Wednesday, June 27, 2012

SBM: Sekilas Pandang Keputusan Pemilihan Jawatan Presiden

Dalam pemilihan presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) menerusi mesyuarat dwitahunannya baru-baru ini, ada beberapa perkara menarik yang boleh diulas dan diberikan pandangan. Tujuan saya memberikan pandangan dan ulasan bukanlah kerana saya merasakan diri saya sudah bagus sangat sepertimana tanggapan seorang hamba Allah. Saya sekadar menggunakan sedikit bakat kurniaan Allah untuk menyuarakan apa yang saya rasa benar. Justeru saya tiada masalah langsung jikalau ada pihak yang kurang setuju dengan apa yang saya tulis. Maka itulah saya lepaskan beberapa komentar mengenai apa yang saya tulis menerusi ruang komentar dalam blog ini walaupun ulasan berkenaan tidak menyebelahi apa yang saya tulis. Tujuannya supaya kita sama-sama boleh menilai setiap ulasan yang dilontarkan dengan fikiran yang terbuka dan matang. Terus terang saya katakan, ada beberapa ulasan yang memuji saya yang tidak saya lepaskan dalam ruang maya ini lantaran adanya usur berlebihan. Sesungguhnya sikap berlebih-lebihan itu tidak disukai Allah.



Berbalik kepada pandangan saya mengenai keputusan pemilihan jawatan presiden SBM kali ini, terdapat 3 ahli yang telah menjadi calon untuk merebut jawatan presiden baru-baru ini. Mereka ialah Tuan Haji Mohd Nazari bin Haji Osman, En. Jaafar bin Md Isa dan Datuk Mah Hassan bin Hj Omar. Manakala jumlah ahli yang hadir dan layak mengundi ialah seramai 419 orang, termasuk saya.



Setelah pemilihan untuk jawatan berkenaan selesai, maka keputusannya adalah seperti berikut:



Tuan Haji Mohd Nazari bin Haji Osman memperolehi 288 undi (68.74%);
En. Jaafar bin Md Isa mendapat 17 undi (4.05%);
Datuk Mah Hassan bin Haji Omar mendapat 113 undi (26.97%).



Berdasarkan stastistik yang diperolehi, ternyata kejayaan Tuan Haji Mohd Nazari dalam mengekalkan posisinya selaku presiden seakan tidak tercabar lagi. Kemenangan yang beliau perolehi merupakan kejayaan yang solid dan bergaya. Lebih daripada dua pertiga ahli yang layak mengundi telah memberikan sokongan dan undian mereka kepada Tuan Haji Nazari. Saya rasa, kejayaan pastinya teramat manis bagi Tuan Haji Nazari kerana yang menjadi pencabar beliau kali ini bukannya calang-calang orang. Maklumlah beliau hanya sekadar seorang tuan haji sahaja. Sedangkan antara yang mencabar beliau pua ada yang bergelar “datuk”.



Antara faktor penting yang telah menjadi penyumbang kepada kejayaan beliau ialah sifat beliau yang suka bergaul dengan semua orang. Sikap beliau yang tidak memilih bulu dalam pergaulan membuatkan beliau disenangi oleh kebanyakan ahli SBM. Beliau juga suka bergaul dengan semua orang pada bila-bila masa tanpa mengira sama ada musim panas atau pun musim dingin.



Dalam membuat pilihan pula, majoriti ahli SBM tidak lagi terpengaruh dengan gula-gula seperti ijazah, profesion, tugas dan tanggungjawab di luar SBM, gelaran itu dan gelaran ini atau kepetahan bercakap semata-mata. Sebaliknya banyak lagi kriteria lain yang turut sama menjadi pertimbangan para ahli mesyuarat ketika menjatuhkan kertas undi mereka semasa pemilihan presiden berlangsung. Agaknya inilah yang dimaksudkan dengan transformasi minda.



Di samping itu, sokongan ahli yang tidak berbelah bagi kepada Tuan Haji Nazari juga ketara semasa sebelum mesyuarat berlangsung lagi. Beberapa orang ahli yang selama ini menyepi daripada mesyuarat seperti ini, kali ini telah sanggup turun ke JB semata-mata untuk memastikan Tuan Haji Nazari dapat mengekalkan jawatannya. Keputusan jumlah undi yang diperolehi oleh Tuan Haji Nazari adalah buktinya.



Selain itu, beberapa isu yang sedang membelenggu SBM masa kini juga memberi kelebihan kepada Tuan Haji Nazari. Isu bangunan milik SBM di Jalan Gombak umpamanya yang masih lagi belum ditukar nama pemilik kepada nama SBM walaupun pembeliannya telah dilaksanakan selama 11 tahun turut menimbulkan keraguan ahli mesyuarat kepada calon-calon lain. Ini sekaligus telah memberi kelebihan untuk ke sekian kalinya kepada Tuan Haji Nazari.



Selanjutnya, sikap dan sifat calon-calon lain yang pada pandangan ahli SBM tidak mesra ahli turut memberi kelebihan dan keuntungan kepada Tuan Haji Nazari. Satu perkara yang tidak tersembunyi lagi, ada calon yang bertanding dianggap bersikap tinggi diri, membuat itu dan ini yang tidak disukai ahli dan entah apa-apa lagi. Maknanya, walaupun tiga calon yang bertanding, para ahli dan pengundi seolah-olahnya tidak ada pilihan lain selain daripada hanya seorang calon sahaja.



Walaupun semasa mesyuarat sedang berlangsung ada usaha daripada pihak-pihak tertentu yang cuba ingin mencalarkan reputasi dan populariti Tuan Haji Nazari menerusi penyebaran laporan audit, tetapi usaha sedemikian nampaknya gagal. Laporan audit berkenaan disebarkan terlalu lewat, iaitu ketika mesyuarat sedang berlangsung. Para ahli lebih ingin fokus kepada mesyuarat yang sedang berlangsung daripada membaca laporan berkenaan. Lagi pun, kandungan laporan berkenaan tidak lengkap, tidak menyeluruh serta bersifat menyerang seorang individu sahaja. Saya tidak menafikan bahawa kandungan laporan berkenaan mungkin ada asasnya, tetapi oleh kerana ia tidak bersifat menyeluruh dan ditambah pula dengan beberapa kelemahan lain dalam laporan itu sendiri, akhirnya penyebaran laporan berkenaan telah gagal untuk mencapai matlamatnya.



Pada masa yang sama juga, Tuan Haji Nazari juga harus menerima hakikat bahawa ada sejumlah undi yang beliau perolehi merupakan undi protes. Maksudnya, sejumlah undi yang menyebelahi beliau merupakan undi yang membantah sikap dan tindak-tanduk calon-calon yang lain. Undi protes ini telah menambah laba kepada Tuan Haji Nazari.



Dalam keputusan pemilihan itu juga, Datuk Mah Hassan Omar telah memperolehi 113 undi iaitu sekitar 26.97%. Jumlah undian untuk beliau jauh lebih kecil dan merudum rendahnya. Sewaktu pembentangan usul untuk menjual dua unit bangunan di Jalan Gombak pada 18 Disember 2011 lalu, iaitu apabila jumlah undi tidak menyebelahi pendirian beliau waktu itu, beliau sepatutnya telah menerima hakikat bahawa SBM Spring mungkin telah bermula. Kini beliau harus menelan realiti iaitu sebahagian besar ahli mesyuarat tempoh hari tidak lagi sudi untuk menyebelahi beliau. Jika 10 tahun lalu (2002), Mah Hassan telah tewas dalam pemilihan untuk jawatan Yang Di-Pertua Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dengan majoriti hanya satu undi, 10 tahun kemudiannya (2012) Mah Hassan kecundang pula dalam pemilihan jawatan presiden SBM dengan majoriti 175 undi. Nasib baiklah bas khas yang membawa beberapa kerat pengundi untuk beliau sempat tiba di lokasi mesyuarat pada pagi Ahad lalu. Kalau tidak, sudah tentulah jumlah undi yang beliau perolehi akan kurang daripada 113 undi.



Saya penuh yakin, selagi perwatakan kurang elok pada tanggapan sebahagian golongan cacat penglihatan yang ada dalam diri Mah Hassan selama ini tidak berubah, maka selama itulah persepsi sebahagian masyarakat cacat penglihatan terhadap beliau tidak akanberganjak. Kalau ingin terus hidup di tengah-tengah masyarakat, khususnya golongan cacat penglihatan, kita tidak boleh selama-lamanya bermodalkan glamour dan populariti semata-mata. Orang buta masa kini turut mengambil kira kejujuran, keikhlasan, ketinggian budi, sikap rendah diri, dan tidak hanya memandang kepada gelaran dan glamour semata-mata. Mudah-mudahan jumlah undi yang telah beliau perolehi dalam keputusan pemilihan presiden baru-baru ini akan membuka hatinya untuk lebih bermuhasabah. Pada masa yang sama, peringatan yang serupa juga saya tujukan kepada diri saya sendiri.



Dalam keputusan pemilihan itu juga, En. Jaafar Md Isa telah memperolehi 17 undi sahaja iaitu sekitar 4.05 %. Satu daripada 17 undi itu agaknya merupakan undi daripada dirinya sendiri. Nasib baiklah pertandingan jawatan dalam SBM langsung tidak melibatkan wang pertaruhan. Kalau tidak, sudah tentulah wang pertaruhan pun turut sama lesap tanpa tertinggal walau satu sen pun. Dengan berbekalkan 17 undi tersebut, harapnya En. Jaafar dapat menilai sama ada kail yang ada padanya masih pendek atau lautan yang hendak diduga yang sememangnya dalam.



En. Jaafar juga harus faham, walaupun beliau sedang disokong dan didokong dengan kuat dalam badan bukan kerajaan yang sedang beliau terajui. Ini tidak bermakna sokongan yang serupa juga akan beliau terima dalam badan bukan kerajaan yang lain seperti SBM. Jumlah undi yang beliau terima sudah cukup membuktikannya.



Satu sifat En. Jaafar yang boleh dipuji ialah sikapnya yang tidak mudah berputus asa. Ini bukan kali pertama beliau ditimpa kekalahan dalam pertandingan merebut jawatan presiden SBM. Saya penuh yakin, pada masa-masa yang akan datang, beliau akan terus menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan dalam SBM. Untuk itu, elok rasanya kalau En. Jaafar mencuba untuk jawatan yang lebih rendah sedikit, misalnya sebagai ahli Majlis Presiden dahulu. Bila para ahli sudah kenal dengan stail dan gaya kepimpinan kita, barulah mereka akan punya lebih kepercayaan untuk mengundi kita ke jawatan yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, saya rasa ini kali pertama beliau mendapat undi di bawah 20. Bahkan jika saya tidak silap, jumlah undian yang beliau perolehi merupakan yang paling rendah bila dibandingkan dengan undian yang diperolehi oleh calon-calon lain di lain-lain posisi dalam mesyuarat kali ini.

Sejak dari awal pemilihan lagi saya telah menjangkakan bahawa keputusan pemilihan untuk jawatan presiden sedikit sebanyak akanturut mempengaruhi dan memberi kesan kepada keputusan pemilihan untuk posisi-posisi yang berikutnya. Ternyata apayang saya jangkakan seakan menjadi kenyataan. Apabila Tuan Haji Nazari berjaya mengekalkan jawatannya selaku presiden, maka beberapa calon lain di posisi berikutnya yang dikaitkan dengan Tuan Haji Nazari juga turut beroleh kemenangan. Manakala seorang dua calon yang kononnya dikaitkan dengan salah seorang calon presiden yang kalah, turut menerima kekalahan di posisi yang ditandingi. Salah seorang calon yang bertanding untuk Ahli Majlis Presiden turut kalah dan pada perkiraan saya kekalahan calon berkenaan adalah gara-gara beliau dikaitkan dengan salah seorang calon presiden yang kalah tadi. Kekalahan calon MP berkenaan juga di luar jangkaan saya kerana calon berkenaan seorang yang sangat rajin bekerja. Beliau juga suka menolong orang lain tanpa mengira siapa, tempat dan masa.

Sesungguhnya apa yang sudah ditentukan oleh majoriti ahli dalam mesyuarat dwitahunan SBM baru-baru ini sepatutnya diterima dengan hati terbuka. Mereka yang kalah, seharusnya bermuhasabah dengan kekalahan yang menimpa. Bagi yang menang pula, jangan lupa diri dan jangan lupa untuk terus bekerja pula. Kita harus ingat, kebanyakan ahli SBM bukannya pengundi dan penyokong tegar mana-mana pemimpin. Pada bila-bila masa sahaja sokongan dan undian boleh berubah arah. Perubahan sokongan ini pula amat bergantung kepada kepuasan yang bakal ditrasai oleh setiap ahli berdasarkan hasil kepimpinan barisan pemimpin yang baru terpilih.

Hari ini kita di atas. Kalau silap perhitungan, esok atau lusa kita akan berada di bawah semula. Sesiapa yang gagal belajar daripada sejarah akan dihukum dengan mengalaminya semula.

Sekali lagi saya ingin tegaskan, apa yang saya tulis adalah merupakan pandangan peribadi saya terhadap sesuatu perkara. Ia tidak bermakna saya sudah merasakan diri saya bagus sangat. Seelonya kalau ingin melontarkan kritikan atau pandangan terhadap apa yang saya tulis, eloklah baca apa yang telah saya tulis dari awal hingga akhir. Jangan sekadar bergantung kepada ulasan orang lain terhadap apa yang saya tulis. Jangan nanti dikatakan orang, nama sahaja ada ijazah kedua tapi akal masih pendek!

2 comments:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Alhamdulillah! Jutaan terima kasih di atas artikel terbaru ini, sekaligus suatu analisa menarik spontan dari venu mesyuarat (sebagai ahli/pemerhati). Juga, alhamdulillah, syabas kepada Tuan Haji Nazari dan pasukan kepimpinan terbarunya; semoga mampu berkhidmat lebih cemerlang, gemilang dan terbilang, insha Allah. Kepada yang kurang berjaya, diharap tidak berputus asa serta mampu menerima hakikat bahawa inilah asam garam kehidupan dunia yang unik; seandainya menang dan berkuasa memanjang pun, lama-lama orang pun jelaklah, kan, macamlah makan lauk-pauk sejenis aja ...

Oh ya, sekadar pembetulan fakta. Kekalahan Dato' Mah Hassan itu berlaku pada Mesyuarat Agung PERTIS tahun 2000, bukan 2002. Ketika itu, saya turut hadir dan bersama mengundi calon alternatif, dan ianya dilangsungkan, kalau tak silap, di bangunan yang organisasinya duduki sekarang. Apapun, buat beliau, sekadar pandangan saya sebagai ahli SBM yang masih muda, jadikanlah kekalahan ini sebagai iktibar dan penilaian prestasi, bukan sekadar sebagai kritikan negatif. Barangkali hari ini kita masyhur, esok belum tentu lagi, kan? Juga, memang sukar menerima hakikat kekecundangan dan kematian, namun, bukankah setiap makhluq hatta para malaikat, fana?

Terima kasih.

cikguzakaria said...

Salam. Untuk pengetahuan semua, Mah Hassan telah kecundang dalam pertandingan jawatan Yang Di-Pertua PERTIS dalam mesyuarat agungnya yang telah diadakan pada tahun 2002. Pada ketika itu, Mah Hassan mendapat 33 undi manakala Saudara Norazman Sukerman mendapat 34 undi. Mesyuarat telah berlangsung di 134-1, Taman Seri Setapak, Batu 3, Jalan Gombak, Kuala Lumpur. Harap maklum.