Pada 3 Oktober (Sabtu), saya dan isteri telah berkesempatan untuk memenuhi undangan En. Jamil Untuk menghadiri majlis akikah 2 orang cucunya. Majlis berkenaan telah diadakan di rumah En. Jamil di Seremban, Negeri Sembilan. Sekitar 3.15 petang, kami berdua tiba di lokasi majlis. Kebetulan saya dan isteri sudah agak lama tidak berjumpa dengan En. Jamil dan Kak Yati (isterinya). Maka itulah apabila mereka terlihat sahaja kehadiran kami, mereka terus mendapatkan kami sambil berpelukan. Demikianlah akrabnya antara keluarga kami.
(saya dan en Jamil)
En. Jamil merupakan bekas kakitangan Universiti Malaya (UM). Beliau pernah bertugas di perpustakaan utama universiti berkenaan. Saya mula mengenali En. Jamil sejak tahun 1988 lagi, iaitu tahun pertama saya menjejakkan kaki ke menara gading. Sejak seawal perkenalan kami lagi, hubungan kami sudah mesra. Tidak keterlaluan kalau saya katakan, oleh kerana sifat mudah mesra dan sikap mudah menolong En. Jamil, maka beliau turut mesra dengan hampir semua pelajar cacat penglihatan ketika itu.
Ada ketikanya kami akan makan bersama-sama dan jika ada kesempatan kami akan ke masjid untuk solat jumaat juga bersama-sama. En. Jamil merupakan antara kakitangan yang banyak membantu saya untuk mendapatkan buku itu dan buku ini. Maklumlah semua bahan bacaan ketika di menara gading tidak tersedia dalam bentuk Braille.
(En Jamil dan Kak Yati sibuk melayan tetamu)
Hubungan antara keluarga kami semakin dipereratkan bilamana salah seorang anak En. Jamil dan juga salah seorang anak saudaranya pernah menjadi anak murid kepada isteri saya sewaktu kedua-duanya di bangku sekolah menengah. Justeru, bila ada undangan daripada En. Jamil dan keluarganya, saya sebolehnya akan memenuhi undangan berkenaan. Seingat saya, ada sekali saya gagal memenuhi undangan beliau sekitar 2 atau 3 tahun lalu. Ia terhalang atas urusan lain yang sememangnya tidak dapat dielakkan.
(Antara tetamu yang hadir)
Kini En. Jamil dan Kak Yati sudah pun bersara daripada kerjaya masing-masing. Selain sudah memiliki rumah yang agak besar dan selesa di Seremban, mereka berdua sudah pun dikurniakan dengan 4 orang cucu. Sudah tentulah kehidupan mereka berdua bertambah ceria.
Kepada En. Jamil dan Kak Yati, berbanyak-banyak terima kasih atas kesudian mengundang saya dan isteri ke majlis kali ini. Kami berdoa semoga seluruh keluarga En. Jamil akan bertambah berkat di dunia dan akhirat. Semoga hubungan kita akan terus akrab sampai bila-bila, insha-Allah.
Setelah sekitar satu jam, saya dan isteri pun meminta diri. Kalau hendak diikutkan, masa sehari pun tidak puas untuk bertemu dan bertukar-tukar cerita. Jika ada masa dan kesempatan lain, kita akan berjumpa lagi, insha-Allah.
Selepas meninggalkan rumah En. Jamil, saya dan isteri pun memutuskan untuk mengunjungi rumah En. Anuar, bekas pensyarah saya ketika saya menuntut di Maktab Perguruan Raja Melewar (MPRM). Kebetulan pula, lokasi rumah En. Anuar memang sepelaung dua sahaja jaraknya dengan rumah En. Jamil. Bila saya menelefon En. Anuar, kebetulan beliau berada di luar tetapi tidak jauh dari rumahnya. Beliau terus “mengarahkan” saya supaya tunggu dan jangan sekali-kali balik dahulu. Saya akur sahaja.
(En Anuar dan isterinya)
Seperti biasa, bila kami bertemu, maka topik perbualan akan berkisar kepada dua tajuk utama, iaitu bidang pendidikan dan juga bidang sejarah. En. Anuar merupakan pensyarah saya balam ilmu sejarah ketika di MPRM. Memang banyak ilmunya yang saya warisi dan saya amalkan dalam kerjaya saya hingga kini. Sambil bercerita kami dijamu dengan hidangan petang yang menyelerakan. Mungkin ini satu lagi sebab mengapa sukar untuk berhenti bercerita.
Setelah sekitar sejam setengah, lebih kurang jam 6.45 petang, saya dan isteri terpaksa meminta diri. Mudah-mudahan ini bukan pertemuan terakhir kami. Banyak lagi ilmu En. Anuar yang perlu saya gali yang tidak sempat saya ambil ketika menuntut di MPRM dahulu.
Kepada En. Anuar dan isterinya, berbanyak-banyak terima kasih saya ucapkan kerana setiap kali saya dan isteri berkunjung ke rumahnya, saya pasti akan dilayan dengan cukup istimewa sekali. Sampaikan kereta saya pun beliau suruh letak di dalam perkarangan rumahnya. Semoga budi baiknya sentiasa akan mendapat balasan yang terbaik daripada Allah. Sesungguhnya saya bukan sahaja terhutang budi dengan beliau, saya juga turut terhutang ilmu dengannya.