Hari ini, realitinya negara kita sedang meredah jalan yang semakin berliku. Satu pihak mengatakan bahawa situasi di negara kita semakin baik. Ekonominya tidak jatuh seperti negara lain. Rakyatnya masih dapat hidup seperti biasa, dan macam-macam lagi kenyataan yang seumpamanya. Benarkah realiti kehidupan sebenarnya seperti itu?
Biar apa sekali pun kenyataan yang dihebahkan oleh pihak tertentu, hanya rakyat biasa dan marhaen sahaja yang lebih merasai keperitan hidup yang kian meningkat. Hari ini, di sana sini kita semakin kerap mendengar pelbagai keluhan tentang kepayahan hidup yang dijalani. Harga pelbagai barangan keperluan semakin naik dan seakan mustahil untuk turun lagi. Jaminan pihak tertentu sebelum ini bahawa harga barangan akan turun terutamanya selepas pelaksanaan GST kini tak ubah bagai sembilu yang memeritkan gegendang telinga sahaja.
Selain itu, keluhan mengenai kesukaran untuk mendapat kerja juga semakin lantang kedengaran. Hanya mereka yang sengaja bersikap pekak sahaja yang akan mengatakan keluhan sedemikian mereka tidak dengar. Adakah tanah air yang sama-sama kita cintai ini sedang menuju ke jurang bencana yang lebih dahsyat?
(Mari kita sama-sama dengar dan teliti seni kata lagu nyanyian Akhir Hayy
di sini)
Dari sudut politik, khususnya politik orang Melayu, ia semakin menjurus kepada perpecahan. Walhal peribahasa orang Melayu sendiri mengajar kita bersatu teguh bercerai roboh. Kalau dahulu orang Melayu sekadar terbahagi kepada dua parti politik utama iaitu UMNO dan PAS sahaja, malangnya kini mereka sudah terpecah kepada sekurang-kurangnya 4 kumpulan politik yang 99 peratus berteraskan orang Melayu iaitu UMNO, PAS, PAN dan yang terkini PPBM. Kehilangan kedudukan majoriti dua pertiga oleh UMNO/BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor juga sesuatu yang tidak pernah terfikir sebelum ini. Semua orang tahu, Johor adalah tanah leluhur UMNO selama berdekad-dekad lamanya. Di situlah UMNO lahir dan adakah di situ juga UMNO akan mula secara perlahan-lahan menemui noktahnya? Selain Johor, negeri lain yang diperintah oleh UMNO/BN dengan kurang dua pertiga majoriti ialah Kedah, Terengganu dan Perak.
Manakala amalan rasuah pula rupa-rupanya sudah lama menjadi darah daging sebilangan orang tertentu. Tindakan dan usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang berusaha keras untuk membanteras amalan keji itu sehingga ke akar umbi amat dipuji dan patut disokong oleh semua pihak. Berdasarkan pembongkaran demi pembongkaran yang dilakukan, ternyata amalan kotor itu bukanlah perkara baru. Mungkin sesetengah pihak merasakan ia adalah amalan biasa, maka itulah mereka tidak ada langsung perasaan malu tatkala melakukannya. Mungkin rasa malu hanya timbul setelah perbuatan buruknya itu dibongkar dan diviralkan ke tengah khalayak masyarakat. Mereka terlupa pepatah Melayu yang sering mengajar kita dengan ungkapan, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
Selaku rakyat yang membenci rasuah, tentulah harapan kita kepada SPRM amat tinggi. Selain daripada menyokong tindakan dan usaha SPRM selama ini, kita juga amat berharap agar usaha sedemikian akan dapat dilipatgandakan tanpa mengenal sesiapa. Rasuah adalah amalan yang boleh memusnahkan negara pada masa akan datang. Banteraslah ia tanpa memilih bulu.
Sementara itu, tanah air kita juga mula dilanda dengan penyakit yang tidak pernah didengar sebelum ini. Terkini virus zika yang mula menerobos masuk ke negara kita. Selepas ini entah apa lagi penyakit dan virus yang akan menyerang tanah air kita.
(Mari kita sama-sama dengar dan teliti lirik yang terkandung dalam lagu Sekeping Coretan Buat Kekasih nyanyian Sohaimi Mior Hassan
di sini)
Sebenarnya pelbagai peringatan sudah dan terus diberi kepada pihak yang berkaitan dalam pelbagai kaedah. Mereka sering diingatkan supaya berlaku jujur, jangan menipu, jangan menganiaya, jangan sombong dan bongkak, jangan mengambil yang bukan hak, harus sentiasa adil dan amanah. Bahkan jika difikirkan dengan teliti, Tuhan juga turut memberikan peringatan kepada kita semua. Bila kita ingkar dan terus bongkak, maka peringatan yang lebih keras dan dahsyat mungkin akan diturunkan yang mungkin dalam bentuk bencana dan bala. Adakah pihak yang berkaitan ingin sangat menanti kehadiran peringatan yang dahsayat itu?
Berdasarkan situasi yang ada, tentulah kita akan tertanya sendirian, adakah wawasan 2020 akan dapat dicapai pada 1 Januari 2020 nanti?