Monday, November 18, 2013

PLSN Akan Dibubarkan



Persatuan Lepasan St. Nicholas (PLSN) merupakan salah sebuah badan bukan kerajaan yang melibatkan golongan yang cacat penglihatan. Ahli-ahli pertubuhan ini terdiri daripada mereka yang pernah mendapat pendidikan atau latihan di St. Nicholas Home, Pulau Pinang. Seingat saya pertubuhan ini memang sudah lama ditubuhkan. Banyak aktiviti telah dianjurkan oleh pertubuhan ini yang telah memberi manfaat kepada ahli-ahlinya. Secara peribadi, saya sendiri kurang akrab dengan pertubuhan ini. Maklumlah saya tidak pernah mendapat pendidikan atau latihan di St. Nicholas.

Perlu saya tegaskan di sini, PLSN bukan badan yang mentadbir St. Nicholas Home. Ia hanya merupakan sebuah pertubuhan yang mana keahliannya terdiri daripada mereka yang pernah mendapat pendidikan atau latihan di St. Nicholas Home. Mungkin ia setara dengan persatuan alumni.

Setelah bergerak sekian lama, PLSN telah menerima surat daripada pendaftar pertubuhan (ROS) bertarikh 11 November 2013 yang mengarahkan supaya PLSN dibubarkan dalam tempoh 30 hari (mungkin dari tarikh notis berkenaan dikeluarkan). Bagi mematuhi arahan daripada ROS, saya turut dimaklumkan satu mesyuarat agung akan diadakan dalam masa terdekat. Tujuan mesyuarat agung tersebut adalah untuk mengambil apa jua langkah yang sesuai ke arah pembubaran PLSN.

Salah seorang ahli PLSN turut melahirkan rasa dukacitanya di atas arahan pembubaran ini. Namun demikian, menurut beliau lagi, pada masa yang sama PLSN harus mematuhi arahan pembubaran daripada ROS. Justeru, langkah-langkah pembubaran yang selaras dengan undang-undang pertubuhan dan perlembagaan PLSN harus dilaksanakan seberapa segera yang boleh.

Pada hemat saya, perasaan dukacita sebegini turut dikongsi oleh hampir semua ahli PLSN. Maklumlah untuk menguruskan sebuah badan sukarela seperti PLSN bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan pengorbanan dan komitmen yang cukup tinggi. Bagi ahli-ahli yang setia dan sayangkan organisasi seperti PLSN, hakikat pembubaran sebegini memang sukar untuk diterima dan amat pahit untuk ditelan.

Adalah dipercayai bahawa pembubaran PLSN berpunca gara-gara tindakan seorang dua ahlinya sendiri yang telah bertindak umpama marahkan nyamuk habis kelambu dibakar. Tindakan jahat seperti ini sebenarnya telah menghancurkan hati majoriti ahli PLSN. Orang seperti ini memang gemar bertepuk tangan bila melihat orang lain sedih dan pilu. Kesusahan orang lain adalah keseronokan baginya. Saya sendiri pernah terbaca salah satu surat yang dihantar oleh golongan seperti ini yang ditujukan kepada PLSN yang mana kandungannya bernada rasis dan cukup memalukan sebagai orang Islam. Orang yang mempunyai sifat-sifat jahat seperti ini bukannya orang lain, dalam kalangan orang buta juga.

Mungkin ada orang akan berkata, bila PLSN dibubarkan, tubuhkan sahaja pertubuhan yang baru. Namun demikian, ramai yang tidak faham hakikat iaitu yang tumbuh tidak sama dengan yang telah patah dan yang berganti mungkin tidak sama dengan yang telah hilang.

Kepada ahli-ahli PLSN yang masih setia dan sayangkan pertubuhan anda, mungkin tiada jalan lain lagi selain daripada menerima realiti yang ada. Jadikan ini sebagai satu pengajaran yang sangat berguna bagi menguruskan apa juga pertubuhan pada masa-masa yang akan datang. Manakala kepada yang lain pula, peristiwa ini juga merupakan suatu iktibar yang cukup berguna untuk kita sama-sama teladani dan sempadani. Bukan semua orang bersifat ikhlas tatkala menertai mana-mana pertubuhan. Sebagai ahli, kita sepatutnya sekadar menjauhkan diri sahaja daripada persatuan dan aktivitinya bila kita tidak lagi sehaluan dengan barisan kepimpinan yang ada. Tindakan menghancurkan keseluruhan entiti persatuan kerana tidak lagi sehaluan dengan seorang dua pemimpinnya merupakan tindakan yang amat jahat, keji dan sangat tidak bertanggungjawab.

Hari ini kita buat aniaya pada orang, esok lusa balasan Tuhan pula yang akan menimpa kita.

No comments: