Sunday, January 26, 2014

Muhammad Lee Penerima Anugerah Maulidul Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan




Pada 25 Januari (Sabtu), saya telah menghadiri majlis sambutan Maulidul Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan. Ia telah berlangsung di masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Kehadiran saya adalah atas kapasiti selaku Yang Di-Pertua Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Majlis tersebut adalah anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).



Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datuk Othman Mustafa, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mewakili Yang Berhormat, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.



Dalam majlis berkenaan, Tuan Haji Muhammad Lee Abdullah telah menerima Anugerah Maulidul Rasul peringkat Wilayah Persekutuan. Tuan Haji Muhammad Lee merupakan ahli PERTIS dan pernah berkhidmat dengan PERTIS sekitar 7 tahun lamanya. Antara sumbangan terbesar beliau ialah apabila berjaya menyalin Alquran Braille ke dalam bentuk data komputer. Berkat usaha beliau, penrbitan dan percetakan Alquran Braille khususnya di Malaysia telah menjadi jauh lebih mudah jika dibandingkan dengan sebelum adanya data Alquran Braille dalam bentuk komputer.



Setelah Alquran Braille berjaya dicetak secara berkomputer, maka bermulalah era penerbitan Alquran Braille di negara kita secara pesat dan besar-besaran. PERTIS Merupakan satu-satunya organisasi yang telah diamanahkan oleh beliau dengan menggunakan data Alquran yang telah disalinnya untuk melaksanakan penerbitan dan percetakan Alquran Braille berkenaan iaitu seawal sekitar tahun 1998 lagi. Apa yang lebih sentimental lagi, sehingga kini Tuan Haji Muhammad Lee tidak mengambil walau satu sen pun daripada ribuan naskah Alquran Braille yang telah diterbitkan dan diedarkan.



Selain negara kita, hasil usaha Tuan Haji Muhammad Lee turut sama dinikmati manfaatnya oleh negara-negara yang lain bilamana Alquran Braille terbitan PERTIS turut diedarkan ke negara-negara berkenaan. Ia termasuklah Thailand, Singapura, Brunei, Afrika Selatan, Bangladesh, Kazakstan serta beberapa buah negara lagi. Justeru, amat wajar sekali bilamana pihak JAWI telah memilih beliau sebagai salah seorang penerima anugerah maulidul Rasul bagi tahun 1435 Hijrah.



Walaupun ada pihak-pihak tertentu yang telah pun mengambil kesempatan di atas hasil usaha beliau, setakat ini Tuan Haji Muhammad Lee masih redha dengan apa yang berlaku. Setakat ini, terdapat 2 kumpulan yang telah mengambil data Alquran Braille yang telah beliau usahakan tanpa kerelaan dan redha beliau. PERTIS merupakan satu-satunya organisasi yang telah beliau amanahkan untuk menyimpan, menerbit dan seterusnya mencetak serta mengedarkan Alquran Braille yang telah beliau usahakan selama ini. Saya pernah memberikan pandangan kepada beliau iaitu Alquran ini milik Allah jadi biarlah Allah yang memeliharanya. Jika ada mana-mana pihak/individu yang telah menyalahgunakan data yang telah beliau usahakan, serahkan kepada Allah untuk menentukan nasib pihak/individu berkenaan.



Kepada Tuan Haji Muhammad Lee, setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kerana muncul salah seorang penerima anugerah maulidul Rasul kali ini. Semoga anugerah ini akan meningkatkan lagi ketakwaan, keimanan, inspirasi, kegigihan serta motivasi dalam meneruskan usaha dakwah serta meninggikan syiar Islam di muka bumi ini. Saya juga sentiasa mengemas kini maklumat mengenai kegiatan yang sedang beliau usahakan. Mudah-mudahan ia sentiasa mendapat redha dan restu dari Allah hendaknya.

Selain Tuan Haji Muhammad Lee, penerima lain anugerah Maulidul Rasul kali ini ialah Prof. Madya Dr. Mohd Ruslan bin Mohd Nor, Amran Ambarasu Abdullah, Siti Aishah Abdullah, Muhammad Izuddin Mohd Edinaino dan Abdul Hakim Manan.



Untuk anugerah pengurusan masjid dan surau terbaik pula, ia dirangkul oleh Masjid Usamah bin Zaid Wangsa Maju, Surau Almizan dan Surau Alhidayah. Selain itu, hadiah-hadiah turut disampaikan kepada pemenang pertandingan perarakan yang telah diadakan bermula jam 8.00 pagi dalam pelbagai kategori.



Majlis turut diserikan dengan ceramah yang telah disampaikan oleh Ustaz Haji Ahmad Syukri Yusuf dan persembahan nasyid oleh kumpulan Nurul Murshidah dari Masjid Zubair Al-Awwam. Selain itu, turut menyerikan majlis ialah bacaan doa, alunan ayat-ayat suci Alquran serta bacaan selawat. Majlis telah berakhir sekitar jam 12.00 tengah hari.


No comments: