Monday, February 11, 2013

Menziarahi Yusiran Lagi




Petang tadi, sekitar jam 5.15 saya telah ke rumah Saudara Yusiran lagi. Sebagaimana yang pernah saya catat sebelum ini, rumah Yusiran terletak di Jalan Tebat, Kampung Air Baruk, Jasin, iaitu beberapa belas km dari rumah saya di kampung. Sepertimana sebelum ini, ziarah saya kali ini juga turut ditemani oleh isteri saya, Luqman, seorang anak saudara lelaki sebaya Luqman serta ibu saya.


(Saya menyerahkan wang kepada Yusiran)

Tujuan utama ziarah saya kali ini adalah untuk menyampaikan bantuan berbentuk wang kepada Yusiran daripada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Dalam mesyuarat baru-baru ini, pihak PERTIS telah pun meluluskan bantuan segera berupa wang sebanyak RM500.00 seorang kepada 4 penerima. Yusiran merupakan salah seorang daripada ahli yang telah dipilih untuk menerima wang bantuan tersebut.


(Anak saudara perempuan Yusiran menyambut kedatangan kami)


Kali ini ibu Yusiran tidak kedengaran suaranya. Katanya beliau sedang berehat (tidur). Saya pun tidak berhasrat mengganggunya. Yusiran pula ditemani oleh anak saudara perempuannya.


Saya sempat juga bertanya kepada Yusiran, bila dia hendak kembali semula ke KL? Yusiran menjawab, bila dia dapat kaki palsu nanti dia akan balik ke KL semula. Walau bagaimanapun, saya turut mendengar suara anak saudara perempuannya menjawab dengan perlahan, mungkin dia (Yusiran) tak ke KL lagi!


Saya amat faham apa yang tersirat di sebalik jawapan oleh anak saudaranya itu. Memang benar, keluarga mana yang sanggup melihat mana-mana anggotanya susah di tempat orang. Biarlah susah dan senang di depan mata ahli keluarga sendiri. Maka itulah anak saudara perempuan Yusiran menjawab sedemikian.


Mudah-mudahan bantuan yang tidak seberapa daripada PERTIS inisedikit sebanyak akan meringankan beban yang sedang ditanggung oleh Yusiran dan keluarganya. Ia juga sebagai tanda bahawa seluruh warga PERTIS tetap mengingati Yusiran. Insha-Allah jika ada rezeki kita semua akan hulurkan bantuan lagi.


(Keadaan Yusiran tanpa kaki)

Setelah kira-kira 5 minit, kami pun minta diri. Lagipun, kami harus bergegas ke tempat lain pula.


Salam Dari Jasin, Melaka.








No comments: