Saturday, July 7, 2012

Sembang Malam

Hidup Penuh Pancaroba

Hidup ini memang penuh dengan pancaroba. Maka itulah agaknya golongan yang berpengalaman menyifatkan hidup ini bagai roda, kadang di atas dan kadang di bawah. Maknanya hidup kita tidak selalunya senang, ceria, mudah, riang, Gembira, senyum dan sebagainya. Adakalanya hidup kita akan melalui situasi dan suasana sedih, sukar, duka, murung, tertekan, dan pelbagai lagi. Rasanya sudah menjadi fitrah bagi yang hidup akan melalui kedua-dua situasi di atas dalam kehidupan masing-masing tanpa mengira sama ada seseorang itu kaya, miskin, orang atasan, orang bawahan, golongan bangsawan, golongan belasahan, bahkan sesiapa sahaja. Demikianlah.

Dalam hal ini, sekiranya setiap orang memunyai pegangan yang benar dan lurus serta berpegang padanya dengan kukuh, nescaya dia tidak akan sesat, tidak akan kecewa dan tidak akan berputus asa walau apa pun yang melanda. Orang yang mempunyai pegangan yang kuat dan kukuh pasti insaf bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara dan suatu hari ang dijanjikan kelak dia akan pasti berada di satu tempat lain yang dikenali sebagai akhirat. Apa yang dilakukannya hari ini pasti akan dihitung suatu hari nanti walaupun perlakuannya hanya sebesar zarrah. Kalau baik akan dibalas baik dan kalau buruk maka buruklah balasannya nanti. Justeru, orang yang ada pegangan, ada iman dan sentiasa maklum bahawa Tuhan itu sentiasa memerhatikannya, sama sekali tidak akan menggadaikan agamanya dan akidahnya semata-mata untuk meladeni kehidupan dunia yang ghurur ini.

Bila kita dilimpahi dengan pelbagai nikmat, rahmat, kesenangan atau kegembiraan, adakah kita benar-benar memanfaatkan kesempaan dan peluang yang ada untuk merafakkan syukur yang sebanyak-banyaknya kepada Dia yang telah memberikan segala-galanya kepada kita? Apa yang sering berlaku ialah tatkala kita sedang dilimpahi dengan pelbagai nikmat dan rahmat, waktu itulah kita menjadi insan yang paling pelupa sekali. Masa itulah kita lupa bahawa satu hari nanti segala nikmat yang sedang melimpahi kita boleh hilang dengan sekelip mata tanpa kita bersedia untuk menghadapinya. Kita lupa bahawa jika Allah boleh memberikan apa sahaja kepada kita dengan sekelip mata, maka Allah juga maha berupaya untuk menarik segala pemberian-Nya kepada kita juga dengan sekelip mata.

Kebiasaannya, apabila seseorang itu mula tenggelam dengan kemewahan yang sebenarnya bersifat sementara, dia mula melakukan perkara-perkara yang menjadi larangan Allah. Dia mula lupa pada kewajipan asasinya seperti solat lima waktu. Dia mula lupa kepada kewajipannya antara sesama manusia seperti kewajipannya kepada keluarganya sendiri. Dia mula hanyut dan tenggelam di bawa arus kesenangan yang semantara itu, seolah-olahnya dia akan hidup buat selama-lamanya. Bahkan lebih dahsyat lagi, dia mula menyimpan betina lain untuk dijadikan tempat dia melepaskan syahawatnya. Selain itu, orang yang sudah lupa daratan ini juga sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk menanggung kos sewa tempat kediaman serta makan minum betina simpanannya itu. Bukankah elok kalau wang tersebut digunakan untuk keperluan keluarganya sendiri? Bagi orang seperti ini, dia menganggap wang adalah segala-galanya. Maka itu, dia merasakan dengan wang semua boleh menjadi halal. Begitu ke?

Selain itu, ada juga segelintir insan yang sanggup menggadai akidahnya dan imannya demi untuk mencari kesenangan yang Cuma sementara. Bukankah pintu rezeki halal terbuka luas? Ada rakan memberitahu saya, jika usaha yang kuat dan bersungguh-sungguh dilakkan, kerja selaku juruurut juga boleh menjana pendapatan yang bukan sedikit jumlahnya pada setiap bulan. Maka itulah ada dalam kalangan rakan senasib lain yang benar-benar memanfaatkan kemahiran masing-masing dalam bidang urut sudah berjaya memperolei pendapatan jauh lebih tinggi daripada pendapatan bulanan sebilangan kakitangan yang makan gaji. Semuanya itu kerana mereka berusaha dengan kuat dan gigih tanpa jemu. Apa yang boleh kita contohi bagi orang seperti ini ialah mereka tidak tergerak hatinya untuk menyalahgunakan kemewahan yang dikurniakan kepada mereka ke jalan yang tidak diredhai Allah. Sedangkan mereka bukanlah petah sangat kalau bercakap fasal agama (saya tidak bermaksud mereka tidak mengetahui hal keagamaan).

Walau apa pun tekanan hidup yang sedang kita hadapi, jangan sekali-kali kita menggadaikan akidah dan iman kita. Kalau judi itu haram, ia sama sekali tidak menjadi halal dengan apa alasan sekali pun. Apatah lagi kalau kita menggunakan judi sebagai punca pendapatan kononnya untuk melunaskan hutang-putang kita. Amat menyedihkan kalau yang terjebak dengan hal sedemikian merupakan orang yang sedikit sebanyak tahu hukum-hakam dan petah bercakap kalau fasal ketuhanan dan juga mengenai kenabian. Kalau ditelek dan direnung, masalah yang dihadapi kini mungkin berpunca dari dalam dirinya sendiri. Nanti jangan sampai dikatakan orang, kerana seekor kerbau yang membawa lumpur, habis semua terpalit.

Sesungguhnya antara yang halal dan yang haram itu sudah ada sempadannya yang amat nyata. Tiada keraguan padanya walau sedikit pun. Ingatlah, orang yang pekak ialah orang yang tidak suka mendengar nasihat yang baik, dan orang yang beku hatinya ialah orang yang tidak tergerak langsung untuk berubah ke arah kebaikan.

Saya bukanlah bagus sangat, bukan ustaz dan juga bukan orang alim. Saya sekadar berkongsi untuk tatapan dan renungan kita bersama semata-mata.

No comments: