Wednesday, July 30, 2014

Ambillah Peringatan Daripada Rakan-rakan Yang Telah Kembali Ke Rahmatullah



Kematian merupakan sesuatu yang amat pasti. Tiada sesiapa pun yang boleh lari daripada kematian. Sama ada kita suka atau tidak, kita takut atau sebaliknya, orang besar atau orang kecil, orang kaya atau miskin, semuanya akan merasai mati. Kematian pula boleh datang pada bila-bila masa sahaja sebagaimana yang telah ditentukan oleh Yang Maha Kuasa. Demikianlah janji Allah kepada semua makhluk-Nya.

Menurut senarai yang sempat saya catatkan, sekurang-kurangnya 9 orang rakan senasib telah dijemput Ilahi di sepanjang tahun ini. Ia tidak termasuk mereka yang tidak termasuk dalam senarai yang sempat saya catatkan. Boleh dikatakan, kesemua mereka merupakan rakan-rakan yang pernah duduk dan baring bersama-sama kita. Mereka juga pernah ketawa bersama-sama kita. Semalam mereka bersama kita, hari ini kita tinggal tanpa mereka. Demikianlah putaran hidup yang telah difitrahkan Allah buat sekalian makluk-Nya.

Antara mereka yang sempat saya catatkan termasuklah:

1. Allahyarham Saudara Abu Bakar Harun.
2. Allahyarham Saudara Mohd Khori Sidi.
3. Allahyarham Saudara Abdul Aziz Syarif.
4. Allahyarham Saudara Abu Zarin Husein.
5. Allahyarham Saudara Hassan Abdul Kadir.
6. Allahyarham Saudari Rahimah Embong.
7. Allahyarham Saudara Wan Abdullah Wan Nik.
8. Allahyarham Saudari Shamsidar Abdullah.
9. Allahyarham Saudara Che Omar bin Ahmad.

Sesungguhnya masa mereka untuk meninggalkan dunia yang fana ini telah pun tiba. Manakala kita pula masih menanti giliran untuk menyusuli mereka pada masa dan hari yang sengaja dirahsiakan oleh Pencipta kita.

Apabila peristiwa kematian kerap berlaku di sekeliling kita, mungkin ada sesuatu peringatan daripada Allah kepada kita yang masih dipinjamkan nyawa. Mungkin Allah memberi peringatan supaya kita sentiasa banyakkan taubat. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Jangan tunggu sampai nyawa sudah sampai di ghargharah baru hendak melafazkan taubat, sedangkan tatkala itu pintu taubat telah pun ditutup rapat.

Sesungguhnya tidak rugi jika sentiasa ingat kepada kematian. Amat salah sekali bila kita berpandangan, kalau selaku ingat kepada mati kita akan mundur, lalai dan malas untuk memikul tanggungjawab semasa. Sebaliknya dengan ingat kepada kematian, sepatutnya kita lebih bersemangat untuk memikul dan melaksanakan apa juga tanggungjawab yang diamanahkan kerana semuanya akan dipersoalkan nanti di akhirat kelak.

Seperkara lagi, hal-hal yang berkaitan dengan iman dan aqidah jangan sekali-kali dipermainkan, dipandang remeh atau dipersendakan. Ia merupakan sesuatu yang amat serius dan bakal menjadi kayu ukur penting dalam menentukan kesudahan nasib kita di akhirat kelak. Sebagai contoh, kita tidak mengakui orang tertentu selaku saudara seislam kita. Rasulullah S.A.W. telah menegaskan bahawa setiap orang Islam itu bersaudara. Tatkala kita melangkah sahaja ke alam kubur, antara soalan yang bakal ditanya termasuklah siapakah saudara-saudara kamu. Bagaimana kita akan menjawab “orang Islam adalah saudara-saudara saya” sedangkan semasa hidup kita menolak untuk mengakui bahawa si fulan (rakan seislam kita) adalah saudara seagama kita. Siapalah kita di sisi Allah untuk bersikap sombong, takabur, bongkak, keras kepala atau berhati batu?

Oleh itu, saya suka mengingatkan kepada diri sendiri dan juga kepada sesiapa sahaja yang gemar dengan peringatan supaya gunakanlah masa yang masih ada untuk memperbanyakkan taubat kepada Allah. Kita pun tidak tahu berapa lama lagi masa yang masih lagi berbaki untuk kita. Hentikanlah semua kejahatan yang sedang kita lakukan (jika ada) dan mari kita sama-sama gantikan dengan berbuat baik pula.

Untuk rakan-rakan yang telah mendahului kita menyahut panggilan Ilahi, selamat jalan diucapkan. Kami juga akan menyusuli anda tidak lama lagi. Bagi kami yang masih hidup, doa kami untuk anda akan sentiasa kami rafakkan. Kami juga maklum dan insaf, suatu hari nanti kami juga akan mengharapkan doa daripada mereka yang hidup selepas kami dijemput Ilahi nanti.

Alfatihah ....


Salam Aidil Fitri 1435 Hijrah (Catatan Lewat)



Hari ini umat Islam sudah masuk hari ketiga menyambut perayaan aidil fitri 1435 Hijrah. Pejabat pun sudah mula dibuka semula. Kehidupan harian juga sudah semakin beransur seperti sedia kala. Mereka yang sebelum ini berbondong-bondong pulang ke desa dan kampung halaman, kini mula beransur kembali ke kota dan ke tempat kerja masing-masing.

Walau bagaimanapun, rasanya masih tidak terlewat lagi untuk saya mengambil kesempatan yang masih ada untuk menyampaikan ucapan salam aidil fitri 1435 Hijrah kepada sekalian muslimin, khususnya kepada mereka yang pernah mengunjungi blog ini. Mudah-mudahan hari raya kali ini akan menambah erat lagi hubungan silatul rahim antara sesama kita.

Kita juga sering berdoa agar Ramadhan yang baru sahaja meninggalkan kita bukan merupakan Ramadhan terakhir buat kita. Namun demikian adalah menjadi hak mutlak Allah sama ada untuk memperkenankan atau sebaliknya doa dan harapan kita itu. Sekiranya Ramadhan baru-baru ini merupakan yang terakhir buat kita, sama-samalah kita berdoa agar Allah menerima segala amalan dan taubat kita.

Selamat hari raya aidil fitri, maaf zahir batin.


Sunday, July 27, 2014

Che Omar Kembali Ke Rahmatullah



Daripada Allah kita datang, kepada Dia kita dikembalikan.

Dukacita dimaklumkan, Saudara Che Omar bin Ahmad telah kembali ke rahmatullah pada tengah hari tadi. Menurut khabar dari jauh, jenazahnya akan dikebumikan di Kelantan.

Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham.

Alfatihah ....

Saturday, July 26, 2014

Che Omar Kritikal



Sebagaimana yang telah saya kongsikan dalam posting sebelum ini, Saudara Che Omar telah terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah kereta dua hari yang lalu. Peristiwa malang berkenaan telah berlaku di Danau Kota.

Sewaktu berbuka puasa tadi, Kak Nor, isteri beliau, ada menghubungi saya. Menurut Kak Nor, keadaan Saudara Che Omar kritikal. Buat masa ini, Saudara Che Omar masih memerlukan bantuan alat sokongan pernafasan.

Selaku salah seorang rakan lama beliau, saya memohon kepada sesiapa sahaja yang mengenali Saudara Che Omar agar sama-samalah kita berdoa semoga beliau cepat sembuh. Walaupun mungkin doktor sudah berkata kondisi Saudara Che Omar berada dalam keadaan sekian dan sekian, tetapi kuasa Allah boleh mengubah kondisi yang sedia ada kepada yang sebaliknya. Selaku sahabat, kita jangan putus harapan. Hari ini kita tolong berdoa untuk salah seorang rakan kita, insha-Allah esok lusa orang lain yang akan berdoa untuk kita pula.

Kepada Kak Nor, saya berharap agar sentasa tabah dan bersabar. Kak Nor juga harus bersedia untuk menerima apa sahaja yang akan ditakdirkan Allah. Saya minta berbanyak maaf kerana tidak dapat menziarahi Kak Nor kerana ketika ini saya dan keluarga sudah pun berada di kampung halaman saya. Sayu juga hati saya bila di akhir perbualan kita tadi, Kak Nor sebak.

Sesiapa yang menaruh harapan kepada sesama insan, dia mungkin akan dikecewakan, tetapi sesiapa yang menaruh sepenuh harapan kepada Allah, dia pasti tidak akan kecewa.


Friday, July 25, 2014

Che Omar Kemalangan




Dukacita dimaklumkan, salah seorang rakan senasib kita, Saudara Che Omar bin Ahmad telah ditimpa kemalangan malam tadi. Menurut Kak Nor (isteri beliau), Saudara Che Omar telah dilanggar sebuah kenderaan di Danau Kota. Kemalangan tersebut berlaku sekitar jam 12.00 malam tadi. Menurut Kak Nor lagi, berlaku pendarahan kepada kepala Che Omar. Selain itu kaki kirinya juga turut patah. Tatkala berita ini ditulis, Saudara Che Omar sedang menjalani pembedahan di Hospital KL (HKL).

Sama-samalah kita berdoa semoga Saudara Che Omar akan segera sembuh. Mudah-mudahan juga pembedahan yang sedang berjalan akan berjaya, insha-Allah.


Sunday, July 6, 2014

Bendahari PERTIS Melepaskan jawatan



Berkuat kuasa semalam (5 Julai), bendahari pusat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Pn. Norlita Hanim Md Taha, telah melepaskan jawatannya. Menurut sumber yang boleh dipercayai, beliau telah pun menghantar surat perletakan jawatannya kepada PERTIS.



Dalam mesyuarat agung PERTIS kali ke-19 hujung Mei lalu, Norlita Hanim telah berjaya mempertahankan jawatannya selaku Setiausaha Agung PERTIS dalam pertandingan satu lawan satu. Namun demikian, dalam mesyuarat jawatankuasa PERTIS pada 8 Jun lalu, perubahan telah dibuat di mana Norlita telah ditukarkan kepada potfolio bendahari pusat. Manakala Pn. Rosnah Ahmad pula telah ditawarkan untuk memegang jawatan selaku Setiausaha Agung PERTIS.

Di sini, saya tidak berhasrat untuk memperincikan sebab-musabab perletakan jawatan oleh Norlita Hanim. Saya berkeyakinan sebab-sebab perletakan jawatannya mungkin ada dinyatakan dalam surat perletakan jawatan beliau. Sekiranya sebab perletakan jawatan oleh Norlita ada dinyatakan, maka saya berpendapat ia harus juga diberi perhatian oleh pihak yang berkenaan.

Khabarnya Saudara Muhammad Nasir telah pun bersetuju untuk menggantikan tempat Norlita Hanim selaku bendahari pusat PERTIS. Muhammad Nasir sebelum ini tidak bertanding untuk mempertahankan jawatannya selaku bendahari pusat dalam mesyuarat agung PERTIS kali ke-19 baru-baru ini. Saya juga turut optimis, Saudara Muhammad Nasir akan memegang jawatan bendahari pusat PERTIS bukan untuk tempoh setahun, tetapi beliau akan terus memegang jawatan berkenaan hingga tempoh sebenarnya berakhir.

Barisan pimpinan PERTIS yang ada harus faham, cabaran dan ujian pasti ada dalam berpersatuan. Apa yang lebih penting ialah keputusan yang dibuat harus bijak dan berhemah apabila dilanda sebarang masalah.

Apa yang penting ialah, seluruh barisan pimpinan PERTIS harus senada bila bersuara, sederap bila melangkah, sekata bila bercakap, sepadu bila bertindak, sepakat dalam keputusan, sejiwa dalam ujian dan sepasukan dalam perjuangan.