Saturday, August 24, 2013

Saya Kembali Menerajui PERTIS



Pada 20 Ogos 2013 lalu, saya menerima surat daripada Naib Yang Di-Pertua (NYDP) Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) yang antara lain isi kandungannya menyatakan bahawa mesyuarat kepimpinan yang telah diadakan sehari sebelumnya telah secara sebulat suara menolak perletakan jawatan saya selaku Yang Di-Pertua (YDP) PERTIS hampir sebulan sebelumnya. Menurut kandungan surat berkenaan, terdapat 4 sebab mengapa kepimpinan PERTIS yang ada sekarang telah menolak perletakan jawatan saya.


Hakikatnya, saya tidak dapat lari dari realiti sendiri iaitu saya masih berminat untuk menerajui PERTIS. Namun atas beberapa sebab tertentu, saya terpaksa mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan. Dalam tempoh perletakan jawatan saya, beberapa individu dan pihak telah menghubungi saya dengan pelbagai cara. Ada yang menghubungi saya menerusi telefon dan SMS. Ada juga yang menghubungi saya menerusi email. Mungkin saya tidak begitu aktif menerusi skype, maka itulah mereka tidak menghubungi saya melalui saluran tersebut.


Pelbagai pandangan, pendapat dan luahan mereka utarakan berhubung dengan perletakan jawatan saya. Bahkan ada juga rakan yang menganggap apa yang saya lakukan sebagai dayus. Benar ke saya begitu? Antara lain, ada yang mengatakan saya hanya bermasalah dengan seorang, jadi mengapa saya harus tinggalkan yang lainnya? Di samping itu, ramai juga yang telah memberikan respon dalam bentuk cadangan ke arah memulihkan keadaan dan seterusnya untuk membolehkan saya menerajui semula PERTIS.


Selain itu, ada juga dalam rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam yang turut sama menghubungi saya dan meluahkan pendapat mereka berhubung dengan perletakan jawatan saya. Ini menunjukkan bahawa PERTIS selama ini turut sama mendapat perhatian daripada semua pihak. Saya yakin, perhatian mereka terhadap PERTIS bukan kerana cemburu, tetapi mungkin mencari ruang untuk menjalinkan kerjasama sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung.


Antara yang telah menghubungi saya ialah segelintir orang yang saya anggap sebagai ahli-ahli veteran PERTIS. Mereka turut meluahkan kekecewaan yang amat sangat jika secara tiba-tiba PERTIS ranap dan lingkup begitu sahaja. Walhal golongan ahli PERTIS veteran inilah yang telah bertungkus-lumus dalam proses penubuhan dan pendaftaran PERTIS pada dekad 90-an dahulu. Setelah melihat kesungguhan ahli veteran PERTIS ini untuk tidak mahu melihat PERTIS ranap dan hancur, lalu saya pun berterus-terang dengan mereka sebab-sebab saya meletakkan jawatan. Selanjutnya, saya memberi dua syarat jika ingin dikembalikan ke jawatan lama saya selaku YDP PERTIS.


Golongan ahli veteran ini rupa-rupanya telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi dan seterusnya merialisasikan kedua-dua syarat yang telah saya kemukakan. Akhirnya pada 20 Ogos 2013, syarat-syarat yang telah saya kemukakan sebelumnya telah mereka realisasikan. Setelah saya yakin bahawa syarat-syarat yang telah saya kemukakan dipenuhi, maka itulah pada 21 Ogos 2013 saya telah menulis surat kepada NYDP PERTIS dengan menyatakan persetujuan saya untuk menarik kembali perletakan jawatan saya selaku YDP PERTIS. Perlu saya jelaskan di sini, sekiranya kedua-dua syarat yang telah saya kemukakan tidak dipenuhi, tidak mungkin saya akan menerima kembali jawatan selaku YDP PERTIS. Saya juga perlu tegaskan pendirian saya di sini, sekiranya selepas ini syarat-syarat yang telah dipenuhi dicabuli, saya tidak teragak-agak untuk berundur terus daripada kepimpinan PERTIS buat selama-lamanya.


Kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan kepada PERTIS dan sentiasa ingin melihat PERTIS terus ke hadapan dalam usaha untuk sama-sama berkhidmat serta menabur budi dan bakti kepada golongan sasar, setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan. Sokongan, dorongan dan dokongan anda merupakan pemangkikn kepada iltizam saya dan seluruh barisan kepimpinan PERTIS untuk berkhidmat dengan lebih gigih lagi, insha-Allah.


Kini saya kembali menerajui PERTIS semula.



No comments: