Wednesday, February 15, 2012

Orang Buta Berpolitik

Dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, pada prinsipnya dan sepatutnya tiada masalah bagi mana-mana individu tanpa mengira siapa dan apa keadannya untuk menceburkan diri dalam bidang politik. Maknanya, sepatutnya tidaklah menjadi sesuatu yang menghairankan atau suatu yang ganjil bilamana ada OKU khususnya golongan cacat penglihatan yang ingin menceburkan diri dalam bidang politik. Jika berkemampuan dan berkelayakan, mereka juga boleh bertanding sama ada di peringkat parlimen ataupun di peringkat dewan undangan negeri. Kalau rasa terlebih mampu dan terlebih layak, boleh bertanding di kedua-dua kerusi, iaitu parlimen dan DUN.

Di peringkat antarabangsa, penglibatan golongan cacat penglihatan dalam dunia politik bukanlah sesuatu yang asing. Dr. Taha Hussayn yang juga merupakan seorang tokoh cacat penglihatan terkenal di mesir, pernah menjawat jawatan menteri di negaranya pada dekad 50-an lalu. Manakala David Blunket yang juga seorang yang tiada penglihatan pernah menjawat jawatan menteri di Britain pada dekad 80-an lalu. Selain itu, beberapa orang cacat penglihatan yang lain pula pernah mencipta nama sebagai ahli politik terutamanya di Eropah.

Dalam sejarah negara, orang cacat penglihatan pertama yang telah dilantik sebagai ahli Dewan Negara ialah Prof. Datuk Dr. Ismail Md Salleh (Allahyarham) iaitu pada Disember 2007. Beliau tidak sempat menamatkan penggal pertama lantikannya iaitu selama 3 tahun apabila pada 27 Ogos 2009 beliau telah kembali ke rahmatullah. Sayugia dimaklumkan, pelantikan Dr. Ismail sebagai ahli Dewan Negara bukan atas nama seorang ahli politik. Sememangnya beliau bukan ahli politik dan tidak pernah menunjukkan minatnya secara terbuka untuk menjadi seorang ahli politik. Seperkara lagi, pelantikan Dr. Ismail Salleh bukanlah sangat kerana beliau seorang OKU. Hal ini saya ketengahkan kerana selepas kematian beliau, tiada OKU lain yang telah dilantik (setakat ini) untuk menggantikan beliau semata-mata atas tiket OKU. Pelantikan Dr. Ismail Salleh adalah kerana ketokohan serta sumbangannya yang begitu besar khususnya dalam bidang ekonomi negara. Rumusannya, pelantikan Dr. Ismail sebagai ahli Dewan Negara tiada kaitan dengan politik.

Dalam memperkatakan orang buta sebagai ahli politik di negara kita, sejarah telah tercatat iaitu dalam pilihanraya umum ke-10 pada tahun 1999, seorang cacat penglihatan turut bertanding dalam pilihanraya umum berkenaan sebagai calon bebas di P33 Parlimen Besut. Walau bagaimanapun, percubaan sulung beliau telah menemui kegagalan yang bukan sedikit. Beliau hanya memperolehi 175 undi sahaja. Sedangkan calon yang menang ketika itu di kerusi yang sama mendapat 19,166 undi. Beliau bukan sahaja gagal memenangi kerusi yang ditandinginya, bahkan segala wang kertas dan wang siling yang dijadikan sebagai wang pertaruhan habis lesap semuanya. Beliau tidak sempat menyertai pilihanraya umum berikutnya iaitu pada tahun 2004 kerana beberapa bulan sebelumnya beliau telah kembali ke rahmatullah. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Penglibatan orang buta dalam politik sebagai penyokong kumpulan siasah pula bukanlah sesuatu yang baru. Seingat saya, seorang OKU cacat penglihatan pernah menjadi ketua salah satu cawangan UMNO di Cheras pada dekad 80-an yang lalu. Ketika itu saya masih lagi menuntut di kampus. Pemilihan beliau sebagai ketua cawangan UMNO turut menjadi buah mulut segelintir pensyarah sejarah dan politik ketika itu. Namun begitu, penglibatan OKU cacat penglihatan berkenaan dalam politik tidak dapat pergi lebih jauh dari itu.

Selanjutnya, setakat yang saya pernah saksikan, sekitar dekad 90-an lagi beberapa rakan senasib pernah terlibat dalam demonstrasi anjuran parti-parti politik tertentu. Ada juga yang hampir kena sembur dengan gas pemedih mata. Segelintir golongan cacat penglihatan juga pernah turut sama mengiringi calon-calon tertentu sewaktu penamaan calon dilangsungkan sama ada dalam pilihanraya kecil ataupun dalam pilihanraya umum.

Kalau pun tidak menyertai demonstrasi politik, sebahagian OKU khususnya yang cacat penglihatan turut aktif mengikuti ceramah-ceramah politik. Sebut sahaja di mana ceramahnya, mereka sanggup menghadirinya. Pada dasarnya, saya berpandangan, kita tidak boleh menentukan kecenderungan politik golongan cacat penglihatan kalau setakat mereka aktif menghadiri ceramah-ceramah politik. Mereka menghadiri ceramah politik dengan pelbagai tujuan dan niat. Ada yang memang pendokong tegar tokoh penceramah berkenaan. Ada juga yang hadir sekadar untuk mendengar semata-mata. Ada juga yang hadir untuk mengetahui dan mendengar sendiri suara parti tertentu guna untuk meninjau sejauh mana parti politik berkenaan peka dan ingin membela golongan seperti mereka. Demikianlah.

Justeru, ketika mereka ini menyertai aktiviti politik, semangat yang ditunjukkan bukannya kecil anak. Mereka sanggup melaung sekuatnya bagi menunjukkan sokongan kepada calon dan juga parti politik yang mereka dokongi. Mereka juga tidak kedekut untuk menghulurkan wang sumbangan seringgit dua untuk menyumbang kepada calon atau kumpulan siasah yang mereka dokongi.

Selain itu, terdapat juga seorang dua cacat penglihatan yang berpeluang untuk berucap dalam persidangan agung peringkat kebangsaan parti-parti politik tertentu. Sudah tentu kehadiran mereka ini mendapat perhatian daripada tokoh politik parti yang terlibat dan juga tidak ketinggalan para penyokong parti berkenaan yang turut sama hadir ketika itu. Namun demikian, mungkin golongan ini merupakan sekadar melukut di tepi gantang, maka perhatian tokoh-tokoh politik berkaitan terhadap sokongan, kehadiran serta sumbangan mereka tidaklah ke mana. Ia tak ubah umpama embun pagi di hujung rumput. Bila mentari mula bersinar, titisannya mula hilang perlahan-lahan.

Hari ini, sayup-sayup berkumandang khabar angin sepoi-sepoi bahasa dari jauh, kononnya ada orang buta yang akan bertanding dalam pilihanraya umum yang akan datang. Saya sendiri pernah menghubungi dan bertanyakan sendiri hal berkenaan dengan individu yang berkenaan. Beliau hanya tertawa sahaja bila mendengar pertanyaan saya. Saya pun tidak memerlukan satu kepastian daripada beliau setakat ini.

Konon khabarnya ada satu pihak lagi yang juga berminat untuk menjadi ahli dewan. Bezanya pihak yang ini hanya berminat untuk menjadi ahli dewan yang tidak memerlukan dia bertanding dalam mana-mana pilihanraya. Walau bagaimanapun, kalau ditelek ketokohan dan sumbangannya, ia masih jauh panggangg dari api kalau hendak dibandingkan dengan ketokohan dan sumbangan yang telah dilakukan oleh Dr. Ismail Md Salleh (Allahyarham). Adalah masih tidak memadai dan tidak mencukupi kalau sekadar pandai dan petah bercakap semata-mata. Lagipun, kalau sekadar petah bercakap sahaja tapi hal-hal yang lain tidak cerdik, ia boleh menjuruskan seseorang itu menjadi pembohong dan penipu! Lagipun, Dr. Ismail Salleh merupakan seorang yang tidak begitu petah bercakap. Beliau lebih petah bekerja.

Sebagaimana yang saya katakan tadi, adalah tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana orang untuk bertanding dalam pilihanraya di negara kita asal cukup syarat dan berkelayakan. Pada pandangan saya, jika mana-mana individu cacat penglihatan yang ingin bertanding khususnya dalam pilihanraya umum akan datang, maka beliau harus cermin dirinya betul-betul agar tidak tersilap membuat perhitungan. Jadikan kegagalan beberapa rakan senasib yang pernah mencuba untuk berpolitik pada masa lalu sebagai teladan supaya langkah yang diatur pada masa depan tidak lagi sumbang.

Sejarah juga telah membuktikan bahawa adalah suatu tindakan yang sia-sia bilamana seseorang calon cacat penglihatan bertanding atas tiket bebas. Sedangkan calon celik pun belum tahu akan berjaya jika bertanding atas tiket bebas. Dengan erti kata lain, kalau hendak bertanding juga, maka sebaiknya hendaklah atas tiket mana-mana parti siasah.

Jika hendak bertanding atas tiket mana-mana parti siasah pula, sebaik-baiknya kita sudah ada kedudukan tertentu dalam parti berkenaan. Kalau sekadar ketua cawangan, rasanya ia masih lagi belum cukup layak. Risikonya ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati orang lain yang separti yang mungkin merasakan diri mereka lebih layak. Setidak-tidaknya mereka merasa layak kerana mereka masih berpenglihatan.

Seperkara yang perlu ditegaskan di sini, janganlah sekali-kali kita berpolitik bilamana merasa sudah dipandang hebat oleh masyarakat, merasa diri sudah cukup terkenal, berpengaruh dan merasa kita seorang sahaja yang sepatutnya mewakili dan bercakap bagi pihak OKU. Sesungguhnya, kalau ada mana-mana orang cacat penglihatan yang merasa dirinya sudah cukup hebat, kononnya disukai dan punya pengaruh yang besar khasnya dalam kalangan OKU penglihatan, hakikatnya orang seperti ini punya harga diri lebih rendah daripada seorang kutu rayau. Orang seperti ini sama sekali tidak cukup syarat untuk bertanding di mana-mana kerusi.

Bagi saya, adalah tidak menjadi salah jika ada mana-mana individu cacat penglihatan ingin menceburkan diri ke dalam dunia politik secara sepenuh masa. Pastikan syaratnya cukup, kelayakannya ada dan sudah benar-benar bersedia untuk menanggung segala risiko yang tidak disangka yang bakal menerjah.

Mungkin sudah ada individu cacat penglihatan yang sudah bersedia untuk mencipta satu lagi sejarah negara dan kali ini sebagai orang buta pertama sebagai ahli Dewan Rakyat atau ahli dewan undangan negeri pula.

2 comments:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Syabas dan terima kasih atas artikel berfakta ini. Sememangnya benar, dunia politik, rasanya tak salah untuk saya katakan, jangan diandai seperti dunia permainan atau sukan sahaja. Secara logiknya, kita saksikan sendiri, betapa berat dan getirnya para ahli politik untuk berdepan permasalahan massa dalam apa keadaan sekalipun. Justeru, saya bersetuju benar, seandainya kita hanya pandai berpidato, sedangkan dari segi lain, kita masih ketirisan atau kejahilan, ditambah suasana kurang upaya sebegini, seeloknya kita tidak membebani diri dengan tanggungjawab dan amanah yang tak mungkin terpikul. Contohnya, berapa ramai lelaki yang telah mencalar-balarkan kesucian syariat poligami bila mengahwini lebih daripada seorang itu hanya berdasarkan kehendak nafsu syahwat? Tentu sekali, bukan salah syariat poligami itu, kan?

Seperkara lagi, saya rasa elok jika kita benar-benar ingin berpolitik, pelajarilah ia secara bertahap. Mungkin, kita boleh memulakannya dengan menyertai kepimpinan pada mana-mana NGO kita yang sedia ada terlebih dahulu, seperti menjadi Ahli JawatanKuasa (AJK). Bukankah sejarah, khasnya sejarah Islam pernah memaparkan kisah beberapa orang sahabat Rasulullah SAW yang berhasrat menjadi pemimpin, tetapi ditolak Baginda?
Justeru, sekali lagi, sekadar pandangan, elok kita cermin dahulu kemampuan dan keupayaan kita sebelum menceburi sesuatu bidang atau tugasan, lebih-lebih lagi, politik, yang memerlukan sikap amanah dan kebertanggungjawaban ini. Teruskan menulis; semoga kita saling beroleh manfaat daripada peringatan yang disampaikan. Yang baik dan sempurna itu hanya datang daripada, dan milik Allah; tapislah apa juga unsur yang kurang atau tidak wajar daripada ulasan ini untuk kesempurnaan blog ini.

Terima kasih.

Unknown said...

Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Syabas dan terima kasih atas artikel berfakta ini. Sememangnya benar, dunia politik, rasanya tak salah untuk saya katakan, jangan diandai seperti dunia permainan atau sukan sahaja. Secara logiknya, kita saksikan sendiri, betapa berat dan getirnya para ahli politik untuk berdepan permasalahan massa dalam apa keadaan sekalipun. Justeru, saya bersetuju benar, seandainya kita hanya pandai berpidato, sedangkan dari segi lain, kita masih ketirisan atau kejahilan, ditambah suasana kurang upaya sebegini, seeloknya kita tidak membebani diri dengan tanggungjawab dan amanah yang tak mungkin terpikul. Contohnya, berapa ramai lelaki yang telah mencalar-balarkan kesucian syariat poligami bila mengahwini lebih daripada seorang itu hanya berdasarkan kehendak nafsu syahwat? Tentu sekali, bukan salah syariat poligami itu, kan?

Seperkara lagi, saya rasa elok jika kita benar-benar ingin berpolitik, pelajarilah ia secara bertahap. Mungkin, kita boleh memulakannya dengan menyertai kepimpinan pada mana-mana NGO kita yang sedia ada terlebih dahulu, seperti menjadi Ahli JawatanKuasa (AJK). Bukankah sejarah, khasnya sejarah Islam pernah memaparkan kisah beberapa orang sahabat Rasulullah SAW yang berhasrat menjadi pemimpin, tetapi ditolak Baginda?
Justeru, sekali lagi, sekadar pandangan, elok kita cermin dahulu kemampuan dan keupayaan kita sebelum menceburi sesuatu bidang atau tugasan, lebih-lebih lagi, politik, yang memerlukan sikap amanah dan kebertanggungjawaban ini. Teruskan menulis; semoga kita saling beroleh manfaat daripada peringatan yang disampaikan. Yang baik dan sempurna itu hanya datang daripada, dan milik Allah; tapislah apa juga unsur yang kurang atau tidak wajar daripada ulasan ini untuk kesempurnaan blog ini.

Terima kasih.