Saturday, November 17, 2012

Cerita Dari Langkawi (Bahagian 1)














Pulau Langkawi bukanlah asig bagi kebanyakan orang. Ia merupakan destinasi popular sama ada dalam kalangan pelancong dalam mahupun luar negara. Jadi kalau hendak bercerita fasal kunjungan ke Langkawi, seolah-olahnya sekadar menceritakan sesuatu yang sudah diketahui orang. Namun demikian, saya ketengahkan juga cerita kunjungan saya ke Langkawi berdasarkan perspektif saya sendiri. Maklumlah setiap orang punya pandangan dan telekan berbeza mengenai sesuatu walaupun apa yang dilihat itu pada zahirnya sama rupa dan sama bentuknya. Demikianlah adanya.




Sebelum saya pergi lebih jauh lagi dan sebelum saya terlupa, di sini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih khasnya kepada pihak Hotel Grand Continental Langkawi di atas keprihatinan ke atas saya sekeluarga. Bukanlah saya mendapat layanan istimewa sangat daripada tetamu yang lain. Keprihatinan pihak hotel terserlah bilamana mereka sendiri telah menawarkan kerusi roda secara percuma kepada umi saya (ibu mertua) bagi memudahkan beliau bergerak di sekitar hotel. Pihak hotel juga telah memantu untuk memudahkan saya mengatur rancangan untuk aktiviti yang berkaitan dengan laut.


Pada hari kedua di Langkawi, kami sekeluarga telah mengadakan lawatan di darat. Tempat pertama yang kami kunjungi ialah sekitar Kota Mahsuri. Memang benar bahawa sesiapa yang tiba di Langkawi tanpa menziarahi makamna, seolah-olahnya kunjungan tersebut “tidak sah”. Maka itulah agaknya, kunjungan saya sebanyak 6 kali sebelum ini”tidak sah”. Sebagaimana yang telah saya maklumkan sebelum ini, untuk memudahkan pergerakan, kami memandu sendiri kenderaan. Setibanya kami di sekitar Mahsuri iaitu sekitar jam 10.00 pagi, para pengunjung sudah ramai. Harga tiket pula ialah RM5.00 bagi pengunjung dewasa dan RM2.50 bagi kanak-kanak. Manakala saya pula diberi masuk percuma.






Di dalam ruang pameran, terdapat pelbagai barangan lama khususnya yang telah digunakan pada zaman Mahsuri. Ada juga barangan yang kononnya dipunyai oleh Datuk Pakermajaya iaitu bapa mertua kepada Mahsuri sendiri.










Di satu ruang pula, ada sekumpulan pemain caklempung yang memainkan lagu-lagu tadisi secara life. Pada pendengaran saya, merdu dan berseni cara kumpulan ini memainkan alat-alat muziknya. Tatkala mereka berhenti bermain, saya terus mencuri kesempatan dengan berbual dan menyentuh sendiri alat-alat mzik yang mereka gunakan. Ternyata mereka sungguh gembira dengan kesempatan yang dapat saya curi. Dalam kalangan pemainnya ada lelaki dan ada perempuan.

Selain itu, terdapat juga ruang yang khusus menjual pelbagai cenderamata. Memang cenderamatanya pelbagai dan ada yang cantik dan menarik hinggakan Luqman beriya-iya hendak membelinya.






Setelah itu, kami pun bergerak pula ke kawasan yang menempatkan makam Mahsuri. Salah seorang pengunjung yang mungkin telah biasa dengan tempat itu memberitahu kami bahawa makam yang satu itu replika sahaja. Manakala makamnya yang sebenar turut ditunjukkannya kepada saya sekeluarga. Menurut catatan yang ada, Mahsuri telah mati dihukum bunuh pada tahun 1235 Hijrah bersamaan 1819 Masihi.

Sama ada kisah Mahsuri itu bersifat lagenda atau mitos bukanlah persoalan utama. Bagi saya, yang lebih utama ialah moral dan natijah daripada kisah Mahsuri itu sendiri. Ia menggambarkan bahawa menabur fitnah sudah menjadi asam garam dalam kehidupan masyarakat elayu zaman berzaman. Bila timbul rasa dengki dan busuk hati, maka jalan untuk memuaskan nafsu yang sedang amarah itu ialah dengan menabur sebanyak mana fitnah tanpa memikirkan kesan dan bahayanya khususnya kepada generasi zuriat yang akan datang. Adakah generasi hari ini juga sedang mewarisinya?

Kesan daripada gejala fitnah itu, konon ceritanya Pulau Langkawi telah terkena sumpahan Mahsuri. Ia bukan sahaja mundur tetapi sering dilanda pelbagai bentuk musibah. Datuk Pakermajaya sendiri telah mati dalam satu peperangan. Manakala Mahura, orang yang menjadi punca kepada fitnah itu telah menerima balasan yang buruk di akhir hayatnya. Adakah generasi bangsa Melayu masa kini sudah cukup mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut?

Setelah menghabiskan masa sekitar dua jam setengah di sekitar Kota Mahsuri, kami pun bergerak pula ke kawasan beras terbakar. Konon kisahnya, di sinilah Datuk Pakermajaya mengarahkan orang-orang Langkawi supaya membakar beras yang dikumpulkan bagi mengelakkan ia jatuh ke tangan tentera Siam yang sedang menyerang. Ada satu lagi kisah yang saya pernah dengar, kononnya di sini tempat di mana Datuk Pakermajaya mengmpulkan beras untuk disimpan buat bekalan semasa diserang tentera Siam tetapi beras yang telah siap dikumpulkan itu tiba-tiba terbakar. Demikianlah musibah yang menimpa ke atas Datuk Pakermajaya yang bertanggungjawab menghukum Mahsuri tanpa usul periksa lagi.



Setelah meletakkan kenderaan di tempat yang sesuai, saya sekeluarga pun terus berjalan ke kawasan yang dikatakan terdapat beras terbakar. Sebagaimana yang dijangka, para pengunjung memang ramai. Di kiri kanan laluan pula penuh dengan penjaja dengan pelbagai barangan jajaan. Kawasan beras terbakar ini berada di hadapan rumah yang didiami oleh Ku Halim Ku Hasan. Bila sampai di kawasan yang dituju, kami tak bertemu pun beras yang terbakar walaupun sebiji. Sebaliknya apa yang sebenarnya terbakar ialah wang ringgit kami kepada penjaja berkenaan.





Setelah menghabiskan masa sekitar sejam setengah termasuklah menjamu selera secara alah kadar, kami sekeluarga pun bergerak pula ke Taman Buaya Langkawi. Untuk masuk ke taman ini, orang diwasa dikenakan bayaran sebanyak RM15.00. Manakala kanak-kanak pula dikenakan bayaran sebanyak RM10.00. Manakala saya pula dikecualikan daripada bayaran. Agaknya inilah yang dikatakan Orang kekadang Untung!

Bagi saya, jika hendak dibandingkan dengan taman buaya yang pernah saya kunjungi di Siburan, Sarawak, taman buaya di Langkawi jauh kurang menariknya. Jumlah buaya dan spesies buayanya juga jauh berkurangan jika dibandingkan dengan taman buaya di Siburan. Aksi buayanya pula jauh kurang aktif dan kurang agresif. Agaknya inilah antara perbezaan sang buaya semenanjung dengan buaya di Sarawak! Apa pula prbezaan antara buaya air dengan buaya darat??? Apa yang sedikit menarik di taman buaya Langkawi ialah ada pertunjukan buaya bersama manusia sekitar 20 minit. Ulasan isteri saya, rugi masa sahaja berkunjung ke taman ini!

Sekitar jam 3.45 petang, kami mula bergerak kembali semula ke hotel penginapan. Lagi pun, umi kami sudah keletihan dan memerlukan rehat. Maklumlah usia baru mencecah 86 tahun!

Saya sekadar sampai di Langkawi. Baru-baru ini ada rakan saya sudah sampai ke Surabaya dan Bali. Di bali, bertemu pula dengan salah seorang murid yang sedang menuntut di sekolah tempat saya sedang bertugas bersama keluarganya.

(Bersambung ke bahagian akhir).

No comments: