Sunday, February 12, 2017

Genap Dua Tahun Pemergian Tuan Guru Nik Aziz




Genap dua tahun Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz menghadap Ilahi. Namun demikian, ingatan terhadap Allahyarham tetap abadi dalam sanubari. Tiada siapa pun yang dapat menafikan Allahyarham Tuan GuruNik Aziz merupakan tokoh yang cukup dihormati sama ada kawan dan lawan. Ini terbukti dengan kehadiran begitu ramai orang pada hari pengkebumian Allahyarham.





Hari ini, saya masih terdengar ada pihak yang berkata, jikalau Allahyarham masih ada, apa yang sedang melanda PAS hari ini mungkin tidak berlaku. Namun demikian, tiada siapa pun yang mampu menukar suratan takdir yang telah ditentukan Ilahi.

Ada beberapa perkara yang dapat sama-sama kita pelajari daripada sifat dan sikap Allahyarham. Sebagai pemimpin, kita jangan berharp semua orang akan suka kepada kita pada setiap masa. Memang sudah menjadi lumrah, ada pihak yang akan menyukai kita dan ada pihak lain yang tidak menyukai kita pada satu-satu masa. Selain itu, istiqamah dalam menjunjung kebenaran merupakan antara prinsip utama dalam hidup Allahyarham. Saya masih ingat, antara kata-katanya ialah, biarlah kita suka atau tidak suka pada sesuatu perkara hanya kerana Allah.

Kalaulah Allahyarham bukan seorang ahli politik, mungkin akan lebih ramai lagi orang yang akan menyanjung Allahyarham. Namun demikian, oleh kerana politik juga merupakan sebahagian daripada tuntutan agama, maka Allahyarham telah menjadikan politik sebagai sebahagian daripada landasan dakwahnya. Maka itulah Allahyarham tidak disukai oleh sesetengah orang hanya kerana beliau adalah seorang ahli politik.

Allahyarham akan tetap mekar dalam lipatan sejarah sepanjang masa.

No comments: