Thursday, August 14, 2014

Implikasi Krisis Menteri Besar Selangor



Dalam pilihanraya umum tahun 2008, gabungan Pakatan Rakyat (PR) telah mencipta sejarahnya yang tersendiri khususnya di Selangor. Menerusi pilihanraya berkenaan, PR telah berjaya memenangi 36 daripada 56 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Manakala Barisan Nasional yang selama ini cukup selesa sebagai parti pemerintah amat terkejut bilamana sekadar memperolehi 20 kerusi sahaja. Ini sekaligus menamatkan penguasaan BN selaku parti pemerintah di Selangor sejak selepas negara mencapai kemerdekaan.

Dalam pilihanraya umum tahun 2013 pula, penguasaan PR di DUN Selangor kian kukuh bilamana berjaya memperolehi 44 kerusi iaitu bertambah 8 kerusi lagi. Ini bermakna BN bukan sahaja gagal merampas kembali Selangor, bahkan saiz wakilnya di DUN Selangor semakin mengecil daripada 20 orang kepada 12 orang sahaja. Semua usaha UMNO dan BN untuk merampas semula Selangor sejak tahun 2008 hancur berkecai semula pada tahun 2013.

Walau bagaimanapun, berdasarkan sejarah parti tersebut, UMNO dan BN bukanlah mudah berputus asa. Cubaan selanjutnya pasti akan dilaksanakan untuk merealisasikan hasrat mereka merampas semula Selangor. Peluang yang sesuai sentiasa dinanti tanpa jemu. Perkara inilah yang perlu diinsafi oleh parti yang sedang menjadi kerajaan di Selangor. Kelemahan UMNO dan BN di Selangor pada masa ini ialah jumlah kerusi mereka yang kecil di DUN Selangor. Jadi buat masa ini parti berkenaan tidak cukup modal untuk main tarik tali dalam kemelut yang sedang berlaku.

Keberanian pengundi Selangor menukar kerajaan pada tahun 2008 dan seterusnya mengekalkan kerajaan negeri yang sedia ada pada tahun 2013 dengan jumlah kerusi yang semakin bertambah merupakan sesuatu yang unik dan kadangkala menakjubkan. Bagi mereka, kemajuan sesebuah negeri itu tidak semestinya hanya mampu dibangunkan oleh satu pihak sahaja. Pertambahan kerusi yang diperolehi PR dalam pilihanraya umum 2013 menunjukkan para pengundi di Selangor cukup selesa dengan pencapaian negeri berkenaan di bawah pentadbiran yang telah ditukar pada tahun 2008. Ia juga merupakan isyarat bahawa para pengundi dan rakyat Selangor menaruh harapan yang cukup tinggi kepada PR untuk membawa Selangor ke aras kemajuan yang lebih tinggi lagi. Dari sudut yang lain pula, rakyat Selangor turut berpuas hati dengan stail pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid selaku menteri besar. Setakat ini tiada desakan daripada golongan rakyat jelata agar Tan Sri Khalid berundur.

Kusangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari.

Harapan dan keyakinan rakyat Selangor yang disandarkan terhadap kerajaan yang sedia ada rupa-rupanya terhalang di pertengahan masa. Kerajaan negeri yang selama ini diharap akan menjadi model serta perintis kepada kemajuan dan pembangunan fizikal dan spiritual tiba-tiba reput dan retak di pertengahan musim. Masalah dalaman yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu salah sebuah parti gabungan yang membentuk Pakatan Rakyat (PR) akhirnya sedang mengheret PR di Selangor ke arah kehancuran.

Sudah tentulah krisis yang sedang melanda kerajaan Selangor mempunyai implikasi dan kesan khususnya ke atas negeri dan rakyat Selangor. Sekiranya krisis ini dibiarkan berpanjangan, ia pasti akan memberi kesan tidak baik ke atas ekonomi negeri. Iklim pelaburan akan menjadi tidak mesra kepada pelabur. Para pelabur akan lari ke tempat lain. Maklumlah siapa yang hendak tanggung rugi. Kesan jangka panjangnya ialah ia mungkin boleh meningkatkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Selangor sendiri.

Krisis yang sedang berlaku turut akan memberi modal politik kepada lawan-lawan PR. Mereka sudah mempunyai hujah iaitu pakatan yang distrukturkan oleh PR sememangnya rapuh, reput dan mudah hancur. Mereka juga boleh mendakwa corak pakatan seperti PR hanya untuk menang dalam pilihanraya semata-mata. Selepas itu setiap parti akan mula mencari haluan masing-masing bagi kepentingan survival politik masing-masing. Walaupun parti-parti dalam PR “boleh tidur sebantal, tetapi mimpi mereka tetap berbeza”.

Orang UMNO juga sudah boleh membuat perbandingan iaitu kaedah mereka menukar menteri besar di Terengganu lebih bagus, lebih bijaksana dan lebih berhemah. Justeru, bila timbul sahaja isu berbangkit mengenai pertukaran menteri besar di Terengganu, UMNO dapat menyelesaikannya dengan cepat dan mudah. Bagaimana cara ia diselesaikan tidak lagi menjadi persoalan. Janji ia sudah selesai. Walaupun timbul pelbagai dakwaan negatif mengenai cara penyelesaian yang diguna pakai, tetapi ia tidak ada bukti dan sekadar andaian semata-mata.

Berbeza dengan kaedah yang digunakan oleh PKR untuk menukar menteri besar di Selangor, ia penuh dengan mehnah dan masalah. Oleh kerana kaedah yang digunakan tidak betul, tidak bijaksana dan kurang teliti, maka ia sekarang sudah menjadi barah pula kepada survival kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Kedua-dua peristiwa penukaran menteri besar di Terengganu dan Selangor juga merupakan terjemahan kepada kebijaksanaan bersiasah di antara Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Percaturan yang digunakan oleh kedua-dua pemimpin nombor wahid dalam parti politik masing-masing setakat ini menunjukkan bahawa Datuk Seri Najib lebih bijaksana dan lebih pintar dalam mengatur strategi ketika menguruskan sesuatu isu rumit. Justeru, penukaran menteri besar di terengganu dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat. Sebaliknya penukaran menteri besar di Selangor pula berliku, berpanjangan dan kalau silap langkah boleh memusnahkan kerajaan negeri yang sedia ada.

Seperkara yang kita harus faham ialah para pengundi di Selangor bukan tergolong dalam kalangan penyokong tegar mana-mana parti politik. Pada pemerhatian saya, sejak tahun 2008, kriteria calon ADUN yang dipilih tidak hanya bergantung kepada parti mana yang mereka wakili. Orang Selangor juga nampaknya tidak terikat dengan sentimen satu media semata-mata. Ini terbukti apabila majoriti pengundi di Selangor tetap memberi kepercayaan kepada PR dalam pilihanraya 2013 walaupun calon-calon PR ketika itu diasak teruk oleh media arus perdana negara.

Justeru, krisis yang melibatkan jawatan menteri besar yang sedang berlaku sedikit sebanyak akan menghancurkan kepercayaan rakyat Selangor yang selama ini begitu tinggi disandarkan terhadap kerajaan PR. Kemelut yang sedang berlaku pasti memberi kesan kepada kepercayaan dan keyakinan para pengundi terhadap PR. Justeru, tidak menghairankan jika sekiranya diadakan pilihanraya masa ini, ada kemungkinan sokongan terhadap PR akan jatuh merudum. Dengan erti kata lain, kerajaan yang dibentuk oleh PR akan musnah gara-gara salah sendiri.

Pada masa yang sama, ia akan memberi peluang terbaik kepada UMNO dan BN untuk merampas kembali Selangor yang telah terlepas daripada genggaman mereka sejak tahun 2008. Semuanya ini tidak mustahil boleh berlaku jika pilihanraya negeri diadakan dalam masa terdekat. Hanya menerusi pilihanraya sahaja UMNO dan BN mempunyai peluang terbaik untuk memerintah semula Selangor. Hal ini tidak mustahil untuk berlaku kerana sebagaimana yang saya katakan para pengundi di Selangor bukanlah pengundi tegar sesebuah parti siasah. Jika pada tahun 2008 mereka telah menukar kerajaan daripada UMNO/BN kepada PR, maka tidak mustahil bagi pengundi Selangor untuk menukar semula kerajaan negeri kepada UMNO/BN daripada PR jika pilihanraya negeri diadakan dalam masa terdekat.

Krisis yang sedang berlaku juga turut mencalarkan kemampuan khususnya PKR untuk memacu PR menguasai Putrajaya. Bagaimana untuk menawan Putrajaya sedangkan krisis dalaman parti pun gagal ditangani dengan penuh berhemah! Orang akan menganggap usaha untuk menawan Putrajaya hanya sekadar retorik tokoh yang petah bercakap semata-mata. Ini sekaligus akan mengembalikan ingatan kita kepada usaha yang begitu diwar-warkan untuk menawan Putrajaya pada 16 September 2008 yang lalu. Perkhabaran tersebut turut meremangkan bulu roma sesetengah pemimpin UMNO/BN. Walau bagaimanapun, 16 September 2008 telah berlalu dengan tenang dan aman. Putrajaya tetap kukuh dalam genggaman UMNO/BN hingga ke hari ini.

Sekiranya Tan Sri Abdul Khalid dapat mengekalkan kedudukannya selaku menteri besar Selangor dengan sokongan ADUN PAS dan UMNO, kedudukan beliau amat lemah. UMNO tidak akan memberikan sokongan secara percuma. Mungkin mereka tidak meminta jawatan Exco, tetapi ada kemungkinan mereka akan membuat tuntutan lain yang lebih tinggi harganya daripada jawatan Exco. Tan Sri Abdul Khalid pula harus akur dengan tuntutan sedemikian (jika ada) bagi meneruskan survival kedudukannya selaku menteri besar.

Pada masa sama, bukan semua tuntutan yang mungkin akan dibuat oleh UMNO akan disetujui oleh ADUN PAS. Jika situasi ini berlaku, Tan Sri Abdul Khalid akan berada dalam keadaan “ditelan mati bapak, diluah mati emak”. Akhirnya jika tiada penyelesaian, maka pilihanraya negeri merupakan langkah yang tidak dapat dielakkan. Di peringkat inilah UMNO/BN akan berusaha keras untuk merampas kembali Selangor daripada PR. Mereka sudah pun ada hujah dan bukti bagi menonjolkan bahawa UMNO/BN adalah yang terbaik untuk Selangor.

Sekiranya PAS memberi sokongan kepada Tan Sri Abdul Khalid di Selangor, PKR tidak berupaya untuk mengambil tindakan balas dengan menarik sokongan kepada kerajaan PAS di Kelantan. Ini kerana tanpa sokongan PKR, kerajaan PAS di Kelantan masih berupaya untuk mengekalkan survivalnya di negeri tersebut. Inilah kelemahan yang dimiliki oleh PKR. Mereka tidak cukup modal untuk main tarik tali politik di peringkat negeri.

Namun begitu, apa yang lebih serius lagi ialah kemelut menteri besar di Selangor yang bermula sebagai isu dalaman dalam PKR, kini sudah berupaya untuk menggugat perpaduan dan kesatuan dalam gabungan PR. Sekiranya PAS memberi sokongan terhadap Tan Sri Abdul Khalid, ada kemungkinan parti berkenaan akan dikeluarkan daripada Pakatan Rakyat. Sekiranya PAS tidak lagi bersama-sama dalam PR, maka parti politik yang mula-mula akan jatuh tersungkur ialah PKR sendiri. Selepas ini tiada lagi negeri yang diperintah oleh PKR. Usaha untuk mara dan menawan Putrajaya yang diterajui oleh PKR sudah boleh dilupakan untuk selama-lamanya. Datuk Seri Anwar Ibrahim pula sudah boleh mencari tarikh yang sesuai untuk bersara sepenuhnya daripada politik.

Implikasi tersirat di sebalik kemelut yang berlaku ialah kedudukan orang Islam dan Melayu dalam siasah negara sendiri kian lemah. Mungkin ada pihak lain yang sedang tersenyum lebar dengan apa yang sedang berlaku. Orang Melayu terlalu banyak membuang masa untuk berpolitik. Orang Melayu juga didapati terlalu dangkal untuk mengambil iktibar daripada sejarah silam bangsanya sendiri. Secara evolusinya, tragedi orang Melayu merempat di bumi sendiri mungkin akan berulang semula. Kasihan anak cucu kita nanti. Gara-gara kesilapan kali kedua nenek moyangnya, mereka pula yang menjadi asing di tanah air sendiri.

Saya bukan ahli politik, sekadar memerhati sahaja dari jauh.

No comments: