Friday, November 22, 2013

Seminar Wahyu Asas Tamadun




Pada 21 November (Khamis), telah berlangsung Seminar Wahyu Asas Tamadun (SWAT) peringkat antarabangsa kali ketiga untuk hari kedua. Seminar ini berlangsung selama dua hari di dewan utama, Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan. Saya telah dijemput untuk membentangkan kertas kerja khas dengan tajuk “Pendidikan Alquran Golongan Berkeperluan Khas Isu Dan Cabaran”. Selain warga USIM, para peserta seminar terdiri daripada ahli akademik daripada beberapa buah universiti tempatan dan juga luar negara.



Bagi tujuan pembentangan, saya telah menyediakan 60 slide untuk dikongsikan dengan para peserta seminar. Tumpuan kertas kerja saya sudah tentulah pendidikan Alquran untuk golongan cacat penglihatan. Antara kandungan kertas kerja saya termasuklah sejarah dan latar belakang pendidikan Alquran Braille, isu dan cabarang yang mendepani pendidikan Alquran untuk golongan cacat penglihatan serta saranan dan cadangan untuk menghadapi cabaran sedemikian. Di samping itu, saya juga tidak lupa menyelitkan peranan dan sumbangan besar yang telah dlakukan oleh Cikgu Sulaiman Shafie (Allahyarham) dalam memartabatkan pendidikan Alquran untuk golongan cacat penglihatan.



Antara cabaran dan isu yang sempat saya ketengahkan dalam seminar berkenaan termasuklah:

  1. Kekurangan tenaga pengajar terlatih dalam bidang berkaitan di peringkat sekolah;
  2. Kursus dan latihan berkaitan Alquran Braille dan jawi Braille masih tidak diperkenalkan di peringkat IPG dan IPT , kecuali di USIM;
  3. Secara umumnya sokongan daripada pihak tertentu terhadap pendidikan Alquran untuk golongan berkeperluan khas masih di tahap kurang memuaskan
  4. Di sesetengah tempat, golongan sasar (cacat penglihatan) juga kurang memberi sambutan terhadap program pendidikan Alquran yang dirancang untuk mereka

Antara saranan yang sempat saya utarakan termasuklah:

  1. Pihak yang berkenaan harus menyediakan latihan yang sewajarnya kepada tenaga pengajar di peringkat sekolah supaya mereka mahir dengan Alquran Braille dan jawi Braille
  2. Pihak yang berkepentingan di negara ini seharusnya terdedah dengan perkembangan Alquran Braille di peringkat antarabangsa
  3. R&D yang berkaitan dengan Alquran Braille harus diperhebatkan bagi membuat penambahbaikan dalam kaedah pengajaran dan pendidikan untuk Alquran Braille
  4. Pihak yang berwajib juga harus menyediakan peluang masa depan yang lebih baik khususnya kepada lulusan tahfiz dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan seperti memberi peluang mereka untuk menjadi imam, bilal atau pegawai di masjid-masjid



Setelah hampir 6 tahun FPQS memperkenalkan kursus yang berkaitan dengan Braille, saya dapat merasakan banyak kemajuan yang telah dicapai. Hasil daripada kajian yang telah dilaksanakan di fakulti ini, beberapa persoalan tentang perkembangan Alquran Braille di negara ini sudah pun terjawab. Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa beberapa orang yang pernah menuntut di fakulti ini telah pun ditempatkan di beberapa sekolah yang mempunyai program pendidikan khas selaku guru. Di samping itu, saya turut berdoa dan amat berharap semoga suatu hari nanti, fakulti ini juga akan dapat melahirkan insan persis seperti Cikgu Sulaiman bin Shafie (Allahyarham).



Di sini, saya tidak lupa untuk mengucapkan bertanyak terima kasih kepada pihak penganjur di atas kesudian mereka untuk mengundang saya untuk berkongsi sedikit maklumat yang saya ada. Mudah-mudahan apa yang telah saya kongsikan itu sedikit sebanyak ada manfaatnya, insha-Allah.


Monday, November 18, 2013

PLSN Akan Dibubarkan



Persatuan Lepasan St. Nicholas (PLSN) merupakan salah sebuah badan bukan kerajaan yang melibatkan golongan yang cacat penglihatan. Ahli-ahli pertubuhan ini terdiri daripada mereka yang pernah mendapat pendidikan atau latihan di St. Nicholas Home, Pulau Pinang. Seingat saya pertubuhan ini memang sudah lama ditubuhkan. Banyak aktiviti telah dianjurkan oleh pertubuhan ini yang telah memberi manfaat kepada ahli-ahlinya. Secara peribadi, saya sendiri kurang akrab dengan pertubuhan ini. Maklumlah saya tidak pernah mendapat pendidikan atau latihan di St. Nicholas.

Perlu saya tegaskan di sini, PLSN bukan badan yang mentadbir St. Nicholas Home. Ia hanya merupakan sebuah pertubuhan yang mana keahliannya terdiri daripada mereka yang pernah mendapat pendidikan atau latihan di St. Nicholas Home. Mungkin ia setara dengan persatuan alumni.

Setelah bergerak sekian lama, PLSN telah menerima surat daripada pendaftar pertubuhan (ROS) bertarikh 11 November 2013 yang mengarahkan supaya PLSN dibubarkan dalam tempoh 30 hari (mungkin dari tarikh notis berkenaan dikeluarkan). Bagi mematuhi arahan daripada ROS, saya turut dimaklumkan satu mesyuarat agung akan diadakan dalam masa terdekat. Tujuan mesyuarat agung tersebut adalah untuk mengambil apa jua langkah yang sesuai ke arah pembubaran PLSN.

Salah seorang ahli PLSN turut melahirkan rasa dukacitanya di atas arahan pembubaran ini. Namun demikian, menurut beliau lagi, pada masa yang sama PLSN harus mematuhi arahan pembubaran daripada ROS. Justeru, langkah-langkah pembubaran yang selaras dengan undang-undang pertubuhan dan perlembagaan PLSN harus dilaksanakan seberapa segera yang boleh.

Pada hemat saya, perasaan dukacita sebegini turut dikongsi oleh hampir semua ahli PLSN. Maklumlah untuk menguruskan sebuah badan sukarela seperti PLSN bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan pengorbanan dan komitmen yang cukup tinggi. Bagi ahli-ahli yang setia dan sayangkan organisasi seperti PLSN, hakikat pembubaran sebegini memang sukar untuk diterima dan amat pahit untuk ditelan.

Adalah dipercayai bahawa pembubaran PLSN berpunca gara-gara tindakan seorang dua ahlinya sendiri yang telah bertindak umpama marahkan nyamuk habis kelambu dibakar. Tindakan jahat seperti ini sebenarnya telah menghancurkan hati majoriti ahli PLSN. Orang seperti ini memang gemar bertepuk tangan bila melihat orang lain sedih dan pilu. Kesusahan orang lain adalah keseronokan baginya. Saya sendiri pernah terbaca salah satu surat yang dihantar oleh golongan seperti ini yang ditujukan kepada PLSN yang mana kandungannya bernada rasis dan cukup memalukan sebagai orang Islam. Orang yang mempunyai sifat-sifat jahat seperti ini bukannya orang lain, dalam kalangan orang buta juga.

Mungkin ada orang akan berkata, bila PLSN dibubarkan, tubuhkan sahaja pertubuhan yang baru. Namun demikian, ramai yang tidak faham hakikat iaitu yang tumbuh tidak sama dengan yang telah patah dan yang berganti mungkin tidak sama dengan yang telah hilang.

Kepada ahli-ahli PLSN yang masih setia dan sayangkan pertubuhan anda, mungkin tiada jalan lain lagi selain daripada menerima realiti yang ada. Jadikan ini sebagai satu pengajaran yang sangat berguna bagi menguruskan apa juga pertubuhan pada masa-masa yang akan datang. Manakala kepada yang lain pula, peristiwa ini juga merupakan suatu iktibar yang cukup berguna untuk kita sama-sama teladani dan sempadani. Bukan semua orang bersifat ikhlas tatkala menertai mana-mana pertubuhan. Sebagai ahli, kita sepatutnya sekadar menjauhkan diri sahaja daripada persatuan dan aktivitinya bila kita tidak lagi sehaluan dengan barisan kepimpinan yang ada. Tindakan menghancurkan keseluruhan entiti persatuan kerana tidak lagi sehaluan dengan seorang dua pemimpinnya merupakan tindakan yang amat jahat, keji dan sangat tidak bertanggungjawab.

Hari ini kita buat aniaya pada orang, esok lusa balasan Tuhan pula yang akan menimpa kita.