Saturday, August 24, 2013

Saya Kembali Menerajui PERTIS



Pada 20 Ogos 2013 lalu, saya menerima surat daripada Naib Yang Di-Pertua (NYDP) Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) yang antara lain isi kandungannya menyatakan bahawa mesyuarat kepimpinan yang telah diadakan sehari sebelumnya telah secara sebulat suara menolak perletakan jawatan saya selaku Yang Di-Pertua (YDP) PERTIS hampir sebulan sebelumnya. Menurut kandungan surat berkenaan, terdapat 4 sebab mengapa kepimpinan PERTIS yang ada sekarang telah menolak perletakan jawatan saya.


Hakikatnya, saya tidak dapat lari dari realiti sendiri iaitu saya masih berminat untuk menerajui PERTIS. Namun atas beberapa sebab tertentu, saya terpaksa mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan. Dalam tempoh perletakan jawatan saya, beberapa individu dan pihak telah menghubungi saya dengan pelbagai cara. Ada yang menghubungi saya menerusi telefon dan SMS. Ada juga yang menghubungi saya menerusi email. Mungkin saya tidak begitu aktif menerusi skype, maka itulah mereka tidak menghubungi saya melalui saluran tersebut.


Pelbagai pandangan, pendapat dan luahan mereka utarakan berhubung dengan perletakan jawatan saya. Bahkan ada juga rakan yang menganggap apa yang saya lakukan sebagai dayus. Benar ke saya begitu? Antara lain, ada yang mengatakan saya hanya bermasalah dengan seorang, jadi mengapa saya harus tinggalkan yang lainnya? Di samping itu, ramai juga yang telah memberikan respon dalam bentuk cadangan ke arah memulihkan keadaan dan seterusnya untuk membolehkan saya menerajui semula PERTIS.


Selain itu, ada juga dalam rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam yang turut sama menghubungi saya dan meluahkan pendapat mereka berhubung dengan perletakan jawatan saya. Ini menunjukkan bahawa PERTIS selama ini turut sama mendapat perhatian daripada semua pihak. Saya yakin, perhatian mereka terhadap PERTIS bukan kerana cemburu, tetapi mungkin mencari ruang untuk menjalinkan kerjasama sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung.


Antara yang telah menghubungi saya ialah segelintir orang yang saya anggap sebagai ahli-ahli veteran PERTIS. Mereka turut meluahkan kekecewaan yang amat sangat jika secara tiba-tiba PERTIS ranap dan lingkup begitu sahaja. Walhal golongan ahli PERTIS veteran inilah yang telah bertungkus-lumus dalam proses penubuhan dan pendaftaran PERTIS pada dekad 90-an dahulu. Setelah melihat kesungguhan ahli veteran PERTIS ini untuk tidak mahu melihat PERTIS ranap dan hancur, lalu saya pun berterus-terang dengan mereka sebab-sebab saya meletakkan jawatan. Selanjutnya, saya memberi dua syarat jika ingin dikembalikan ke jawatan lama saya selaku YDP PERTIS.


Golongan ahli veteran ini rupa-rupanya telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi dan seterusnya merialisasikan kedua-dua syarat yang telah saya kemukakan. Akhirnya pada 20 Ogos 2013, syarat-syarat yang telah saya kemukakan sebelumnya telah mereka realisasikan. Setelah saya yakin bahawa syarat-syarat yang telah saya kemukakan dipenuhi, maka itulah pada 21 Ogos 2013 saya telah menulis surat kepada NYDP PERTIS dengan menyatakan persetujuan saya untuk menarik kembali perletakan jawatan saya selaku YDP PERTIS. Perlu saya jelaskan di sini, sekiranya kedua-dua syarat yang telah saya kemukakan tidak dipenuhi, tidak mungkin saya akan menerima kembali jawatan selaku YDP PERTIS. Saya juga perlu tegaskan pendirian saya di sini, sekiranya selepas ini syarat-syarat yang telah dipenuhi dicabuli, saya tidak teragak-agak untuk berundur terus daripada kepimpinan PERTIS buat selama-lamanya.


Kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan kepada PERTIS dan sentiasa ingin melihat PERTIS terus ke hadapan dalam usaha untuk sama-sama berkhidmat serta menabur budi dan bakti kepada golongan sasar, setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan. Sokongan, dorongan dan dokongan anda merupakan pemangkikn kepada iltizam saya dan seluruh barisan kepimpinan PERTIS untuk berkhidmat dengan lebih gigih lagi, insha-Allah.


Kini saya kembali menerajui PERTIS semula.



Wednesday, August 21, 2013

Ahli PERTIS Terengganu Kembali Ke Rahmatullah



Tengah hari tadi, saya menerima maklumat daripada En. Fauzi Mansor yang juga Pengerusi Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) negeri Terengganu bahawa salah seorang ahli biasa PERTIS Terengganu telah kembali ke rahmatullah. Ahli yang dimaksudkan ialah Allahyarham En. Mansor bin Adam. Menurut maklumat yang saya perolehi, Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya sekitar jam 11 pagi tadi. Setakat ini tidak diketahui punca sebenar kepada kematian beliau.


Kepada ahli keluarga Allahyarham, saya mengucapkan takziah. Bersabarlah menerima ujian daripada Allah. Masa untuk beliau meninggalkan dunia yang fana ini sudah tiba untuk kembali ke alam yang baqa.


Marilah kita sama-sama mendoakan semoga Allahyarham ditempatkan bersama-sama dengan para solihin, insha-Allah.


Alfatihah ....




Sunday, August 18, 2013

Cebisan Kandungan Email Liar Daripada Setiausaha Agung PERTIS



Sejak saya meletakkan jawatan selaku yang Di-Pertua (YDP) di Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) awal bulan ini, ada yang telah menghubungi saya dan ingin tahu isi kandungan email liar daripada sang setiausaha agung berkenaan. Sebagaimana yang telah saya jelaskan, buat masa ini, saya tidak bercadang untuk memaparkan isi kandungan penuh email liar tersebut. Apa yang dapat saya rumuskan daripada isi kandungan email liar berkenaan ialah sang setiausaha agung PERTIS yang ada sekrang bukan sahaja buta matanya, tetapi beliau juga buta peraturan, buta perlembagaan dan juga buta akhlak. Isu-isu yang beliau ketengahkan dalam email liarnya tidak lebih daripada merupakan penonjolan budi dan mindanya yang bodoh, bebal dan baghal kelas bawahan. Kesemua isu yang beliau bangkitkan hanyalah sekadar tohmahan yang dapat dipatahkan dengan hujah yang mudah lagi sahih.


Walau bagaimanapun, sebagai tatapan bersama, di bawah ini saya perturunkan juga cebisan daripada kandungan email liar beliau kepada saya pada 31 Julai lalu. Petikan cebisan ini saya tidak ubah walau satu huruf pun. Bacalah dan telitilah kandungannya baik-baik:


“.... DI BELAKANG YOU YOURSELF
BANYAK DIA KATA TENTANG YOU…TAPI SAYA TAK KUASALAH IKUT PERANGAI
DIA…JADI ANAK FIR’AUN SUKA MENGADU DOMBA DAN MANIS DI HADAPAN PAHIT DI
BELAKANG…CUMA YANG PERLU TAHU YANG DIA ADA CAKAP BUDAK-BUDAK SMPK TAK
RAMAI YANG SUKAKAN YOU BERBANDING GURU-GURU OKU PENGLIHATAN LAIN
TERUTAMA WAKTU TUTION, NAK-NAK BILA WIFE YOU ADA SEBAB DIA SUKA REPORT
MANA STUDENT YANG TIDUR ATAU MAKING FOOLS AROUND WHILE YOU WERE
TEACHING.....”


Setelah membaca cebisan isi kandungan di atas, beberapa persoalan timbul dalam minda saya. Pertama, apa kaitannya urusan saya di sekolah dengan PERTIS? Dalam konteks email yang dihantarnya, beliau menghantar email kepada YDP PERTIS dan bukannya kepada pegawai kerajaan. Sama ada saya disukai atau tidak di sekolah terutamanya oleh anak-anak murid saya, apa kaitannya dengan PERTIS? Jika kaedah yang saya gunakan untuk mengawal tingkah laku murid-murid saya seperti yang beliau tulis menyalahi mana-mana peraturan atau mana-mana pekeliling yang sedang berkuat kuasa, sila laporkan terus kepada pengetua di sekolah tempat saya bertugas di talian 03-41493701!


Kedua, Kalau diperhatikan bahasa yang digunakan memang kesat. Begitulah akhlak beliau agaknya. Walhal tatkala beliau menulis sedemikian, kita semua masih berada di hujung Ramadhan. Adakah beliau sememangnya tidak berpuasa tatkala menukilkan bahasa kesat sedemikian? Adakah di antara kita tahu siapa “anak fir’aun” yang beliau maksudkan dalam tulisannya itu? Kalau hamba Allah yang itu digelarnya “anak fir’aun”, yang suka menghantar SMS dan email liar seperti ini pula anak apa pula???


Ketiga, Mengapa beliau sibuk dengan urusan saya di sekolah tempat saya bertugas? Daripada beliau sibuk jaga tepi kain orang, adalah lebih baik jika beliau muhasabah dirinya sendiri. Contohnya, dalam setahun berapa kali beliau datang ke pejabat di JKR sana?


Kalau tidak faham dengan bidang tugas seorang pendidik, lebih baik diam saja. Tidak perlu bercakap dan tidak payah mengulas mengenainya. Bila hendak juga bercakap dan mengulas dalam keadaan tidak faham, maka semakin terserlah kebodohan, kebebalan dan kebaghalan Sang yang seorang ini. Kalau dia tidak suka orang lain campur tangan dalam urusan kerjanya, orang lain pun begitu juga!!!


Sebenarnya sikap keji dan sifat jijik sang yang seorang ini yang gemar menghantar SMS atau email liar sebegini bukanlah sesuatu yang baru. Selama ini pun, itulah kerja dan hobinya. Mungkin dia tidak ada banyak kerja atau tidak ada kerja langsung di pejabat, maka itu dia punyai terlalu banyak masa lapang untuk membolehkan beliau terus kreatif berkarya dengan SMS dan email liarnya kepada sesiapa sahaja yang beliau tidak sukai. Sementalahan pula, hampir setiap mangsa SMS atau email liarnya tidak mengambil sebarang tindakan atau respon terhadap SMS atau email liar yang dihantar oleh sang yang seorang ini, maka semakin bermaharajalela dan kian berleluasalah hobinya. Sebenarnya mangsa SMS atau email liarnya bukan tidak mahu ambil tindakan, tetapi mereka sebenarnya amat penyabar selain meluat dan manyampah dengan akhlak keji sang yang seorang ini. Paling jauh pun ada yang sekadar menangis bila menerima SMS liar dan busuk sebegitu. Jauh dalam hati, mereka berharap semoga beliau akan insaf dan berubah suatu hari nanti. Saya masih ingat lagi, salah seorang bekas juruaudit dalam PERTIS merancang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau gara-gara email busuknya kepada bekas juruaudit berkenaan pada pertengahan tahun ini, tetapi saya dan rakan-rakan lain dalam AJK PERTIS ketika itu memberi pandangan supaya tindakan sedemikian tidak diambil ke atas sang yang seorang ini. Ramai yang berharap agar Kemalangan yang mengakibatkan beliau patah tangan (nasib baik tak kudung terus) gara-gara dilangar kenderaan 31 mac 2012 lalu akan membawa perubahan dalam diri beliau. Rupa-rupanya harapan mereka meleset dan jauh daripada menjadi kenyataan bak jauh panggang dari api. Setelah kini pulih, beliau semakin galak dan kian liar dalam meneruskan hobi jijiknya.


Di bawah ini saya perturunkan salah satu daripada entah berapa banyak SMS liar Setiausaha Agung PERTIS yang ada sekarang yang pernah dihantarnya kepada saya pada 26 Ogos 2011 lalu. Tatkala SMS di bawah ini beliau tulis dan beliau hantar, umat Islam juga masih lagi berada di hujung bulan Ramadhan tahun 1432 Hijrah. Kandungan, tarikh serta nombor telefon yang beliau gunakan ketika itu saya tidak edit langsung. Apa yang saya buang ialah nama mereka yang terlibat dalam SMS berkenaan supaya mereka tidak ditimpa aib menerusi tulisan ini. Walaupun kandungan SMS berkenaan bukan ditujukan kepada saya, tetapi ia ditujukan kepada salah seorang AJK Pusat PERTIS ketika itu.


“TEL:+60192551232
Date:26.8.2011 20:51:02
Mls la aku join kau org. Nak2 janda kecoh tu ada. Tdi ptg aku ada kat prtis. Ada pluang aku chau blk. Pns hti btul aku dgn jnda tu. Dia asyik jual dan guna nm aku utk kpntgan dia. Hri tu ********** mrh aku, gara2 jnda lmbab otak tu jgk. Dia ckp pd jnda ********** yg abu ckp awak x byr yrn, jdi nm kna potong utk bntuan 100 org tu. Kna basuh gak ********** dgn aku, aku maki dia babi dan aku kt patut la jdi jnda, prgai x snnoh. Tdi ********** call, dia ckp ********** ckp abu x bgi ambl dt smbgan 100 org tu bgi phk org lain. Pd hal aku x thu apa2 dan x cmprtgn lgsg hal aktvti dia. Smua dia guna nm aku. Nnti yg gdh dgn ahli dan kna mrh dgn ahli2, aku gak. Dia sdp sn sini bw pntat haring jnda usang dia. Celaka laknatullah sguh dia.”


Malam tadi pula, saya berkesempatan berkunjung ke rumah salah seorang rakan. Sewaktu berbual-bual, rakan berkenaan bertanya berkenaan perletakan jawatan saya di PERTIS. Saya menjawab ringkas iaitu tidak lagi sehaluan dengan setiausaha agung PERTIS yang ada sekarang. Lalu rakan berkenaan pun berceritalah apa yang pernah menimpanya kira-kira dua tahun lalu juga gara-gara SMS liar daripada setiausaha agung PERTIS yang ada sekarang. Kata rakan saya ini, hanya kerana kuih raya, sang yang seorang ini sanggup menghantar SMS kepadanya supaya dia (rakan saya ini) ceraikan sahaja isterinya. Sesungguhnya talak cerai bukan perkara yang boleh dibuat main-main. Takkanlah kerana kuih raya sebuah masjid hendak dirobohkan! Tatkala bercerita hal tersebut, kedengaran suara rakan saya masih sayu dan kesal. Kerana peristiwa itulah juga, kata rakan saya ini, dia tidak lagi menjejakkan kakinya ke PERTIS. Kini barulah saya faham mengapa dia sudah lama tidak muncul di ibu pejabat PERTIS.


Sebenarnya SMS atau email liar seperti ini daripada setiausaha agung PERTIS yang ada sekarang bukan satu, bukannya dua dan bukannya sepuluh, bahkan lebih daripada itu. Apa yang saya paparkan sekadar contoh dan bukti sahaja. Sepertimana yang telah saya nyatakan sebelum ini, demi Allah, Dialah yang akan memaparkan semua semua kandungan SMS dan email liar yang pernah dihantar oleh setiausaha agung PERTIS yang ada sekarang kepada saudara-saudara seagamanya di padang mahsyar kelak. Bagi mereka yang waras, kita sama-sama dapat memerhatikan betapa keji, busuk dan liarnya kandungan SMS daripada seorang yang berstatus setiausaha agung dalam sebuah organisasi yang berorientasikan Islam. Kelakuan sumbangnya ini bukan sahaja mencemarkan nama baik dirinya sendiri, bahkan ia turut terpalit kepada organisasi yang mana dia adalah setiausaha agungnya.


Saya serta rakan-rakan lain dalam barisan kepimpinan PERTIS sudah memberikan pelbagai nasihat dan peringatan supaya sang yang seorang ini menghentikan sifat dan sikap buruknya. Sebagai contoh, dalam ucapan pembukaan mesyuarat AJK Pusat pada 19 November 2011 (Sabtu), saya tanpa berselindung telah menasihati beliau dan semua yang hadir agar menghentikan perbuatan menghantar SMS liar dan busuk. Namun begitu, kerana sikap angkoh, sombong serta gah yang sememangnya sudah kukuh berakar tunjang dalam dirinya, beliau tidak pernah menghiraukan segala nasihat yang diberi kepadanya. Bahkan perbuatannya yang sering ingkar kepada arahan mesyuarat kerja dan mesyuarat pusat semakin menjadi-jadi. Akibatnya timbul rasa tidak percaya-mempercayai dalam kalangan AJK Pusat khususnya ketika pelaksanaan mesyuarat kerja atau pusat.


Apabila saya meletakkan jawatan selaku YDP PERTIS, ramai yang mengajukan persoalan, mengapa saya yang berundur dan bukannya setiausaha agung yang diundurkan? Jawapannya mudah sahaja. Saya bukannya gila kuasa. Ia juga bertujuan untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian dalam PERTIS sendiri. Lagipun setiausaha agung yang ada sekarang lebih popular daripada saya. Maka itulah kedudukannya selaku setiausaha agung jarang dicabar dalam mana-mana mesyuarat agung. Bila tiada cabaran, ia bermakna keseluruhan ahli PERTIS amat selesa dengan gaya dan corak beliau mentadbir PERTIS. Bahkan mungkin sebahagian ahli juga bersetuju dengan sikap dan akhlak beliau yang gemar menghantar SMS dan email liar dan busuk kepada sesiapa sahaja yang beliau tidak sukai. Sebab itulah juga hingga sekarang tiada siapa pun yang secara sukarela sudi tampil untuk menggantikan kedudukan beliau. Lagipun, setiausaha agung yang ada sekarang suka menganjurkan aktiviti yang kononnya grand menerusi biro yang beliau ketuai. Setiap aktiviti anjurannya akan mendapat sambutan hangat daripada ahli. Sedangkan pada masa sama, ramai yang tidak tahu apa yang berlaku di sebalik penganjuran aktiviti yang kononnya grand dan gah tersebut. Manakala kedudukan saya selaku YDP pernah dicabar dua tahun lalu. Ini menunjukkan populariti saya selaku YDP lebih rendah jika dibandingkan dengan setiausaha agung yang ada sekarang. Maka itulah biarlah saya yang berundur.


Saya amat bersyukur ke hadhrat Allah kerana sewaktu saya meletakkan jawatan, saya tidak menyelewengkan wang PERTIS walaupun sekadar RM 60 ribu. Saya juga amat bersyukur kerana saya tidak memusnahkan walau 1 halaman dokumen pun bagi memusnahkan bukti untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil ke atas saya oleh PERTIS jika saya benar-benar telah menyelewengkan wang PERTIS.


Kepada setiausaha agung PERTIS yang ada sekarang yang kian popular namanya, anda jangan sekadar pandai mengungkit apa yang telah anda lakukan untuk orang lain, anda juga tidak seharusnya buat-buat lupa apa yang orang lain telah lakukan untuk menolong anda selama ini!!!




Wednesday, August 7, 2013

Kita Di Hujung Ramadhan 1434




Masa terlalu cepat berlalu. Saya pernah mendengar ada hadith yang memaklumkan bahawa antara tanda-tanda hari kiamat akan tiba ialah perjalanan waktu semakin cepat. Sedar tak sedar, kita sudah pun berada di hujung Ramadhan bagi tahun 1434 Hijrah. Ini bermakna, kita akan berpisah lagi dengan bulan Ramadhan. Sesungguhnya bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh keberkatan, kelebihan serta keistimewaan yang tersendiri yang tiada pada bulan-bulan yang lain. Maka itulah juga, Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda yang antara lain mafhumnya, jika kamu mengetahui kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan, nescaya kamu akan memintanya untuk sepanjang tahun. Demikianlah.


Sepertimana perpisahan dengan Ramadhan pada masa lalu, perpisahan kali ini juga tidak pernah menjanjikan satu pertemuan semula pada tahun hadapan. Ini bermakna, Ramadhan kali ini mungkin yang terakhir untuk kita! Jika sebelum ini, kita telah menyaksikan bahawa ada dalam kalangan kerabat kita, saudara-mara kita, rakan taulan kita atau orang-orang yang hampir dengan kita tidak lagi berkesempatan untuk bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun ini, hal yang serupa juga tidak mustahil untuk berlaku ke atas diri kita pula pada kali ini. Sesungguhnya saat untuk kita kembali kepada-Nya merupakan antara 5 perkara yang Allah sengaja rahsiakannya daripada pengetahuan makhluk-Nya seperti kita (ayat 34, surah Luqman, juzuk 21).


Berbahagialah orang yang telah mendapat rahmat, maghfirah serta dipelihara daripada siksa neraka oleh Allah bersempena dengan Ramadhan kali ini. Amat malanglah kepada orang yang gagal memperolehi ketiga-tiga perkara tersebut daripada Allah bersempena Ramadhan kali ini. Kerana seperti yang saya katakan tadi, tiada kepastian bagi kita untuk bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun berikutnya.


Insan yang paling beruntung setiap kali kehadiran Ramadhan ialah mereka yang mendapat anugerah lailatul qadar. Barang siapa yang mendapat anugerah tersebut, maka ibadah yang dilakukan pada malam tersebut lebih baik daripada seribu bulan. Demikian Allah telah memberitahu kita menerusi Alquran. Walaupun semua orang boleh dan layak untuk mendapat anugerah tersebut, tetapi anugerah tersebut tidak diberikan kepada semua orang. Hanya mereka yang memenuhi syarat dan kriteria yang telah ditetapkan sahaja yang layak untuk memperolehi anugerah lailatul qadar.


Di saat-saat perpisahan dengan Ramadhan kali ini, kita hanya mampu untuk berdoa semoga Allah memberi peluang dan kesempatan sekali lagi untuk kita bertemu dengan Ramadhan pada tahun berikutnya. Namun begitu, kabul atau tidak permohonan kita itu, ia merupakan hak mutlak mandatori Pencipta kita.


Ramadhan juga merupakan bulan tarbiah. Selain melaksanakan ibadah wajib (puasa), kita amat dituntut untuk melipatgandakan pelbagai amalan sunat di sepanjang bulan berkenaan. Sekiranya amalan-amalan sunat yang telah dilaksanakan pada bulan Ramadhan dapat dikekalkan selepas pemergian Ramadhan, maka ia sebagai tanda bahawa kita telah berjaya melalui proses tarbiah Ramadhan. Sebaliknya, jika tiada perubahan selepas Ramadhan iaitu keadaan kembali kepada asal sebagaimana sebelum Ramadhan, mungkin kita memerlukan kehadiran Ramadhan lagi untuk proses tarbiah yang selanjutnya. Namun demikian, sepertimana yang saya telah nyatakan, tiada kepastian untuk bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Demikianlah ketentuan-Nya yang harus kita sama-sama akur.


Sesungguhnya makhluk di langit dan sebilangan makhluk di bumi akan meratap hiba di saat berpisah dengan Ramadhan.




Monday, August 5, 2013

Siapa YDP PERTIS Selepas Ini




Setelah saya melepaskan jawatan selaku Yang Di-Pertua (YDP) bagi Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), satu persoalan penting yang menghujani saya daripada ramai ahli PERTIS ialah, siapa yang akan mengisi kekosongan jawatan tersebut? Dari aspek kepentingan pentadbiran dan pengurusan persatuan, kekosongan jawatan YDP harus diisi dengan seberapa segera yang boleh. Ketiadaan YDP boleh menterencatkan kemajuan dan perkembangan dalam persatuan. Ia juga boleh menimbulkan suasana yang tidak harmonis dalam persatuan itu sendiri. Sedangkan YDP masih ada pun suasana sedemikian boleh ditimbulkan oleh sang makhluk perosak tertentu! Apatah lagi jika kekosongan jawatan YDP dalam PERTIS dibiarkan terlalu lama. Sudah tentulah kesan buruknya akan cepat menjerkah.


Antara lain, Perlembagaan PERTIS Fasal 8 (6) berbunyi:


Bila mana-mana pegawai persatuan meletakkan jawatan atau terlucut jawatannya dalam Jawatankuasa Pusat atau meninggal dunia, calon atau calon-calon yang lain yang telah bertanding untuk jawatan berkenaan di dalam pemilihan yang lepas, menurut urutan bilangan undi terbanyak yang diterima, hendaklah dengan seberapa segera yang boleh dipanggil untuk mengisi kekosongan itu.


Mesyuarat Agung Tahunan PERTIS yang melibatkan pertandingan jawatan YDP terakhir telah diadakan pada tahun 2012. Dalam mesyuarat berkenaan, terdapat dua calon, iaitu saya sendiri dan juga En. Mohd Bukhari bin Zakaria. Saya telah ditakdirkan memenangi jawatan tersebut. Kini, setelah saya melepaskan jawatan tersebut dan berdasarkan peruntukan perlembagaan sebagaimana di atas, maka En. Mohd Bukhari adalah satu-satunya calon yang perlu diutamakan untuk mengisi kekosongan jawatan yang telah saya lepaskan.


Petikan daripada Perlembagaan PERTIS harus saya kemukakan di sini bagi menghilangkan sebarang kekaburan mengenai siapa pengganti YDP yang telah meletakkan jawatan. Lagipun dalam kalangan AJK Pusat PERTIS yang ada sekarang (tidak kesemuanya) ada makhluk yang bebal dengan perlembagaan PERTIS. Kenyataan ini berdasarkan ulasan-ulasan liar yang telah dihantar menerusi email busuk kepada saya beberapa hari yang lalu.


Berdasarkan maklumat sahih yang saya perolehi, En. Mohd Bukhari sememangnya berminat dan bersemangat untuk memikul tanggungjawab selaku YDP PERTIS yang selanjutnya. Kini menjadi tanggungjawab AJK Pusat PERTIS yang masih ada untuk mengadakan mesyuarat dengan seberapa segera yang boleh dan seterusnya menawarkan secara rasmi jawatan YDP PERTIS kepada En. Mohd Bukhari. Sama ada terdapat individu dalam kalangan AJK PERTIS yang masih ada suka atau tidak dengan kehadiran En. Bukhari selaku YDP, hakikatnya “kemaraan” beliau untuk mengambil alih jawatan selaku peneraju utama dalam kepimpinan PERTIS tidak perlu disekat dan dihalang.


Pada pemerhatian saya dari jauh, En. Bukhari nampaknya sudah bersedia untuk mengambil alih teraju kepimpinan PERTIS selanjutnya. Walau bagaimanapun, En. Bukhari juga harus bersedia untuk menerima apa jua keadaan. Maklumlah walaupun nasi sudah sampai ke mulut, jika ditakdirkan ia bukan rezeki kita, nasi itu akan jatuh juga. Sesungguhnya kita adalah insan yang amat kerdil untuk menolak takdir.



Rokiah Jusoh Kembali Ke Rahmatullah



Kira-kira 2 jam lalu, saya menerima maklumat bahawa salah seorang rakan senasib (cacat penglihatan), Pn. Rokiah Jusoh telah kembali ke rahmatullah. Beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya di PPUM (kalau saya tidak silap). Oleh kerana saya sudah pun berada di luar KL, maka nampaknya saya tidak berkesempatan untuk menziarahi jenazah beliau.


Kepada ahli keluarganya, saya ucapkan takziah. Bersamalah kita berdoa semoga Allahyarham akan ditempatkan bersama-sama mereka yang mendapat rahmat Allah.


Alfatihah ....




Saturday, August 3, 2013

Muhammad Lee Akan Meninggalkan PPOBM



Menurut maklumat ringkas tapi sahih yang sampai kepada saya, Tuan Haji Muhammad Lee Abdullah, salah seorang kakitangan penting di Persatuan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM) akan meninggalkan persatuan tersebut dalam masa terdekat. Menurut sumber berita yang boleh dipercayai, notis pemberhentian beliau telah pun dihantar beberapa minggu yang lalu. Menurut sumber itu lagi, Tuan Haji Muhammad Lee akan berhenti sebagai kakitangan di PPOBM bermula 22 Ogos ini.




Untuk rekod, Tuan Haji Muhammad Lee sebelum ini merupakan kakitangan di Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Beliau telah berkhidmat dengan PERTIS hampir 8 tahun lamanya. Pada bulan Jun 2012, beliau telah meletakkan jawatannya di PERTIS untuk berkhidmat di PPOBM pula. Namun demikian, nampaknya jodohnya bersama PPOBM jauh lebih pendek jika dibandingkan dengan jodohnya bersama PERTIS sebelum ini.


Setakat ini, saya sendiri tidak pasti sebab-musabab Tuan Haji Muhammad Lee meletakkan jawatannya di PPOBM. Selain itu, saya juga tidak pasti apa rancangan beliau seterusnya. Adakah beliau sedang diintai oleh pihak lain pula?


Kepada Tuan Haji Muhammad Lee, saya ucapkan selamat berjaya dalam apa jua yang akan anda lakukan selepas ini.