Sunday, April 15, 2012

Menghadiri Mesyuarat Agung PERTIS Pahang




Pagi tadi, saya berkesempatan untuk menghadiri mesyuarat agung Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Pahang. Mesyuarat telah berlangsung di pejabat PERTIS Pahang di mentakab. Mesyuarat kali ke-17 PERTIS Pahang kali ini telah dirasmikan oleh Ustaz Mohd Azmi daripada pejabat Majlis Ugama Islam Pahang Cawangan Temerloh bagi mewakili Timbalan Yang Di-Pertua MUIP.

Mesyuarat telah berlangsung dalam keadaan yang sangat baik dan ceria. Terdapat sedikit kelainan dalam mesyuarat kali ini. Kelainan yang saya maksudkan ialah tatkala proses cadangan untuk memilih barisan AJK yang baru, tolak-menolak tidak berlaku dengan begitu hebat sebagaimana dalam mesyuarat agung yang lepas-lepas. Tolak-menolak yang saya maksudkan ialah apabila nama seseorang ahli dicadangkan untuk satu-satu jawatan, mereka akan menolaknya. Berdasarkan pengalaman saya dengan PERTIS Pahang beberapa tahun, situasi tolak-menolak seperti ini memang kerap dan bila ianya berlaku ia akan berpanjangan. Adakalanya untuk satu-satu jawatan ia akan memakan masa yang lama untuk diselesaikan gara-gara para ahli PERTIS Pahang seakan tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Alhamdulillah kali ini mesyuarat telah berlangsung sekitar 2 jam setengah sahaja. Masa yang lama diambil hanya untuk membacakan minit dan laporan kepada para ahli. Maklumlah rata-rata mereka masih tidak mahir dengan Braille. Justeru bagi memenuhi keperluan, kaedah membacakan minit dan laporan dalammesyuarat terpaksa digunakan bagi membolehkan para ahli akses kepada minit mesyuarat dan juga laporan aktiviti tahunan serta laporanan kewangan.

Di sini, saya tidak lupa utuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih khususnya kepada para sukarelawan yang telah bekerja keras untuk melancarkan perjalanan mesyuarat siang tadi Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada Pn. Siti Fatimah Osman (Kak Jah) yang merupakan petugas di pejabat PERTIS Pahang kerana tidak jemu-jemu membacakan pelbagai dokumen kepada para ahli PERTIS Pahang tatkala mesyuarat berlangsung.

Kepada barisan AJK baru PERTIS Pahang, saya ucapkan tahniah dan selamat bertugas.

No comments: