Monday, April 21, 2014

Karpal Singh: Setelah Ketiadaan Mendiang



Pada 17 April Lalu (Khamis), Karpal Singh telah menemui ajalnya dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan dengan Gua Tempurung. Pada 20 April (Ahad) pula, jasadnya telah disempurnakan mengikut adat dan kepercayaan beliau dan keluarganya. Penghormatan peringkat negeri telah diberikan oleh kerajaan Pulau Pinang bagi penyempurnaan jasadnya.

Sementara itu, pelbagai pihak telah memberikan penghormatan terakhir terhadap mendiang Karpal Singh. Mereka terdiri daripada pelbagai golongan dan lapisan rakyat. Selain daripada rakan-rakan yang separti politik dengan mendiang, rakan-rakan daripada Pakatan Rakyat iaitu PKR dan PAS turut sama memberikan penghormatan terakhir. Di samping itu, lawan-lawan politik beliau terutamanya daripada UMNO dan BN tidak ketinggalan dalam memberikan penghormatan terakhir ke atas jasad mendiang. Inilah yang harus difahami oleh kita semua, lawan dalam politik tidak semestinya akan menjadi lawan dalam semua aspek kehidupan.



Selain itu, ucapan takziah dari jauh turut sama mengiringi jasad mendiang Karpal Singh. Mereka yang tidak berkesempatan untuk melawat jasad beliau secara dekat turut sama mengirimkan ucapan takziah menerusi pelbagai cara dan melalui pelbagai media. Ini jelas menunjukkan kematian mendiang Karpal Singh turut sama dirasai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira siapa.

Karpal Singh lahir pada bulan Jun 1940 di Pulau Pinang. Beliau telah menerima pendidikan awal di St. Xavier’s Institution, Pulau Pinang. Beliau merupakan penuntut jurusan undang-undang di Universiti Malaya (Singapura). Beliau telah menyertai DAP pada 28 Disember 1970. Pada tahun 1978 Karpal Singh telah berjaya memenangi kerusi parlimen Jelutong dan beliau terus bertahan di kerusi berkenaan selama 5 penggal lamanya. Pada tahun 1999 beliau telah tewas di kerusi berkenaan dalam pilihanraya umum ke-10. Justeru Karpal Singh juga dikenali sebagai Harimau Jelutong. Pada tahun 2004, menerusi pilihanraya umum ke-11, beliau telah kembali semula ke parlimen apabila berjaya memenangi kerusi parlimen Bukit Gelugor dan berjaya mempertahankannya sehingga pilihanraya umum ke-13 yang lalu. Pada tahun 2005, gara-gara satu kemalangan, beliau telah lumpuh dari pinggang ke bawah. Walau bagaimanapun, mungkin kerana kekentalan semangatnya, kecacatan yang beliau alami sama sekali tidak menghalang beliau daripada terus berkecimpung dalam bidang guaman dan pada masa sama selaku ahli parlimen yang aktif di dewan rakyat.

Kematian Karpal Singh akan meninggalkan kesan kepada beberapa perkara. Paling utama ialah kematian mendiang telah meninggalkan kekosongan kerusi di parlimen Bukit Gelugor. Ini bermakna, dalam tempoh 60 hari satu pilihanraya kecil harus diadakan bagi mengisi kekosongan tersebut. Walaupun ia bakal merupakan pilihanraya kecil kelima selepas pilihanraya umum ke-13, ia juga merupakan pilihanraya kecil peringkat parlimen yang pertama selepas pilihanraya umum tersebut. Sebelum ini sudah berlaku 4 kali pilihanraya kecil dan kesemuanya hanya melibatkan pilihanraya kecil peringkat DUN sahaja.

Walaupun ketika ini masih awal untuk memperkatakan tentang pilihanraya kecil parlimen Bukit Gelugor, tetapi suka tidak suka, ingin saya nyatakan iaitu bukanlah sesuatu yang sukar bagi DAP untuk mempertahankan kerusi berkenaan. Pada masa yang sama, berkemungkinan bewsar BN tidak akan memberi laluan mudah kepada DAP untuk mempertahankan kerusi berkenaan. Ini bermakna bila Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan hari penamaan calon kelak, sekurang-kurangnya dua parti politik iaitu DAP dan BN akan menamakan calon masing-masing. DAP akan mempertahankan kerusi berkenaan, manakala BN pula akan mencuba untuk merampasnya.

Sepertimana yang saya katakan, DAP tidak akan menghadapi masalah besar untuk mempertahankan kerusi parlimen Bukit Gelugor. Legasi yang telah ditinggalkan oleh Karpal Singh masih panas, masih kukuh dan masih besar kesannya khususnya kepada pengundi di Bukit Gelugor. Perbezaan turun naik jumlah undi yang bakal diperolehi merupakan perkara lumrah dalam mana-mana pilihanraya kecil. Apa yang lebih penting ialah keputusan akhir yang akan memihak kepada calon yang menang. Jika kemenangan benar-benar memihak kepada DAP nanti, maka keputusan pilihanraya kecil berkenaan tidak akan membawa sebarang perubahan terutamanya posisi kerusi mana-mana parti politik di parlimen. Dengan erti kata lain, ia masih tidak mengubah status quo yang sudah sedia ada sejak pilihanraya umum ke-13 yang lalu.

Sementara itu, “kekosongan” juga akan turut dirasa di dewan rakyat. Sebelum ini mendiang Karpal Singh merupakan antara wakil rakyat yang lantang dalam membangkitkan pelbagai isu berkepentingan orang ramai. Profesion beliau selaku seorang peguam yang handal turut mewarnai kaedah perbahasan beliau ketika di dewan rakyat. Selepas ini kita tidak dapat lagi menyaksikan kelantangan beliau bersuara, kepintaran beliau berhujah serta ketegasan beliau dalam mempertahankan satu-satu isu di dewan rakyat. “Kekosongan” yang mendiang Karpal Singh tinggalkan bukan sahaja akan dirasai oleh para yang berhormat dalam dewan, bahkan ia turut sama akan dirasai oleh mereka yang berada di luar dewan yang sentiasa mengikuti perkembangan setiap kali berlangsungnya persidangan dewan rakyat.

Mendiang Karpal Singh juga merupakan seorang tokoh perundangan yang tersohor di negara kita yang digeruni kawan dan lawan. Kehebatan, keberanian serta ketegasan beliau sememangnya sukar untuk dicari ganti. Mungkin antara individu yang paling terasa kehilangan dengan kematian mendiang Karpal Singh ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini kerana mendiang Karpal Singh sedang menguruskan kes liwat yang sedang dihadapi oleh Datuk Seri Anwar ke mahkamah Persekutuan. Kalau saya tidak silap, mendiang ada memberitahu Datuk Seri Anwar, beliau hanya ada masa 10 hari untuk mengemukakan rayuan di mahkamah berkenaan. Dengan pemergian mendiang Karpal Singh, Datuk Seri Anwar terpaksa mencari peguam lain yang seboleh-bolehnya setara dengan kehebatan mendiang untuk mengendalikan kes beliau di mahkamah nanti.

Semasa hidupnya, Karpal Singh juga dikatakan seringkali memberikan perkhidmatan guaman percuma kepada golongan yang kurang berpendapatan. Justeru tidak hairanlah bilamana kematian Karpal Singh turut dirasai oleh golongan bawahan. Mendiang Karpal Singh juga dikatakan turut tidak mengambil bayaran dalam mengendalikan kes terkini yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semuanya ini hanya diketahui umum selepas kematian Karpal Singh.

Satu perkara yang menjadi kontroversi ialah penentangan kuat mendiang terhadap undang-undang hudud di negara ini. Beliau pernah berkata, langkah mayatnya dahulu jika hendak juga laksanakan undang-undang berkenaan. Sehingga ke akhir hayatnya mendiang tetap berpendirian bahawa negara ini adalah sebuah negara sekular. Bagi saya, penentangan kuat beliau terhadap undang-undang hudud bukanlah sesuatu yang ganjil. Tiada suatu apa pun yang pelik di sebalik penentangan kuat yang sering mendiang zahirkan terhadap pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini. Sebabnya satu sahaja, beliau bukan orang Islam.



Apa yang lebih pelik dan lebih ganjil ialah apabila penentangan pelaksanaan hukum Islam di negara ini datangnya daripada orang islam sendiri. Konon khabarnya, ada dalam kalangan pemimpin beragama Islam di negara ini yang pernah menulis surat kepada mantan menteri besar Kelantan yang berpendirian untuk menghalang pelaksanaan hukum Islam yang sedang diusahakan. Bahkan menurut sumber dari Youtube, ada pemimpin yang beragama Islam dengan tegas mengatakan bahawa hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini. Walaupun saya tidak dapat melihat wajahnya, tapi suara pemimpin berkenaan tetap saya kenal dengan pasti.

Justeru, penentangan mendiang Karpal Singh terhadap pelaksanaan hukum Islam bukanlah sesuatu yang pelik. Kita harus berasa dukacita kerana kegagalan memberikan kefahaman yang betul mengenai hukum Islam kepada golongan seperti mendiang Karpal Singh. Rasulullah pernah merasa dukacita apabila tidak dapat mengislamkan Abu Talib, bapa saudara baginda yang sangat dikasihinya. Sebaliknya ia menimbulkan kepelikan dan keganjilan yang amat sangat apabila penentangan terhadap pelaksanaan hukum Islam datangnya daripada orang Islam sendiri. Hakikatnya di negara kita, orang Islam sendirilah yang sebenarnya menjadi penghalang kepada pelaksanaan hukum Islam di negara ini.

Di satu sudut yang lain pula, mendiang Karpal Singh bernasib baik kerana beliau antara tokoh pembangkang yang mendapat penghormatan negeri dalam penyempurnaan jasadnya. Bermula hari Jumaat hingga ke saat penyempurnaan jasadnya Ahad lalu, bendera negeri Pulau Pinang dikibarkan separuh tiang. Penyempurnaan jasadnya pula dilaksanakan oleh satu jawatankuasa peringkat negeri yang diketuai oleh seorang ahli Exco Pulau Pinang. Hal sebegini amat jarang berlaku di negara kita khususnya terhadap tokoh pembangkang.

Mendiang Karpal Singh akan terus diingat sampai bila-bila. Sumbangannya kepada negara menerusi dewan rakyat akan tersimpan rapi dalam hanset parlimen. Perjalanan perjuangan beliau akan menjadi bahan kajian oleh generasi yang akan datang. Cadangan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menamakan semula Pesiaran IMG sebagai Pesiaran Karpal Singh merupakan antara penghormatan awal yang diberikan kepada mendiang selepas kematiannya.





No comments: