Tuesday, July 5, 2011

Antara Stadium Baru Dengan Tuan Guru

Dua tiga hari lepas, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam satu ucapannya di Kelantan, antara lain ada menyatakan bahawa, jika BN menang dalam pilihanraya yang akan datang, kerajaan (kerajaan BN) akan membina stadium baru. Pelbagai andaian dan tafsiran boleh tercetus daripada janji sedemikian yang terpacul dalam ucapan orang politik seperti Datuk Seri Najib. Kebetulan pula, Kelantan baru sahaja meraikan kejayaan pasukan bola sepak mereka menjuarai piala ........ saya pun tak ingat, pada 12 Jun yang lalu. Ada juga penganalisis yang mengaitkan kejayaan pilihanraya kecil DUN Galas dengan kehebatan pasukan bola sepak negeri Cik Siti Wan Kembang pada masa ini.



Hala tuju politik negara kita khususnya politik Melayu, sejak akhir-akhir ini memang penuh dengan keunikan alias kepelikan. Sebagai contoh, jika dalam sukan ternampak keuntungan politik yang boleh dijana, maka di sanalah akan berbondong segala jenis langau politik. Maka itu, tidak menghairankan kalau, sebagai contoh, matlamat untuk menjadikan sukan sebagai landasan untuk mencapai perpaduan tidak boleh tercapai. Pendek kata, orang politik yang semakin kelaparan, akan membaham apa sahaja demi memuaskan nafsu politik mereka.



Berbalik kepada janji untuk memberi stadium baru kepada Kelantan, rasanya tidak salah walaupun dalam perkiraan politik jika kerajaan Persekutuan membina stadium baru untuk Kelantan walaupun negeri tersebut masih diperintah oleh PAS. Sebagai pemakluman kepada sekalian rakyat jelata, setelah stadium baru itu siap nanti, pampangkan sahaja tulisan bersaiz gergasi yang berbunyi “PROJEK KERAJAAN BARISAN NASIONAL”. Bukankah pampangan tulisan besar sedemikian sudah biasa terlihat di mana-mana sebelum ini! Adakah pampangan sedemikian sudah tidak laku lagi di mata rakyat?



Bagi sebilangan besar rakyat Kelantan buat masa ini, apalah nilainya sebuah stadium baru jika hendak dibandingkan dengan kepimpinan seorang hamba Allah yang berstatus tuan guru seperti Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nikmat. Memilih kerajaan baru (BN) bermakna menolak PAS. Menolak PAS jika di Kelantan bermakna menolak Tuan Guru Haji Nik Aziz. Lawan politik yang waras minda dan masih ada iman pun tak mungkin tergamak untuk mengenepikan kepimpinan Tuan Guru Haji Nik Aziz.



Setelah menjadi menteri besar Kelantan hampir 21 tahun, Tuan Guru Haji Nik Aziz telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran. Keunikannya ialah sebahagian besar cabaran yang dihadapi oleh beliau datangnya daripada orang yang sebangsa dan seagama dengan beliau. Pembaharuan yang beliau dan kerajaannya lakukan sering diperlekeh oleh mereka yang tidak sehaluan dengan beliau. Kecemerlangan den kejayaan pemerintahan beliau pula sering disorok dan disembunyikan oleh peneraju media massa. Sebagai contoh, kerajaan PAS Kelantan di bawah kepimpinan Tuan Guru Haji Nik Aziz merupakan kerajaan yang pertama yang telah memperkenalkan cuti umum pada hari sabtu khasnya untuk kakitangan kerajaan. Kerajaan PAS Kelantan juga antara kerajaan yang awal yang telah memberi cuti selama 60 hari kepada wanita bersalin. Demikianlah.

Sebelum ini pun, BN pernah menabur pelbagai janji kepada rakyat Kelantan supaya mereka menukar kerajaan yang sedia ada. Cabaran politik yang paling getir yang pernah dihadapi oleh kerajaan PAS Kelantan ialah apabila hanya memenangi 24 daripada 45 kerusi di DUN Kelantan dalam pilihanraya tahun 2004. Kegetiran kian menjadi umpama telur di hujung tanduk apabila dalam pilihanraya kecil pada Disember 2005 BN berjaya memperolehi satu lagi kerusi. Ini menjadikan kedudukan kerusi di DUN Kelantan ketika itu ialah 23 kerusi berpihak kepada PAS dan 22 kerusi lagi berpihak kepada BN/UMNO. BN/UMNO malah hanya menanti 1 kerusi sahaja lagi untuk menumbangkan kerajaan Kelantan yang diterajui PAS. Namun demikian, sesiapa pun tidak boleh menolak takdir Allah Yang Maha Kuasa. Kerajaan yang sedia ada ketika itu berjaya bertahan hingga ke pilihanraya umum ke-12 yang telah berlangsung pada 8 Mac 2008. Dalam pilihanraya berkenaan, kerajaan PAS dan PKR berjaya meraih 39 kerusi daripada 45 kerusi. Manakala BN/UMNO pula berjaya mempertahankan 6 kerusi sahaja. Pada hujung tahun lepas, apabila Galas terlepas, kedudukan kerusi di DUN memperlihatkan sedikit perubahan. Demikianlah serba ringkas senario politik di Kelantan.

Oleh itu, pada perkiraan saya, sebahagian besar rakyat Kelantan tidak akan memperjudikan kepimpinan seorang tuan guru seperti Tuan Guru Haji Nik Aziz semata-mata hanya untuk mendapatkan sebuah stadium yang baru. Sepatutnya, apa yang sewajibnya dilakukan oleh BN/UMNO jika benar-benar ingin merampas Kelantan daripada PAS khususnya pada masa ini ialah, mereka harus berkemampuan untuk mengenengahkan seorang pemimpin yang lebih hebat, lebih warak, lebih tawadhuk, lebih sederhana, lebih alim dan kalau boleh biarlah lebih serba-serbi daripada ketokohan Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz. Boleh ke???

Sebenarnya, hakikat ini amat disedari oleh ahli politik veteran seperti Datuk Seri Mohd Najib. Maklumlah beliau telah pun tercebur dalam dunia politik sekitar 35 tahun lamanya. Beliau juga amat sedar, jangankan sebuah stadium baru, kalau seluruh Bukit Marak menjadi emas pun, belum tahu lagi sebahagian besar orang Kelantan akan beralih kepada BN/UMNO, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Anggaplah saya sekadar penganalisis politik berstatus ikan bilis sahaja.

Pembetulan (6 Julai 2011; 11.30 PM):
Pada 12 Jun lalu, pasukan bola sepak Kelantan telah menjadi naib juara dalam merebut piala FA apabila ditewaskan oleh pasukan Terengganu 2-1.

1 comment:

TINTA EMAS said...

Betul tu cikgu. Cakaplah apapun, orang Kelantan biasanya tetap dengan pilihan mereka sekarang. PAS Kelantan bukan sahaja memenangi hati orang Islam tapi seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.

Pada pilihanraya 2008 lalu, saya mendengar khabar, pengempen dan penggantung poster untuk PAS tidak dibayar tetapi ramai anak muda yang bergotong-royong untuk PAS walaupun tiada imbuhan mewah. Malah, ada individu berbangsa Cina dengan rela hati mengkhabarkan, sesiapa yang bergotong-royong untuk PAS, dia akan belanja makan besar dan kata-kata itu dikotakan.

Begitulah hebatnya Nik Aziz. Beliau bukan saja mampu menambat hati orang Islam dan Melayu malah orang bukan Melayu dan Islam.