Setiap tahun (Masihi/Hijrah), kita selaku umat Islam khasnya di Malaysia akan menyambut hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Bagi rakyat Malaysia, hari tersebut turut diisytiharkan sebagai cuti umum. Ini bermakna, setidak-tidaknya setiap rakyat negara ini akan beroleh manfaatnya bilamana ia merupakan hari tidak bekerja.
Pihak berkuasa pula akan mengadakan pelbagai acara pada hari tersebut dengan tujuan yang satu iaitu untuk memperingati hari kelahiran baginda Rasulullah S.A.W. Acara berkenaan pula akan diadakan di pelbagai lokasi sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri-negeri. Ia turut diselitkan dengan pelbagai tema sambutan. Di samping itu, sambutan serupa turut dianjurkan di peringkat jabatan/agensi kerajaan, sektor swasta serta badan-badan bukan kerajaan. Manakala acara sambutannya pula pelbagai. Lazimnya ia akan dimulakan dengan perarakan mengikut jarak tertentu. Sambil berarak, selawat dan salam ke atas junjungan yang mulia dialunkan dengan pelbagai melodi pula. Selain itu, pelbagai ceramah, syarahan atau kuliah turut dianjurkan. Boleh dikatakan kesemuanya menjurus kepada topik yang berkaitan dengan sirah Rasulullah S.A.W. Tidak cukup dengan itu pula, acara majlis ditambah lagi dengan penganugerahan pelbagai anugerah kepada mereka yang difikirkan layak sebagai penerima. Manakala kategori penerima pula pelbagai. Orang bukan Islam pun pernah mendapat anugerah bersempena dengan Maulidul Rasul. Demikianlah uniknya acara memperingati hari keputeraan insan yang paling mulia di sisi Allah, Rasulullah S.A.W., di negara kita.
Sewaktu Rasulullah lahir dahulu, bukan sahaja keluarga baginda dalam kalangan Bani Hasyim yang terlalu suka, bahkan kegembiraannya turut dikongsi sama oleh seluruh penduduk Makkah. Pelbagai aksi dan majlis turut diadakan bagi menunjukkan kegembiraan di atas kelahiran baginda. Abu Lahab yang juga merupakan salah seorang bapa saudara baginda turut menghunuskan pedangnya sambil memberi amaran kepada sesiapa yang berhasrat untuk menggugat bayi kecil yang baru lahir itu. Selain itu, majlis kesyukuran turut diadakan oleh Abdul Mutalib sebagai tanda kegembiraan beliau kerana beroleh cucu yang sangat istimewa. Dalam majlis kesyukuran itulah Abdul Mutalib telah mengisytiharkan nama bayi kecil itu ialah “Muhammad” yang membawa maksud “insan yang sangat terpuji”. Sesungguhnya nama “Muhammad” tidak pernah muncul (digunakan) dalam masyarakat Arab sebelumnya. Lalu ada dalam kalangan pembesar jahiliyah bertanya kepada Abdul Mutalib, mengapa bayi itu dinamakan sedemikian. Abdul Mutalib menjawab, supaya dia (Muhammad) akan menjadi insan yang agung sama ada di bumi ataupun di langit.
Sebagai tanda terlalu gembira dengan kelahiran Nabi Muhammad, Abu Lahab turut membebaskan salah seorang hambanya. Selain itu, puluhan ekor unta kepunyaan beliau telah disembelih bagi menjamu penduduk Makkah. Pada ketika itu, oleh kerana sifat jahiliyah yang begitu menebal dalam kalangan penduduk Makkah, mereka tidak menyedari bahawa bayi yang baru lahir itu merupakan nabi akhir zaman yang akan mengubah dunia suatu hari kelak. Sebaliknya orang Yahudi pula yang dapat mengesan tanda-tanda kenabian yang ada pada baginda.
Setelah baginda dewasa dan dilantik sebagai rasul, sikap dan penerimaan sebahagian keluarga baginda dan sebilangan penduduk Makah mula berubah. Abu Lahab yang sebelum ini begitu kasih dengan baginda, mula berubah dan muncul antara penentang baginda paling kuat dan paling ganas. Oleh kerana kuat dan ganasnya penentangan yang dilakukan oleh Abu Lahab terhadap baginda Rasulullah, maka Allah telah mencerca beliau dalam Alquran sebagaimana yang terdapat dalam surah Almasad.
Sikap konsisten baginda dalam menyebarkan Islam sebagaimana yang diperintahkan Allah amat ketara. Demi menjunjung perintah Allah, atas nama kebenaran dan untuk membanteras unsur jahiliyah, baginda terus melaksanakan tanggungjawab dan tugasnya sebagai rasul walaupun baginda dimusuhi oleh Abu Lahab, iaitu bapa saudaranya sendiri. Maknanya di sini, selagi apa yang kita lakukan itu betul dan benar, maka ia mesti diteruskan walaupun perkara tersebut akan menyebabkan kita dibenci oleh orang-orang tertentu. Sesungguhnya dibenci kerana menjunjung kebenaran itu jauh lebih mulia dan lebih baik daripada disukai kerana mendokong kebatilan.
Demi melaksanakan titah perintah Allah, Rasulullah telah menolak pelbagai tawaran mewah lagi hebat yang pernah diajukan kepada baginda. Tiga tawaran paling hebat yang pernah ditawarkan kepada baginda ialah harta, kuasa dan wanita. Kesemuanya ditolak oleh baginda. Kemuncak kepada penolakan pelbagai tawaran ini ialah bilamana baginda bersabda kepada bapa saudaranya, Abu talib yang antara lain mafhumnya, jika mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan dikiriku supaya aku berhenti daripada menyeru orang kepada Islam, nescaya aku tidak akan berhenti sehinggalah Allah memberikan kemenangan kepadaku atau aku mati kerananya.
Sebenarnya, apabila kita meneliti dengan sehalusnya sirah Rasulullah S.A.W., maka banyak sekali iktibar dan pengajaran yang harus kita sama-sama teladani. Kebijaksanaan, sikap berpandangan jauh, konsistensi (istiqamah), pakar strategik, ahli politik terbilang, pakar motivasi, pakar diplomatik, pemimpin keluarga teragung, dan banyak lagi, semuanya terkandung secara tersurat dan tersirat dalam sirah baginda. Kegagalan kita di sini ialah untuk meneladaninya dan untuk mengambil iktibar daripadanya.
Dari sudut sejarah, acara sambutan maulidul Rasul tidak pernah diadakan semasa hayat baginda. Ia juga tidak pernah diadakan semasa zaman khulafa al-Rasyidin, zaman Bani Umaiyah mahupun di zaman Bani Abbasiyah. Mengikut fakta sejarah, sambutan maulidul Rasul mula diadakan semasa pemerintahan Sultan Muzaffaruddin iaitu pada kurun ke-7 Hijrah. Ketika itu, umat Islam dan wilayah kekuasaan Islam sedang menghadapi pelbagai ancaman terutamanya daripada tentera salib dan juga daripada tentera Mongol. Bagi menghadapi semua ancaman tersebut dan juga bagi menaikkan semangat umat Islam dalam menghadapi pelbagai ancaman tersebut, maka Sultan Muzaffaruddin telah memperkenalkan majlis sambutan maulidul Rasul sebagai cara untuk menguatkan semula semangat umat Islam. Ternyata usaha Sultan Muzaffaruddin banyak membuahkan hasil.
Hari ini, acara sambutan maulidul Rasul turut diadakan di serata dunia dengan pelbagai acara. Namun demikian, objektif untuk menyatukan umat Islam melalui sambutan sebegini nampaknya masih lagi belum berhasil. Percakaran, perkelahian serta berbunuhan dalam kalangan umat Islam kian menjadi-jadi. Sama ada yang dizalimi atau yang menzalimi dalam kalangan umat Islam sama-sama mengakui kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. dan kedua-dua pihak pastinya akan mengatakan kasih dan kecintaan terhadap Rasululah tanpa berbelah bagi. Namun demikian, apa yang berlaku tidak langsung membayangkan apa yang diucap. Rasulullah mengatakan tidak beriman seseorang Islam itu sehinggalah dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri (hadith). Rasulullah juga pernah bersabda iaitu orang Islam itu umpama sadu jasad, jika salah satu anggota sakit maka ia turut dirasai oleh anggota yang lain. Malangnya pesan dan ingatan daripada Rasulullah seperti ini langsung tidak dihiraukan. Benarkah sebahagian umat Islam hari ini mencintai Rasulullah dengan sesungguhnya?
Bagi saya, rasa kasih dan cinta terhadap Rasulullah terbahagi kepada tiga tahap. Pertama ialah cinta Abu Lahab. Abu Lahab memang mencitai dan mengasihi Rasulullah sejak baginda lahir lagi. Namun begitu, cinta dan kasihnya mula berubah apabila Rasulullah mula menyebarkan wahyu (kebenaran) daripada Allah. Abu Lahab terus memusuhi Nabi hingga perlakuannya mendapat cercaan daripada Allah (Surah Almasad, surah ke-111, juzuk ke-30).
Tahap kedua ialah cinta Abu Talib. Abu Talib merupakan seorang lagi bapa saudara baginda Rasulullah. Beliau memang mempunyai sifat kasih sejati kepada Rasulullah. Dari semenjak Nabi masih kecil sehinggalah baginda dewasa dan menjadi Rasul, kasih dan cinta Abu Talib terhadap baginda tidak pernah berubah. Bahkan tatkala masyarakat Quraisy kuat memusuhi Rasulullah, Abu Talib merupakan tokoh yang banyak melindungi baginda. Namun demikian, kelemahan ABu Talib ialah beliau tidak mencintai ajaran yang dibawa oleh Rasulullah. Abu Talib hanya mencintai dan mengasihi tubuh badan Rasulullah semata-mata. Justeru beliau telah mati tanpa mengucap kalimah syahadah. Ini membuatkan Rasulullah merasa sangat sedih dan amat dukacita.
Tahap ketiga pula ialah cinta Abu Bakar. Saiyidina Abu Bakar merupakan sahabat Rasulullah yang paling akrab dengan baginda sejak kecil lagi. Dalam apa-apa perkara sekalipun, Saiyidina Abu Bakar akan melebihkan Rasululah. Baginya Rasulullah adalah segala-galanya hidup dan mati. Apabila Rasulullah mula menyebarkan agama Islam, Saiyidina Abu Bakar merupakan antara orang terawal yang memeluk Islam. Kecintaan dan kasih Saiyidina Abu Bakar kian utuh bilamana ksikap percaya beliau terhadap baginda Rasulullah tiada tolok bandingnya. Apa sahaja yang disampaikan oleh baginda akan diterima bulat-bulat oleh Saiyidina Abu Bakar. Oleh kerana keimanan beliau terhadap Allah dan Rasulullah tiada berbelah bagi, maka itulah Saiyidina digelar sebagai “As-Siddiq” (orang yang membenarkan apa sahaja yang disampaikan oleh Rasulullah).
Di tahap manakah kasih dan cinta kita terhadap Rasulullah? Semoga tahap cinta dan kasih kita terhadap Rasulullah akan berada di tahap Cinta Abu Bakar, insha-Allah.
Salam maulidul Rasul 1435 Hijrah.