Tuesday, October 11, 2016

10 Muharram



Tarik 10 Muharram banyak melakarkan peristiwa penting dalam sejarah Islam dan dunia. Selain itu, tarikh 10 Muharram juga dikhabarkan bakal berlakunya beberapa peristiwa penting pada masa yang akan datang.

Bulan Muharram juga merupakan satu daripada empat bulan yang diharamkan berperang bagi umat Islam. Selain Muharram, bulan-bulan lain ialah Rajab, Zulqaidah dan Zulhijjah. Namun demikian, kenyataannya hari ini, sebilangan umat Islam sudah tidak peduli lagi pada hal sedemikian. Mereka terus-menerus berperang bahkan sesama sendiri walaupun pada bulan Muharram serta bulan-bulan lain yang diharamkan untuk mereka berperang.

Pada 10 Muharram juga dikatakan berlakunya banjir besar pada zaman Nabi Allah Nuh sehingga tenggelamnya seluruh dunia ini. Hanya yang selamat pada ketika itu ialah bahtera Nabi Nuh serta yang berada di dalamnya.

Pada 10 Muharram juga Nabi Allah Musa serta kaumnya Bani Israel telah diselamatkan oleh Allah daripada kekejaman firaun dan bala tenteranya. Setelah menderita dengan pelbagai penyiksaan dan setelah pelbagai bentuk penderhakaan yang dilakukan oleh firaun serta kaumnya, akhirnya Allah telah memerintahkan agar Nabi Musa serta Bani Israel meninggalkan Mesir menuju tanah Palestin dengan melintasi Laut Merah. Dengan qudrah dan iradah Allah, Nabi Musa dan kaumnya telah dapat melintasi Laut merah dengan selamat. Manakala firaun dan bala tenteranya pula telah tenggelam tatkala melintasi laut berkenaan semasa cuba mengejar Nabi Musa dan kaumnya. Peristiwa penuh bersejarah ini dikhabarkan oleh Allah dalam Alquran menerusi ayat 90-92, Surah Yunus (juzuk 11).

Pada 10 Muharram ini juga Allah telah selamatkan Nabi Yunus dengan baginda berjaya keluar daripada perut ikan paus (nun). Sebelumnya baginda Nabi Yunus telah ditelan oleh ikan berkenaan dan para mufassirin bersalahan pendapat mengenai berapa lama baginda berada dalam perut ikan berkenaan.

(Untuk menonton/mendengar ceramah tentang peristiwa Karbala, boleh klik
di sini)

Pada 10 Muharram juga berlaku tragedi pembunuhan ke atas Saidina Hussein bin Ali bin Abi Talib, cucunda baginda Nabi Muhammad. Peristiwa malang tersebut telah berlaku di Karbala, dalam negara Iraq sekarang. Sejak itu, para pengikut Shiah telah meratapi kematian Saidina Hussein dengan pelbagai cara. Peristiwa ini juga merupakan titik hitam dalam sejarah Islam. Ia juga merupakan antara peristiwa yang menyukarkan untuk kesatuan semula antara pengikut Sunni dan Shiah hinggalah ke hari ini.

(Untuk mendengar/menonton berkaitan 10 Muharram, antaranya boleh ikuti ceramah oleh Maulana Johari
di sini)

Jika kita selusuri Youtube, memang banyak lelaman yang mengisahkan tentang peristiwa Karbala serta tarikh 10 Muharram. Hanya terpulang kepada kita untuk mendengar/menontonnya. Apa yang saya ketengahkan hanya sekadar satu perkongsian dan antara lelaman yang saya sudah menontonnya sahaja.

Sesungguhnya tarikh 10 Muharram telah pergi dan akan datang kembali mengikut putaran masa seperti yang telah ditetapkan oleh Allah. Terpulanglah kepada kita untuk meneladani atau menyempadani segala peristiwa yang pernah mewarnai tarikh tersebut.


No comments: