Tuesday, October 25, 2011

Mengunjungi Rumah Cikgu Salmah

Semalam (24 Oktober 2011, Isnin), Saya sekeluarga, Ustaz Ali Md Dahan, Ustaz Nadzri Salleh serta seorang lagi rakan, Ustaz Zuhaili telah berkesempatan untuk mengunjungi Cikgu Salmah yang terletak di Larkin, Johor Baru. Saya, Ustaz Ali serta ustaz Nadzri merupakan bekas murid Cikgu Salmah. Bagi saya sendiri, ini bukanlah kali pertama mengunjungi rumah Cikgu Salmah. Sedangkan bagi Ustaz Ali Md Dahan dan Ustaz Nadzri Salleh, ini merupakan kaii pertama mereka mengunjungi Cikgu Salmah selepas mereka meninggalkan sekolah rendah hampir 30 tahun lalu.



Sekitar jam 6.10 petang kami tiba di rumah Cikgu Salmah dengan dua buah kenderaan. Kedatangan kami disambut dengan begitu mesra sekali oleh Cikgu Salmah dan suaminya, Cikgu Sulaimin. Kedua-duanya merupakan bekas guru agama. Selain itu, Cikgu Salmah turut disertai oleh anak menantu dengan beberapa orang cucu.

Cikgu Salmah sudah 15 tahun bersara. Namun begitu, secara umumnya beliau masih sihat. Hanya lututnya sahaja yang menghadapi sedikit masalah.

Sebaik saya melangkah masuk ke rumahnya, Cikgu Salmah terus berkata: “Saya ingat awak nak bawa Rohani sekali.” Wah! Ingat betul Cikgu Salmah dengan Rohani, isteri cikgu Riizal. Rohani masa sekolah rendah dulu memang bersuara emas. Kalau fasal berzanji, bernasyid atau menyanyi, Rohani akan ke depan.



Pun begitu, cikgu Salmah tetap tidak lupa pada Ustaz Ali dan Ustaz Nadzri. Kenangan silam yang melibatkan kami bertiga sewaktu di sekolah rendah mula tersingkap satu persatu. Ada ketikanya berderai ketawa kami.

Cikgu Salmah pernah mengajar di SKPK Princess Elizabeth selama 11 tahun dan 4 bulan. Sewaktu mula mengajar di sekolah berkenaan, Cikgu Salmah memang ”buta Braille”. Dengan erti kala lain, beliau bukan berlatarbelakangkan pendidikan khas. Namun begitu, oleh kerana sifat penyayang yang tinggi yang beliau miliki, kekurangan sedemikian sama sekali tidak mematahkan semangat beliau. Tanpa membuang masa, beliau telah mula belajar Braille sedikit demi sedikit hingga beliau mahir dengan tulisan berkenaan. Bukan setakat mahir, bahkan Cikgu Salmah antara guru yang mengajar kami tulisan Alquran Braille, sama ada menulis ataupun membaca. Tidak cukup dengan itu, Cikgu Salmah juga turut menyalin ke dalam tulisan Braille kitab berzanji lengkap hingga ke rawi ke-19, kitab tahlil dan Yasin serta pelbagai doa.



Sesungguhnya ilmu yang telah diajarkan oleh Cikgu Salmah kepada saya serta rakan-rakan lain sedikit sebanyak telah dimanfaatkan dalam penghasilan panel E-Braille Quran Teaching Aid. Untuk itu, saya turut membawa seunit panel E-Braille untuk ditunjukkan kepada Cikgu Salmah. Saya memberikan penerangan mengenai kecanggihan teknologi masa kini serta manfaatnya kepada golongan seperti saya. Cikgu Salmah begitu gembira dan terharu dengan perkembangan masa kini.

Di samping itu, saya juga tidak lupa menyampaikan salam daripada beberapa orang bekas murid Cikgu Salmah. Ada di antara mereka yang faham, jika saya ke JB, saya akan ke rumah Cikgu Salmah dan juga beberapa orang bekas guru lain jika ada kesempatan. Maklumlah tanpa ilmu daripada mereka saya dan kita tidak akan berada di tempat sekarang.

Sekitar jam 6.45 petang, kami meminta diri untuk pulang semula di tempat penginapan. Lagi pun, di sebelah malamnya, kami harus menyambung kembali tugasan kami. Di sini, saya serta rakan-rakan yang datang ingin memohon berbanyak-banyak maaf kepada Cikgu Salmah sekeluarga kerana tidak dapat menunaikan hajat mereka untuk menjamu kami dengan makan malam. Masa tidak begitu mengizinkan.



Kepada Cikgu Salmah sekeluarga, berbanyak-banyak terima kasih kami ucapkan kerana kesudian menerima kehadiran kami. Insha-Allah, jika ada izin daripada Allah, kita akan bertemu lagi.

Salam dari JB.

Sunday, October 23, 2011

Berakhir Juga Rejim Gaddafi

Beberapa hari lepas, kita dan dunia telah menyaksikan bagaimana berakhirnya sebuah lagi rejim yang gah di timur tengah. Dengan terbunuhnya Muammar Gaddafi, maka berakhirlah satu lagi rejim kuku besi di Libya yang sudah tegak berkuasa selama 42 tahun. Sebelum ini, rejim Zainal Abidin bin Ali di Tunesia dan rejim Hosni Mubarak di Mesir juga telah ditumbangkan. Satu persamaan antara ketiga-tiga rejim di atas ialah kesemuanya terletak di kawasan Afrika utara.



Muammar Gaddafi asalnya merupakan seorang pegawai tentera Libya. Pada tahun 1969, ketika berpangkat colonel, beliau telah memimpin satu gerakan yang akhirnya berjaya menggulingkan Raja Idris yang memerintah Libya ketika itu. Peristiwa tersebut berlaku ketika Muammar Gaddafi berusia 27 tahun. Ini menunjukkan bahawa pada ketika itu Muammar Gaddafi merupakan seorang pegawai tentera yang berani, berwawasan dan berpengaruh.



Dari satu segi, Gaddafi merupakan seorang pemimpin yang berani dan berpendirian keras. Ketegasan beliau dalam penentangan terhadap provokasi Amerika Syarikat pada tahun 1986 telah menyerlahkan watak kewiraannya khususnya dalam kalangan negara-negara Arab. Justeru, Amerika Syarikat turut menyenaraikan Libya sebagai antara negara yang menaja keganasan. Hal ini diperkukuhkan lagi bilamana Libya turut dikaitkan dengan bantuan ke atas beberapa gerakan umat Islam menentang pemerintah setempat seperti gerakan pemisah Islam di selatan Thailand.

Manakala dalam negeri pula, Gaddafi telah memperlihatkan corak pemerintahan kuku besi dan sepihak. Boleh dikatakan era pemerintahan beliau tiada unsur demokrasi dalam erti kata sebenar. Mungkin Gaddafi ada rancangan untuk melaksanakan pembaharuan di Libya iaitu menjadikan negaranya sebuah negara bercorak demokratik tetapi beliau tidak sempat untuk menentukan tarikh pelaksanaannya. 42 tahun berkuasa yang telah dikurniakan untuk beliau telah digunakan sepenuhnya untuk mencari jalan bagaimana untuk mengekalkan kuasanya sahaja.

Seperkara yang ketara di saat-saat akhir pemerintahan beliau ialah Muammar Gaddafi seakan dipulau oleh jiran-jiran Arabnya. Beliau pernah cuba menghubungi presiden Algeria tetapi presiden berkenaan enggan menjawab panggilan daripada Gaddafi. Jika Zainal Abidin bin Ali telah mendapat perlindungan politik daripada kerajaan Arab Saudi, tetapi untuk Gaddafi seolah-olahnya tiada sebuah pun negarra Arab yang benar-benar sudi memberikan perlindungan kepada beliau. Gaddafi seolah-olahnya keseorangan di tengah-tengah dunia Arab.



Akhirnya rejim Gaddafi telah berakhir dalam keadaan yang amat tragis. Sepatutnya beliau mati sebagai seorang wira negara. Sebaliknya Gaddafi telah menemui ajalnya dalam keadaan dikeroyok dengan pelbagai kehinaan oleh rakyatnya sendiri.

Sepatutnya Gaddafi harus mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa berakhirnya rejim Hosni Mubarak di Mesir dan rejim Zainal Abidin bin Ali di Tunesia. Malangnya beliau gagal berbuat demikian. Gaddafi masih bermimpi untuk berkuasa seribu tahun lagi. Walaupun peluru yang beliau gunakan telah membunuh ribuan penentangnya, tetapi ia sama sekali tidak berupaya untuk membunuh semangat rakyatnya yang inginkan perubahan segera.

Hari ini, kita dan dunia masih memerhati dengan penuh teliti mengenai pergolakan yang masih berlaku di Syria dan Yaman. Nampaknya pemerintah di kedua-dua negara masih bebal untuk mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku di Libya, Mesir dan juga di Tunesia. Para pemimpin di negara-negara berkenaan masih bermimpi untuk berkuasa seribu tahun lagi. Ia sama sepertimana yang pernah diimpikan oleh Muammar Gaddafi sebelum ini.

Sebenarnya banyak pengajaran yang boleh kita jadikan iktibar daripada peristiwa berakhirnya ketiga-tiga rejim kuku besi di atas. Kepada golongan pemimpin tidak kiralah di peringkat mana sekali pun, mereka sebenarnya mempunyai tempoh tertentu untuk memimpin. Bila tiba masanya, teraju kepimpinan berkenaan harus diserahkan kembali. Kegagalan untuk belajar daripada sejarah akan menyebabkan seseorang itu dihukum dengan mengalaminya sendiri. Hal seperti inilah yang gagal dipelajari khususnya oleh mereka yang sedang memegang kuasa. Satu lagi, selaku pemimpin kita seharusnya mengakhiri era kepimpinan dengan cara dan nama yang baik. Ia selaras dengan pesan orang tua-tua kita, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Seperkara lagi, bagi mereka yang bukan pemimpin dan hanya sekadar menumpang sahaja dengan pemimpin yang sedia ada, tak payahlah berlagak macam orang yang sedang memimpin. Jika dahan tempat berpaut tiba-tiba reput dan rapuh, kitalah orang mula-mmula yang akan jatuh berdebub terjelupuk ke tanah. Peristiwa sebegini memang pernah berlaku depan mata, tetapi oleh kerana kebebalan sendiri untuk mengambil iktibar, esok atau lusa giliran yang berkenaan pula akan mengalami peristiwa yang sama. Demikianlah.

Kepada mereka yang sedang memegang kuasa, gunakanlah kuasa yang ada untuk berbuat kebajikan kepada seramai orang. Jangan pula nanti, setelah kehilangan kuasa baru hendak berkokok di tepi gelanggang. Bila sudah di tepi gelanggang, berkokoklah sekuat mana pun, orang lain hanya akanberkata, dulu masa ada kuasa mengapa tak buat ....?

Salam dari JB.

Friday, October 21, 2011

Coretan Untuk Tuan Haji Nazari

Tuan Haji Nazari Osman merupakan antara orang yang sememangnya dikenali khususnya dalam dunia golongan cacat penglihatan. Penglibatan beliau yang lama dan konsisten dalam aktiviti badan bukan kerajaan (NGO) khasnya Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) menjadikan beliau seorang yang amat sinonim dengan pertubuhan berkenaan. Dari segi kemasukan dalam SBM selaku ahli, saya telah mendahului beliau, tetapi dari segi penglibatan dalam aktiviti pertubuhan tersebut secara aktif dan berterusan, beliau jauh ke hadapan daripada saya.

Seingat saya, beliau jarang tidak hadir dalam mana-mana mesyuarat agung SBM, khususnya SBM pusat, sejak dekad 90-an lagi. Ketika itu, mesyuarat akan menjadi hidup dengan kehadiran beliau. Bersama-sama dengan dua orang rakan lagi, iaitu Abdul Karim Dalib (Allahyarham) dan Muhammad Fuad Tang (Allahyarham), ketiga-tiganya akan melontarkan pelbagai pandangan, luahan, kritikan dan tidak kurang juga idea bernas kepada barisan kepimpinan SBM waktu itu. Ada ketikanya beliau akan mencabar kedudukan pemimpin SBM tertentu dengan masuk bertanding dalam pemilihan AJK Pusat SBM (kini ia dikenali sebagai Ahli Majlis Presiden) dalam mesyuarat agung tertentu.

Antara keistimewaan/kelebihan yang dimiliki olen Tuan Haji Nazari ialah bakatnya ketika berpidato. Beliau bukan sahaja petah dan pandai mengatur bahasa, tetapi adakalanya pidatonya agak berapi-api dan mampu untuk mempengaruhi audiennya. Selain itu, beliau juga pandai mengatur strategi untuk mencapai cita-citanya. Satu lagi kelebihan yang ada pada Tuan Haji Nazari ialah kepandaiannya mencari dan mencuri kesempatan demi merealisasikan cita-citanya. Bahkan tidak keterlaluan jika saya katakan, beliau juga turut dikurniakan nikmat tertentu iaitu anak-anak yang bijak dalam pelajaran.



(Orang yang duduk di tengah ialah Tuan Haji Nazari)

Kini Tuan Haji Nazari sudah pun berada di puncak kepimpinannya dalam SBM. Sejak pertengahan tahun lalu, beliau telah berjaya menjawat jawatan sebagai presiden kepada pertubuhan tersebut. Ini bermakna, pada masa ini beliau telah melalui separuh daripada tempoh yang diperuntukkan untuknya selaku presiden sebelum jawatan berkenaan harus dipertandingkan semula pada tahun hadapan.

Sebagai perbandingan, dari sudut jumlah keahlian serta saiz pertubuhan, SBM jauh lebih ke hadapan daripada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). SBM mempunyai kawasan/cawangan di hampir setiap negeri di Malaysia. Manakala PERTIS pula hanya mempunyai cawangan di 5 buah negeri sahaja. Keahlian SBM pula sudah mencecah entah berapa ribu. Sedangkan keahlian PERTIS pula belum pun sampai ke angka 2 ribu orang. Ini menunjukkan kedudukan presiden SBM lebih unggul daripada YDP PERTIS.

Sama ada beliau sedar atau sebaliknya, apa yang sedang berlaku setelah lebih setahun beliau di puncak jawatan, kritikan serta luahan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan beliau semakin kerap kedengaran. Saya mula mendengar kritikan terhadap kepimpinan Tuan Haji Nazari sejak hujung bulan Mei lalu. Seorang rakan yang juga ahli lama SBM ada mengatakan: “Nazari memang pandai bercakap, tapi bila memimpin tak sama dengan apa yang dia cakap”. Selain itu, ada juga ahli lain pernah berkata: “Tahun depan kalau tak ada orang yang nak lawan Nazari, biar saya sahaja yang lawan dia”. Selanjutnya, saya juga pernah mendengar ahli yang lain berkata: “Nazari kena jaga-jaga, kalau silap langkah dia boleh kecundang tahun depan”. Ada juga ahli yang bersungut dengan berkata, waktu Nazari jadi presiden sekarang tak banyak projek (aktiviti), kalau nak projek kena tunggu lepas tahun depan. Apa maksudnya?

Ada juga ahli SBM yang lain mengatakan Tuan Haji Nazari kurang berani untuk membuat keputusan yang tegas dalam beberapa isu. Namun demikian,ahli berkenaan tidak pula menyatakan kepada saya secara terperinci isu mana yang dimaksudkan. Selanjutnya ada individu lain secara terus terang memberitahu saya dia sedang berusaha untuk memujuk bekas presiden terdahulu untuk masuk bertanding semula pada tahun hadapan bagi merebut semula jawatan presiden SBM. Pada masa yang sama, individu berkenaan turut sedar kemampuan Tuan Haji Nazari mengatur strategi bagi mempertahankan jawatannya selaku presiden SBM sekarang. Apakah erti semuanya ini?

Hakikatnya ialah, semakin ramai pihak yang mula mempertikaikan gaya dan cara kepimpinan Tuan Haji Nazari dalam SBM. Seandainya fenomena sebegini dibiarkan tanpa sebarang langkah penyelesaian yang konkrit, maka kedudukan Tuan Haji Nazari selaku presiden SBM pasti akan goyah dan rapuh menjelang mesyuarat agung dwitahunan pertubuhan tersebut pada tahun hadapan.

Dalam berpersatuan, tak kira apa bentuknya, perselisihan dan pergolakan merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Ia timbul atas banyak faktor. Ada antaranya disebabkan kepimpinan yang lemah. Ada juga disebabkan munculnya sikap berpuak terutamanya dalam kalangan AJK-nya. Tidak kurang juga ia disebabkan tohmah dan fitnah yang ditimbulkan oleh pihak-pihak yang busuk hati. Ada juga kerana sikap sesetengah ahli yang suka melempar batu pada air yang tenang. Lemparan sebegini boleh menimbulkan riak-riak kecil dan jika ia tidak ditangani dengan bijaksana riak-riak kecil ini akan boleh bertukar menjadi ombak dan gelombang.

Untuk memuaskan hati semua ahli adalah sesuatu yang hampir mustahil. Walau bagaimanapun, sebagai pemimpin kita harus berkemampuan untuk memberi kepuasan kepada sebahagian besar ahli. Jangan sekali-kali teragak-agak untuk membuat keputusan yang adil dan tegas pada perkara yang betul dan benar. Jangan berkroni dan bersifat nepotisme.

Sebagai orang lama khususnya dengan SBM, saya yakin Tuan Haji Nazari memang arif dengan perkara-perkara yang saya nyatakan di atas. Namun begitu, ada dua perkara yang menimbulkan keraguan kepada saya. Pertama, Adakah Tuan Haji Nazari benar-benar menyedari rungutan serta rasa tidak puas hati yang sedang melanda sesetengah ahli SBM? Kedua, Adakah Tuan Haji Nazari sedang mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk memperbaiki keadaan sebagaimana di atas?

Ada seorang ahli SBM memberitahu saya, antara lain kata beliau, sekarang pun Tuan Haji Nazari sedang melakukan sesuatu untuk memastikan beliau dapat mempertahankan kedudukannya selaku presiden SBM dalam pemilihan tahun hadapan jika ada. Persoalannya, adakah strategi (jika ada) yang sedang beliau laksanakan benar-benar sesuai dan selaras dengan permasalahan yang sedang timbul? Jangan pula terlalu asyik mendampingi ahli biasa sehingga terlupa untuk mendekati AJK di segenap peringkat yang sedia ada. Takut-takut nanti ada duri dalam daging atau api dalam sekam pula.

Bagi saya, apa yang sedang melanda masih lagi belum serius dan kritikal. Tuan Haji Nazari masih punya masa untuk membaiki keadaan. Sebagai orang lama, saya yakin Tuan Haji Nazari cukup faham dengan fenomena yang sedang berlaku kerana suatu masa dahulu, beliau sedikit sebanyak pernah terlibat dengan situasi yang lebih kurang serupa terhadap kepimpinan yang ada ketika itu.

Saya amat sedar dan insaf, pada masa yang sama kepimpinan saya dalam PERTIS juga turut sedang diperhati serta dinilai oleh pelbagai pihak.

Saya sekadar memerhati dari tepi gelanggang sahaja.

Maklumat Tambahan:
SBM ialah singkatan kepada Society Of The Blind In Malaysia.

Sunday, October 16, 2011

Santai Ahad

Hari ini, sekitar jam 8.30 pagi saya sekeluarga sudah bergerak meninggalkan KL dan haru-biru kesesakannya. Destinasi kami ialah ke Mentakab, Pahang. Pagi ini saya dijadualkan menghadiri mesyuarat peringkat AJK Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) negeri Pahang. Selaku YDP PERTIS Pusat serta penyelaras PERTIS Pahang, ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab saya.



Sekitar jam 10.15 pagi saya sekeluarga sudah pun tiba di lokasi mesyuarat, iaitu di pejabat PERTIS Pahang. Mesyuarat telah berlangsung sebagaimana yang dijadualkan. Semua AJK PERTIS Pahang telah hadirdan ia termasuk seorang kakitangan sambilan. Mesyuarat kali ini juga penting kerana salah satu agendanya ialah menyediakan belanjawan PERTIS Pahang untuk tahun 2012. Menyediakan belanjawan 2012 satu perkara, manakala untuk mencari wang yang diperlukan bagi menampung keperluan tersebut pula satu hal yang lain pula. Mesyuarat yang bermula pada jam 10.30 pagi telah berakhir pada jam 2.10 petang. Demikianlah.



Setelah selesai mesyuarat, saya sekeluarga pula telah ke ladang milik abang ipar saya yang letaknya dalam daerah Temerloh juga. Saya pernah mengisahkan mengenai ladang ini dalam blog ini beberapa ketika lalu.



Bagi saya, ladang ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Lokasinya jauh daripada kebisingan dan hiruk-pikuk kehidupan bandar dan kota. Oleh kerana letaknya tidak jauh daripada landasan kereta api, maka sekali-sekala saya boleh mendengar bunyi kereta api yang lalu. Ia sekaligus mengimbas kembali kenangan sewaktu saya di peringkat sekolah rendah kerana pada waktu itu saya akan menggunakan perkhidmatan kereta api untuk pulang bercuti di kampung dan balik semula ke asrama di JB setiap kali musim cuti penggal persekolahan. Selain itu, di sekitar kawasan ladang ini juga saya dapat mendengar bunyi-bunyian unggas terutamanya siulan burung yang beraneka ragam bunyinya. Sekali-sekala bila angin segar bertiup sepoi-sepoi bahasa, ia makin menyegarkan rasa dan mendamaikan jiwa. Demikianlah situasi di ladang ini.

Justeru, tidak menghairankan jika dalam diam tempat seperti ini saya jadikan sebagai tempat untuk mencari kedamaian jiwa, meneroka ilham serta menghumban segala stress dari kota besar.

Selesai makan tengah hari, saya duduk-duduk sahaja di beranda hadapan. Angin yang bertiup sungguh mendamaikan. Tatkala inilah berbagai cetusan ilham mula muncul melintasi minda. Kalau hendak dikutip satu persatu, memang tak berupaya kerana datangnya macam air deras.



Selepas asar, saya sekeluarga serta keluarga abang ipar saya terus ke bahagian belakang rumah. Di sini terdapat beberapa buah kolam ikan. Saya pernah memancing di sini. Pada kali ini, aktiviti memancing tidak boleh dilakukan lagi kerana ikan-ikan yangada masih belum matang lagi. Mungkin lagi sebulan dua bolehlah saya memancing lagi di sini, insha-Allah.





Sebagai ganti aktiviti memancing, saya serta Luqman telah memberi makan kepada ikan-ikan di kolam. Meriah juga kerana saya sendiri dapat mendengar dengan jelas bunyi sekalian ikan berebut makanan yang saya campakkan ke dalam kolam. Selepas sebuah kolam, ke sebuah kolam lagi saya datangi untuk memberi makan kepada sekalian ikan yang ada.





Tak sabar rasanya hendak menunggu sebulan dua lagi.



Bila hari kian menjelang petang, saya sekeluarga terpaksa meninggalkan ladang abang ipar saya. Orang yang paling berat untuk meninggalkan ladang kali ini ialah Luqman.



Sekitar jam 6.50 petang, kami sekeluarga sudah pun tiba semula di rumah kecil kami di KL.

Tuesday, October 4, 2011

Selamat Menduduki PMR

Hari ini, murid-murid tingkatan 3 seluruh negara mula menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Dengan itu, saya suka mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada seluruh murid tingkatan seluruh negara, selamat menduduki peperiksaan PMR. Manfaatkan masa yang ada untuk membuat ulang kaji setiap mata pelajaran secara terancang dan strategik yang bersesuaian dengan musim peperiksaan.



Selaku guru, saya sentiasa iringi anda semua dengan doa dan harapan.

Saturday, October 1, 2011

Pendidikan Kaimal

Sebelum saya pergi lebih jauh lagi dalam tulisan ini, perlu saya tegaskan di sini bahawa apa yang saya tulis ini adalah pandangan peribadi saya sahaja. Ia bukan kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak dan tulissan ini juga bukan mewakili mana-mana institusi.



Kaimal adalah akronim kepada Kemahiran Asas Individu Masalah Penglihatan. Antara tujuan pendidikan ini diperkenalkan ialah untuk memberikan pendidikan asas dalam aspek-aspek tertentu kepada murid-murid yang cacat penglihatan di peringkat sekolah rendah. Antara faktor penyebab pendidikan ini diperkenalkan ialah kerana pada dasarnya kemahiran-kemahiran yang terkandung dalam pendidikan ini tidak terdapat dalam kurikulum pendidikan arus perdana. Pada masa yang sama, adalah dirasakan bahawa pengajaran Kaimal amat perlu ke arah menyediakan seseorang murid cacat penglihatan supaya lebih berdikari, lebih berkeyakinan diri serta dapat menjalani kehidupan yang lebih sempurna dan teratur pada masa hadapan. Antara aspek yang diberikan penekanan dalam pendidikan Kaimal termasuklah orientasi dan mobiliti (O&M), pengurusan diri serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Saya masih ingat lagi sewaktu di peringkat sekolah rendah, pendidikan seumpama ini ada dilaksanakan. Pada masa itu, ia tidak dinamakan Kaimal. Bahkan seingat saya, tiada sebarang nama yang diberikan kepada pendidikan sedemikian. Pendidikan tersebut dilaksanakan di luar waktu persekolahan. Tiada sebarang kurikulum khusus yang boleh dijadikan sebagai garis panduan pelaksanaan pendidikan berkenaan. Ia bergantung sepenuhnya kepada kreativiti kakitangan sokongan aasrama untuk melaksanakannya.

Antara kemahiran yang diajar ketika itu termasuklah pengurusan diri yang merangkumi mandi dan membersihkan tubuh badan, menggosok gigi, berpakaian, melipat dan menggantung pakaian, mengemas tempat tidur, memasang dan mengikat tali kasut, mencuci kasut sekolah, menggunakan minyak rambut serta menyikat rambut. Di samping itu, turut diajar ialah cara makan yang betul sama ada dengan menggunakan tangan ataupun menggunakan sudu dan garfu. Selain itu, murid-murid waktu itu juga turut diajar cara menggosok pakaian dengan betul. Saya masih ingat lagi kaedah yang diajarkan kepada saya untuk menentukan sama ada setrika sudah panas atau belum dan ia memang berkesan dan jika kaedahnya betul ia memang tidak membahayakan kepada mereka yang cacat penglihatan. Dengan adanya pendidikan seperti ini, ia telah membolehkan murid-murid cacat penglihatan ketika itu menguruskan diri masing-masing dengan lebih berdikari lagi tanpa terlalu bergantung kepada orang lain. Ketika saya pulang ke rumah sewaktu musim cuti sekolah, bila kedua ibu bapa saya melihat saya mampu melakukan urusan pengurusan diri secara berdikari, mereka merasa kagum dan beruntung kerana saya telahdapat sesuatu dari sekolah.

Selain aspek pengurusan diri, pendidikan orientasi dan mobiliti turut diajar. Murid-murid cacat penglihatan diberikan pendedahan mengenai jenis-jenis tongkat, cara memegang tongkat dengan betul serta cara menggunakan tongkat dengan cara yang betul. Melalui pendidikan ini, seseorang murid yang cacat penglihatan akan lebih yakin untuk bergerak walaupun di tempat yang mereka tidak biasa. Oleh kerana pada masa lalu ICT masih belum berkembang, maka saya serta rakan-rakan yang seangkatan tidak dapat pendedahan mengenainya. Kami harus berusaha sendiri untuk memperoleh faedah daripada perkembangan pesat ICT yang berlaku pada hari ini.

Selain aspek-aspek yang telah dinyatakan tadi, sesetengah murid cacat penglihatan terutama yang pernah belajar di SKPK Princess Elizabeth suatu ketika dahulu pernah diajar bagaimana cara-cara memasak. Saya adalah antara murid yang paling malas untuk belajar memasak dan selalu mengelak bila nama saya tersenarai untuk belajar masak. Sebab itulah hingga sekarang saya memang tidak tahu memasak. Berbeza dengan sesetengah rakan saya yang lain di mana walaupun mereka cacat penglihatan seperti saya, tapi mereka ada yang pandai memasak. Setidak-tidaknya bila gerai atau warung tutup, mereka masih boleh makan nasi dan lauk panas yang dimasak sendiri.

Walaupun pada ketika itu tiada kurikulum khusus mengenai kemahiran sebagaimana yang dikenali sebagai Pendidikan Kaimal hari inni, namun begitu dengan kesungguhan serta kreativiti kakitangan yang terlibat, ia telah berjaya dilaksanakan dengan baik dan berkesan. Pada hari ini, saya serta rakan-rakan yang pernah melaluinya lebih yakin dan rasanya lebih berdikari dalam menjalani kehidupan seharian.

Hari ini, dengan tujuan untuk memantapkan lagi kemahiran asas tertentu yang sangat diperlukan oleh murid-murid cacat penglihatan, maka unit tertentu di Kementerian Pelajaran Malaysia telah merangka satu kurikulum yang lengkap dalam serba-serbi untuk digunakan di peringkat pendidikan rendah. Berbeza dengan pelaksanaannya pada masa lalu di mana hanya kakitangan sokongan bahagian asrama akan berperanan besar dalam pelaksanaannya, kali ini pelaksanaannya akan dijalankan oleh guru dengan dibantu oleh kakitangan berstatus pembantu pengurusan murid (PPM).

Pada pendapat saya, di peringkat perancangan, ia nampak mantap, menyuluruh serta merangkumi hampir semua aspek kemahiran asas yang diperlukan oleh seseorang murid cacat penglihatan. Adalah diharapkan semoga pada peringkat pelaksanaannya nanti, ia akan dapat dilaksanakan oleh mereka yang juga terlatih, berwawasan dan yang paling penting kreatif dalam menerapkan segala kemahiran yang diperlukan oleh seseorang murid yang cacat penglihatan sebagaimana yang terkandung dalam semua dokumen asas perancangan pendidikan Kaimal itu sendiri.

Di sini, secara peribadi, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada semua pegawai dan kakitangan di Unit Masalah Penglihatan, Sektor Pendidikan Khas, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia kerana telah meneroka usaha untuk memberikan pendidikan asas kemahiran khas yang sesuai dan sangat diperlukan oleh murid-murid cacat penglihatan. Terima kasih dan tahniah juga tidak lupa saya tujukan kepada semua guru yang selama ini terlibat secara langsung dan juga tidak langsung dalam menyokong usaha nurni ini.