Saturday, October 1, 2011

Pendidikan Kaimal

Sebelum saya pergi lebih jauh lagi dalam tulisan ini, perlu saya tegaskan di sini bahawa apa yang saya tulis ini adalah pandangan peribadi saya sahaja. Ia bukan kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak dan tulissan ini juga bukan mewakili mana-mana institusi.



Kaimal adalah akronim kepada Kemahiran Asas Individu Masalah Penglihatan. Antara tujuan pendidikan ini diperkenalkan ialah untuk memberikan pendidikan asas dalam aspek-aspek tertentu kepada murid-murid yang cacat penglihatan di peringkat sekolah rendah. Antara faktor penyebab pendidikan ini diperkenalkan ialah kerana pada dasarnya kemahiran-kemahiran yang terkandung dalam pendidikan ini tidak terdapat dalam kurikulum pendidikan arus perdana. Pada masa yang sama, adalah dirasakan bahawa pengajaran Kaimal amat perlu ke arah menyediakan seseorang murid cacat penglihatan supaya lebih berdikari, lebih berkeyakinan diri serta dapat menjalani kehidupan yang lebih sempurna dan teratur pada masa hadapan. Antara aspek yang diberikan penekanan dalam pendidikan Kaimal termasuklah orientasi dan mobiliti (O&M), pengurusan diri serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Saya masih ingat lagi sewaktu di peringkat sekolah rendah, pendidikan seumpama ini ada dilaksanakan. Pada masa itu, ia tidak dinamakan Kaimal. Bahkan seingat saya, tiada sebarang nama yang diberikan kepada pendidikan sedemikian. Pendidikan tersebut dilaksanakan di luar waktu persekolahan. Tiada sebarang kurikulum khusus yang boleh dijadikan sebagai garis panduan pelaksanaan pendidikan berkenaan. Ia bergantung sepenuhnya kepada kreativiti kakitangan sokongan aasrama untuk melaksanakannya.

Antara kemahiran yang diajar ketika itu termasuklah pengurusan diri yang merangkumi mandi dan membersihkan tubuh badan, menggosok gigi, berpakaian, melipat dan menggantung pakaian, mengemas tempat tidur, memasang dan mengikat tali kasut, mencuci kasut sekolah, menggunakan minyak rambut serta menyikat rambut. Di samping itu, turut diajar ialah cara makan yang betul sama ada dengan menggunakan tangan ataupun menggunakan sudu dan garfu. Selain itu, murid-murid waktu itu juga turut diajar cara menggosok pakaian dengan betul. Saya masih ingat lagi kaedah yang diajarkan kepada saya untuk menentukan sama ada setrika sudah panas atau belum dan ia memang berkesan dan jika kaedahnya betul ia memang tidak membahayakan kepada mereka yang cacat penglihatan. Dengan adanya pendidikan seperti ini, ia telah membolehkan murid-murid cacat penglihatan ketika itu menguruskan diri masing-masing dengan lebih berdikari lagi tanpa terlalu bergantung kepada orang lain. Ketika saya pulang ke rumah sewaktu musim cuti sekolah, bila kedua ibu bapa saya melihat saya mampu melakukan urusan pengurusan diri secara berdikari, mereka merasa kagum dan beruntung kerana saya telahdapat sesuatu dari sekolah.

Selain aspek pengurusan diri, pendidikan orientasi dan mobiliti turut diajar. Murid-murid cacat penglihatan diberikan pendedahan mengenai jenis-jenis tongkat, cara memegang tongkat dengan betul serta cara menggunakan tongkat dengan cara yang betul. Melalui pendidikan ini, seseorang murid yang cacat penglihatan akan lebih yakin untuk bergerak walaupun di tempat yang mereka tidak biasa. Oleh kerana pada masa lalu ICT masih belum berkembang, maka saya serta rakan-rakan yang seangkatan tidak dapat pendedahan mengenainya. Kami harus berusaha sendiri untuk memperoleh faedah daripada perkembangan pesat ICT yang berlaku pada hari ini.

Selain aspek-aspek yang telah dinyatakan tadi, sesetengah murid cacat penglihatan terutama yang pernah belajar di SKPK Princess Elizabeth suatu ketika dahulu pernah diajar bagaimana cara-cara memasak. Saya adalah antara murid yang paling malas untuk belajar memasak dan selalu mengelak bila nama saya tersenarai untuk belajar masak. Sebab itulah hingga sekarang saya memang tidak tahu memasak. Berbeza dengan sesetengah rakan saya yang lain di mana walaupun mereka cacat penglihatan seperti saya, tapi mereka ada yang pandai memasak. Setidak-tidaknya bila gerai atau warung tutup, mereka masih boleh makan nasi dan lauk panas yang dimasak sendiri.

Walaupun pada ketika itu tiada kurikulum khusus mengenai kemahiran sebagaimana yang dikenali sebagai Pendidikan Kaimal hari inni, namun begitu dengan kesungguhan serta kreativiti kakitangan yang terlibat, ia telah berjaya dilaksanakan dengan baik dan berkesan. Pada hari ini, saya serta rakan-rakan yang pernah melaluinya lebih yakin dan rasanya lebih berdikari dalam menjalani kehidupan seharian.

Hari ini, dengan tujuan untuk memantapkan lagi kemahiran asas tertentu yang sangat diperlukan oleh murid-murid cacat penglihatan, maka unit tertentu di Kementerian Pelajaran Malaysia telah merangka satu kurikulum yang lengkap dalam serba-serbi untuk digunakan di peringkat pendidikan rendah. Berbeza dengan pelaksanaannya pada masa lalu di mana hanya kakitangan sokongan bahagian asrama akan berperanan besar dalam pelaksanaannya, kali ini pelaksanaannya akan dijalankan oleh guru dengan dibantu oleh kakitangan berstatus pembantu pengurusan murid (PPM).

Pada pendapat saya, di peringkat perancangan, ia nampak mantap, menyuluruh serta merangkumi hampir semua aspek kemahiran asas yang diperlukan oleh seseorang murid cacat penglihatan. Adalah diharapkan semoga pada peringkat pelaksanaannya nanti, ia akan dapat dilaksanakan oleh mereka yang juga terlatih, berwawasan dan yang paling penting kreatif dalam menerapkan segala kemahiran yang diperlukan oleh seseorang murid yang cacat penglihatan sebagaimana yang terkandung dalam semua dokumen asas perancangan pendidikan Kaimal itu sendiri.

Di sini, secara peribadi, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada semua pegawai dan kakitangan di Unit Masalah Penglihatan, Sektor Pendidikan Khas, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia kerana telah meneroka usaha untuk memberikan pendidikan asas kemahiran khas yang sesuai dan sangat diperlukan oleh murid-murid cacat penglihatan. Terima kasih dan tahniah juga tidak lupa saya tujukan kepada semua guru yang selama ini terlibat secara langsung dan juga tidak langsung dalam menyokong usaha nurni ini.

3 comments:

lurVe Asha said...

Setuju gak Pak Ya...dengan adanya subjek KAIMAl banyak membantu guru untuk mengajar kemahiran yang diperlukan oleh murid-murid cacat penglihatan agar anak-anak ini lebih berdikari dan mampu menguruskan diri sendiri kelak...

amirudin said...

assalamualaikum cikgu, dalam kiriman yang ini, cikgu ada tulis, "Saya masih ingat lagi kaedah yang diajarkan kepada saya untuk menentukan sama ada setrika sudah panas atau belum dan ia memang berkesan dan jika kaedahnya betul ia memang tidak membahayakan kepada mereka yang cacat penglihatan. " Kalau tak keberatan, boleh tak cikgu kongsikan cara tersebut? saje nak tahu.

Cikgu Zakaria said...

Salam semua.
Saya ingin memberi respons tentang bagaimana untuk mengetahui sama ada seterika yang digunakan sudah panas atau belum khasnya kepada pengguna cacat penglihatan.
Pertama, pengguna cacat penglihatan harus sudah ada maklumat bentuk seterika yang digunakan, termasuklah di mana pemegangnya atau tempat untuk mengawal suhunya.
Kedua, Pengguna berkenaan juga harus sudah dilatih terlebih dahulu cara asas untuk menggunakan seterika.
Ketiga, Setelah seterika berkenaan dihubungkan dengan suis elektrik, pastikan kawalan suhu berada pada suhu pertengahan. Setelah suis elektrik dibuka, tunggu seminit dua. Bila seterika berkenaan sudah panas, ia akan menghasilkan bau haba. Kemudian letakkan seterika berkenaan atas sehelai kain yang tebal untuk beberapa saat kemudian angkat semula dan letakkan pada posisi yang selamat. Jika kain berkenaan panas, ia bermakna seterika berkenaan sudah panas. Demikianlah.