Friday, November 30, 2012

PERTIS Tak Ada Facebook (Penjelasan Akhir)




Sekali lagi peti email saya menerima maklumat lanjutmengenai hal facebook sebagaimana yang telah diketengahkan menerusi blog ini semalam. Kepada rakan yang telah menghantar email berkenaa, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan. Berikut adalah kandungan penuh email berkenaan:

From:
Syahrul Bariah Jaffar
To:
PERSATUAN ORANG-ORANG CACAT PENGLIHATAN ISLAM MALAYSIA (PERTIS)
Sent: Friday, November 30, 2012 12:40 AM
Subject: [PERSATUAN ORANG-ORANG CACAT PENGLIHATAN ISLAM MALAYSIA (PERTIS)] Assalammualaikum.
Syahrul Bariah Jaffar posted in PERSATUAN ORANG-ORANG CACAT PENGLIHATAN ISLAM MALAYSIA (PERTIS)
Syahrul Bariah Jaffar
12:40am Nov 30
Assalammualaikum.saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa group PERTIS ini telah wujud semasa saya menjadi kakitangan sambilan di ibu pejabat PERTIS lagi. Group ini diwujudkan sempena program makan malam PERTIS bersama KARYAWAN ketika itu. pada ketika itu jugak, antara admin yang ada ialah Zamzuri Ghani, Encik Hafiz Halim dan saya sendiri. tetapi ketika itu, saya membuat open group dan wujud bermacam macam post yang tidak sepatutnya. maka saya ubah group ini menjadi closed group. tetapi admin yang sebelum itu, saya buang dan admin sekarang ialah Ustaz Mohd Nasir Mohamed Yusoff dan saya sendiri. Sekarang ini ada pihak yang mengatakan bahawa moderator haram apabila timbul nya post mengenai politik. kita semua sedia maklum bahawa facebook mempunyai bermacam-macam masalah. post mengenai politik itu, baru saya buang dan juga orang yang tak berkenaan. Saya pohon maaf jika saya terlepas pandang mengenai post tersebut. hakikatnya saya selalu pantau group ini. dan itulah kali pertama dimana wujudnya post mengenai politik. oleh itu jugak, saya akan menarik diri saya dari menjadi moderator group ini. sebarang pertanyaan boleh menghubungi Encik Zamzuri Ghani - NYDP Pertis. kepada yang mengeluarkan post di blog tersebut, jangan suka menunding jari tanpa usul periksa. Wasalam..

Tujuan saya mengenengahkan kandungan email di atas adalah supaya kita sama-sama dapat menilai sendiri kandungannya dan juga penjelasan yang saya kemukakan di bawah ini.

Dalam hal ini, sepatutnya beberapa perkara harus dipertimbangkan dengan penuh teliti. Antaranya:

1. Apa-apa perkara pun, selagi ia atas nama PERTIS, maka pada akhirnya nanti PERTIS jugalah yang akan dipertanggungjawabkan sama ada dari aspek kesan, akibat dan sebagainya.
2. Sekiranya facebook berkenaan diwujudkan brsempena dengan majlis makan malam sebagaimana yang disebutkan di atas, maka sepatutnya ia telah pun dikuburkan sebagaimana telah berkuburnya majlis berkenaan.
3. Oleh kerana ia menggunakan nama PERTIS, maka semua moderatornya atau penyambungan tugas moderatornya hendaklah mendapat kebenaran/persetujuan secara bertulis daripada Jawatankuasa Pusat PERTIS kerana sebagaimana yang saya katakan,kesan dan akibat akhir akan dipertanggungjawab kepada PERTIS juga.
4. Pada masa yang sama, kita juga harus peka dengan Akta Keterangan (kalau saya tidak silap) iaitu 114A yang baru diperkenalkan. Oleh kerana ia menggunakan nama PERTIS, maka PERTIS yang akan dipertanggungjawabkan pada setiap kandungan yang dikeluarkan menerusi apa jua jenis lelaman internet.
5. Sepatutnya, apabila mana-mana individu/pihak tidak lagi bertugas dengan PERTIS, maka apa juga yang merupakan milik PERTIS hendaklah diserahkan kembali kepada persatuan ini, ini termasuklah barangan maujud seperti kunci atau fail, dan juga barangan yang bukan maujud seperti password atau yang seumpamanya. Pelaksanaan tanggungjawab seterusnya akan ditentukan oleh pihak tertinggi dalam PERTIS yang diberi tanggungjawab oleh para ahlinya.

Sekali lagi saya ingin tegaskan bahawasanya secara rasminya PERTIS belum lagi ada facebook. Selagi saya adalah Yang Di-Pertua PERTIS, maka saya bertanggungjawab penuh kepada PERTIS. Salah satu perkara yang menjadi teras tanggungjawab saya ialah “mencegah lebih baik daripada mengubati”. Adalah amat malang sekiranya budaya kerja kita umpama “sudah terhantuk baru tengadah” atau “sudah hujan baru hendak cari payung”.

Ini adalah penjelasan akhir saya mengenai isu di atas. Selepas ini, jika ada apa-apa jua ulasan mengenai isu yang sama, maka saya tidak akan melayannya lagi.

Rupa-rupanya ada juga orang yang tersuap cili!!!


Thursday, November 29, 2012

PERTIS Tak Ada Facebook



Malam tadi, saya menerima satu email daripada seorang rakan yang mungkin kita semua kenali. Dalam emailnya, beliau bertanyakan satu dua soalan kepada saya. Berikut adalah kandungan penuh email beliau:

Assalamualaikum Yot.. saya ingin tahu adakah akaun facebook yang menggunakan nama persatuan orang-orang cacat penglihatan islam malaysia )pertis) merupakan
akaun facebook rasmi pertis? kalau ya, siapa yang monitor dan menguruskan akaun ini? saya bertanya demikian kerana sejak akhir-akhir ini posting yang di
muatkan di dalamnya banyak merupakan cerita-cerita yang tidak ada kesahihannya khususnya cerita-cerita politik yang memburukan pihak yang lain seolah-olah
tidak ada pemantauan.
terima kasih.

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan berkenaan di atas keperihatinannya yang tinggi khususnya terhadap PERTIS. Saya rasa, bukan sahaja beliau, malahan ramai lagi yang lain juga mungkin ada jaringan dengan facebook haram berkenaan.

Untuk pengetahuan bersama, sehingga kini, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) tidak ada facebook. Setakat ini juga, PERTIS hanya ada satu blog sahaja yang dikendalikan oleh persatuan ini iaitu www.pertis-malaysia.blogspot.com

Apa yang lebih mendukacitakan ialah bilamana laman facebook berkenaan telah membuat posting cerita-cerita politik yang tiada kaitan langsung dengan pendirian persatuan ini, sama ada pendirian persatuan mahupun para ahlinya. Selaku sebuah organisasi yang sah di sisi undang-undang Malaysia, PERTIS, dulu, kini dan selamanya tidak akan menjadi sebuah organisasi politik atau tidak akan cenderung dengan mana-mana kumpulan siasah. Demikianlah pendirian PERTIS.

Saya berharap, semoga penjelasan ringkas ini akan dapat setidak-tidaknya menjernihkan nama PERTIS yang cuba dikeruhkan selama ini.

Kepada moderator haram yang berkaitan, hentikanlah kerja sia-sia anda. Daripada anda menggunakan nama PERTIS, lebih baiklah jika anda gunakan sahaja nama nenek dan moyang anda sendiri. Kepada seluruh warga PERTIS khususnya, marilah beramai-ramai kita berdoa semoga persatuan kita ini akan dijauhkan Allah daripada fitnah dan tohmah khasnya daripada orang yang semacam moderator haram ini. Bukankah doa orang yang dizalimi itu tiada hijab untuknya???

Salam dari Kota Kinabalu.



Thursday, November 22, 2012

Si Kitul



Dalam buku Sejarah Melayu, ada dikisahkan tentang peranan seorang watak. Namanya Si Kitol. Konon kisahnya, beliau ini ada berhutang sekati emas dengan seorang kaya di melaka bernama Raja Mendaliar. Kebetulan pula, Si Kitol dan Raja Mendaliar dari spesies yang serupa. Si Kitol ini pula memang sukar untuk membayar hutangnya kepada Raja Mendaliar.




Raja Mendaliar ini pula merupakan seorang yang amat kaya dan sangat terkemuka di Melaka ketika itu. Adalah dikhabarkan bahawa kekayaan Raja Mendeliar hanya kurang sebahara emas daripada kekayaan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir. Untuk maklumat bersama, satu bahara bersamaan dengan 205 kati.




Raja Mendaliar adalah orang yang sangat rapat dengan Laksamana Khoja Hassan. Manakala Laksamana Khoja Hassan pula merupakan antara pembesar negeri yang rapat dengan Sultan Mahmud Syah dan amat dikasihi baginda.




Sultan Mahmud Syah pula merupakan sultan terakhir negeri Melaka sebelum ia jatuh ke tangah Portugis pada tahun 1511. Sultan Mahmud merupakan seorang raja yang suka berfoya-foya, kaki betina dan suka mengganggu isteri orang. Antara isteri orang ternama yang pernah diganggu oleh Sultan Mahmud Syah sehingga membawa kepada penceraian termasuklah isteri kepada Tun Biajid iaitu menantu kepada Orang Kaya Laksamana Hang Tuah. Sultan Mahmud Syah juga merupakan seorang yang kuat berdendam.




Adalah dikhabarkan pada suatu hari, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir mengadakan kenduri perkahwinan anak perempuannya Tun Fatimah. Rupa paras Tun Fatimah memangnya cantik dan mungkin tiada taranya pada zaman itu. Bila Sultan Mahmud Syah terpandang sahaja paras Tun Fatimah, maka timbullah rasa marah dan dendam baginda kepada Tun Mutahir kerana Tun Mutahir tidak menunjukkan anak perempuannya yang cantik itu kepada baginda dahulu. Walhal Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir bukannya orang lain dengan baginda, bapa saudara juga kerana Tun Mutahir dengan bonda Sultan Mahmud Syah adalah adik-beradik.

Suatu hari, berlaku salah faham dan dakwa-dakwi antara Raja Mendeliar dengan seorang lagi saudagar kaya di Melaka ketika itu bernama Nina Sura Dewana. Lalu keduanya pun berjumpalah dengan Bendahara Seri Maharaja untuk menyelesaikan perbalahan antara mereka. Oleh kerana hari sudah petang ketika itu, maka Bendahara Seri Maharaja pun menyuruh kedua-duanya pulang dahulu dan bertemu semula pada keesokan hari.

Pada malam itu, Nina Sura Dewana telah datang semula ke rumah Bendahara dengan membawa sejumlah harta. Kata Nina Sura Dewana, pemberian itu sebagai penghargaan kepada orang yang berurusan perniagaan dengan beliau. Walal tujuan sebenarnya ialah agar keesoan harinya Bendahara Seri Maharaja akan menyebelahinya dalam menyelesaikan perbalahan antara beliau (Nina Sura Dewana) dengan Raja Mendeliar. Tanpa berfikir panjang lagi Bendahara Seri Maharaja pun menerima pemberian daripada Nina Sura Dewana.




Berbalik kepada kisah Si Kitul tadi, setelah beliau mendapat tahu adanya pertemuan antara Bendahara Seri Maharaja dengan Nina Sura Dewana secara sulit, lalu beliau pun terus ke rumah Raja Mendaliar lalu memberitahu bahawa Bendahara Seri Maharaja telah menyebelahi Nina Sura Dewana dalam perbalahannya dengan Raja Mendeliar. Dalam situasi ini, sudah tentulah Raja Mendeliar merasa kedudukannya sedang terancam dan perkhabaran yang dibawa oleh Si Kitul itu amat penting. Lalu Raja Mendeliar pun mengoyak-ngoyak surat hutang Si Kitul dan memberitahu bahawa hutangnya sebanyak sekati emas itu beliau halalkan dunia akhirat.

Dengan segera Raja Mendeliar pula telah membuat tindakan susulan. Beliau telah mengambil sejumlah hartanya lalu pergi pula ke rumah Laksamana Khoja Hassan. Raja Mendeliar memberitahu Laksamana Khoja Hassan bahawa Bendahara Seri Maharaja sedang merancang untuk menjadi raja di Melaka. Katanya lagi,Bendahara Seri Maharaja juga telah pun menempah beberapa alat kebesaran daripada emas. Melihatkan harta yang banyak itu, Laksamana Khoja Hassan tidak dapat berfikir panjang lagi. Pertimbangannya sudah hilang dan kewarasan akalnya sudah lenyap.




Laksamana Khoja Hassan pun segera mengadap Sultan Mahmud lalu menyampaikan berita dan perkhabaran yang beliau terima daripada Raja Mendeliar. Tindakan Laksamana Khoja Hassan sebenarnya tak ubah bagai mencurah minyak ke dalam api. Sultan Mahmud memang sudah sedia berdendam dengan Bendahara Seri Maharaja (bapa saudaranya sendiri) hanya kerana seorang wanita.

Akhirnya berlakulah peristiwa yang paling tragis dalam sejarah Melaka bilamana Bendahara Seri Maharaja, saudara lelakinya Seri Nara Diraja, Tun Hassan Temenggung (anak Bendahara Seri Maharaja) dan Tun Ali suami kepada Tun Fatimah dihukum bunuh tanpa usul periksa lagi. Peristiwa ini bukan sahaja merupakan sejarah hitam dalam sejarah Melaka, bahkan ia turut memberi kesan kepada survival kesultanan Melaka itu sendiri.




Walaupun Sultan Mahmud kemudiannya telah sedar akan kesalahannya, tetapi ia sudah terlalu lewat. Inilah yang dikatakan oleh orang tua-tua, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada berguna.

Budaya fitnah, amalan rasuah serta gemar berfoya-foya dengan wanita merupakan antara hobi para pembesar Melaka di akhir zaman kesultanannya. Dek kerana melihat harta yang bertimbun dan gharib, kewarasan akal dan pertimbangan terus hilang. Dek kerana kecantikan seorang wanita, rajanya berdendam tanpa mengira siapa lagi. Dek kerana ingin memuaskan nafsu amarah, fitnah-memfitnah sudah menjadi budaya yang dihalalkan.

Demikianlah antara rencah-rencah sejarah yang terpendam dalam tempat-tempat bersejarah yang boleh sama-sama kita semua kunjungi khususnya di Melaka. Negara kita memang kaya dengan tempat-tempat bersejarah, tetapi adakah bangsa kita sudah cukup kaya dengan pengajaran daripada sejarah silam?

Si Kitul memang sudah lama mati. Walau bagaimanapun, tanpa kita seddar, perwatakan Si Kitul seringkali hidup segar khususnya dalam lingkungan masyarakat bangsa kita. Acapkali juga terjadi di mana perwatakan Si Kitul bukannya satu atau dua, tetapi entah berapa. Nina Sura Dewana, Raja Mendeliar serta Laksmana Khoja Hassan juga sudah lama mati, tetapi amalan buruk yang pernah mereka lakukan masih menjadi warisan bangsa kita hingga ke hari ini. Sultan Mahmud Syah juga sudah lama mangkat dan makamnya ada di Kampar (Sumatera), tetapi mengapa ***************???

Hari ini ramai tokoh yang petah bercakap mengenai krisis perpaduan melayu. Hakikatnya, krisis berkenaan timbul kerana kegagalan bangsa Melayu itu dalam mengambil iktibar daripada sejarah nenek moyang mereka sendiri. Kita hanya mampu untuk bernostalgia dengan kegemilangan sejarah silam tetapi rasanya selagi masalah yang ada gagal ditangani dengan bijaksana kita tidak mungkin mampu untuk mencipta sejarah cemerlang untuk masa hadapan.

Berhati-hatilah dengan Si Kitul yang ada di sekeliling kita!!!




Monday, November 19, 2012

Selamat Menerima Menantu Kepada En. Bidin

Terlebih dahulu, saya memohon berbanyak maaf kerana catatan ini lewat saya ketengahkan menerusi blog ini. Bukannya apa, disebabkan agak sibuk dan ditambah pula dengan program ke Langkawi baru-baru ini, maka itulah ia agak lewat diketengahkan. Namun begitu, sebagai menghargai jemputan ikhlas daripada En. Bidin buat saya sekeluarga, maka catatan yang lewat ini saya ketengahkan jua buat tatapan bersama. Harapnya ia masih belum basi lagi. Kepada En. Bidin, terima kasih banyak-banyak.



Pada 10 November 2012 (Sabtu) lalu, saya sekeluarga telah menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan En. Bidin Md Ali. Majlis persandingan Nor Shuhada binti Bidin dengan pasangannya Mohd Aidil Amin bin Mohamad telah berlangsung di dewan Sekolah Menengah Hwa Lian, Mentakab, Pahang.

Sewaktu saya tiba iaitu sekitar jam 1.50 tengah hari, rombongan pengantin lelaki baru hendak tiba. Maka sempatlah kami sekeluarga menyaksikan perarakan masuk rombongan pengantin ke dewan. Bergemajuga bunyi kumulan kompang Seri Mutiara Kampung Catin, Mentakab. En. Bidin merupakan bendahari Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Pahang.

Kepada En. Bidin dan Kak Zaitun, saya ucapkan selamat menerima menantu. Kalau ada rezeki, hujung tahun hadapan akan dapat cucu pula, insha-Allah. Kepada pasangan mempelai, kami berdoa semoga jodoh anda berdua akan berkekalan selama-lamanya.

Setelah sekitar 20 minit, saya sekeluarga pun meninggalkan lokasi majlis untuk urusan yang lain pula.
Di bawah ini, saya kongsikan foto kenang-kenangan sewaktu menghadiri majlis di atas untuk tatapan semua.


















Sunday, November 18, 2012

Menghadiri Sambutan Maal Hijrah 1434 Peringkat PERTIS Pusat






Pagi tadi, saya berkesempatan untuk menghadiri majlis sambutan Maal Hijra Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) peringkat pusat. Majlis telah berlangsung di Dewan Utama, Komleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Majlis telah bermula sekitar jam 10.00 pagi dan telah berakhir pada sekitar 12.15 tengah hari.

Untuk maklumat bersama, majlis ini juga turut mendapat kerjasama dan sebahagian tajaan daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).



Majlis telah dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis, En. Shafiri. Sebagaimana biasa, kalau beliau yang menjadi juruacaranya, tradisi pantun memang tak boleh tinggal.



Setelah itu, Ahmad Qusairi pula mengambil giliran dan kal ini beliau merupakan pembaca doa.



Setelah selesai, tampil pula Saudara Faiq untu memperdengarkan pula alunan bacaan ayat-ayat Alquran Al-Karim. Beliau memang punya keistimewaan untuk membaca Alquran secara tarannum.



Majlis diteruskan lagi dengan penampilan saya sendiri selaku Yang Di-Pertua PERTIS untuk menyampaikan sepatah dua kata dan seterusnya merasmikan majlis sambutan bagi tahun 1434 Hijrah.



Setelah itu, tampil pula Ustaz Saifuddin Md Rashid untuk menyampaikan ceramahnya. Beliau pernah bertugas selaku pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kepakaran beliau ialah mengenai perbandingan antara agama.



Banyak pengajaran yang sama-sama boleh dikutip daripada penampaian ceramah beliau. Antaranya:

  1. Jika kita sama-sama faham, pelaksanaan suruhan Islam amatlah mudah
  2. Kita hendaklah mendidik ahli keluarga kita agar kerap mengerjakan solat berjemaah
  3. Orang yang sering melengah-lengahkan solat fardu tanpa sebab juga akan mendapat siksaan yang buruk daripada Allah
  4. Melengahkan solat dengan sengaja, memakan harta orang lain serta enggan membayar zakat merupakan antara kesalahan yang harus sama-sama kita jauhi
  5. Kenkmatan di Syurga merupakan sesuatu yang tidak pernah terjangkau oleh fikiran dan gambaran bayangan daripada kita

Selain itu, penceramah turut menjawab persoalan mengenai zakat, solat ntuk orang sakit, hal mengenai dosa mengumpat dan sebagainya, iaitu berdasarkan soalan-soalan yang telah dikemukakan oleh para hadirin.




Sekitar jam 12.15 tengah hari, majlis telah selesai. Sebelum bersurai, para hadirin telah disajikan dengan jamuan makan tengah hari.



Bagi pihak PERTIS, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama yang baik dalam penganjuran majlis sambutan pagi tadi. Terima kasih yang tidak terhingga juga ditujukan kepada pihak JAWI. Tidak lupa, terima kasih juga ditujukan kepada Usaz Saifuddin di atas kesudian beliau untuk berkongsi ilmu kepada para hadirin. Semoga kita akan bertemu lagi dalam majlis ilmu yang lain pula, insha-Allah.

Saturday, November 17, 2012

Cerita Dari Langkawi (Bahagian 1)














Pulau Langkawi bukanlah asig bagi kebanyakan orang. Ia merupakan destinasi popular sama ada dalam kalangan pelancong dalam mahupun luar negara. Jadi kalau hendak bercerita fasal kunjungan ke Langkawi, seolah-olahnya sekadar menceritakan sesuatu yang sudah diketahui orang. Namun demikian, saya ketengahkan juga cerita kunjungan saya ke Langkawi berdasarkan perspektif saya sendiri. Maklumlah setiap orang punya pandangan dan telekan berbeza mengenai sesuatu walaupun apa yang dilihat itu pada zahirnya sama rupa dan sama bentuknya. Demikianlah adanya.




Sebelum saya pergi lebih jauh lagi dan sebelum saya terlupa, di sini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih khasnya kepada pihak Hotel Grand Continental Langkawi di atas keprihatinan ke atas saya sekeluarga. Bukanlah saya mendapat layanan istimewa sangat daripada tetamu yang lain. Keprihatinan pihak hotel terserlah bilamana mereka sendiri telah menawarkan kerusi roda secara percuma kepada umi saya (ibu mertua) bagi memudahkan beliau bergerak di sekitar hotel. Pihak hotel juga telah memantu untuk memudahkan saya mengatur rancangan untuk aktiviti yang berkaitan dengan laut.


Pada hari kedua di Langkawi, kami sekeluarga telah mengadakan lawatan di darat. Tempat pertama yang kami kunjungi ialah sekitar Kota Mahsuri. Memang benar bahawa sesiapa yang tiba di Langkawi tanpa menziarahi makamna, seolah-olahnya kunjungan tersebut “tidak sah”. Maka itulah agaknya, kunjungan saya sebanyak 6 kali sebelum ini”tidak sah”. Sebagaimana yang telah saya maklumkan sebelum ini, untuk memudahkan pergerakan, kami memandu sendiri kenderaan. Setibanya kami di sekitar Mahsuri iaitu sekitar jam 10.00 pagi, para pengunjung sudah ramai. Harga tiket pula ialah RM5.00 bagi pengunjung dewasa dan RM2.50 bagi kanak-kanak. Manakala saya pula diberi masuk percuma.






Di dalam ruang pameran, terdapat pelbagai barangan lama khususnya yang telah digunakan pada zaman Mahsuri. Ada juga barangan yang kononnya dipunyai oleh Datuk Pakermajaya iaitu bapa mertua kepada Mahsuri sendiri.










Di satu ruang pula, ada sekumpulan pemain caklempung yang memainkan lagu-lagu tadisi secara life. Pada pendengaran saya, merdu dan berseni cara kumpulan ini memainkan alat-alat muziknya. Tatkala mereka berhenti bermain, saya terus mencuri kesempatan dengan berbual dan menyentuh sendiri alat-alat mzik yang mereka gunakan. Ternyata mereka sungguh gembira dengan kesempatan yang dapat saya curi. Dalam kalangan pemainnya ada lelaki dan ada perempuan.

Selain itu, terdapat juga ruang yang khusus menjual pelbagai cenderamata. Memang cenderamatanya pelbagai dan ada yang cantik dan menarik hinggakan Luqman beriya-iya hendak membelinya.






Setelah itu, kami pun bergerak pula ke kawasan yang menempatkan makam Mahsuri. Salah seorang pengunjung yang mungkin telah biasa dengan tempat itu memberitahu kami bahawa makam yang satu itu replika sahaja. Manakala makamnya yang sebenar turut ditunjukkannya kepada saya sekeluarga. Menurut catatan yang ada, Mahsuri telah mati dihukum bunuh pada tahun 1235 Hijrah bersamaan 1819 Masihi.

Sama ada kisah Mahsuri itu bersifat lagenda atau mitos bukanlah persoalan utama. Bagi saya, yang lebih utama ialah moral dan natijah daripada kisah Mahsuri itu sendiri. Ia menggambarkan bahawa menabur fitnah sudah menjadi asam garam dalam kehidupan masyarakat elayu zaman berzaman. Bila timbul rasa dengki dan busuk hati, maka jalan untuk memuaskan nafsu yang sedang amarah itu ialah dengan menabur sebanyak mana fitnah tanpa memikirkan kesan dan bahayanya khususnya kepada generasi zuriat yang akan datang. Adakah generasi hari ini juga sedang mewarisinya?

Kesan daripada gejala fitnah itu, konon ceritanya Pulau Langkawi telah terkena sumpahan Mahsuri. Ia bukan sahaja mundur tetapi sering dilanda pelbagai bentuk musibah. Datuk Pakermajaya sendiri telah mati dalam satu peperangan. Manakala Mahura, orang yang menjadi punca kepada fitnah itu telah menerima balasan yang buruk di akhir hayatnya. Adakah generasi bangsa Melayu masa kini sudah cukup mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut?

Setelah menghabiskan masa sekitar dua jam setengah di sekitar Kota Mahsuri, kami pun bergerak pula ke kawasan beras terbakar. Konon kisahnya, di sinilah Datuk Pakermajaya mengarahkan orang-orang Langkawi supaya membakar beras yang dikumpulkan bagi mengelakkan ia jatuh ke tangan tentera Siam yang sedang menyerang. Ada satu lagi kisah yang saya pernah dengar, kononnya di sini tempat di mana Datuk Pakermajaya mengmpulkan beras untuk disimpan buat bekalan semasa diserang tentera Siam tetapi beras yang telah siap dikumpulkan itu tiba-tiba terbakar. Demikianlah musibah yang menimpa ke atas Datuk Pakermajaya yang bertanggungjawab menghukum Mahsuri tanpa usul periksa lagi.



Setelah meletakkan kenderaan di tempat yang sesuai, saya sekeluarga pun terus berjalan ke kawasan yang dikatakan terdapat beras terbakar. Sebagaimana yang dijangka, para pengunjung memang ramai. Di kiri kanan laluan pula penuh dengan penjaja dengan pelbagai barangan jajaan. Kawasan beras terbakar ini berada di hadapan rumah yang didiami oleh Ku Halim Ku Hasan. Bila sampai di kawasan yang dituju, kami tak bertemu pun beras yang terbakar walaupun sebiji. Sebaliknya apa yang sebenarnya terbakar ialah wang ringgit kami kepada penjaja berkenaan.





Setelah menghabiskan masa sekitar sejam setengah termasuklah menjamu selera secara alah kadar, kami sekeluarga pun bergerak pula ke Taman Buaya Langkawi. Untuk masuk ke taman ini, orang diwasa dikenakan bayaran sebanyak RM15.00. Manakala kanak-kanak pula dikenakan bayaran sebanyak RM10.00. Manakala saya pula dikecualikan daripada bayaran. Agaknya inilah yang dikatakan Orang kekadang Untung!

Bagi saya, jika hendak dibandingkan dengan taman buaya yang pernah saya kunjungi di Siburan, Sarawak, taman buaya di Langkawi jauh kurang menariknya. Jumlah buaya dan spesies buayanya juga jauh berkurangan jika dibandingkan dengan taman buaya di Siburan. Aksi buayanya pula jauh kurang aktif dan kurang agresif. Agaknya inilah antara perbezaan sang buaya semenanjung dengan buaya di Sarawak! Apa pula prbezaan antara buaya air dengan buaya darat??? Apa yang sedikit menarik di taman buaya Langkawi ialah ada pertunjukan buaya bersama manusia sekitar 20 minit. Ulasan isteri saya, rugi masa sahaja berkunjung ke taman ini!

Sekitar jam 3.45 petang, kami mula bergerak kembali semula ke hotel penginapan. Lagi pun, umi kami sudah keletihan dan memerlukan rehat. Maklumlah usia baru mencecah 86 tahun!

Saya sekadar sampai di Langkawi. Baru-baru ini ada rakan saya sudah sampai ke Surabaya dan Bali. Di bali, bertemu pula dengan salah seorang murid yang sedang menuntut di sekolah tempat saya sedang bertugas bersama keluarganya.

(Bersambung ke bahagian akhir).

Friday, November 16, 2012

Mengunjungi Bukit Melawati Kuala Selangor
















Baru-baru ini, saya sekeluarga telah mengunjungi Bukit Melawati, Kuala Selangor. Dari sudut sejarah, kawasan ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri, khususnya yang berkaitan dengan sejarah awal kesultanan Selangor serta pentadbiran awal negeri tersebut.


Mengikut catatan dalam buku Sejarah Melayu, nama Kelang pernah disebut sebagai sebua petempatan iaitu pada awal kurun ke-15. Tun Perak pernah menjadi penghulu kepada orang-orang Kelang. Sewaktu Siam menyerang Melaka semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah, bantuan orang Kelang amat penting ketika itu. Digambarkan bahawa orang Kelang telah berperang bersungguh-sungguh melawa tentera Siam.

Kawasan Kuala Selangor mula menjadi penting apabila Raja Lumu iaitu anak kepada Opu Daeng Celak mula menjadikan kawasan berkenaan sebagai pusat pemerintahannya pada sekitar tahun 1743. Apabila baginda mendapat pengiktirafan daripada sultan Perak selaku pemerintah yang berdaulat untuk Selangor pada tahun 1766, Raja Lumu terus menjadikan Kuala Selangor, khususnya Bukit Melawati sebagai pusat pemerintahan baginda. Di atas bukit inilah dibina istana dan kota sebagai lambang pemerintahan serta kedaulatan baginda. Sementara itu, setelah kedaulatan Raja Lumu ke atas Selangor diiktiraf oleh sultan Perak, maka baginda telah memakai gelaran Sultan Sallehhuddin.






Setelah Sultan Salehuddin mangkat, baginda telah digantikan oleh puteranya, Sultan Ibrahim. Sultan Ibrahim merupakan seorang raja yang gagah beran dan perkasa orangnya. Pada tahun 1784, berlakulah serangan besar-besaran orang Bugis Riau ke atas kedudukan Belanda di Melaka. Serangan orang Bugis ini diketuai oleh Raja Haji,iaitu bapa saudara kepada Sltan Ibrahim. Sultan Ibrahim turut memberi bantuan kepada serangan yang dikepalai oleh bapa saudaranya tetapi bantuan yang diberikan dikatakan tiba lewat. Peperangan tersebut telah berakhir dengan kekalahan tentera Bugis. Raja Haji sendiri telah terbunuh dalam peperangan tersebut. Tentera Belanda telah menyerang Riau dan memaksaSultan Mahmud III supaya menandatangani perjanjian yang telah meletakkan Riau di bawah kekuasaan Belanda.




Sebagai membalas bantuan ketenteraan yang pernah diberikan oleh Sultan Ibrahim, maka pada tahun 1785, Belanda telah menyerang Kuala Selangor. Akibatnya, Sultan Ibrahim bersama 300 orang pengikutnya telah berundur ke Pahang. Setahun kemudian, iaitu pada tahun 1786, dengan bantuan orang Pahang, Sultan Ibrahim telah menyerang kembali Kuala Selangor dan berjaya merampasnya kembali daripada Belanda.

Walau bagaimanapun, tidak lama kemudianBelanda telah menyerang kembali Kuala Slangor. Selama setahun Belanda telah mengepung kawasan ini hingga akhirnya Sultan Ibrahim telah menandatangani perjanjian damai dengan bersetuju utuk menjual bijih timah kepada kompeni Belanda. Perjanjian damai yang ditandatangani ini berbeza dengan perjanjian damai yang pernah ditandatangani oleh Belanda dengan pemerintah Melayu yang lain. Perjanjian damai ini sama sekali tidak menggugat kedaulatan Sultan Ibrahim.

Setelah Kemangkatan Sultan Ibrahim pada tahun 1826, baginda telah digantikan oleh salah seorang puteranya dengan gelar Sultan Muhammad Syah (1826-1857). Selain berjaya memajukan Kuala Selangor, Sultan Muhammad dengan bantuan kerabat diraja Selangor, turut berjaya memajukan perdagangan bijih timah di sekitar Kelang, Kuala Lumpur serta Lukut.

Setelah kemangkatan Sultan Muhammad, baginda telah digantikan oleh menantu yang juga merupakan anakanda saudaranya, iaitu Sultan Abdul Samad. Zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad merupakan zaman yang penuh dengan pelbagai peristiwa danperubahan. Pada masa pemerintahan bagindalah pihak Inggeris mula campur tangan dalam pentadbiran Selangor. Semasa pemerintahan baginda juga berlaku perang saudara yang juga dikenali sebagai Perang Kelang gara-gara perebutan kawasan bijih timah. Sultan Abdul Samad juga turut memindahkan pusat pentadbiran baginda dari Kuala Selangor ke Jugra di Langat. Maka itulah juga makam baginda serta kerabat baginda banyak terdapat di Jugra.

Apabila Sultan Abdul Samad mangkat pada tahun 1898, baginda telah digantikan pula oleh cucunda baginda yang memakai gelaran Sultan Alaiddin Sulaiman Syah, Baginda merupakan moyang kepada ke bawah duli Tuanku Sultan Selangor hari ini. Pada tahun 1911, baginda Sultan Alaiddin Sulaiman Syah telah memindahkan pula pusat pentadbiran baginda dari Jugra ke Kelang. Maka itulah juga hari ini Kelang merupakan bandar diraja bagi Selangor. Sultan Alaiddin Sulaiman Syah telah mangkat pada tahun 1938 dan telah dimakamkan di makam diraja Kelang.




Hari ini, d atas bukit ini hanya ada sebuah muzium, sebuah rumah api serta deretan pokok yang menghijaukan kawasan sekitarnya. Manakala rumah pegawai daerah serta rumah jurutera daerah juga terletak ke bawah sedikit. Selain itu, di kaki bukit iaitu tidak jauh daripada Masjid Pekan Kuala Selangor pula terdapat bangunan yang menempatkan 3 makam sultan Selangor yang awal . Namun begitu, bila disingkap sejarah lama, bukit ini turut menyimpan sejarah yang semakin terpendam daripada pengetahuan generasi masa kini.

Di dalam muzium ini, kita boleh mendapat pelbagai maklumat khususnya mengenai sejarah awal pentadbiran kesultanan Selangor serta kedatangan orang Bugis ke Selangor. Selain pelbagai catatan yang harus dibaca oleh setiap pengunjung, pelbagai jenis barang lama juga turut dipamerkan dalam muzium ini.




Rumah api yang terdapat di sini telah dibina pada awal kurun ke-20. Tujuannya adalah sebagai petunjuk arah kepada kapal-kapal yang belayar melalui sekitar Kuala Selangor.






Selain itu, dari atas bukit ini kita boleh melihat kawasan laut yang mengasyikkan pemandangan. Pada masa lalu, dari atas bukit inilah juga sultan dan para pembesar dapat meninja pergerakan musuh yang boleh mengancam keselamatan negeri.


Selain itu, di satu lokasi atas bukit Melawati ini terdapat sebuah batu hamparan. Kononnya di atas batu inilah tempat di mana hukuman bunuh dilaksanakan ke atas puak penderhaka. Ada juga sumber yang mengisahkan bahawa dari atas batu ini Baginda Sultan Abdul Samad akan bersemayam untuk memerhati pekan Kuala Selangor.


























Pada hari ini juga, selain bukit ini dikunjungi oleh manusia, ia turut menjadi tempat puluhan bahkan mungkin ratusan monyetberkeliaran. Haiwan ini jinak dan mungkin sudah biasa dengan pengunjung. Justeru, kita boleh melihat pelbagai aksi daripada monyet terutama bila para pengunjung tiba dengan tren yang sememangnya disediakan. Apa yang monyet tersebut tahu, bila tren datang, haiwan-haiwan tersebut akan dapat makanan.

Semasa kunjungan tempoh hari, kami menaiki bukit Melawati dengan tren. Sebaliknya kami menuruni bukit berkenaan hanya dengan berjalan kaki sahaja. Tujuan utamanya ialah supaya saya dapat benar-benar merasai dan menikmati fenomena alam yang segar dan mengasyikkan.

Jika makam Opu Daeng Celak ada di Sungai Timun, Pulau Bintan, Riau, maka makam anak cucunya pula ada di Bukit Melawati, Jugra dan di Kelang.