masa terdekat.

Seperti kebiasaan BN juga tidak mahu alah. Beberapa parti komponen dalam BN juga turut berasa yakin akan mendapat kerusi yang lebih dalam pilihanraya negeri kali ini. Bagi saya, kalau parti dalam BN yang berasaskan kaum Cina, kemungkinan untuk menambah kerusi memang amat tipis. Ini berdasarkan mood pengundi Cina di Pulau Pinang yang dijangka akan memberikan sokongan mereka yang tidak berbelah bagi kepada DAP. Manakala paarti UMNO pula dijangka mempunyai harapan yang lebih cerah untuk menambah jumlah kerusi yang mereka ada. Ini kerana persaingan antara PAS dan PAN akan memberi kelebihan kepada UMNO untuk menang di kawasan yang majoriti pengundinya adalah orang Melayu.

Untuk ke sekian kalinya, saya ingin tegaskan iaitu pilihanraya negeri Pulau Pinang tidak seharusnya diadakan sekarang. Orang politik daripada organisasi politik mana sekali pun harus memberi laluan yang sebebasnya kepada pihak yang berkuasa untuk melaksanakan proses undang-undang kepada sesiapa sahaja yang dirasakan ada bukti untuk didakwa. Orang ramai tidak seharusnya diheret sama dengan tujuan untuk mempengaruhi pperlaksanaan proses undang-undang ke atas mana-mana individu.


Thursday, July 28, 2016

Mesyuarat Dwitahunan SBM 2016




Pada hujung minggu ini, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) akan mengadakan mesyuarat dwitahunannya peringkat kebangsaan bagi tahun 2016. Mesyuarat berkenaan akan berlangsung di sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Sebagai maklumat bersama, SBM merupakan pertubuhan terbesar yang mempunyai ahli dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan. Keahliannya pula terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Ia juga merupakan sebuah pertubuhan yang dikendalikan sendiri oleh mereka yang cacat penglihatan. SBM juga mempunyai cawangannya di setiap negeri di Malaysia.

Salah satu agenda penting dalam mesyuarat dwitahunan ini ialah pemilihan pucuk pimpinan tertingginya. Barisan pemimpin yang akan terpilih nanti akan meneraju SBM untuk tempoh dua tahun yang akan datang.

Setakat ini, tidak terdengar sebarang isu besar dan serius yang melanda SBM. Ini merupakan petanda baik kepada kebanyakan ahli Majlis Presiden yang ingin mempertahankan jawatan masing-masing. Setakat ini masih belum pasti berapa ramaikah dalam kalangan ahli Majlis Presiden yang ingin berubah posisi. Contohnya daripada ahli majlis yang biasa ke kedudukan 4 jawatan utama. Sekiranya hal ini berlaku, maka persaingan mungkin akan menjadi sedikit hebat.




Setakat ini juga, pada perkiraan saya, kedudukan presiden SBM yang ada, Tn Hj Nazari, masih utuh. Kalau ada pun orang lain yang berhasrat mencabar kedudukannya, ia sama sekali tidak boleh menggugat kedudukan beliau. Ini kerana seperti yang saya katakan tadi, tiada sebarang isu besar yang melanda SBM dan ia sekaligus memberi kelebihan kepada ahli Majlis Presiden yang berhasrat ingin mempertahankan kedudukan masing-masing. Kalau ada pun isu yuran mesyuarat yang lebih tinggi kali ini, ia bukanlah satu isu besar kepada ahli. Oleh kerana ia bukan satu isu besar, maka itulah juga mesyuarat dwitahunan kali ini tetap mendapat sambutan.

Kepada sekalian ahli SBM yang akan menghadiri mesyuarat dwitahunan kali ini diucapkan selamat bermesyuarat. Pilihlah pemimpin dalam kalangan anda daripada mereka yang benar-benar boleh memimpin.


Monday, July 25, 2016

Pilihanraya Negeri Pulau Pinang




Baru-baru ini timbul konon khabarnya negeri Pulau Pinang berura-ura akan mengadakan pilihanraya negeri. Ia ekoran dakwaan rasuah yang sedang dihadapi oleh ketua menterinya, Lim Guan Eng. Setakat yang saya maklum, buat masa ini masih belum ada keputusan muktamad mengenainya.

Dari sudut kekukuhan kerajaan negeri yang sedia ada, ia masih stabil dan cukup kukuh. Jumlah kerusi yang menyokong kerajaan negeri cukup kuat dan secara akalnya kerajaan negeri tidak mungkin mampu digugat sehinggalah ke pilihanraya umum selanjutnya.

Di samping itu, keutuhan dan perpaduan parti-parti dalam Pakatan Harapan khasnya di Pulau Pinang juga masih stabil. Setakat ini tiada sebarang khabar angin bahawa ada mana-mana parti yang membentuk PH akan menarik diri daripada pakatan berkenaan. Jadi, guruh pun tidak berbunyi, angin pun tidak bertiup, mengapa air di tempayan hendak dicurahkan?

Dalam konteks ini, saya sependapat dengan beberapa tokoh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang menjangkakan bahawa tidak akan berlaku pilihanraya negeri di Pulau Pinang dalam masa terdekat. Sepatutnya semua pihak, tidak kiralah parti politik mana sekalipun, harus membuktikan dalam apa jua tindakan mereka kepentingan rakyat adalah menjadi keutamaan. Sekiranya pilihanraya negeri diadakan dalam keadaan segalanya berada dalam keadaan stabil, tidakkah itu juga akan menjurus kepada pembaziran wang rakyat?

(Untuk rujukan pandangan pemimpin PAS,
Sila baca di sini)

Apabila Lim Guan Eng mula didakwa di mahkamah, maka satu pungutan derma kilat telah dilancarkan. Dalam masa yang cukup singkat, khabarnya jumlah pungutannya mencecah hampir dua juta ringgit Malaysia. Ia menunjukkan orang ramai, khasnya rakyat Pulau Pinang memberi sokongan yang cukup padu kepada ketua menterinya. Dengan ini, tiada syak, zan dan waham lagi hampir seluruh penduduk Pulau Pinang masih berdiri teguh di belakang kerajaan negeri Pulau Pinang, khasnya ketua menteri Lim Guan Eng.

Oleh itu, tiada sebab mengapa pilihanraya negeri perlu diadakan sekarang. Adalah kurang sesuai dan tidak bijak sekiranya pilihanraya berkenaan diadakan sekadar untuk menguji populariti Lim Guan Eng. Semua pihak sama ada kawan dan lawan sudah maklum Lim Guan Eng memang cukup kukuh dan padu di pulau mutiara. Buat masa ini tiada sesiapa pun yang boleh menggugat kekuatan yang ada pada Lim Guan Eng di pulau berkenaan.

Ucapan Lim Guan Eng Bahagian 1


Di sini, saya tidak berhasrat untuk membincangkan adakah pendakwaan yang sedang dihadapi oleh Lim Guan Eng bermotif politik atau sebaliknya. Saya sekadar berbicara mengenai kewajaran pilihanraya negeri yang sedang ura-ura akan diadakan di negeri Pulau Pinang sahaja.


Saturday, July 23, 2016

Semua Program Hari Ini Dan Esok Dibatalkan





Sekitar jam 12.15 tengah malam sebentar tadi, saya menerima berita duka iaitu abang ipar yang sangat kami kasihi telah kembali ke rahmatullah di hospital besar Kuantan. Dengan ini, kami sekeluarga akan bergegas pulang ke Kuantan seawal selepas subuh pagi ini.

Dengan ini, saya terpaksa membatalkan semua undangan dan jemputan untuk saya dan keluarga pada 23 Julai (Sabtu) dan 24 Julai (Ahad). Kepada mereka yang telah sudi mengundang kami sekeluarga ke majlis masing-masing, berbanyak-banyak terima kasih saya ucapkan. Berbanyak maaf kerana atas sebab seperti di atas, saya tidak dapat menghadiri majlis kalian.

Terima kasih.


Thursday, July 21, 2016

Jamuan Aidil Fitri PERTIS





Biasanya setiap Syawal, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) tidak ketinggalan untuk menganjurkan majlis sambutan aidil fitri. Pernah juga sekitar 7 tahun yang lalu, penganjuran sambutan aidil fitri terpaksa dianjurkan pada awal bulan Zulqaidah kerana lokasi yang dicadangkan untuk penganjuran sambutan berkenaan penuh dengan tempahan di sepanjang Syawal. Maknanya sama ada cepat atau lambat, PERTIS tetap menganjurkan sambutan aidil fitri.

Berdasarkan info dalam telemaklumat terkini PERTIS yang bertarikh 18 Julai bersamaan 29 Ramadhan (mungkin tarikh kalendar Islam terlepas pandang untuk diubah), tiada maklumat mengenai penganjuran sambutan aidil fitri untuk tahun ini. Ini bermakna, ada kemungkinan besar tahun ini tiada sambutan aidil fitri anjuran PERTIS. Kemungkinan ini dikuatkan lagi apabila salah seorang AJK Pusat PERTIS ada mengatakan, mungkin PERTIS tidak menganjurkansambutan aidil fitri kali ini kerana ia sudah banyak dianjurkan oleh NGO lain.

Pada hemat saya, sekiranya PERTIS tidak menganjurkan sambutan aidil fitri kali ini hanya semata-mata kerana majlis sedemikian sudah banyak dianjurkan oleh pihak lain adalah sangat kurang tepat. Kita perlu faham, dalam majlis seumpama itu, makan minum bukanlah merupakan agenda paling utama. Apa yang lebih penting ialah majlis sedemikian sebenarnya lebih merupakan masa untuk mempertemukan seluruh ahli PERTIS dan komuniti cacat penglihatan yang hadir. Dengan adanya pertemuan sedemikian, maka ia akan dapat mengukuhkan lagi jalinan ukhwah dan silatul rahim antara sesama ahli dan masyarakat. Apabila PERTIS yang menjadi penganjur majlis sambutan aidil fitri, maka sebenarnya PERTIS juga turut sama berperanan dalam mengukuhkan ikatan silatul rahim dalam kalangan masyarakat cacat penglihatan dan juga antara golongan cacat penglihatan dengan mereka yang berpenglihatan. Bilamana majlis sedemikian turut sama dihadiri oleh rakan-rakan yang bukan beragama Islam, ia akan menampakkan lagi sikap keterbukaan PERTIS di tengah-tengah masyarakat. Orang luar akan berpersepsi, walaupun PERTIS merupakan sebuah organisasi yang berteraskan Islam, tetapi ia turut mempunyai hubungan yang baik dengan golongan yang bukan Islam. Demikianlah.

Di samping itu, dalam majlis sambutan aidil fitri seperti inilah juga PERTIS seharusnya turut sama mengundang mereka yang selama ini telah memberi sokongan moral dan material kepadanya. Bila pihak-pihak berkenaan hadir dalam majlis aidil fitri anjuran PERTIS, sedikit sebanyak jauh di sudut hati mereka akan merasakan sumbangan mereka telah dihargai. Selain itu, golongan penyumbang berkenaan dapat melihat dengan mata kepala mereka sendiri secara lebih dekat lagi kelompok golongan sasar yang mereka telah bantu selama ini.

Oleh itu, selain daripada ahli-ahli PERTIS, majlis sambutan aidil fitri anjuran PERTIS seharusnya turut dihadiri oleh seluruh komuniti cacat penglihatan sama ada yang beragama Islam mahupun yang bukan beragama Islam. Selain itu, sepertimana yang saya katakan tadi, mereka yang telah menyumbang kepada PERTIS dalam apa jua bentuk juga patut diundang sama ke majlis berkenaan. Ia termasuklah mereka yang telah menyumbang kepada penerbitan Alquran Braille, pemberian embosser (terutama penaja 3 unit embosser V5 yang baru diterima oleh PERTIS), penaja penerbitan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, penaja panel e-Braille, institusi-institusi yang selama ini telah menyumbang kepada masyarakat cacat penglihatan dalam pelbagai aspek penyelidikan, golongan pembaca dan penulis yang telah menjayakan penghasilan buku teks Braille kendalian PERTIS, mereka yang pernah menjadi penggerak kepada program 1Masjid 1Alquran Braille, jabatan dan agensi kerajaan dan swasta yang akrab dengan PERTIS, organisasi-organisasi lain yang mempunyai hubungan baik dengan PERTIS serta lain-lain pihak yang dirasakan sesuai dan wajar. Ingatlah, orang berbudi kita berbahasa. Bila orang memberi kita jangan sekadar tahu terima sahaja.

Saya masih ingat lagi, sewaktu PERTIS menjadi penganjur majlis sambutan aidil fitri bersama-sama dengan JAKIM sekitar 7 atau 8 tahun lalu yang turut sama dihadiri oleh Ketua Pengarah JAKIM ketika itu (Datuk Wan Muhammad), semasa majlis sedang berjalan, tiba-tiba lalu sekumpulan orang buta yang bukan Islam, dengan cepat Datuk Wan Muhammad mengarahkan kakitangan JAKIM yang ada supaya mempersilakan kumpulan berkenaan masuk ke majlis dan sama-sama menikmati hidangan yang ada. Peristiwa inilah yang kemudiannya menjadi panduan kepada saya dalam menganjurkan majlis yang serupa selanjutnya.

Sebagaimana yang telah saya utarakan kepada beberapa orang AJK Pusat PERTIS beberapa hari lalu, Dalam apa jua aktiviti PERTIS seharusnya bertindak lebih proaktif. Majlis sambutan aidil fitri bukan sekadar untuk kita menjamu perut semata-mata. Pihak PERTIS harus berupaya melihat dengan lebih jauh lagi faedah dan manfaat tersirat yang bakal diraih jika majlis sedemikian berjaya dianjurkan dengan baik dan sempurna. Jika tiada faedah dan manfaat sedemikian, maka mengapa pihak lain bersungguh-sungguh untuk menganjurkannya?

Bila menganjurkan majlis sedemikian, beberapa perkara seharusnya dijadikan teladan dan panduan. Makanan yang dihidangkan walaupun sekadar satu atau dua jenis sahaja, ia hendaklah mencukupi dan dapat dirasa oleh seluruh tetamu yang hadir. Selain itu, dalam majlis yang sedemikian, elakkan daripada sebarang perkelahian secara terbuka kerana ia hanya akan mengaibkan persatuan sahaja. Sepatutnya dalam majlis seperti ini kita harus saling bermaaf-maafan antara satu sama lain.

Saya sekadar berkongsi pandangan sahaja.


Monday, July 18, 2016

Politik semasa: Sekadar Coretan




Perjalanan politik negara hari ini semakin berliku dan haru-biru. Perpecahan politik yang sudah lama terbelah selepas retak, kini agaknya sedang menghala ke arah berkecai dan berderai. Kestabilan politik yang diimpikan oleh seluruh rakyat seakan tidak mungkin menjadi realiti lagi buat masa ini. Walhal kestabilan politik merupakan elemen yang cukup penting ke arah merealisasikan Wawasan 2020. Sekarang ini nampaknya hala tuju wawasan berkenaan sudah semakin kurang diperkatakan. Kebetulan pula pencetus wawasan berkenaan tidak lagi sebulu dan sehaluan dengan parti yang sedang memegang kuasa. Pihak-pihak yang berkepentingan lebih banyak membazirkan masa dan tenaga untuk bercakap dan bertindak bagi mempertahankan legasi politik masing-masing.

Pengumuman Tun Dr. Mahathir untuk menubuhkan satu lagi parti politik yang seterusnya akan bergabung dengan Pakatan Harapan sekadar mengharu-birukan keadaan yang sedia ada. Memang benar, dari aspek demokrasi penubuhan satu atau seratus lagi parti politik bukanlah satu kesalahan, bahkan ia dikatakan sebagai bukti bahawa demokrasi itu sentiasa subur. Namun demikian, dari aspek keperluan, adakah penubuhan satu lagi parti politik akan memberi manfaat atau sebaliknya kepada majoriti rakyat dan juga negara? Hakikatnya, penubuhan lebih banyak parti politik hanya akan melemahkan perpaduan politik itu sendiri. Rasanya daripada menubuhkan satu lagi parti politik, adalah lebih strategik jika Tun Mahathir berperanan sebagai penggerak dan penyatu kepada semua parti-parti pembangkang yang sedia ada tetapi selama ini tidak pernah mempunyai mimpi yang serupa.

Amerika Syarikat yang merupakan sebuah negara yang palint totok dalam pengamalan demokrasi hanya mempunyai 2 parti politik utama sahaja iaitu Democrat dan Rebublican. Manakala di Britain pula, dua parti parti politik yang paling popular ialah Parti Buruh dan juga Parti Konservatif. Kalau pun ada parti-parti politik yang lain, ia hanya merupakan parti-parti politik kecil yang tidak menggugat kestabilan politik yang ada. Ini menunjukkan Amerika Syarikat dan beberapa negara di Eropah cukup bijak dalam menterjemahkan konsep demokrasi dalam politik. Bagi mereka bermusuhan dalam politik ada batasnya. Permusuhan politik sering kali tidak menggugat perpaduan rakyat dan kestabilan negara. Ahli-ahli politik di negara-negara berkenaan bijak menilai kredibiliti diri sendiri. Justeru, jika mereka merasakan kredibiliti politik mereka sudah menurun dan sudah tidak relevan lagi dengan aspirasi majoriti rakyat dan negara, mereka sendiri akan memilih jalan keluar tanpa perlu ditunjuk oleh pihak-pihak lain. Demikianlah matangnya politik mereka.

Berbalik semula apa yang sedang dialami dalam negara sendiri, tidak keterlaluan jika saya katakan politik negara kita masih lagi pada takuk pramatang. Permusuhan dalam politik adakalanya berlaku tanpa batasan. Keadaan lebih kronik lagi bilamana ada sesetengah ahli politik berpersepsi musuh politik sama dengan musuh negara. Sesetengah ahli politik dan parti politik lebih banyak memfokuskan kepada cita-cita politik masing-masing daripada wawasan dan kepentingan negara. Bila banyak masa dan tenaga dicurahkan untuk berpolitik, maka sudah tentulah ruang yang ada semakin terbatas untuk benar-benar memberi fokus kepada permasalahan sebenar yang dihadapi oleh rakyat. Hala tuju pembangunan negara juga pasti terjejas kerana ahli politik tertentu terpaksa membazirkan lebih banyak masa dan tenaga yang ada untuk memberi tumpuan kepada survival politik masing-masing.

Orang Melayu yang selama ini pun masih gagal untuk membangunkan keupayaan ekonomi sendiri, kini semakin berpecah-belah pula dalam aspek politik. Kecamukan politik dalam kalangan orang Melayu seakan tiada penghujungnya. Kemunculan satu demi satu parti politik yang berpaksikan orang Melayu menunjukkan perpecahan politik Melayu yang semakin meruncing. Orang Melayu semakin lupa akan pesan nenek moyang mereka tentang bersatu teguh dan bercerai roboh. Orang Melayu juga semakin jauh daripada ungkapan bulat air kerena pembentung dan bulat kata kerana muafakat. Orang Melayu kian menolak untuk sesal dahulu agar beroleh pendapatan, sebaliknya semakin memilih untuk sesal kemudian yang tiada guna buat selama-lamanya.

Jika diselongkar lembaran silam, UMNO sebagai parti keramat orang Melayu sejak penubuhannya, sebenarnya berupaya untuk memerintah negara ini secara bersendirian tanpa disertai oleh parti-parti politik yang lain. Namun demikian, atas dasar tolak ansur politik yang cukup mahal harganya, UMNO telah memberikan sejumlah kerusi yang sepatutnya menjadi miliknya kepada parti sekutunya yang bukan Melayu dalam Perikatan dan telah menyeru orang Melayu di kawasan berkenaan agar memberi sokongan kepada calon parti sekutunya itu. Maka itu, pada masa lalu, adalah suatu perkara biasa bilamana calon daripada parti MCA bertanding dan menang di kawasan yang majoritinya adalah pengundi Melayu. Pada masa yang sama juga, amat jarang calon UMNO berpeluang bertanding dan menang di kawasan yang majoritinya adalah pengundi bukan Melayu. Sebab itulah saya katakan, tolak ansur politik yang pernah dilakukan oleh UMNO amat mahal harganya. Demikianlah kisah tentang UMNO yang dahulu.

Manakala situasi hari ini pula sudah jauh berbeza. Oleh kerana perpecahan politik dalam kalangan orang Melayu semakin kronik, maka saya melihat tiada satu pun parti politik orang Melayu yang punya kemampuan yang pernah dimiliki oleh UMNO yang dahulu. Keperluan sokongan daripada parti-parti politik lain sebenarnya bukan lagi atas dasar tolak ansur, tetapi ia disebabkan perpecahan dan kelemahan orang Melayu berpolitik. Parti-parti politik yang berpaksikan orang Melayu kini terpaksa bergantung kepada sokongan parti politik lain sama ada untuk mengekalkan kuasa yang ada atau pun untuk mengambil kuasa. Manakala parti-parti lain yang bersedia memberi sokongan kepada parti-parti politik yang berpaksikan orang Melayu, sudah tentulah tidak akan memberi sokongan secara percuma sahaja. Pepatah kalau ada ubi tentu ada batas, tentunya akan menjadi prasyarat kepada sokongan yang diberi. Dalam situasi ini, pihak yang akan rugi tentulah golongan pribumi juga.

Penglibatan Tun Dr. Mahathir yang masih aktif dalam politik juga merupakan sesuatu yang luar biasa. Kelazimannya sesiapa pun yang sudah berusia 91 tahun akan menghabiskan lebih banyak masa untuk bersantai dan berehat sahaja. Namun demikian, jiwa politik yang ada dalam diri beliau masih subur dan masih belum bertemu saat untuk bersara. Kini beliau mula berperanan semakin penting sebagai penggerak utama dalam kalangan tokoh dan parti-parti politik pembangkang.

Pada hemat saya, roh, jiwa dan hati Tun Mahathir masih lagi UMNO. Bahkan tidak keterlaluan jika saya katakan jiwa UMNO-nya sentiasa subur, dahulu, kini dan mungkin untuk selama-lamanya. Beliau keluar dari UMNO sekadar salah satu strateginya untuk menumbangkan Datuk Seri Najib daripada kerusi perdana menteri sahaja. Hal yang sama pernah beliau lakukan terhadap mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan ternyata ia telah membuah hasil yang diharapkan. Setelah Tun Abdullah berundur daripada jawatan perdana menteri, Tun Mahathir telah kembali semula ke pangkuan UMNO. Setakat ini strategi keluar UMNO dengan tujuan untuk menumbangkan Datuk Seri Najib masih belum menampakkan hasil. Ternyata anak Bugis yang seorang ini cukup kental dalam mempertahankan apa yang beliau sedang miliki. Namun demikian, satu kelebihan yang ada pada Tun Mahathir ialah sikapnya yang sukar untuk berputus asa. Selain itu, Tun Mahathir juga merupakan tokoh yang jarang kekeringan idea dalam menyelesaikan permasalahan dan cabaran yang mendepaninya.

Sebagaimana yang saya nyatakan di atas, salah satu peranan penting yang sedang diusahakan oleh Tun Mahathir ialah untuk menyatukan barisan pembangkang bagi menghadapi UMNO dan BN dalam pilihanraya umum yang akan datang. Namun demikian, ia bukanlah satu tugas mudah. Walaupun semua parti pembangkan yang ada hanya menghadapi satu musuh politik sahaja (UMNO/BN), tetapi oleh kerana tiada muafakat dan kegagalan untuk mewujudkan pakatan yang berkesan mengakibatkan musuh yang hanya satu itu amat sukar untuk dihadapi. Bahkan perpecahan demi perpecahan dalam kalangan parti-parti pembangkang merupakan kelebihan yang cukup strategik bagi UMNO/BN untuk terus kekal di tampuk kekuasaan walaupun selepas pilihanraya umum yang akan datang. Walaupun parti-parti pembangkang kini semakin dibarisi oleh para pemimpin yang cerdik dan berpengalaman, tetapi oleh kerana tindak-tanduk mereka yang sering tidak cerdik dan seakan belum cukup pengalaman semakin memberi laluan mudah kepada UMNO/BN untuk terus mengekalkan kuasa mereka.

Mungkin matlamat utama tokoh-tokoh seperti Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin, Datuk Seri Mukhriz dan orang-orang yang seumpama mereka ialah sekadar untuk menukar perdana menteri sahaja. Mereka tidak mahu lagi berperdanamenterikan Datuk Seri Najib. Manakala matlamat parti Amanah, PKR dan DAP pula adalah untuk menukar terus kerajaan yang sedia ada dengan sebuah kerajaan yang baru berlandaskan demokrasi. Hanya matlamat PAS sahaja yang masih terselindung di sebalik kopiah dan jubah para pemimpinnya. Manakala bentuk dan corak kerajaan baru yang mereka dambakan pula mungkin berbeza antara satu parti dengan parti yang lain. Perbezaan yang wujud pula sukar untuk mencari titik persamaan. Sebab itulah, pada masa ini kita sekadar dihidangkan dengan matlamat untuk menumbangkan krajaan UMNO/BN. Apa yang parti-parti pembangkang tersebut akan buat selanjutnya selepas mereka berjaya menumbangkan kerajaan UMNO/BN masih kabur lagi. Sebab itulah barisan pembangkang yang ada dikatakan boleh tidur sebantal tetapi mimpi masing-masing tetap jauh berbeza.

Antara kelebihan yang sedang dimiliki oleh Datuk Seri Najib ialah beliau sedang di tampuk kekuasaan. Dengan kedudukan yang ada, beliau boleh melakukan apa sahaja demi mempertahankan apa yang sedang beliau genggam. Kemenangan besar BN dalam pilihanraya negeri Sarawak serta kemenangan dengan majoriti besar dan di luar jangka dalam pilihanraya kecil di parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar merupakan petunjuk iaitu pada masa ini sokongan rakyat terhadap BN dan Datuk Seri Najib kian meningkat. Agaknya kalau pilihanraya umum diadakan sekarang harus juga BN mampu untuk memperoleh kemenangan dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Sebagai rekod, BN telah hilang kedudukannya selaku parti pemerintah yang memperoleh jumlah kerusi dua pertiga di Dewan Rakyat sejak tahun 2008.

Tidak keterlaluan jika saya nyatakan iaitu dalam situasi politik negara yang kian kompleks ini PAS nampaknya semakin kabur hala tujunya. Cubaan PAS untuk mewujudkan blok ketiga pembangkang hanya sekadar menjadi bahan tawa sahaja. Sama ada disedari atau tidak, mungkin ada pihak lain yang sedang memperkudakan PAS untuk survival politik pihak yang berkenaan. Pihak yang berkenaan cukup maklum buat masa ini PAS dan Amanah tidak mungkin boleh duduk semeja. Ini memberi harapan besar iaitu dalam pilihanraya umum yang akan datang pertandingan 3 penjuru di kawasan-kawasan tertentu adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Apabila berlaku pertandingan 3 penjuru, pihak yang akan tersungkur dan tertiarap tentulah PAS dan Amanah juga. Manakala UMNO yang sememangnya cukup cerdik mencari peluang bukan sekadar mampu untuk mengekalkan kerusi yang ada, bahkan peluang untuk merampas kerusi-kerusi lain juga semakin cerah. Lihat sahajalah apa yang telah berlaku dalam pilihan raya kecil parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Jika sokongan pengundi terhadap UMNO/BN disebabkan protes terhadap perpecahan dalam kalangan parti-parti pembangkang, maka undi protes yang serupa juga akan berlaku jika perpecahan yang ada gagal diselesaikan. Di parlimen Sungai Besar, Amanah sekadar berbangga kerana undi yang diraih oleh calonnya lebih tinggi daripada undi yang diraih oleh calon PAS. Hakikatnya yang kalah tetap kalah juga.

Pada hemat saya, Parti Amanah Negara mungkin boleh dibubarkan dan seluruh ahlinya boleh kembali semula ke pangkuan PAS dengan syarat barisan kepimpinan PAS yang ada sekarang juga harus dibubarkan dan digantikan dengan tokoh-tokoh lain yang lebih berlapang dada, terbuka minda dan berpertimbangan. Selagi barisan pimpinan PAS yang ada tidak boleh diusik, maka selagi itulah Parti Amanah Negara akan terus membayangi dan menyaingi PAS. Penyokong akar umbi amat mengharapkan agar Amanah dan PAS bertaut kembali. Pada masa sama mereka juga sedar harapan mereka tak ubah pungguk rindukan bulan sahaja. Sebab itulah awal-awal tadi saya katakan orang politik lebih memikirkan survival politik masing-masing sahaja dan bukannya berpolitik untuk kesejahteraan golongan akar umbi.

Justeru, selagi situasi yang sedang melanda parti-parti pembangkang tidak berubah, maka hasrat untuk melihat kerajaan yang sedia ada bertukar merupakan sesuatu yang jauh panggang dari api. Jika sekalian rakyat umpama pelanduk, maka mereka akan mati gara-gara gajah sama gajah yang berlawan. Semuanya angkara kita berpolitik tanpa mengenal musim lagi.

Saya sekadar pemerhati kecil sahaja.


Sunday, July 10, 2016

Menziarahi Yusiran




Pada 9 Julai (Sabtu) lalu, saya berkesempatan untuk menziarahi Yusiran lagi. Rancangan asalnya ialah untuk ziarahi beliau di kediaman keluarganya yang letaknya tidak jauh dari bandar Jasin. Walau bagaimanapun, Yusiran memaklumkan kepada saya beliau berada di hospital Jasin.

Sekitar jam 6.45 petang, saya dengan ditemani isteri tiba di hospital Jasin. Mulanya saya ke wad 2B di mana beliau ditempatkan. Setibanya saya ke wad berkenaan, seorang kakitangan hospital memberitahu Yusiran sedang menjalani rawatan mencuci buah pinggang. Lokasinya pula berhadapan dengan wad kecemasan.

(Saya menyerahkan sumbangan Perkum kepada Yusiran)


Setibanya kami di lokasi, memang Yusiran sedang menjalani rawatan cuci buah pingganggnya. Menurut Yusiran, beliau sudah berada di hospital berkenaan sejak hari ke-15 bulan puasa lalu. Beliau dimasukkan ke hospital kerana jangkitan kuman. Dalam ziarah singkat tersebut, saya telah menyerahkan wang bantuan yang telah disumbangkan oleh Perkum.

Menurut Yusiran lagi, amat jarang rakan-rakan menghubungi beliau. Memang jelas beliau dalam kesunyian. Begitulah agaknya kalau sudah tidak sihat. Tahun ini beliau berhari raya di hospital sahaja dengan ditemani oleh kakitangan hospital yang bertugas.



Sebelum meninggalkan beliau, saya memberitahu Yusiran, saya akan ziarahi lagi beliau bila saya pulang ke kampung nanti, insha-Allah.


Menziarahi Ustaz Azam Di Serkam





Pada 8 Julai (Jumaat), saya sekeluarga berkesempatan menziarahi Ustaz Azam di kampung halamannya di Serkam, Merlimau, Melaka. Jarak perjalanan dari rumah saya di kampung ialah sekitar 40 minit sahaja. Ustaz Azam merupakan rakan setugas di sekolah tempat saya bertughas sekarang. Turut sama dalam kunjung ziarah berkenaan ialah Datuk Zamani dan Datin Nurhayati sekeluarga.


(Ustaz Azam)



Selain daripada kunjungan bersempena dengan sambutan aidil fitri, kami turut terpanggil untuk menziarahi Ustaz Azam dan keluarganya ekoran daripada tragedi yang menimpa keluarga Ustaz Azam pada malam sambutan aidil fitri baru-baru ini. Kunjung ziarah ini juga merupakan sokongan moral kami kepada beliau dan keluarganya. Mudah-mudahan sedikit sebanyak ia dapat menguatkan semangat beliau sekeluarga untuk meneruskan kehidupan biar pun tanpa salah seorang yang amat mereka kasihi buat selama-lamanya.

Pada petang hari terakhir Ramadhan lalu, dengan tidak disangka-sangka, salah seorang anak Ustaz Azam telah dilanggar oleh kereta rakan kepada salah seorang bapa saudaranya. Mungkin ia berlaku secara tidak sengaja. Yang lebih tragis ialah peristiwa malang tersebut berlaku di hadapan mata kepala Ustaz Azam sendiri. Ustaz Azam sendiri yang memegang kepala anaknya yang berusia 4 tahun yang berlumuran darah. Beliau sendiri yang membawa anaknya ke klinik berhampiran dengan pertolongan ahli keluarganya. Dari klinik, anaknya terus dibawa ke hospital besar Melaka untuk rawatan lanjut. Menurut Ustaz Azam, dalam perjalanan ke hospital berkenaan anaknya telah tenat dan akhirnya telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Jenazah anaknya telah selamat dikebumikan selepas solat sunat aidil fitri keesokan harinya. Daripada getar suaranya tatkala menceritakan kisah tragis berkenaan kepada kami, saya dapat merasakan betapa pilunya peristiwa tersebut.





Me nurut Ustaz Azam, beliau dapat menerima hakikat bahawa yang telah berlaku itu ialah takdir dan ketentuan Allah terhadap beliau dan keluarganya. Namun demikian, apa yang membuat beliau masih terkilan sehingga kunjungan saya tempoh hari ialah individu yang telah melanggar anaknya masih tidak menghubungi beliau lagi. Beberapa kali Ustaz Azam berkata, beliau tidak pun marah dengan individu yang telah menyebabkan kematian anaknya. Setidak-tidaknya individu berkenaan harus tampil bagi menjernihkan suasana. Demikian luahan Ustaz Azam kepada kami.

Peristiwa berkenaan pasti akan menjadi ingatan kepada Ustaz Azam buat selama-lamanya sepanjang hayat. Setiap kali menjelangnya aidil fitri, maka setiap kali itu jugalah tragedi berkenaan akan menyelubungi beliau sekeluarga.






Mudah-mudahan Ustaz Azam sekeluarga terus tabah menghadapi ujian Allah ini. Setiap yang bernyawa pasti akan kembali juga kepada Penciptanya. Hanya masa dan caranya sahaja yang kita tidak diberitahu.

Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Ustaz Azam dan seluruh keluarganya kerana sudi menerima kunjung ziarah kami dua keluarga dengan cukup mesra.