Monday, April 21, 2014

Karpal Singh: Setelah Ketiadaan Mendiang



Pada 17 April Lalu (Khamis), Karpal Singh telah menemui ajalnya dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan dengan Gua Tempurung. Pada 20 April (Ahad) pula, jasadnya telah disempurnakan mengikut adat dan kepercayaan beliau dan keluarganya. Penghormatan peringkat negeri telah diberikan oleh kerajaan Pulau Pinang bagi penyempurnaan jasadnya.

Sementara itu, pelbagai pihak telah memberikan penghormatan terakhir terhadap mendiang Karpal Singh. Mereka terdiri daripada pelbagai golongan dan lapisan rakyat. Selain daripada rakan-rakan yang separti politik dengan mendiang, rakan-rakan daripada Pakatan Rakyat iaitu PKR dan PAS turut sama memberikan penghormatan terakhir. Di samping itu, lawan-lawan politik beliau terutamanya daripada UMNO dan BN tidak ketinggalan dalam memberikan penghormatan terakhir ke atas jasad mendiang. Inilah yang harus difahami oleh kita semua, lawan dalam politik tidak semestinya akan menjadi lawan dalam semua aspek kehidupan.



Selain itu, ucapan takziah dari jauh turut sama mengiringi jasad mendiang Karpal Singh. Mereka yang tidak berkesempatan untuk melawat jasad beliau secara dekat turut sama mengirimkan ucapan takziah menerusi pelbagai cara dan melalui pelbagai media. Ini jelas menunjukkan kematian mendiang Karpal Singh turut sama dirasai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira siapa.

Karpal Singh lahir pada bulan Jun 1940 di Pulau Pinang. Beliau telah menerima pendidikan awal di St. Xavier’s Institution, Pulau Pinang. Beliau merupakan penuntut jurusan undang-undang di Universiti Malaya (Singapura). Beliau telah menyertai DAP pada 28 Disember 1970. Pada tahun 1978 Karpal Singh telah berjaya memenangi kerusi parlimen Jelutong dan beliau terus bertahan di kerusi berkenaan selama 5 penggal lamanya. Pada tahun 1999 beliau telah tewas di kerusi berkenaan dalam pilihanraya umum ke-10. Justeru Karpal Singh juga dikenali sebagai Harimau Jelutong. Pada tahun 2004, menerusi pilihanraya umum ke-11, beliau telah kembali semula ke parlimen apabila berjaya memenangi kerusi parlimen Bukit Gelugor dan berjaya mempertahankannya sehingga pilihanraya umum ke-13 yang lalu. Pada tahun 2005, gara-gara satu kemalangan, beliau telah lumpuh dari pinggang ke bawah. Walau bagaimanapun, mungkin kerana kekentalan semangatnya, kecacatan yang beliau alami sama sekali tidak menghalang beliau daripada terus berkecimpung dalam bidang guaman dan pada masa sama selaku ahli parlimen yang aktif di dewan rakyat.

Kematian Karpal Singh akan meninggalkan kesan kepada beberapa perkara. Paling utama ialah kematian mendiang telah meninggalkan kekosongan kerusi di parlimen Bukit Gelugor. Ini bermakna, dalam tempoh 60 hari satu pilihanraya kecil harus diadakan bagi mengisi kekosongan tersebut. Walaupun ia bakal merupakan pilihanraya kecil kelima selepas pilihanraya umum ke-13, ia juga merupakan pilihanraya kecil peringkat parlimen yang pertama selepas pilihanraya umum tersebut. Sebelum ini sudah berlaku 4 kali pilihanraya kecil dan kesemuanya hanya melibatkan pilihanraya kecil peringkat DUN sahaja.

Walaupun ketika ini masih awal untuk memperkatakan tentang pilihanraya kecil parlimen Bukit Gelugor, tetapi suka tidak suka, ingin saya nyatakan iaitu bukanlah sesuatu yang sukar bagi DAP untuk mempertahankan kerusi berkenaan. Pada masa yang sama, berkemungkinan bewsar BN tidak akan memberi laluan mudah kepada DAP untuk mempertahankan kerusi berkenaan. Ini bermakna bila Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan hari penamaan calon kelak, sekurang-kurangnya dua parti politik iaitu DAP dan BN akan menamakan calon masing-masing. DAP akan mempertahankan kerusi berkenaan, manakala BN pula akan mencuba untuk merampasnya.

Sepertimana yang saya katakan, DAP tidak akan menghadapi masalah besar untuk mempertahankan kerusi parlimen Bukit Gelugor. Legasi yang telah ditinggalkan oleh Karpal Singh masih panas, masih kukuh dan masih besar kesannya khususnya kepada pengundi di Bukit Gelugor. Perbezaan turun naik jumlah undi yang bakal diperolehi merupakan perkara lumrah dalam mana-mana pilihanraya kecil. Apa yang lebih penting ialah keputusan akhir yang akan memihak kepada calon yang menang. Jika kemenangan benar-benar memihak kepada DAP nanti, maka keputusan pilihanraya kecil berkenaan tidak akan membawa sebarang perubahan terutamanya posisi kerusi mana-mana parti politik di parlimen. Dengan erti kata lain, ia masih tidak mengubah status quo yang sudah sedia ada sejak pilihanraya umum ke-13 yang lalu.

Sementara itu, “kekosongan” juga akan turut dirasa di dewan rakyat. Sebelum ini mendiang Karpal Singh merupakan antara wakil rakyat yang lantang dalam membangkitkan pelbagai isu berkepentingan orang ramai. Profesion beliau selaku seorang peguam yang handal turut mewarnai kaedah perbahasan beliau ketika di dewan rakyat. Selepas ini kita tidak dapat lagi menyaksikan kelantangan beliau bersuara, kepintaran beliau berhujah serta ketegasan beliau dalam mempertahankan satu-satu isu di dewan rakyat. “Kekosongan” yang mendiang Karpal Singh tinggalkan bukan sahaja akan dirasai oleh para yang berhormat dalam dewan, bahkan ia turut sama akan dirasai oleh mereka yang berada di luar dewan yang sentiasa mengikuti perkembangan setiap kali berlangsungnya persidangan dewan rakyat.

Mendiang Karpal Singh juga merupakan seorang tokoh perundangan yang tersohor di negara kita yang digeruni kawan dan lawan. Kehebatan, keberanian serta ketegasan beliau sememangnya sukar untuk dicari ganti. Mungkin antara individu yang paling terasa kehilangan dengan kematian mendiang Karpal Singh ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini kerana mendiang Karpal Singh sedang menguruskan kes liwat yang sedang dihadapi oleh Datuk Seri Anwar ke mahkamah Persekutuan. Kalau saya tidak silap, mendiang ada memberitahu Datuk Seri Anwar, beliau hanya ada masa 10 hari untuk mengemukakan rayuan di mahkamah berkenaan. Dengan pemergian mendiang Karpal Singh, Datuk Seri Anwar terpaksa mencari peguam lain yang seboleh-bolehnya setara dengan kehebatan mendiang untuk mengendalikan kes beliau di mahkamah nanti.

Semasa hidupnya, Karpal Singh juga dikatakan seringkali memberikan perkhidmatan guaman percuma kepada golongan yang kurang berpendapatan. Justeru tidak hairanlah bilamana kematian Karpal Singh turut dirasai oleh golongan bawahan. Mendiang Karpal Singh juga dikatakan turut tidak mengambil bayaran dalam mengendalikan kes terkini yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semuanya ini hanya diketahui umum selepas kematian Karpal Singh.

Satu perkara yang menjadi kontroversi ialah penentangan kuat mendiang terhadap undang-undang hudud di negara ini. Beliau pernah berkata, langkah mayatnya dahulu jika hendak juga laksanakan undang-undang berkenaan. Sehingga ke akhir hayatnya mendiang tetap berpendirian bahawa negara ini adalah sebuah negara sekular. Bagi saya, penentangan kuat beliau terhadap undang-undang hudud bukanlah sesuatu yang ganjil. Tiada suatu apa pun yang pelik di sebalik penentangan kuat yang sering mendiang zahirkan terhadap pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini. Sebabnya satu sahaja, beliau bukan orang Islam.



Apa yang lebih pelik dan lebih ganjil ialah apabila penentangan pelaksanaan hukum Islam di negara ini datangnya daripada orang islam sendiri. Konon khabarnya, ada dalam kalangan pemimpin beragama Islam di negara ini yang pernah menulis surat kepada mantan menteri besar Kelantan yang berpendirian untuk menghalang pelaksanaan hukum Islam yang sedang diusahakan. Bahkan menurut sumber dari Youtube, ada pemimpin yang beragama Islam dengan tegas mengatakan bahawa hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini. Walaupun saya tidak dapat melihat wajahnya, tapi suara pemimpin berkenaan tetap saya kenal dengan pasti.

Justeru, penentangan mendiang Karpal Singh terhadap pelaksanaan hukum Islam bukanlah sesuatu yang pelik. Kita harus berasa dukacita kerana kegagalan memberikan kefahaman yang betul mengenai hukum Islam kepada golongan seperti mendiang Karpal Singh. Rasulullah pernah merasa dukacita apabila tidak dapat mengislamkan Abu Talib, bapa saudara baginda yang sangat dikasihinya. Sebaliknya ia menimbulkan kepelikan dan keganjilan yang amat sangat apabila penentangan terhadap pelaksanaan hukum Islam datangnya daripada orang Islam sendiri. Hakikatnya di negara kita, orang Islam sendirilah yang sebenarnya menjadi penghalang kepada pelaksanaan hukum Islam di negara ini.

Di satu sudut yang lain pula, mendiang Karpal Singh bernasib baik kerana beliau antara tokoh pembangkang yang mendapat penghormatan negeri dalam penyempurnaan jasadnya. Bermula hari Jumaat hingga ke saat penyempurnaan jasadnya Ahad lalu, bendera negeri Pulau Pinang dikibarkan separuh tiang. Penyempurnaan jasadnya pula dilaksanakan oleh satu jawatankuasa peringkat negeri yang diketuai oleh seorang ahli Exco Pulau Pinang. Hal sebegini amat jarang berlaku di negara kita khususnya terhadap tokoh pembangkang.

Mendiang Karpal Singh akan terus diingat sampai bila-bila. Sumbangannya kepada negara menerusi dewan rakyat akan tersimpan rapi dalam hanset parlimen. Perjalanan perjuangan beliau akan menjadi bahan kajian oleh generasi yang akan datang. Cadangan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menamakan semula Pesiaran IMG sebagai Pesiaran Karpal Singh merupakan antara penghormatan awal yang diberikan kepada mendiang selepas kematiannya.





Thursday, April 17, 2014

Takziah Kepada Keluarga Mendiang Karpal Singh



Pagi tadi, sesampai sahaja saya ke sekolah, dua orang rakan sejawat memberitahu saya Karpal Singh telah meninggal akibat kemalangan jalanraya awal pagi. Saya agak terkejut mendengar berita berkenaan. Baru dua hari lepas saya mendengar rakaman perbahasan yang melibatkan MP Gelugor ini di parlimen menerusi Youtube.



Saya mula mengenali nama Karpal Singh sejak dekad 80-an lagi. Walau bagaimanapun, sampai sekarang pun orangnya tidak pernah saya jumpa secara dekat. Sebagaimana yang semua ketahui, Karpal Singh merupakan seorang ahli politik yang tegas dan teguh pendirian. Beliau cukup berani mengutarakan apa jua isu di dewan rakyat yang mana pada pandangan beliau mempunyai kepentingan orang ramai.

Karpal Singh juga merupakan seorang pengamal undang-undang yang sememangnya cukup tersohor di negara kita. Beliau cukup berpengalaman dalam mengendalikan kes berprofil tinggi.

Kematian Karpal Singh merupakan satu kehilangan kepada dunia politik dan dunia perundangan di negara kita.

Takziah diucapkan kepada keluarga mendiang.


Tuesday, April 8, 2014

Memali: Cerita Lama Disingkap Semula



Tragedi Memali telah berlaku pada 19 November 1985. Tatkala itu saya sedang menduduki peperiksaan SPM. Mungkin pada ketika itu minat saya terhadap isu-isu semasa sudah pun mendalam, maka tragedi tersebut turut menarik perhatian saya walaupun pada waktu itu saya juga sedang bergelut dengan kertas-kertas peperiksaan. Berita mengenai tragedi tersebut bukan sahaja saya mendengarnya menerusi media tempatan, bahkan saya juga turut mendengar berita serta ulasan mengenai tragedi berkenaan menerusi siaran radio luar negara, terutamanya siaran BBC.



Kini setelah hampir 30 tahun tragedi berkenaan, kisah dan peristiwa mengenainya mula disingkap kembali. Penyingkapan kisah berkenaan bermula dalam satu forum yang berlangsung di Kota Bharu hujung bulan lepas. Sebagaimana yang kita semua ketahui, Tun Musa Hitam telah mendedahkan bahawa sewaktu hari tragedi berkenaan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan perdana menteri masih lagi berada dalam negeri. Beliau bukan berada di China sepertimana yang menjadi kepercayaan kita semua dan juga para pengkaji selama ini.

Setakat ini, reaksi Tun Dr. Mahathir terhadap pendedahan Tun Musa Hitam masih lagi tergantung. Menurut sumber berita, beliau (Tun Dr. Mahathir) mengatakan perlu menyemak semula bagi memastikan dengan tepat dan sahih di mana beliau berada ketika itu. Lagi pun, menurut beliau lagi, peristiwa itu sudah lama berlalu.



Reaksi awal daripada Tun Mahathir telah menimbulkan rasa kehairanan dalam kalangan sesetengah pihak. Bagi mereka, Tun Dr. Mahathir merupakan seorang yang cukup cermat dalam menyimpan data dan fakta. Iia telah membolehkan beliau memberi reaksi spontan yang cukup meyakinkan dalam kebanyakan isu yang dihadapkan kepadanya. Bilamana Tun Dr. Mahathir menjawab, beliau tidak ingat di mana beliau berada ketika tragedi Memali berlaku, seolahnya ada sesuatu yang tidak ingin disingkap kembali oleh Tun Dr. Mahathir. Sedangkan banyak lagi peristiwa yang telah berlaku sebelum tragedi Memali boleh diingat dan boleh diulas kembali oleh Tun Dr. Mahathir. Satu lagi kemungkinan ialah Tun Dr. Mahathir sedang menunggu masa yang paling sesuai untuk memberi reaksi beliau terhadap persoalan yang telah dibangkitkan oleh Tun Musa Hitam.

Pendedahan oleh Tun Musa Hitam sudah pasti mempunyai pelbagai implikasi ke atas pelbagai pihak. Ia mungkin membuat sesetengah pihak akan berada dalam keadaan cacing kepanasan. Ia juga mungkin bakal merupakan suatu turning point kepada isu Memali itu sendiri. Beberapa pihak sudah mula mencadangkan agar Suruhanjaya Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kembali tragedi Memali. Ia juga menyebabkan isu Memali kembali hangat untuk diperkatakan di negara ini. Ia juga mungkin bakal memberi satu sudut pandangan yang baru terhadap isu Memali. Isu ini juga bakal menyebabkan ada pihak yang akan dituduh sebagai berbohong.



Saya juga turut hairan, mengapa setelah hampir 30 tahun baru Tun Musa Hitam mendedahkan perkara di atas. Kalau pun tiada ruang untuk membuat pendedahan sebelum ini, Tun Musa boleh mendedahkannya menerusi buku yang beliau sendiri boleh menulis mengenainya. Tun Musa boleh menulis mengenai tragedi Memali dari perspektif beliau dan juga boleh membuat apa-apa pendedahan yang relevan dalam buku berkenaan.

Walau bagaimanapun, sebagai negarawan hebat, saya juga berkeyakinan, Tun Musa sudah tentu ada asas tertentu bagi menyokong pendedahan yang telah beliau buat. Beliau juga tentunya ada sebab tersendiri mengapa pendedahan sedemikian dibuat setelah hampir 30 tahun tragedi itu berlaku. Beliau juga tentunya lebih maklum kesan dan akibatnya sekiranya pendedahan yang beliau buat itu didapati tidak benar.

Apa-apa hal pun, semua pihak sedang ternanti-nanti akan reaksi dan jawapan lanjut daripada Tun Dr. Mahathir.

Jangan tunggu lama-lama, tun!




Sunday, April 6, 2014

Ahli PERTIS Terengganu Kembali Ke Rahmatullah



Sebentar tadi, saya menerima maklumat menerusi SMS iaitu salah seorang ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu, Saudara Wan Abdullah bin Wan Nik telah kembali ke rahmatullah. Menurut pengesahan daripada pengerusi PERTIS Terengganu, En. Fauzi Mansor, Allahyarham telah kembali ke rahmatullah sekitar jam 11 lebih pagi tadi. Menurut En. Fauzi lagi, Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Zahirah, Kuala Terengganu.

Kepada ahli keluarga Allahyarham, saya secara peribadi ingin mengucapkan takziah. Bersabar dengan ujian yang ada. Kita semua akan mengikuti jejak Allahyarham juga, hanya saatnya sahaja yang tidak diketahui.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allahyarham akan dicucuri rahmat sepanjang masa dan dihimpunkan bersama-sama para solihin.

Alfatihah ....




Thursday, April 3, 2014

Misteri Kehilangan MH370: Sekadar Pandangan




Hari ini, misteri kehilangan kapal terbang Malaysia Airlines MH370 sudah masuk hari ke-27. Dalam sejarah penerbangan negara kita, kehilangan kapal terbang ini merupakan suatu sejarah baru. Setahu saya, belum berlaku lagi sebelum ini di mana kehilangan sebuah kapal terbang milik negara ini masih belum ditemui sebarang petunjuk sehingga berhari-hari lamanya. Ia juga merupakan sejarah baru bilamana berpuluh-puluh buah negara terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat yang dilaksanakan di peringkat antarabangsa. Manakala jumlah aset yang terlibat pula sememangnya besar. Ia merangkumi kapal terbang dan kapal laut. Ini tidak termasuk jumlah tenaga manusia yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.

Walaupun pada 24 Mac lalu, perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan bahawa MH370 telah berakhir di lautan Hindi, tetapi ia nampaknya tidak dapat memuaskan semua pihak. Banyak pihak yang masih mempertikaikan pengumuman tersebut. Manakala waris penumpang dari China pula bukan sekadar tidak berpuas hati, malahan mereka menuntut lebih banyak penjelasan daripada MAS dan juga kerajaan Malaysia. Ada juga pihak tertentu yang mendakwa ada sesuatu yang disembunyikan oleh kerajaan Malaysia.

Sementara itu, di laman sosial pula pelbagai spekulasi terus disebarkan. Ada yang kata begini dan juga ada pula yang kata begitu. Ada juga pihak yang masih percaya kapal terbang dan para penumpangnya masih selamat dan sudah pun mendarat di satu tempat yang tidak diketahui. Ini belum lagi diambil kira aksi dan publisiti yang gigih diusahakan oleh sang raja bomoh!

Di samping itu, usaha-usaha berbentuk kerohanian masih gigih dilaksanakan. Pelbagai pihak tidak putus-putus berdoa dan menaruh harapan agar semuanya selamat. Solat dan munajat terus dilaksanakan dengan harapan agar misteri kehilangan ini akan berkesudahan dengan happy ending.

Di sebalik pelbagai pandangan, pendapat dan spekulasi yang sedang berleluasa, bagi saya hanya satu sahaja sebab mengapa kehilangan kapal terbang MH370 masih menjadi misteri. Hakikatnya kehilangan ini dianggap masih menjadi misteri kerana peristiwa dan cerita mengenai kehilangan ini masih dihijab oleh Allah daripada pengetahuan, pendengaran dan penglihatan kita semua. Apabila Allah membuka hijab ini, pastilah kita semua akan terdedah dan dapat mengetahui peristiwa dan cerita sebenar yang telah berlaku ke atas MH370 selama ini. Bukan itu sahaja, bilamana hijab berkenaan terselak dengan kehendak Allah, maka akan terbongkarlah segala rahsia yang selama ini dianggap misteri di sebalik kehilangan MH370. Kita harus ingat dan faham, segala rahsia, cerita dan segala-galanya mengenai MH370, semuanya ada dalam pengetahuan Allah dengan tiada satu pun yang tercicir daripada-Nya walau sebesar zarrah sekalipun. Kita harus ingat dan faham juga, apa sahaja teknologi canggih yang kita ada, ia sama sekali tidak mungkin dapat mengatasi qudrat dan iradat Allah.

Apakah yang boleh membuka hijab Allah mengenai misteri peristiwa kehilangan tersebut? Jawapannya tentulah dengan doa. Hijab tersebut tidak mungkin dapat dibuka walaupun dengan teknologi paling tercanggih. Hanya dengan doa yang dimaqbulkan sahaja yang dapat membuka hijab berkenaan.

Siapakah yang patut berdoa agar Allah membuka hijab peristiwa tersebut? Mereka yang paling aula untuk berdoa dalam hal ini ialah golongan yang tiada hijab di antara doanya dengan Allah. Siapakah golongan tersebut? Mereka ialah:

1. Pemimpin yang adil.
2. Orang yang sedang dizalimi.
3. Orang yang sedang berpuasa.

Oleh itu, carilah dalam kalangan tiga golongan ini untuk merafakkan doa. Mudah-mudahan doa mereka yang tiada hijab itu akan dapat membuka hijab yang selama ini menghijabi di antara kita dengan peristiwa misteri kehilangan MH370 berkenaan. Seperkara lagi, pada pandangan saya, jika sudah ditemui golongan tadi, mintalah mereka berdoa dalam sunyi tanpa sebarang liputan oleh sebarang bentuk media. Saya bimbang, jika doa mereka diberi liputan oleh apa jua bentuk media, maka dikhuatiri sedikit sebanyak akan terpesong niat dan tujuan asal mereka berdoa dan ini akan mencacatkan antara syarat-syarat sesuatu doa itu dimaqbulkan Allah.

Di sini, saya langsung tidak bermaksud kita harus menghentikan segala usaha yang sedang dilakukan untuk menjejaki MH370. Ia juga harus diteruskan sebagaimana yang telah dirancang.

Saya bukannya orang alim. Saya sekadar berkongsi pandangan yang tidak seberapa sahaja.