Monday, October 19, 2015

Persidangan Dewan Rakyat




Hari ini (19 Oktober) merupakan hari pertama persidangan Dewan Rakyat kali ke-13, untuk penggal ke-3 dan mesyuarat ke-3. Persidangan kali ini mendapat perhatian banyak pihak lantaran senario politik negara yang banyak berubah dan tidak menentu sejak separuh kedua tahun ini. Oleh kerana saya tidak bertugas hari ini lantaran jerebu yang melanda negara, maka adalah sedikit kesempatan untuk saya mengikuti persidangan Dewan Rakyat menerusi internet.

Antara perubahan ketara yang berlaku dalam persidangan kali ini ialah kedudukan kerusi ahli-ahli dewan sama ada di pihak kerajaan mahupun di pihak pembangkang. Di pihak kerajaan, oleh kerana perubahan yang berlaku pada senarai kabinet hujung Julai lalu, maka Tan Sri Muhyiddin Yasin tidak lagi duduk di sebelah Datuk Seri Najib Tun Razak. Tempatnya sudah digantikan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Begitu juga kedudukan beberapa orang menteri dan bekas menteri juga turut berubah ekoran daripada perubahan kedudukan mereka dalam kabinet hari ini.

Manakala di pihak pembangkang pula, parti yang paling besar dirundung malang ialah PAS kerana ia kehilangan 7 kerusi yang dimiliki atas tiket parti berkenaan sebelum ini. Jika sebelum ini PAS mempunyai 21 kerusi, dalam persidangan kali ini ia hanya mempunyai 14 kerusi sahaja. 6 daripada kerusi yang hilang kini sudah bertukar cap/jenama. Kini keenam-enam kerusi berkenaan sudah bernaung di bawah tiket Parti Amanah Negara. Manakala satu lagi kerusi, iaitu Tumpat yang sebelum ini juga merupakan milik PAS kini sudah bernaung di bawah PKR pula.

Manakala parti siasah yang paling beruntung ialah Parti Amanah Negara. Baru sahaja lahir (didaftarkan) sudah pun beroleh 6 kerusi di Dewan Rakyat. Undang-undang negara yang berkaitan masih menghalalkan perbuatan lompat parti. Oleh itu, kewujudan wakil Parti Amanah Negara di Dewan Rakyat secara tiba-tiba adalah sesuatu yang halal di sisi undang-undang. Manakala undang-undang yang digunapakai buat masa ini melangkaui perjanjian bai’ah atau apa-apa jua perjanjian yang dibuat di peringkat dalaman sesebuah parti siasah. Justeru kehadiran mereka tidak perlu dipertikaikan oleh sesiapa pun.

Sebilangan penganilisis politik pula menjangkakan bahawa persidangan kali ini akan diwarnai oleh pelbagai isu hangat. Antara perkara yang bakal mendapat perhatian semua pihak ialah ura-ura pembangkang untuk mengemukakan undi tidak percaya ke atas perdana menteri. Kita harus faham, ia bukan undi tidak percaya kepada kerajaan yang sedia ada, tetapi ia lebih kepada undi tidak percaya kepada Datuk Seri Najib selaku perdana menteri. Walau bagaimanapun, saya menjangkakan jika usul sedemikian dikemukakan, usul berkenaan kemungkinan akan turut disokong oleh sebilangan kecil ahli dewan sebelah kerajaan, manakala ada kemungkinan tidak semua ahli dewan sebelah pembangkang akan menyokongnya.

Selain itu, isu-isu lain yang bakal mendapat perhatian daripada ahli-ahli dewan termasuklah isu 1MDB, isu derma politik 2,6 bilion ringgit, ketidakstabilan ekonomi dan beberapa isu lain. Secara peribadi, saya menjangkakan kaedah penyelesaian kepada semua isu berkenaan ialah secara blok belah bahagi, iaitu berdasarkan daripada parti mana seseorang ahli dewan berkenaan. Jika seseorang ahli itu daripada parti pemerintah, mereka akan akur sahaja dengan kehendak pemerintah, manakala jika seseorang ahli dewan itu daripada pembangkang, mereka akan bangkang sahaja apa yang dibuat oleh parti pemerintah. Kebiasaannya begitulah. Hasilnya, pendirian dan keputusan yang bakal dicapai nanti mungkin tidak mencerminkan keperluan penyelesaian sebenar sesuatu isu yang dibangkitkan. Inilah trend ahli politik di negara kita buat masa ini. Selagi trend separuh matang ini tidak diubah, maka selagi itulah penyelesaian setiap isu juga berada di tahap separuh matang juga.

Kepada semua ahli parlimen, selamat bersidang. Bawalah suara rakyat yang sebenar, jangan sekadar bawa suara dari kerongkong sendiri sahaja.


No comments: