Hari ini, keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk tahun 2011 telah diumumkan pagi tadi. Memang menjadi lumrah pada hari keputusan diumumkan, kita boleh menyaksikan pelbagai reaksi sama ada daripada guru, para ibu bapa dan tidak ketinggalan sudah tentulah para calon itu sendiri. Walau bagaimanapun, pada hari ini, saya tidak dapat menyaksikan situasi sedemikian di sekolah saya kerana saya sedang menghadiri mesyuarat berkaitan dengan kurikulum hingga esok.
Walaupun saya agak sibuk dengan mesyuarat sebagaimana yang dijadualkan, namun begitu, maklumat secara sepintas lalu mengenai keputusan SPM tahun lepas di sekolah saya tetap menerobos ke dalam ruang maklumat saya. Terima kasih saya ucapkan kepada Cikgu Liana yang turut menelefon saya untuk memaklumkan mengenai peningkatan pencapaian mata pelajaran Sejarah yang sama-sama kami ajar tahun lepas. Saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Tan Ee Beng yang turut menghubungi saya untuk berkongsi keputusan yang beliau perolehi.
Saya suka mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada murid-murid saya yang telah berjaya memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun lalu. Tahniah kepada Hanson Ang Ping Ting yang berjaya memperolehi 9A untuk kesemua mata pelajaran. Tahniah juga saya tujukan kepada Tan Ee Beng dan Razlan yang berjaya menperolehi 8A. Tahniah juga buat Fairuz yang berjaya mendapat 7A.
Kepada murid-murid lain, saya juga tidak lupa mengucapkan tahniah di atas kejayaan masing-masing. Inilah hasil yang dapat anda tuai berkat usaha yang anda sendiri telah lakukan selama ini.
Manakala kepada murid-murid lain yang sedang bertungkus-lumus untuk menghadapi peperiksaan yang sama hujung tahun ini, anda juga akan menghadapi situasi yang lebih kurang serupa pada masa yang hampir sama tahun hadapan. Sekiranya anda gagal memanfaatkan peluang dan masa yang masih ada, maka pada tahun hadapan mungkin anda bakal kecewa dan menangis. Sebaliknya jika anda berusaha tanpa jemu dan tanpa kenal penat dan lelah, insha-Allah tahun hadapan anda adalah orang yang paling gembira sekali.
Kepada anak buah saya yang turut sama mengambil keputusan masing-masing hari ini, tahniah dan syabas diucapkan bagi yang berjaya. Ada yang dapat 8A daripada 11 mata pelajaran.
Ilmu itu bukan sekadar untuk peperiksaan semata-mata, tetapi untuk dijadikan pelita hidup.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment