Tuesday, October 26, 2010

Bukan Menyepi

Saya menukilkan tulisan ini setelah beberapa rakan mula bertanya kepada saya, mengapa sejak akhir-akhir ini kemas kini pada blog ini tidak sekerap sebelumnya. Kalau sebelumnyakemas kini dalam blog ini akan dilakukan 3 atau 4 kali seminggu, tetapi kini kemas kini dilakukan seminggu sekali sahaja. Adakalanya kemas kini dalam blog ini dilakukan sekali dalam tempoh dua minggu, satu jarak jangka masa yang agak panjang.

Saya akui sejak akhir-akhir ini kemas kini dalam blog ini tidak sekerap dahulu. Kalau tidak silap saya, dalam bulan ini sahaja ini merupakan posting saya yang ketiga. Suatu pencapaian yang paling merudum sejak blog ini diwujudkan.

Pada hakikatnya, setakat ini saya masih tidak menghadapi masalah yang dipanggil sebagai “krisis idea” untuk menulis. Minda dan jari-jemari saya sering meronta untuk menukilkan banyak perkara menerusi blog ini yang merangkumi pelbagai topik.

Antara perkara yang tidak sempat saya tulis dan ulas setakat ini ialah mengenai perkembangan politik semasa, terutamanya perkembangan pilihanraya kecil di DUN Galas dan di Parlimen Batu Sapi. Di Galas, seorang kerabat terdekat saya merupakan antara ribuan manusia yang turut sama mengiringi salah seorang calon dalam penamaan calon pilihanraya kecil itu siang tadi. Sudah tentulah saya dapat mengakses banyak cerita daripada beliau untuk dijadikan bahan dalam penulisan saya.



Manakala esok pula, Little India akan dirasmikan oleh dua pemimpin dari dua negara. Little India yang mencakupi kawasan Brickfields dapat diulas dari kaca mata golongan cacat penglihatan kerana selama ini Brickfields merupakan “kampung halaman” bagi sebahagian besar masyarakat cacat penglihatan khasnya di sekitar Lembah Kelang. Apa yang boleh diulas ialah mengenai masa depan Brickfields sebagai “kampung halaman” untuk golongan cacat penglihatan. Pembangunan yang kian mengasak di Brickfields sudah tentu memberi kesan langsung kepada golongan berkenaan yang selama ini amat sinonim dengan Brickfields.

Satu lagi perkara yang ingin sangat saya ulas tetapi masih tidak mampu untuk saya lakukan ialah apabila kerajaan mengumumkan untuk menjadikan Sejarah sebagai mata pelajaran teras yang wajib lulus di peringkat SPM. Sebagai seorang yang meminati sejarah, sudah tentulah saya punya pandangan serta pendapat tersendiri mengenai hal ini. Bagi saya, langkah kerajaan berkenaan mempunyai kebaikan dan ketidakbaikannya.

Jari-jemari saya begitu kuat rontaannya untuk menulis bilamana sekali-sekala saya mendengar alunan merdu suara Kadir Jailani (lebih mesra saya panggil Abang Kadir) berkumandang ke udara menerusi Klasik Nasional. Walaupun Abang Kadir punya suara yang begitu merdu, tetapi beliau masih tidak berupaya untuk memanfaatkan bakat besar yang ada pada beliau sebagai mata pencarian hidup secara lebih profesional. Melalui seorang rakan, beliau pernah menyuarakan kekesalannya kerana bakat menyanyi dan bermain alat muzik yang ada pada beliau tidak disertai dengan kemahiran membaca not muzik.

Selain itu, beberapa peristiwa seharian yang saya lalui juga agak menarik jika saya mampu untuk berkongsi sama menerusi blog ini. Namun begitu, semuanya itu setakat ini masih tidak mampu untuk saya sempurnakan.

Maha benarlah sepertimana sabda Junjungan, yang antara lain mafhumnya: “Rebutlah lima perkara, sebelum datang lima perkara ....”. Salah satu daripada lima perkara tersebut ialah masa lapang, sebelum datangnya masa sibuk.

Saya bukannya menyepi daripada menulis.

Wednesday, October 20, 2010

Menziarahi Makam Sheikh Ahmad Majnun Di Pengkalan Kempas



Beberapa minggu yang lalu, saya sekeluarga telah ke Port Dickson (PD). Tujuan utama saya ke sana ialah untuk menghadiri satu mesyuarat bersama-sama dengan sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Pada satu petang yang agak terluang, saya sekeluarga telah berkesempatan untuk menziarahi makam Sheikh Ahmad Majnun yang terletak di Pengkalan kempas.





Pengkalan Kempas merupakan sebuah kampung kecil nelayan yang terletak sekitar 30 km dari hotel penginapan kami di PD. Lokasi kkampung berkenaan adalah kira-kira 50 km sebelah utara Melaka. Di sinnilah terletaknya makam Sheikh Ahmad Majnun.



Sewaktu kami tiba di Pengkalan Kempas, waktu sudah menunjukkan jam 6.00 petang. Mungkin kerana hari sudah lewat petang, maka jeti nelayan yang terletak tidak jauh dari kompleks makam sudah sepi dari sebarang aktiviti. Kawasan sekitarnya juga agak sepi. Walau bagaimanapun terdapat beberapa buah rumah nelayan di sekitar kompleks permakaman berkenaan.



Sewaktu menuntut di Universiti Malaya (UM) dahulu, saya pernah belajar mengenai kawasan permakaman Sheikh Ahmad Majnun. Namun begitu apa yang saya pelajari waktu itu bukannya mengenai ketokohan Sheikh ahmad Majnun, tetapi mengenai keunikan batu-batu yang terdapat di sekitar permakaman berkenaan.



Alhamdulillah. Kali ini saya dapat menyentuh dengan tangan saya sendiri batu-batu unik yang pernah saya pelajari hampir 2 dekad lalu. Berdasarkan sentuhan dan rabaan saya, memang batu-batu yang terdapat di sekitar makam ini memang unik, besar, keras, bak ungkapan terkenal dalam kalangan kami “kalau ketuk tak berbunyi”.



Siapakah tokoh yang bernama Sheikh Ahmad Majnun ini? Setakat yang saya ketahui, tiada catatan yang jelas mengenai ketokohan beliau. Ada sumber yang mengatakan bahawa Sheikh Ahmad Majnun adalah seorang ulamak yang pernah hidup ketika Melaka diperintah oleh Sultan Mansur Shah (1459-1477M). Sumber lain pula mengatakan bahawa Sheikh Ahmad Majnun telah dijatuhi hukuman bunuh oleh Tun Perak kerana dikatakan telah menderhaka kepada Sultan Mansur Shah. Manakala catatan pada makam tersebut pula mengatakan bahawa Sheikh Ahmad Majnun telah meninggal dunia di sekitar kawasan permakaman berkenaan ketika beliau dalam perjalanan ke satu destinasi. Wallahu aalam.



Apa yang menjadi tanda tanya ialah kalimah “Majnun” yang ada pada hujung namanya. “majnun” ialah kalimah Arab yang membawa maksud “tidak siuman, gila, dirasuk jin” dalam bahasa Melayu (rujuk Kamus Dewan, Edisi 2000, halaman 844). Dalam buku Sejarah Melayu, ada dikisahkan seorang ulamak yang dikatakan telah “junun. Junun juga merupakan kalimah Arab yang membawa maksud “gila, dirasuk jin” (rujuk Kamus Dewan, Edisi 2000, halaman 549).

Antara lain, Sejarah Melayu mencatat:


Arkian Sultan Mahmud hendak pergi mengaji Maklumat pada Maulana Yusuf; akan tuan itu telah junun, jika layang-layang orang lalu di atas bumbung rumahnya, disuruhnya buangi ali-ali. Setelah dapat, maka disuruhnya koyak layang-layang itu, dipesok-pesokkan; katanya, “Biadab, lalu di atas rumahku,” demikianlah kelakuan tuan itu.


(Dipetik daripada, Sejarah Melayu, oleh Abdul Samad Ahmad (Ed), (1977), halaman 201-202).



Namun begitu, ulamak yang dikatakan junun oleh Sejarah Melayu seperti di atas hidup dalam zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1488-1511). Lagipun, nama tokoh ulamak yang junun itu ialah Maulana Yusuf dan bukannya Sheikh ahmad.



Demikianlah Sheikh Ahmad Majnun, walaupun beliau telah menghadap Ilahi, tetapi ketokohannya tetap hidup dalam lipatan sejarah. Saya sekeluarga telah menghabiskan sekitar setengah jam di makam Sheikh Ahmad Majnun.

(Maklumat tambahan: Melaka telah jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511. Sultan Mahmud Shah (sultan Melaka yang terakhir) telah mangkat di Kampar, Sumatera, pada tahun 1528).

Di mana pun saya pergi, jika ada kesempatan, saya pasti akan mengunjungi tempat-tempat yang ada nilai sejarah.

Tuesday, October 5, 2010

Selamat Menduduki PMR

Hari ini merupakan hari pertama para pelajar tingkatan 3 seluruh negara menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi tahun 2010. Kepada semua pelajar selamat menduduki peperiksaan PMR. Saya yakin sebahagian besar pelajar telah pun membuat persediaan serapi mungkin dalam pelbagai aspek untuk menduduki peperiksaan awam ini.

Di saat-saat akhir sebelum para pelajar berkenaan masuk ke dewan peperiksaan untuk kertas yang pertama, saya dapat merasakan pelbagai pihak akan turut merasai sama debarannya. Daripada pelajar, ibu bapa, guru-guru, para pengetua sekolah, guru-guru pusat tusyen, home tutor, bahkan agaknya, yang berhormat timbalan-timbalan menteri pelajaran dan yang amat berhormat menteri pelajaran pun mungkin turut berdebar sama. Bukan debaran sebarang debaran, tetapi debaran bersimpaikan harapan.

Kepada para ibu bapa dan penjaga yang berkaitan, hulurkanlah sokongan moral kepada anak-anak yang sedang menduduki PMR setinggi mungkin. Anda mungkin tidak terlibat dengan pengajaran dan pembelajaran di sekolah, tetapi sokongan moral daripada anda semua merupakan elemen penting untuk kejayaan anak-anak kita. Yang mana sedang bermasam muka, ambillah langkah untuk “gencatan senjata” setidak-tidaknya semasa anak-anak kita sedang menduduki PMR. Sekiranya situasi paling harmoni tidak ada di rumah, ia mungkin menjadi antara faktor kegagalan anak-anak kita kelak.

Kepada semua pelajar, ketahuilah, anda semua sebenarnya menggalas harapan pelbagai pihak untuk memperolehi yang terbaik daripada peperiksaan PMR ini. Oleh itu, lakukanlah yang terbaik agar mendapat hasil yang terbaik.

Kepada yang berkenaan, selamat menduduki PMR!