Sunday, September 6, 2015

Politik Orang Melayu Kucar-kacir




Hari ini, kalau kita bercakap tentang politik, khasnya politik orang Melayu, tidak dapat dinafikan senario yang sedang menyelubunginya ialah situasi kucar-kacir yang sedang mewarnainya. Sama ada parti siasah yang berasaskan sekularisme mahupun parti siasah yang berteraskan agama, kedua-duanya sedang dilanda masalah yang masih belum ada jalan keluar. Bagi para ahli politik yang menjadi pendokong kedua-dua kumpulan parti berkenaan, mereka masih berpendapat keadaan masih stabil dan terkawal. Bagi mereka apa yang berlaku bersifart sementara dan akan kembali seperti sediakala tidak lama lagi. Itu cakap orang politik semata-mata. Sedangkan rakyat kebanyakan mungkin tidak berpandangan sedemikian.

Parti terbesar orang Melayu, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), sememangnya sedang dibelenggu dengan pelbagai masalah. Kepimpinannya sedang dikritik hebat sama ada dari dalam mahupun dari luar parti. Apa yang menariknya, antara pengkritik tegar kepimpinan UMNO sekarang ialah individu yang pernah menjadi pemimpin nombor satu parti berkenaan selama puluhan tahun lamanya. Hasil kritikan sesama ahli dalam UMNO itu sendiri, bibit-bibit perpecahan semakin ketara. Pemecatan timbalan presiden UMNO selaku timbalan perdana menteri pada Julai lalu merupakan antara bibit perpecahan yang sedang melanda UMNO. Kalau pimpinan sekarang silap membuat percaturan dalam mengambil tindakan, UMNO boleh hancur dalam sekelip mata sahaja. Kehancuran UMNO kali ini (jika berlaku) akan lebih teruk daripada peristiwa pengharaman UMNO pada tahun 1988 yang lalu.

Dalam hal ini, pelbagai slogan dan madah masa lalu datang kembali menerjah kotak ingatan. Doa yang pernah dilafazkan oleh (almarhum) Datuk Fadzil Mohd Noor, sajak Melayu Mudah Lupa, Takkan Hilang Melayu Di Dunia, Hidup Melayu, dan macam-macam lagi, semuanya kini menimbulkan pelbagai persoalan. Adakah UMNO sedang menghadapi saat-saat terkabulnya doa(almarhum) Datuk Haji Fadzil Mohd Noor? Adakah benar bahawa bangsa Melayu itu satu bangsa yang mudah lupa pada sejarahnya sendiri? Benarkah bangsa Melayu tidak akan hilang di dunia buat selama-lamanya? Realitinya hari ini, orang Melayu sudah pun kehilangan maruah, jati diri serta identiti di tanah Sang Nila Utama! Mampukah orang Melayu terus hidup jika politik bangsanya berada dalam keadaan kucar-kacir?

Orang tua-tua dahulukala sudah pun meninggalkan pelbagai pesan untuk diwarisi dan sebagai peringatan kepada anak cucunya. “Bersatu teguh, bercerai roboh”, “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna”, “biduk lalu kiambang bertaut”, dan macam-macam lagi, nampaknya semuanya ini tidak mendatangkan bekas dan hasil bagi membolehkan bangsa Melayu kembali bersatu untuk kepentingan generasi sekarang dan yang akan datang. Jika orang tua-tua hari ini sudah tidak lagi menghargai segala yang pernah menjadi pesanan daripada orang tua-tua dahulukala, maka tidak hairanlahjika orang tua-tua masa akan datang juga tidak akan menghargai pula harapan dan ingatan daripada orang tua-tua sekarang. Sesungguhnya UMNO tidak boleh berbangga lagi dengan ungkapan, “UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO”. Hari ini ungkapan sedemikian sudah menjadi retorik dan tidak bermakna lagi khasnya kepada generasi muda Melayu sekarang.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pula merupakan parti kedua terbesar yang mendapat sokongan dan dokongan daripada orang Melayu. Sebelum ini, jika apa-apa terjadi kepada UMNO, orang Melayu masih boleh bergantung harap kepada PAS. Lagipun, antara UMNO dan PAS bukannya orang lain, PAS itu sendiri lahir daripada tulang rusuk UMNO. Oleh kerana wujudnya perbezaan dalam pelaksanaan Islam, maka kedua-duanya terpisah. Kedua-duanya pernah sebumbung pada awal dekad 70-an yang lalu, tetapi terpisah semula pada akhir dekad tersebut. Walaupun ada usaha untuk menyatukan kedua-dua parti siasah berkenaan, namun demikian perbezaan mengenai dasar dan kaedah pelaksanaan Islam menyebabkan kedua-dua parti siasah orang Melayu itu terus terpisah.

Kini PAS pula sedang dilanda masalah perpecahan dalaman yang serius. Ia berpunca daripada tercetusnya semangat berpuak yang berasaskan latar belakang pendidikan. Justeru, ada kumpulan ulamak dan ada kumpulan profesional. Walhal Islam sejak awal lagi sudah pun membanteras fahaman sedemikian. Sebab itulah antara Rasulullah S.A.W. dengan Abdul Rahman bin Auf tiada tembok pemisah antara keduanya, sedangkan latar belakang kedua-duanya amat berbeza. Bukankah Islam itu akan tegak berdiri kukuh dan teguh atas lima tonggak utama, iaitu, ulamak, umarak, pemuda, wanita dan profesional (aghnia’)? Apabila salah satunya rapuh, maka akan rapuhlah tonggak yang lain. Senario inilah yang sedang melanda PAS hari ini. Apabila salah satu kumpulan yang dilabelkan sebagai profesional rapuh, maka tidak dapat dielakkan lagi seluruh jentera parti berkenaan juga ikut turut sama rapuh setidak-tidaknya untuk jangka pendek.

Apa yang lebih memalukan ialah perpecahan dalaman yang berlaku dalam PAS turut sama membuka pekung di daada sendiri. Hari ini isu baiah yang selama ini menjadi rahsia dan strategi penting kekukuhan dalam PAS sudah menjadi perbincangan terbuka bukan sahaja dalam kalangan ahli PAS, bahkan ia sudah menjadi perdebatan umum pula. Kalau pun hendak meninggalkan jamaah, rahsia bekas jamaah lama jangan disebut lagi. Begitu juga mereka yang masih kekal dalam PAS, sepatutnya tidak menyebut isu baiah berkenaan secara terbuka sehingga boleh mendatangkan pandangan serong orang luar terhadap PAS itu sendiri.

Kini segalanya sudah pun terjadi. Bak kata orang tua-tua kita, nasi sudah menjadi bubur. Semua orang sudah tahu antara sebab kerajaan PAS Kelantan boleh bertahan walaupun dengan hanya dengan satu kerusi antara tahun 2005 – 2008 lalu ialah mungkin kerana adanya baiah berkenaan. Manakala golongan feminist pula ada asas untuk menuduh PAS telah mempergunakan wanita sebagai alat untuk kepentingan politik. Saya tidak bermaksud untuk mempertikaikanya dari aspek agama kerana golongan yang menganjurkannya bukan sembarangan tokoh dari aspek keagamaan. Namun demikian, biar apa situasi sekalipun, isu ini tidak sepatutnya dibawa dan dibincangkan sehingga ke luar seperti sekarang. Bila hal sebegini telah berlaku, maka ahli-ahli PAS dan termasuk bekas ahlinya juga mula dilihat sebagai golongan manusia yang tidak tinggi maruahnya. Mereka lebih sanggup membocorkan pekung sendiri demi memuaskan emosi masing-masing. Kalau pun hendak bercerai dan bertalak, lakukanlah dengan cara yang baik dan harmoni. Rahsia lama tidak sepatutnya dibongkar lagi.

Perpecahan dalam UMNO telah mengakibatkan munculnya Parti Melayu Semangat 46 tetapi ia gagal bertahan lama. Sebilangan bekas pemimpinnya kemudian telah kembali kepada UMNO. Namun demikian, pergeseran dalam UMNO pada dekad 90-an telah mengakibatkan munculnya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Parti siasah ini nampaknya lebih utuh dan masih kuat mendapat dokongan rakyat. Walaupun PKR sebuah parti pelbagai kaum, tetapi realitinya ia masih dilihat sebagai parti yang mendapat sokongan besar daripada orang Melayu. Ini bermakna, secara siasahnya, orang Melayu sudah pun berpecah kepada 3 kumpulan besar.

Perpecahan PAS kali ini telah mengakibatkan munculnya sebuah lagi parti siasah yang dijangka akan didokong oleh ramai orang Melayu iaitu Parti Amanah Negara (PAN). Buat masa ini, PAN merupakan parti siasah yang menjadi wadah perjuangan kebanyakan bekas ahli PAS yang dilabel sebagai kumpulan profesional. Ini bermakna, pada masa ini dari sudut siasahnya, orang Melayu sudah pun berpecah kepada 4 kumpulan. Nampaknya haluan siasah orang Melayu bukan terarah kepada bersatu teguh, tetapi lebih menjurus kepada bercera roboh.

Perpecahan politik dalam kalangan orang Melayu akan memungkinkan kuasa politik mereka semakin lemah. Bila perkara ini berlaku, maka orang lain akan mudah untuk mengambil kesempatan atas kelemahan yang sedang melanda. Orang Melayu yang tidak cerdik pula akan meminta sokongan bangsa lain untuk memperkukuhkan kumpulan siasah mereka. Orang lain yang akan memberi sokongan pula tidak akan menyokong tanpa sebarang habuan. Mereka akan menuntut itu dan ini sebagai balasan atas sokongan yang bakal mereka beri. Perkara yang membimbangkan ialah aapa yang bakal dituntut nanti ialah perkara yang selama ini menjadi hak eksklusif orang Melayu. Bagi orang Melayu yang pendek akal, mereka mungkin akan sanggup mengorbankan perkara sedemikian asalkan kepentingan sendiri dapat tercapai. Secara jangka panjangnya, anak cucu kita nanti akan kembali merempat di bumi sendiri.

Hari ini, sesetengah pemimpin Melayu memang pandai bercakap dan berpidato. Kalau bercakap bukan main lagi tegasnya. Kalau mengugut bangsa sendiri bukan main lagi sombongnya. Kalau berhujah bukan main lagi hebatnya. Bila berfalsafah bukan main lagi egonya. Walau bagaimanapun, bila dilanda sesuatu yang memerlukan pengorbanan jiwa dan raga, mereka kecut dan penakut. Kononnya bangsa Melayu lebih rela berputih tulang daripada berputih mata. Namun demikian, apabila Pulau Batu Putih hilang daripada genggaman kita, kita sekadar berputih mata melihat ia terlepas ke tangan orang lain dan langsung tidak berani berputih tulang untuk mempertahankannya. Tiada pusara yang sesuai untuk ditaburkan bunga kerana tiada seorang pun yang gugur untuk mempertahankannya.

Pada penelitian saya, hari ini ramai pemimpin dalam kalangan orang Melayu yang bercakap lebih menjurus kepada perpecahan bangsanya. Bila mereka bercakap, ia lebih kepada kepentingan kumpulan siasahnya sahaja seolah-olah hanya mereka sahaja yang betul. Mereka gagal melihat bangsa Melayu dari skop yang lebih besar. Mereka hanya pandai menoropong kuman di seberang tetapi gagal melihat gajah di depan mata sendiri. Mereka peka dengan bau pekung dan nanah orang lain tetapi gagal mencium bau yang sama dari diri dan kumpulannya sendiri. Apabila seseorang itu dipatuk dua kali oleh ular yang sama dan di tempat yang sama, dia pasti akan mati buat selama-lamanya.

Lebih malang lagi, hari ini orang Melayu seakan sudah ketandusan pemimpin yang benar-benar berwibawa dan berkemampuan untuk menyatukan bangsanya. Hanya sekali-sekala terdengar suara dari istana yang menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat jelata. Namun demikian, ia sekadar sekali-sekala sahaja. Setelah para pemimpin politik Melayu leka dengan bercakaran sesama sendiri, kini rakyat jelata amat mengharapkan peranan yang lebih besar dan lebih berkesan daripada duli payung mahkota pula untuk menyatukan kembali orang Melayu. Sesungguhnya duli payung mahkota adalah benteng terakhir orang Melayu dalam mempertahankan maruah, jati diri dan tanah air ini daripada terus tergadai kepada orang lain.

Selama ini pun, orang Melayu masih tidak berupaya untuk membangunkan ekonomi mereka setanding dengan orang lain. Kalau tidak kerana adanya agensi kerejaan yang mewakili penguasaan orang Melayu dalam bidang ekonomi, sudah tentulah kedudukan ekonomi orang Melayu lebih ke bawah daripada yang ada sekarang. Kini orang Melayu menghadapi masalah perpecahan pula dalam sudut politik. Dari sehari ke sehari, kedudukan semakin tak terkawal. Ia bukan lagi sekadar retak menanti belah, tetapi sudah ke tahap belah akan berkecai. Adakah orang Melayu memerlukan satu lagi landaan musibah bagi membolehkan mereka benar-benar memahami eerti dan betapa pentingnya penyatuan dan perpaduan?

Sesungguhnya Islam tidak pernah gagal untuk menyatukan umatnya, tetapi umat Islam itu sering gagal untuk menjadikan Islam sebagai wadah penyatuan untuk mereka.

1 comment:

Khasni Ismail said...

Assamualaikum,

Saya amat tertarik dengan bicara tuan, tersusun & berhemah. Saya berpendapat politik Melayu hendaklah kembali kepada matlamat asal perjuangannya berlandaskan prinsip agama. Senang diucap tetapi susah dilaksana.

Pemimpin hendaklah menjadi contoh ikutan marhaen muslim dan non-muslim. Ikutilah contoh rasulullah sebagai pemimpin dengan melayan semua golongan samarata, bahkan melayan non-muslim dengan lebih istimewa bagi menyatakan kebenaran akhlak Islam.