Sunday, March 5, 2017

Khatam Alquran Perdana Di Masjid Muaz Bin Jabal




Pagi tadi, telah berlangsung majlis khatam Alquran perdana di Masjid Muaz bin Jabal, Setia Wangsa, Kuala Lumpur. Mengikut pihak urus setia, majlis berkenaan telah dihadiri sekitar 3,500 peserta daripada pelbagai golongan dan lapisan masyarakat. Majlis ini turut mendapat sokongan padu daripada beberapa orang ahli politik setempat. Antara mereka termasuklah Ahli Parlimen Setia Wangsa, YB Datuk Ahmad Fauzi Zahari serta Senator Datuk Seri Abdul Halim Abdul Samad. Manakala penggerak utama majlis ini ialah sebuah badan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Gerakan Wanita Islam Malaysia (Gerak Wanis).




Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) turut sama berperanan sebagai salah sebuah badan penggerak majlis ini yang bekerjasama dengan Gerak Wanis. Fokus PERTIS sudah tentulah penyertaan golongan cacat penglihatan Islam dalam majlis ini. Mengikut pihak urus setia lagi, ini merupakan penyertaan golongan cacat penglihatan yang terbesar dalam satu-satu majlis khatam Alquran. Adalah dijangkakan seramai 500 orang cacat penglihatan Islam telah menyertai majlis ini. Ia sekaligus telah membolehkan program ini tercatat dalam Malaysia Book Of Records sebagai penyertaan teramai golongan cacat penglihatan Islam dalam satu-satu majlis khatam Alquran.

Saya telah turut serta dalam majlis ini. Antara rakan-rakan lain yang sempat saya temui termasuklah Cikgu Mad Rozi, Rosmadi, Cikgu Wan Suhaimi dan Tn. Hj Muhammad Lee. Selain itu saya juga turut menemui Cikgu Rubi (mungkin selaku sukarelawan). Setiap peserta telah ditetapkan untuk membaca sejuzuk seorang. Sekitar sejam, sejuzuk bacaan Alquran dapat disempurkan. Selesai membaca, saya harus meninggalkan majlis. Adalah dijangkakan isteri perdana menteri akan hadir ke majlis berkenaan pada jam 11 pagi.




Di sini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak PERTIS kerana telah berada pada landasan yang betul dalam usaha untuk memasyarakatkan PERTIS. Kebetulan pula, Alquran Braille yang digunakan memang Alquran Braille asli yang mana soft copy-nya dihasilkan sendiri oleh PERTIS. Selain itu, dengan adanya kerjasama antara PERTIS dan Gerak Wanis, ia menunjukkan bahawa kerjasama antara yang celik dengan yang buta amat penting ke arah menyedarkan masyarakat bahawa semua pihak mempunyai peranan masing-masing untuk saling bantu-membantu. Ia juga turut meningkatkan lagi kkesedaran awam tentang kewujudan segelintir kecil masyarakat seperti kita.

Dalam usaha untuk terus memasyarakatkan PERTIS, barisan kepimpinan dalam PERTIS harus melaksanakan program yang berbentuk kerjasama seperti ini dengan sebanyak mungkin dengan badan dan pihak lain. Pelaksanaannya pula harus dilakukan secara berterusan dan bukannya bermusim.

Sebenarnya kerjasama seumpama ini sudah pun dilaksanakan oleh PERTIS Terengganu sejak beberapa tahun yang lalu. Apa yang sering dilaksanakan di PERTIS Terengganu ialah kerjasama dengan pelbagai pihak luar dan secara berterusan. Strategi ini harus dilaksanakan juga oleh PERTIS di setiap negeri lain.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan terima kasih yang setingginya kepada pihak penganjur kerana sudi untuk bekerjasama dengan pihak PERTIS dalam penganjuran majlis seperti ini. Selain itu, ucapan terima kasih juga ditujukan kepada para sukarelawan yang tidak jemu membantu khasnya ahli PERTIS sendiri.


No comments: