Friday, June 29, 2012

Mengunjungi Cikgu Saidah Mohd Said

Pada hujung minggu lepas, iaitu ketika saya di JB, saya sempat mengunjungi Cikgu Saidah binti Mohd Said. Guru inilah yang saya maksudkan yang mana sudah 32 tahun saya tidak bertemu dengan beliau. Cikgu Saidah masih lagi mengajar di salah sebuah sekolah agama terkenal kendalian kerajaan negeri Johor.

Pada Sabtu lepas (23 Jun), iaitu sekitar jam 5.15 petang, saya telah meninggalkan dewan mesyuarat anjuran SBM. Tujuannya ialah untuk mengunjungi Cikgu Saidah. Saya telah pun membuat rancangan untuk bertemu beliau pada petang itu. Kebetulan hanya petang itu sahaja saya dan beliau mempunyai masa terluang untuk bertemu.



Cikgu Saidah merupakan salah seorang guru yang pernah mengajar murid-murid SKPK Princess Elizabeth (PES) dalam bidang agama Islam iaitu di bawah kendalian kerajaan Johor. Untuk maklumat bersama, dalam bidang pendidikan agama Islam, murid-murid SKPK PES menerima pendidikan berdasarkan kurikulum daripada Kementerian Pelajaran Malaysia dan juga kurikulum di bawah kendalian kerajaan Johor menerusi Jabatan Agama Islam Johor.

Kedua-dua pendidikan berkenan dijalankan di tempat yang sama iaitu di premis PES itu sendiri. Bezanya pendidikan kebangsaan di jalankan di sebelah pagi manakala pendidikan agama Islam anjuran kerajaan negeri dijalankan di sebelah petang. Sebab itulah kadangkala ia juga dikenali sebagai sekolah agama atau sekolah petang. Pada masa lalu, pakaian seragam sekolahnya juga berbeza antara kedua-dua pendidikan tersebut. Selain itu, tenaga pengajarnya juga berbeza. Antara guru yang pernah terlibat dengan sekolah petang termasuklah Cikgu Sulaiman Shafie (allahuyarham) dan juga Cikgu Saidah.

Kalau tak silap, Cikgu Saidah mula mengajar di PS sejak tahun 1978 iaitu untuk menggantikan Cikgu Bedah. Untuk maklumat berwsama juga, di PES, agaknya sudah menjadi kebiasaan, guru-guru yang mengajar pendidikan agama Islam juga dipanggil “cikgu” sahaja dan bukannya ustaz atau ustazah. Saya tidak pasti pula bagaimana sekarang. Kalau tak silap saya juga, Cikgu Saidah mengajar PES selama sekitar 6 tahun lamanya. Saya pernah menjadimurid kepada cikgu Saidah dari tahun 1978 hingga tahun 1980. Sejak penghujung tahun 1980, saya tidak lagi pernah bertemu Cikgu Saidah sehinggalah pertemuan pada 23 Jun yang lalu.



Pertemuan berjalan dalam keadaan yang sungguh mesra. Ketika makan dan minum, Cikgu Saidah sendiri yang melayan saya dengan mengambilkan makanan dan minuman. Cikgu Saidah “tidak membenarkan” isteri saya membantu saya seperti biasa. Katanya, beliau ingin melayan saya sama sepertimana ketika saya masih sebagai muridnya 32 tahun yang lalu. Perbualan kami sepenuhnya berkisar pada kisah-kisah lampau, iaitu ketika saya masih di peringkat sekolah rendah dan ketika saya masih lagi sebagai muridnya. Suasananya memang nostalgik sekali.

Beberapa kali Cikgu Saidah mempelawa saya sekeluarga agar tidur saja di rumahnya malam itu. Namun demikian saya telah menolaknya dengan baik. Saya turut memberitahunya bahawa pada lain kali, jika ditakdirkan saya ke JB lagi, insha-Allah saya akan bermalam di rumah beliau.



Bagi saya, rumah Cikgu Saidah agak besar. Rumahnya mempunyai ruang tamu dan ruang dapur yang luas. Rumah dua tingkat ini terletak tidak jauh dari hotel penginapan saya, iaitu kira-kira 5 - 10 minit berkenderaan.

Sekitar am 8.45, saya meminta diri untuk kembali semula ke hotel. Oleh kerana Cikgu Saidah juga mengetahui ada beberapa orang lagi bekas mudirnya di hotel berkenaan, maka beliau dan suaminya pun mengikut saya ke hotel.



Di lobi hotel, beberapa orang bekas murid Cikgu Saidah telah datang dan bertemu beliau. Antara bekas muridnya yang menemui Cikgu Saidah masa itu termasuklah Wan Zainun, Sariyah, Siti Aida, Normah serta Rosmadi. Pertemuan berlangsung dengan begitu mesra sekali. Setiap kali kisah lampau yang lucu diperkatakan semula, maka berderailah tawa gelak antara guru dan murid itu. Sekitar jam 10.00 barulah Cikgu Saidah meminta diri untuk pulang. Begitulah adat pertemuan, ia pasti diakhiri dengan perpisahan. Jika pertemuan akhir sebelum ini ialah sekitar 32 tahun yang lalu, kini saya sendiri tidak pasti entah berapa tahun lagi saya akan bertemu dengan beliau.



Kepada Cikgu Saidah, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kerana sudi untuk bertemu dengan saya serta mereka yang pernah berada di bawah didikannya. Walaupun pertemuan tempoh hari sememangnya singkat, tetapi a membawa seribu satu makna dan semangat kepada kami. Sesungguhnya ilmu yang telah dicurahkan kepada kami sentiasa menjadi pelita dalam hidup yang tidak pernah sunyi daripada gelombang cabaran. Teramat besarlah harapan dan doa kami semua semoga akan ada lagi pertemuan dengan Cikgu Saidah selepas ini, insha-Allah.



Bagi seorang guru, tiada lain yang akan membanggakannya selain melihat murid yang pernah dididik berjaya dalam hidup.

No comments: