Najib Minta Maaf
Sejak semalam, beberapa blog sudah memperkatakan mengenai permintaan maaf yang telah dilakukan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib bagi pihak Barisan Nasional (BN). Hari ini pula, pelbagai tafsiran telah dihamburkan oleh pelbagai pihak ekoran peristiwa meminta maaf oleh Datuk Seri Najib.
Dalam Islam, sikap meminta maaf dan memberi maaf sememangnya amat dituntut. Menerusi sikap saling bermaafan, hubungan mahabbah khususnya di antara sesama saudara, sahabat dan rakan akan sentiasa bertaut kukuh. Sifat meminta maaf dan memaafkan juga merupakan antara sifat terpuji di sisi Allah dan Rasul-Nya.
Walaupun sifat meminta maaf dan memberi kemaafan merupakan sifat terpuji, namun begitu jika ia tidak disertai dengan sifat keikhlasan sudah tentulah unsur terpuji yang ada pada sifat tersebut akan hilang dan menjadi sia-sia. Ertinya, janganlah permohonan maaf itu dibuat kerana ada udang di sebalik batu. Saya yakin, jika permohonan maaf itu dibuat secara ikhlas, sudah tentulah orang lain juga akan mempunyai perasaan keikhlasan yang sama untuk memberi kemaafan.
Persoalannya, untuk apa Datuk Seri Najib dan BN membuat permohonan maaf? Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh BN dan para pembesar tertentu terhadap rakyat dan negara? Teringin juga hati ini ingin tahu apakah kesalahan yang telah dilakukan selama ini sehingga terpaksa memohon maaf secara terbuka. Selama ini, kita hanya mendengar UMNO/BN asyik mengata orang lain sahaja yang salah, manakala ia sendiri seakan maksum bak nabi dan malaikat? Adakah ini yang dikatakan orang sebagai “tebiat”?
Sebagai rakyat biasa lagi marhaen, keikhlasan permohonan maaf itu dapat dilihat dan diukur menerusi perkara-perkara berikut:
1. Berazam tidak akan mengulangi lagi kesalahan lalu;
2. Menyesal dengan sesungguh hati di atas kesalahan lalu;
3. Melakukan taubat nasuha;
4. Tidak membela mereka yang telah melakukan kesalahan terutamanya kesalahan-kesalahan besar;
5. Permohonan maaf tidak dilakukan secara bermusim;
6. Permohonan maaf hendaklah diikuti dengan perubahan positif yang membayangkan kesilapan lalu tidak akan diulangi.
Saya bersetuju dengan pandangan sesetengah orang, yang sepatutnya memohon maaf bukan Datuk Seri Najib seorang. Mana-mana orang besar yang terasa diri mereka telah berbuat salah dan telah menganiaya orang selama ini patut memohon maaf sebagaimana yang telah dilakukan oleh Datuk Seri Najib. Bagi saya, Datuk Seri Najib tidak sesuai untuk mewakili orang lain untuk memohon maaf. Lagi pun, kesalahan berbeza-beza mengikut jenis dan saiznya.
Agaknya lepas ini akan berdondong-bondonglah orang politik daripada kumpulan siasah tertentu mengajukan permohonan maaf kepada sekalian rakyat. Maklumlah gong permulaan telah dipalu oleh boss besarnya! Kalau tak ikut rentak tarinya nanti dikatakan tak sehaluan pula. Silap hari bulan nama boleh tercicir pula sebagai calon dalam PRU yang akan datang. Kan naya tu!!!
Di samping itu, saya rasa ahli politik dan kumpulan politik lain tidak sepatutnya mendengar sebelah telinga dan memandang sebelah mata sahaja akan permohonan maaf oleh Datuk Seri Najib. Maklumlah di negara kita, sudah biasa kita mendengar orang berkata, politik itu kotor. Kalau ada pun yang bersih, mereka mungkin termasuk dalam golongan suci dalam debu.
Di peringkat jabatan kerajaan pula, mungkin selepas ini akan ramai pula yang bakal mengulas kepentingan meminta maaf. Walhal di antara mereka ramai juga yang perlu meminta maaf kepada kakitangan yang lebih bawah. Tidak berani menyampaikan apa yang betul dan benar kepada pihak atasan dan menteri juga merupakan satu kesalahan.
Bermaaf-maafan dengan penuh keikhlasan merupakan sifat terpuji. Jika ia diamalkan dengan sempurna sejak dahulu lagi, orang Melayu tidak akan berpecah seteruk hari ini.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment