Monday, February 16, 2009

Bicara Pendidik

Guru-guru Cacat Penglihatan: Antara Rintihan Dan Rintangan

 

            Pada 14 Februari 2009 (Sabtu) yang lalu, satu majlis pertemuan antara guru-guru cacat penglihatan telah diadakan.  Pertemuan tersebut telah diadakan di ibu pejabat Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) di Brickfields, Kuala Lumpur.  Seramai lebih kurang 25 guru cacat penglihatan telah menghadiri pertemuan tersebut.  Majlis tersebut telah dipengerusikan oleh En. Mohd Amin Md Nor yang juga merupakan bekas presiden SBM.  Turut sama hadir ialah Dr. Wong Huey Siew yang kini sedang bertugas sebagai pensyarah di Universiti Terbuka Malaysia (OUM).  Majlis tersebut adalah anjuran Jawatankuasa Pekerjaan dan Pembangunan Komputer SBM.

 

            Antara objektif majlis pertemuan tersebut ialah untuk mengenal pasti segala permasalahan yang sedang dihadapi oleh golongan pendidik cacat penglihatan.  Ia juga bertujuan untuk menerima cadangan dan juga bertukar-tukar fikiran ke arah memperbaiki lagi pelbagai kelemahan dan kekurangan yang ada khususnya dalam kalangan guru-guru yang cacat penglihatan.  Selain itu, ia bertujuan untuk merangka strategi yang sesuai dan berkesan yang mana pada akhirnya nasib guru-guru cacat penglihatan akan terbela juga.

 

            Dalam majlis tersebut, beberapa orang guru telah menyuarakan rintihan mereka mengenai situasi yang sedang mereka hadapi di tempat mereka bertugas.  Cikgu Azhar umpamanya, antara lain mengatakan beliau pernah diminta untuk menandatangani borang Pol.  Setakat ini, beliau masih belum lagi menandatangani borang tersebut.  Menurut beliau, pihak-pihak yang berkenaan meminta beliau menandatangani borang tersebut kerana berpendapat beliau (Cikgu Azhar) tidak dapat menjalankan tugasnya sebagai pendidik hanya kerana beliau seorang buta.  Menurutnya lagi, setakat ini tiada pihak yang tampil untuk memberi pembelaan kepadanya.  Beliau harus menghadapi situasi ini berseorangan.  Untuk pengetahuan bersama, Cikgu Azhar sedang berkhidmat di salah sebuah sekolah biasa di Teriang, Pahang.  Beliau merupakan seorang yang cacat penglihatan setelah dewasa (adult blind).

 

            Cikgu Wee pula, antara lain mengatakan, sewaktu mula-mula beliau melapor diri, seseorang ada bertanya kepadanya, siapa yang meluluskan kamu (Cikgu Wee) sebagai guru?  Selain itu, pada awal beliau bertugas, beliau telah diberikan beberapa tugas termasuklah sebagai guru kelas.  Walau bagaimanapun, setelah beberapa bulan, hampir semua tugas tersebut telah ditarik balik kononnya pihak sekolah "kasihan" kerana beliau tidak nampak.  Kata Cikgu Wee lagi, beliau menerima semuanya itu dengan tersenyum (penuh reda) sahaja.  Sebenarnya, Cikgu Wee bukanlah tidak nampak langsung, beliau mempunyai tahap kerabunan yang agak baik.  Bagi saya, kalau segala tugas tersebut ditarik kerana kegagalan beliau menjalankan tugas tersebut mungkin boleh diterima, tetapi jika penarikan balik tersebut hanya disebabkan kerana beliau tidak nampak, maka saya rasa ada sesuatu yang tak kena pada pihak pentadbir sekolah tersebut!

 

            Cikgu Radzali Ahmad turut tidak ketinggalan memberikan pandangannya.  Katanya, sejak setahun setengah beliau mengajar, pelbagai cabaran dan rintangan beliau hadapi.  Adakalanya beliau merasakan disisih oleh rakan-rakan sekerjanya.  Sebagai contoh, pernah beliau tidak dipanggil menghadiri satu mesyuarat peringkat panitia dengan alasan beliau tidak nampak.  Kata Cikgu Radzali lagi, dalam menghadapi semua itu, beliau kadangkala terpaksa menonjolkan dirinya sekadar yang patut.  Hanya dengan cara itu sahaja baru kehadiran beliau dirasai dan dihargai oleh rakan-rakan setugasnya.  Cikgu Radzali merupakan seorang yang tidak berpenglihatan langsung.  Beliau bertugas di SMK Kelibang, Langkawi.

 

            Cikgu Hisyammudin Wahab turut berkongsi pandangan yang hampir sama. Katanya, adalah tidak mustahil bagi seseorang guru cacat penglihatan untuk mengajar mata pelajaran seni, tetapi ia bergantung kepada jenis seni pula.  Kalau seni muzik memang sesuai asalkan guru berkenaan berpengetahuan, berbakat dan berkemahiran.  Kata Cikgu Hisyammudin lagi, beliau pernah mengiringi murid-muridnya ke satu pertandingan catur anjuran Majlis Sukan Sekolah-sekolah Kuala Lumpur (MSSKL).  Apa yang membanggakan beliau ialah, ada antara muridnya itu berjaya ke peringkat zon (daerah).  Justeru, beliau sependapat dengan Cikgu Radzali iaitu penampilan diri kadangkala penting untuk menghindarkan daripada tersisih atau disisihkan oleh rakan-rakan setugas yang berpenglihatan.

 

            Cikgu Mohamed Ismail turut tidak melepaskan kesempatan untuk berkongsi pengalaman beliau.  Beliau telah berkhidmat sebagai pendidik sejak tahun 1981 lagi.  Sejak mula berkhidmat hinggalah sekarang, beliau memang bertugas di sekolah biasa dan mengajar murid-murid yang berpenglihatan.  Katanya, sewaktu mula berkhidmat, kemudahan peralatan ICT untuk golongan cacat penglihatan masih belum ada lagi.  Beliau juga sukar untuk mendapatkan buku-buku teks dan bahan-bahan bacaan lain dalam bentuk Braille untuk kegunaan sendiri.  Katanya lagi, memang sudah menjadi perkara biasa untuk mengeluarkan wang saku sendiri bagi menyelesaikan pelbagai perkara yang berkaitan dengan tugasnya seperti membayar kepada pembaca, membeli bahan-bahan bacaan Braille dan sebagainya.  Semuanya itu beliau lalui dengan reda.  Sebab itulah beliau boleh bertahan sehingga ke hari ini.  Untuk pengetahuan bersama, Cikgu Mohamed Ismail merupakan seorang yang tidak nampak langsung. Beliau sedang mengajar di salah sebuah sekolah menengah biasa di Kuala Terengganu.

 

            Di sekolah-sekolah khas untuk murid cacat penglihatan pula, masalah yang dihadapi agak berbeza.  Permasalahan yang dihadapi lebih kepada usaha untuk memartabatkan pendidikan khas itu sendiri.  Antara cabaran dan permasalahan yang dihadapi termasuklah lambakan guru-guru yang tidak mahir dengan sistem tulisan Braille, golongan pentadbir yang gagal memahami dan menjiwai pendidikan khas, persepsi yang salah mengenai pendidikan khas, pemberian anugerah cemerlang yang tidak mengikut kriteria yang sepatutnya dan sebagainya.

 

            Selain itu, amat memeranjatkan bilamana Cikgu Saifuddin memaklumkan bahawa tiada mana-mana pihak, sama ada pihak Kementerian Pelajaran mahupun NGO yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan yang mempunyai data dan rekod yang lengkap mengenai guru-guru cacat penglihatan bagi seluruh negara.  Ini termasuklah jumlah sebenar guru-guru cacat penglihatan, jumlah guru cacat penglihatan yang sedang berkhidmat di sekolah-sekolah biasa, jumlah guru cacat penglihatan yang sudah mencapai gred gaji 48 dan ke atas dan sebagainya.  Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia hanya mempunyai data guru cacat penglihatan yang berada di bawah tanggungjawab bahagian tersebut sahaja.  Ini bermakna data guru cacat penglihatan yang berkhidmat disekolah-sekolah biasa tiada dalam rekod bahagian berkenaan.  Agaknya inilah yang dikatakan karenah birokrasi.  Jadi, di peringkat ini, kumpulan guru cacat penglihatan rupa-rupanya masih berada pada tahap kelas anak tiri!

 

            Setelah mendengar dan meneliti setiap permasalahan yang dikemukakan, maka beberapa cadangan telah diketengahkan.  Antaranya termasuklah:

 

1.  Mengadakan majlis pertemuan seperti ini dengan lebih kerap lagi.

 

2.  Menubuhkan satu persatuan yang khusus dianggotai oleh guru-guru yang cacat penglihatan.

 

3.  Guru-guru cacat penglihatan hendaklah mengadakan perkongsian pelbagai bahan antara sesama mereka bagi menampung kekurangan bahan bacaan.

 

4.  Adalah disarankan agar setiap guru cacat penglihatan supaya mempunyai kemahiran ICT semaksimum mungkin kerana ia akan memberi manfaat yang besar dan akan membantu dalam tugas seharian.

 

5.  Satu data lengkap mengenai guru-guru cacat penglihatan hendaklah dikumpul dan disimpan oleh pihak yang berkenaan, terutamanya oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

 

6.  Satu sesi dialog, sumbang saran atau taklimat harus diadakan antara NGO yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan dengan para pengetua atau pentadbir sekolah biasa di mana di sekolah berkenaan ada guru-guru cacat penglihatan sedang berkhidmat.

 

            Bagi saya, terdapat tiga kategori guru cacat penglihatan, iaitu:

 

1.  Guru-guru cacat penglihatan yang sedang berkhidmat di sekolah-sekolah pendidikan khas untuk murid-murid cacat penglihatan seperti di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Batu, Kuala Lumpur, atau sebagainya.

 

2.  Guru-guru cacat penglihatan yang sedang berkhidmat dalam Rancangan Integrasi di sekolah-sekolah biasa seperti rancangan integrasi di SMK Tunku Abdul Malik, Alor Setar, Kedah.

 

3.  Guru-guru cacat penglihatan yang sedang berkhidmat di sekolah-sekolah biasa dan mengajar murid-murid berpenglihatan biasa.

 

            Oleh kerana ketiga-tiga kategori di atas mengalami dan mengharungi situasi yang berbeza serta memikul tanggungjawab yang juga berbeza, maka sudah tentulah permasalahan yang dihadapi juga berbeza.  Bila permasalahan yang dihadapi berbeza, maka sudah tentulah ia juga memerlukan kaedah penyelesaian yang turut berbeza.  Perkara inilah yang sepatutnya dihalusi dan dicari formula penyelesaian yang seadilnya oleh semua pihak yang berkaitan, terutamanya pihak-pihak tertentu di Kementerian Pelajaran Malaysia.  Menutup pintu peluang kepada golongan cacat penglihatan untuk menceburi profesion perguruan sebagaimana yang pernah berlaku suatu ketika dahulu bukanlah kaedah penyelesaian yang adil.

 

            Beberapa siri seminar, forum dan perbincangan dengan tujuan untuk mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan di atas pernah diadakan sebelum ini.  Pada tahun 2002, satu seminar sehari telah dianjurkan oleh Majlis Kebangsaan Orang Buta Malaysia (NCBM). Seminar tersebut telah membincangkan pelbagai masalah yang dihadapi oleh guru-guru cacat penglihatan.  Pada tahun 2004 pula, Majlis Kebangsaan Orang Buta Malaysia (NCBM) sekali lagi telah menganjurkan satu seminar mengenai isu dan permasalahn guru-guru cacat penglihatan.  Pelbagai masalah dan saranan telah diutarakan.  Pada tahun 2005 pula, satu seminar sehari anjuran Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) telah diadakan.  Namun begitu, sehingga hari ini, saya tidak merasai kesan positif daripada seminar-seminar tersebut.  Hal ini mungkin berpunca dari beberapa faktor, antaranya:

 

1.  Penyertaan seminar yang tidak menyuluruh terutamanya daripada pihak-pihak yang ada kaitan langsung dengan guru-guru cacat penglihatan.

 

2.  Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pegawai ketika menghadiri seminar yang berkaitan.  Sewaktu seminar anjuran NCBM pada tahun 2004, ada sesetengah pegawai yang muncul pada majlis perasmian dan penutup sahaja.  Ini mungkin pada kedua-dua acara tersebut, ia turut dihadiri oleh bos besar mereka.  Padahal pegawai berkenaan sepatutnya hadir pada setiap sesi supaya boleh mendapat input yang sepatutnya.

 

3.  Pihak-pihak tertentu dalam Kementerian Pelajaran pada umumnya kurang berminat untuk berdialog secara langsung dengan semua guru cacat penglihatan.  Ini terbukti bilamana hampir kesemua sesi dialog antara kedua-dua pihak adalah anjuran NGO yang ada kaitan dengan golongan cacat penglihatan.  Hal ini dibuktikan lagi apabila cadangan dari seorang rakan supaya Jabatan Pendidikan Khas (kini Bahagian Pendidikan Khas) mengadakan sesi dialog dengan guru-guru cacat penglihatan, malangnya cadangan tersebut ditolak mentah-mentah oleh bos besar jabatan tersebut ketika itu.

 

4.  ada dalam kalangan pentadbir sekolah-sekolah tertentu yang memandang rendah terhadap sebarang sesi dialog atau seminar yang dianjurkan oleh NGO yang berkaitan golongan cacat penglihatan.  Alasan mereka, seminar atau sesi dialog berkenaan dianjurkan oleh NGO sahaja.  Justeru, respon mereka sama ada tidak hadir langsung atau sekadar menghantar wakil sahaja.

 

            Walau bagaimanapun, saya tidak menafikan masih ada pegawai tertentu, khasnya dari Bahagian pendidikan Khas itu sendiri yang sememangnya bersungguh-sungguh untuk membantu guru-guru cacat penglihatan, tetapi jumlah mereka yang benar-benar memahami dilema yang sedang dihadapi oleh guru-guru cacat penglihatan amat kecil.  Suara mereka tidak cukup kuat untuk membela golongan ini di peringkat yang lebih tinggi, iaitu di peringkat di mana kebiasaannya pertimbangan lebih banyak berdasarkan kepada teori dan bukannya realiti.

 

            Usaha Jawatankuasa Pekerjaan dan Pembangunan Komputer, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) dalam menganjurkan majlis seperti di atas amatlah dialu-alukan.  Selain menjadi medan untuk bertukar-tukar idea, berkongsi pengalaman atau meluahkan perasaan, setidak-tidaknya ia boleh dijadikan forum untuk sesetengah guru cacat penglihatan melepaskan stress masing-masing.

 

            Khabarnya pihak SBM juga akan menganjurkan satu lagi sesi dialog antara guru-guru cacat penglihatan seluruh negara dengan pelbagai jabatan dan agensi dari Kementerian Pelajaran Malaysia dalam masa yang terdekat.  Usaha baik dan murni sebegini memanglah dialu-alukan.  Namun begitu, keberkesanannya masih lagi akan dinantikan.  Adakah ia akan menerima nasib yang sama sebagaimana seminar-seminar yang pernah dianjurkan sebelum ini juga bakal merupakan satu lagi persoalan.  Harap-haraplah kali ini pihak-pihak yang berkenaan benar-benar serius untuk menjayakan apa yang dicita-citakan selama ini.

 

3 comments:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Terima kasih sekali lagi di atas fakta terkini: permasalahan dan cabaran arus pendidikan cacat penglihatan. Ya, tahniah kepada JPPK SBM di atas usaha murni ini. Rasanya, elok kiranya NGO cacat penglihatan ini, terutamanya NCBM, memulakan pengumpulan data mengenai guru-guru kita sebagaimana yang saudara sebutkan. Ini kerana data selengkap itu, mudah-mudahan, akan mampu menjadi bahan rujukan ketika seminar/perbincangan sama ada sesama sendiri mahupun dengan pihak berwajib. Tidak ketinggalan juga, kiranya dimasukkan pada data itu bentuk/aliran pendidikan, lebih-lebih lagi bila ia melibatkan pendidikan aliran Islam yang memerlukan tulisan Arab Braille dimartabatkan sewajarnya dalam menulis Al-Quran, hadith serta petikan Arabiyah lain untuk manfaat pelajar-pelajar aliran agama.

Memang, senario kesedaran masyarakat awam terhadap kita di Malaysia masih rendah menyebabkan kita tersisih dan/atau keperluan kita tidak diambil kira sebagai keperluan asasi yang mesti dipenuhi seperti kemahiran tulisan Braille, bakat dan kebolehan semulajadi dalam pelbagai bidang, dan sebagainya. Oleh itu, cadangan saudara agar lebih banyak pertemuan serta sesi penerangan diadakan bersama pihak berwajib sangat wajar. Malah, jika perlu, kehadiran setiap individu berkenaan hendaklah "difardhu/wajibkan" sebagai antara pengukur prestasi kerja agar setidak-tidaknya mampu mengelak kehadiran bermusim kerana ada "boss" berulang. Walaupun ini bunyinya macam kerahan tenaga, namun rasanya kaedah sebeginilah antara cara berkesan yang mudah-mudahan mampu merubah senario sekarang ke arah yang lebih dan terbaik untuk generasi kita mendatang. Selain itu, elok juga kiranya kita cuba merapati media massa seperti radio dan TV bagi mendedah, seterusnya menyedarkan masyarakat akan pencapaian kita, terutamanya aspek pendidikan. Perlahan-lahan, kita perluaskan pula kepada bidang lain seperti keagamaan, kesenian, serta lain-lain cabang ilmu semasa. Dengan itu juga, kita berharap agar individu cacat penglihatan sendiri, terutamanya para pendidik, memperlengkap serta menambahbaik lagi ilmu pengetahuan dan prestasi kerja agar potensi kita benar-benar dihargai, seterusnya kita turut mampu berbakti kepada agama, bangsa, negara dan diri sendiri.

Terima kasih.

Tai said...

yang pentingnya sekarang, wujudkanlah blog. Ini NGO's orang buta, orang cakap, buat blog, taknak dengar. macam-macamlah alasan diberi.

Dan blog itu kalau boleh dalam bm. Supaya semua orang dapat baca.

TINTA EMAS said...

Ya, sesuatu perlu dilakukan untuk membantu guru-guru OKU penglihatan ini.

(Jika tidak keberatan singgahlah ke blog yang baru saya buka ini,

Siti Huraizah Ruslan