Thursday, January 17, 2013

KS Bawani: Tiba-tiba Jadi Popular




Dengan tidak semena-mena, nama KS Bawani menjadi begitu popular, masyhur dan terkenal. Nama gadis India yang masih berstatus siswi ini kian hangat meniti dari bibir ke bibir orang Malaysia. Populariti beliau meletup secara tiba-tiba. Macam mana boleh terjadi demikian? Bukannya mudah untuk jadi popular secara tiba-tiba begini!


Segala-galanya bertitik tolak daripada satu forum yang telah diadakan di UUM pada awal Disember tahun lalu. Letupan populariti KS Bawani bermula apabila vedio yang memaparkan sebahagian daripada perjalanan forum berkenaan tersebar menerusi internet. Sebenarnya serentak dengan itu juga, Sharifah Zohra Jabeen turut sama popular, tetapi bentuk popularitinya berbeza dengan populariti yang sedang dikecapi oleh KS Bawani.





Pandangan yang dilontarkan oleh Bawani dalam forum berkenaan amat bertentangan sekali dengan kehendak dan agenda yang tersirat di sebalik penganjuran forum berkenaan. Ini ditambah pula dengan kekentalan Bawani dalam mempertahankan pandangannya. Maka pada ketika itu bertemulah antara wanita besi karat dengan wanita besi berani.


Saya amat bersetuju dengan pandangan bahawa tidak sepatutnya Sharifah Zohra mengendalikan lontaran pandangan oleh Bawani dengan sebegitu rupa (sebagaimana yang terpampang dalam vedio yang tersebar menerusi internet). Beliau berulang kali mengungkapkan kalimah “listen, listen, listen .... “ entah berapa kali. Pada masa yang sama beliau enggan mendengar lontaran pandangan yang ingin disuarakan oleh mahasiswa seperti Bawani. Jadi kian kukuhlah jika ada pendapat yang mengatakan bahawa antara agenda tersembunyi di sebalik forum berkenaan ialah brain wash. Dengan erti kata lain, beliau (Sharifah Zohra Jabeen) langsung tidak pandai berdiplomasi dalam mengendalikan runtunan darah muda seorang mahasiswa seperti Bawani. Apa yang terjadi, tindakan Sharifah Zohra lebih merupakan diktator daripada seorang moderator.


Hasil tindakan tidak profesional moderator forum seperti Sharifah Zohra itu sebenarnya yang telah menyebabkan Bawani tiba-tiba sahaja menjadi popular. Selain itu, tindakan tidak berdiplomasi sedemikian telah mengakibatkan agenda sebenar di sebalik penganuran forum berkenaan kian terserlah. Apa yang dilakukan oleh Sharifah Zohra tak ubah bagai menungkah arus, air pasang dia ke muara, air surut dia ke hulu.


Secara peribadi, saya ingin mengalungkan ucapan syabas kepada Bawani di atas keberanian beliau dalam melontarkan pandangannya dan seterusnya mempertahankan apa yang telah beliau luahkan. Kekentalan beliau kian terserlah bilamana pada masa itu tiada peserta forum lain yang turut bersama-sama mempertahankan beliau. Seolah-olahnya beliau bersendirian ketika itu. Walaupun ketika itu beliau terpaksa mengalah, tetapi pada hari ini ramai yang bersama beliau.


Hari ini, nama KS Bawani kian harum disanjung orang. Manakala nama Sharifah Zohra Jabeen pula kian busuk dicemuh orang.


Nampaknya lepas ini ungkapan “listen, listen, listen” akan jadi popular juga agaknya!

No comments: