Dalam tulisan kali ini, saya ingin membicarakan serba ringkas mengenai beberapa tindakan kurang berhati-hati yang pernah dilaksanakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Untuk memudahkan fokus penulisan ini, saya hanya akan membincangkan tempoh antara 2008 hingga masa kini. Tempoh ini saya pilih kerana ia amat dekat dengan PRU ke-13 yang semakin hampir. Lagipun, kita sama-sama boleh menilai kesan daripada tindakan yang saya anggap sia-sia itu khususnya terhadap persediaan Pakatan Rakyat (PR) untuk menghadapi pilihanraya berkenaan.
Selepas pilihanraya umum ke-12 pada Mac 2008, Datuk Seri Anwar telah mewar-warkan bahawa terdapat sekitar 30 ahli parlimen akan menyebarang dan akan menyokong pembangkang. Sekiranya penyeberangan sedemikian benar-benar berlaku, sudah tentulah kerajaan BN yang ada ketika itu akan tumbang. Menurut khabar yang diwar-warkan ketika itu, penyeberangan tersebut akan berlaku pada sekitar 16 September.
Untuk maklumat bersama, Pilihanraya umum ke-12 telah diadakan pada 8 Mac 2008. Jumlah keseluruhan kerusi Dewan Rakyat ialah 222 kerusi. Hasil daripada pilihanraya berkenaan, BN telah memenangi 140 kerusi. Manakala parti-parti yang bergabung dalam PR pula memperoleh 82 kerusi. Keputusan pilihanraya ini juga menunjukkan BN telah hilang majoriti 2/3 dalam Dewan Rakyat. Berdasarkan situasi yang ada, PR memang memerlukan 30 kerusi sahaja lagi untuk membentuk kerajaan baru bagi menggantikan BN. Tarikh 16 September telah diwar-warkan sebagai hari di mana peralihan tampuk kepimpinan negara di Putrajaya akan berlaku. Mungkin tarikh berkenaan dipilih kerana ingin mengambil tuah daripada Hari Malaysia yang juga jatuh pada tarikh tersebut.
Walau bagaimanapun, 16 September 2008 telah berlalu dengan damai dan tanpa sebarang perubahan di Putrajaya. BN telah membuktikan bahawa mereka mempunyai para ahli parlimen yang setia kepada parti. Maka itulah tiada seorang pun daripada sekitar 30 ahli parlimennya yang diwar-warkan sebelum ini untuk berpaling tadah telah melompat parti dan menyokong PR.
Hasil daripada tindakan sia-sia tersebut, maka setiap kali munculnya 16 September setiap tahun, orang ramai akan turut sama memperingati hari kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PR untuk bermastautin di Putrajaya melalui kaedah lompat parti. Buka sahaja internet pada sekitar 16 September setiap tahun selepas 2008, maka meriahlah para penulis blog anti Anwar dan anti PR mempersendakan cita-cita Anwar Ibrahim dan PR untuk bermastautin di Putrajaya. Dengan demikian, tidak menghairankan bilamana sebilangan puak yang anti Anwar dan anti PR sering mempersendakan cita-cita Anwar Ibrahim dan PR untuk bertakhta di Putrajaya dengan menggambarkannya sebagai karut dan omong kosong semata-mata.
Lebih malang lagi, beberapa bulan kemudian, kerajaan PR di Perak pula yang tumbang melalui kaedah yang sama yang dirancang digunakan untuk merampas Putrajaya sebelumnya. Malang yang menimpa menjadi double bilamana 2 ADUN daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berpaling tadah dan menjadi penyebab utama kepada tumbangnya kerajaan PR di Perak yang tidak sempat menyambut ulang tahun pertama pemerintahannya. Agaknya inilah yang dibidalkan oleh orang tua-tua kita, yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran.
Tindakan sia-sia seterusnya ialah apabila Datuk Seri Anwar dalam The Wallstreet Journal baru-baru ini telah membuat kenyataan yang kononnya mengiktiraf keselamatan negara Israel. Mengiktiraf keselamatan samalah dengan mengiktiraf kewujudan negara haram tersebut. Kebetulan pula, bagi orang Melayu nama Israel atau Yahudi adalah sesuatu yang amat busuk dan menjijikkan. Walau bagaimanapun, keadaan busuk dan menjijikkan itu hanya terhad kepada namanya sahaja. Jika nama Israel atau Yahudi digantikan dengan nama lain sedangkan isinya masih sama, ia tidak pula menjadi masalah. Demikianlah.
Keadaan semakin kusut lagi apabila hampir setiap hari ia diulas oleh pelbagai jenis manusia. Media tertentu pula semakin galak mencurah pelbagai jenis minyak hasutan ke dalam api kebencian. Dalam situasi sekarang, isi kenyataan yang telah diucapkan oleh Datuk Seri Anwar kepada The Wall Street Journal tidak penting lagi. Biar apa pun isi dan fakta yang telah dikemukakannya, realitinya ia seakan telah memberi bola tanggung kepada lawannya. Apa lagi, melihatkan bola tanggung yang datang tanpa disangka, maka lawan politik Datuk Seri Anwar telah melakukan smashing sekuat-kuatnya. Ruang dan peluang percuma yang telah diberikan oleh Datuk Seri Anwar tidak disia-siakan walaupun sebesar zarrah oleh lawan-lawan politiknya. Mereka telah menggunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk membantainya kembali siang dan malam. Apakah Datuk Seri Anwar lupa dengan bidalan orang tua-tua kita, terlajak perahu boleh diundur, terlajak cakap, inilah padahnya!
Orang kita seolah tidak ingat lagi tentang pasukan kriket Israel yang pernah dibawa masuk ke negara ini bertahun lalu. Orang kita juga sengaja buat-buat tidak tahu mengenai 2 buah kapal yang dikatakan dimiliki oleh Syarikat berkepentingan Yahudi yang sedang berlabuh di pelabuhan Klang masa kini. Orang kita juga mungkin semakin lupa tentang peranan UPCO sebagai penasihat penting kepada pihak berkuasa negara.
Selain itu, tatkala memilih calon untuk bertanding khususnya bagi mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihanraya ke-12 lalu, Datuk Seri Anwar mungkin kurang berhati-hati untuk membuat pemilihan yang betul dan tepat. Akibatnya, dalam tempoh selepas PRU ke-12 hingga kini, beberapa orang wakil rakyat yang sebelumnya telah menang atas tiket PKR kini telah berpaling tadah. Di peringkat parlimen, 5 wakil rakyat PKR telah berpaling tadah, iaitu, Bayan Baru, Bagan Serai, Kulim Bandar Baru, Wangsa Maju dan Padang Serai. Manakala kerusi Hulu Selangor pula terlepas dari genggaman menerusi pilihanraya kecil pada April tahun 2010. Situasi sebegini sudah tentu lebih menyukarkan lagi untuk menguasai Putrajaya sebagaimana yang dicita-citakan sebelumnya menerusi kaedah lompat parti. Jumlah kerusi yang diperlukan untuk menguasai Putrajaya bukan lagi 30 kerusi, tetapi lebih tinggi daripada itu.
Manakala di peringkat dewan undangan negeri (DUN) pula, apa yang telah berlaku di Perak tentunya sesuatu yang paling parah dan paling pedih dalam sejarah PKR. Gara-gara ketidaksetiaan dua ADUN PKR di negeri tersebut, sebuah kerajaan telah runtuh. Manakala di Selangor pula, seorang ADUN PKR telah mengisytiharkan dirinya sebagai wakil bebas. Namun begitu, tindakan ADUN berkenaan masih tidak menggugat kestabilan kerajaan PR yang sedia ada kerana jumlah kerusi PR masih banyak mengatasi kerusi BN.
Kesemua insiden berpaling tadah oleh wakil-wakil rakyat PKR sedikit sebanyak boleh menggugat kewibawaan Datuk Seri Anwar sebagai pemimpin ulung PKR dan PR. Jika Datuk Seri Anwar gagal belajar daripada insiden yang telah berlaku, maka tidak menghairankan bila hal yang serupa akan terus berlaku dan menimpa beliau dan PKR pada masa-masa yang akan datang. Kesannya dikhuatiri tak ubah umpama sekadar mengejar bayang-bayang sahaja. Memanglah ia nampak dekat, tapi kejarlah sekuat mana pun pasti ia tidak akan dapat digenggam.
Datuk Seri Anwar harus ingat, gendang perang untuk PRU ke-13 boleh dipalu pada bila-bila masa sahaja. Sedangkan pemalunya pula masih lagi orang lain. Oleh itu, jika Datuk Seri Anwar masih gagal belajar daripada sejarah lepas, maka tidak mustahil beliau akan terhukum sekali lagi gara-gara kelalaian dan kealpaan sendiri. Ketika saat semakin kritikal, Datuk Seri Anwar harus berupaya untuk mengenali siapa kawan sejati macam Azmin Ali, siapa kawan biasa, siapa lawan dan siapa pula musuh dalam selimut.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment