Monday, March 12, 2012

Menghadiri Majlis MOU Bersama USIM

Petang tadi, saya serta beberapa orang lagi telah menghadiri majlis menandatangani Memorandum Of Understanding (MOU) di antara Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Kehadiran saya selain selaku Yang Di-Pertua (YDP) PERTIS, turut mewakili PERTIS untuk menurunkan tandatangan dalam majlis berkenaan. Majlis telah berlangsung di bangunan Canselori USIM di Nilai, Negeri Sembilan. Manakala pihak USIM telah diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Muhammad Muda.



Selain saya, turut menyertai delegasi PERTIS termasuklah Datuk Zamani Sulaiman selaku penasihat PERTIS serta Pn. Sariyah Nordin yang merupakan AJK Pusat PERTIS. Datuk Zamani turut berperanan sebagai saksi bagi pihak PERTIS dalam majlis penandatanganan tersebut.



Bagi saya, Mou ini sangat penting khususnya bagi PERTIS. Selain merupakan pengiktirafan yang diterima oleh PERTIS daripada sebuah Institusi pengajian tinggi seperti USIM, ia membuktikan bahawa peranan PERTIS selama ini yang sentiasa berusaha untuk memartabatkan Alquran Braille serta tulisan Jawi Braille sudah mula mendapat perhatian daripada pihak lain. Selain itu, jalinan kerjasama ini juga akan merintis jalan ke arah kerjasama dalam bidang penyelidikan, perkongsian maklumat serta penghasilan bahan bacaan bermanfaat khasnya dalam bidang keagamaan (Islam) demi manfaat golongan yang cacat penglihatan. Kehadiran Prof. Datuk Dr. Muhammad Muda, Naib Canselor USIM jelas menunjukkan sokongan padu beliau serta pihak tertinggi USIM dalam merealisasikan hasrat murni kedua-dua belah pihak.



Sebenarnya, sebelum ini pun telah wujud kerjasama antara PERTIS dengan USIM sejak beberapa tahun lalu. PERTIS telah memberikan kerjasama erat khususnya kepada Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS) dalam menyemak bahan-bahan yang telah ditranskripsikan ke dalam bentuk tulisan Braille oleh para penuntutnya. Di samping itu, pihak berkenaan juga ada meminta pandangan daripada PERTIS bagi memantapkan lagi penyelidikan yang berkaitan dengan Braille yang telah pun dilaksanakan di USIM sejak beberapa tahun sebelum ini. Jadi, penandatanganan MOU siang tadi merupakan usaha berterusan ke arah mengukuhkan jalinan hubungan yang telah sedia ada antara kedua-dua belah pihak.



Selain itu, dalam majlis yang sama juga, USIM turut menandatangani MOU bersama-sama dengan pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kemampuan UTM khususnya Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dalam penghasilan Panel Quran Braille Electronic mungkin telah menarik minat USIM untuk turut bekerjasama bagi memantapkan bidang penyelidikan serta perkongsian ilmu khususnya yang berkaitan teknologi Braille. Bagi saya, ia merupakan satu langkah bijak yang perlu diberikan sokongan oleh semua pihak khususnya yang berkepentingan secara langsung.



Salah satu bahan bacaan yang telah berjaya ditranskripsikan sepenuhnya ke dalam bentuk tulisan Braille ialah Iqra’. Untuk maklumat bersama, buku ini telah diusahakan oleh para penuntut USIM dengan pemantauan rapi daripada para tenaga pengajarnya yang berkemahiran. Selain itu, penghasilan buku ini juga telah mendapat kerjasama erat daripada PERTIS selaku penyemak dan pencetak (untuk versi Braille).

Apa yang manisnya, penerbitan buku Iqra’ Braille ini juga turut mendapat sokongan daripada penerbit asalnya, Darul Fikir. Untuk maklumat bersama, pihak Darul Fikir telah mengeluarkan kebenaran bertulis kepada PERTIS untuk menerbitkan buku berkenaan ke dalam versi Braille. Justeru, tidak hairanlah pengarah Darul Fikir, Datuk Mohd Zaki Ahmad juga turut hadir dalam majlis siang tadi.







Sebagai simbolik penghasilan serta penggunaan buku berkenaan ke dalam bentuk tulisan Braille, 3 naskah buku berkenaan turut disampaikan kepada 3 buah sekolah, iaitu SKPK Princess Elizabeth yang diwakili oleh guru besarnya sendiri, Pn. Nafisah Ismail, SKPK Seremban yang diwakili oleh Pn. Noraziah Mohd Sani (wakil guru besarnya) serta wakil daripada SKPK Jalan Batu, Kuala Lumpur. Penyampaian telah disempurnakan oleh Prof. Datuk Dr. Muhammad Muda.



Saya sedikit hairan, kerana beberapa pihak yang berkepentingan secara langsung dengan pendidikan khas tidak hadir dalam majlis yang saya kira amat penting dan amat bersejarah ini walaupun mereka telah diundang oleh pihak USIM. Sebenarnya hal yang sama juga pernah berlaku ketika pihak FKM UTM mengadakan majlis demo dan memperkenalkan Panel Electronic Braille Quran di Hotel Legend, Kuala Lumpur, pada 2 Februari 2011 (Rabu) lalu. Jika golongan sedemikian sering mengasingkan diri daripada majlis-majlis seumpama ini, bagaimana mereka akan dapat akses kepada maklumat terkini yang berkaitan dengan pendidikan khas? Bila tiada maklumat terkini, maka sudah tentulah mereka tidak akan punya kemampuan untuk memberikan input dan info yang betul khususnya kepada pihak yang lebih atas dalam kementerian masing-masing. Bila tiada input dan info yang sahih dan betul, maka akhirnya pihak-pihak yang berkenaan akan merangka dasar-dasar yang merapu dan merugikan pihak-pihak lain pula.



Kepada pihak-pihak yang telah diamanahkan memegang soft copy buku Iqra’ Braille, jaga dan simpanlah baik-baik soft copy berkenaan. Kalau cuai, nanti dikebas orang. Lebih parah lagi, sang pengebas akan mengaku bahawa soft copy berkenaan dia yang salin. Sebab pernah terjadi maka kita semua kena berhati-hati supaya tiada mana-mana pihak yang punya ruang untuk mengambil kesempatan!!!

No comments: