Thursday, July 19, 2012

Ridwan Karim Kembali Ke Rahmatullah

Sekitar sejam yang lalu, saya menerima SMS daripada Mohd Rosmadi Ibrahim yang memaklumkan bahawa Saudara Ridwan Karim telah kembali ke Rahmatullah. Saya turut menerima SMS kedua yang menggunakan nombor Ridwan Karim sebagaimana yang ttersimpan dalam telefon bimbit saya yang turut memberi maklumat yang sama. Mungkin pihak yang menghantar SMS berkenaan ialah ahli keluarga Ridwan (Allahuyarham).

Menurut kandungan SMS kedua, Saudara Ridwan telah pun koma sejak subuh tadi. Beliau disahkan telah meninggal dunia pada jam 3.10 petang tadi. Beliau akan dikebumikan pada pagi esok. Kalau tidak silap saya, Ridwah telah menghembuskan nafas terakhirnya di negeri kelahirannya iaitu di Sabah.

Menurut maklumat yang saya terima, Saudara Ridwan telah diserang stroke yang mungkin berpunca daripada penyakit darah tingginya. Saya tidak pasti usia sebenarnya, tetapi beliau muda sedikit daripada saya.

Saya mula mengenali Saudara Ridwah Karim ketika kami sama-sama tinggal di asrama SMPK Setapak. Beliau merupakan murid di SMPK Setapak antara tahun 1985 hingga 1989. Selepas saya meninggalkan asrama SMPK Setapak pada tahun 1987, saya tidak lagi pernah bertemu dengan Saudara Ridwan hinggalah pada 8 Jun 2010 bilamana (Allahuyarham) menghubungi saya. Sejak itu kami akan berhubung walaupun secara sekali-sekala untuk update khabar. Kali akhir Saudara Ridwan menelefonsaya ialah sekitar 2 minggu yang lalu.

Seperkara yang tidak mungkin saya lupakan mengenai Ridwan ialah di mana beliau menjadi buta akibat satu letupan bom. Peristiwa tersebut berlaku ketika beliau masih kanak-kanak lagi. Dua rakan beliau yang turut bersamanya ketika itu meninggal dunia. Saudara Ridwah telah ditakdirkan untuk terus hidup tetapi tanpa penglihatan. Hari ini, beliau telah kembali semula kepada Penciptanya menyusuli dua rakannya yang telah pun mendahului beliau hampir 35 tahun yang lalu.

Saya berdoa semoga roh Saudara Ridwan akan sentiasa dalam rahmat dan peliharaan Allah hendaknya. Sebagaimana yang sering saya ucapkan, hari yang telah dijanjikan untuk Saudara Ridwan sudah pun tiba. Sesungguhnya hari yang sama yang telah dijanjikan untuk kita pula pasti akan tiba, hanya masanya sahaja yang menjadi rahsia. Masa yang telah dijanjikan itu pasti akan mendapatkan kita tanpa mengira sama ada kita sudah bersedia atau pun belum untuk menghadapinya.

Alfatihah ......

No comments: