Tuesday, January 24, 2017

Apa Lagi Yang Bakal Terlepas Dari Genggaman Bangsa Melayu?




Ada orang yang tidak gemar dengan sejarah bukan kerana ia cerita semalam, tetapi kerana ia adalah kisah benar. Apa yang benar itu adalah sejarah. Apa yang paslu itu bukan sejarah. Sejarah itu adalah fakta dan bukannya auta. Hubungan antara sejarah dengan apa yang benar tak ubah bagai isi dengan kuku. Tanpa kebenaran ia tidak akan bersifat sejarah dan tanpa sejarah kebenaran tidak akan terserlah. Demikianlah.

Kalau diteliti sejarah rantau Asia Tenggara, sejak abad ke-15 bangsa Melayu merupakan bangsa yang paling banyak penjajah yang menjajahnya. Ia bermula dengan penjajahan orang Portugis. Kemudian diikuti pula oleh penjajahan Belanda. Seterusnya dijajah pula oleh kuasa British. Bangsa Melayu juga pernah dijajah oleh penjajah Jepun. Bangsa Melayu di sebelah utara pula turut pernah dijajah oleh orang Siam.

Dalam tempoh yang sama, orang Filipina pula hanya pernah dijajah oleh kuasa Sepanyol, Amerika dan Jepun. Indonesia pula pernah dijajah oleh Belanda dan Jepun. Burma pula hanya pernah dijajah oleh kuasa British dan Jepun. Manakala kawasan IndoChina pula hanya pernah dijajah oleh Perancis dan Jepun.

Antara kesan besar ke atas bangsa Melayu daripada dijajah oleh pelbagai kuasa penjajah ialah bangsa Melayu telah kehilangan banyak wilayah yang pernah menjadi miliknya suatu masa dahulu. Setol yang pernah menjadi sebahagian daripada negeri Kedah suatu masa dahulu, kini sebahagian daripada negara Thailand. Kepulauan Riau yang merupakan sebahagian daripada kerajaan Melayu Johor-Riau, kini menjadi sebahagian daripada negara Indonesia. Wilayah Temasek yang sememangnya merupakan bahagian daripada Tanah Melayu, kini bukan sahaja merupakan sebuah negara yang mempunyai kedaulatannya sendiri, bahkan ada ketikanya wilayah kecil itu berupaya memberi saingan hebat kepada Tanah Melayu yang pernah menjadi wilayah induknya. Lebih malang lagi, sekitar 10 tahun lalu, kedaulatan Temasek turut menjalar hingga ke Pulau Batu Putih. Maka semakin mengecillah tanah milik bangsa Melayu yang akan dipusakakan kepada anak cucu kita di kemudian hari.

Persoalannya, mengapa bangsa Melayu dijajah oleh paling banyak kuasa penjajah jika dibandingkan dengan bangsa lain di sekeliling kita?

Antara sebabnya ialah kerana orang Melayu mudah percaya kepada orang asing. Ini dinyatakan sendiri oleh Frank Swettenham dalam bukunya, Perihal Orang Melayu. Orang Melayu mudah merasa kagum dan teruja bila melihat orang asing boleh bercakap Melayu, boleh makan dengan tangan dan berkebolehan pula membaca dan menulis tulisan jawi. Adakah sikap sebegini masih diwarisi oleh orang Melayu pada hari ini?

Selain itu, orang Melayu bila berselisih sesama mereka, adakalanya mereka bukan berusaha untuk berdamai, tetapi lebih menjurus kepada berkerat rotan dan berpatah arang. Akhirnya yang menang menjadi arang dan yang kalah akan menjadi abu. Fakta sejarah menjelaskan iaitu apabila para pembesar Melayu berselisih antara mereka, mereka akan menjadikan orang asing sebagai pendamai. Ada juga yang terus mengundang orang asing untuk membantu pihak mereka. Mereka mungkin beroleh kuasa, tetapi secara evolusinya orang Melayu semakin kehilangan kuasa. Akibatnya, seluruh tanah air yang sekangkang kera ini pun tergadai kepada orang asing.

Sewaktu kita di awal kemerdekaan dahulu, orang Melayu bersedia untuk bekerjasama dengan orang bukan Melayu khususnya dalam hal politik adalah dengan tujuan untuk berkongsi kuasa. Walhal pada ketika itu, orang Melayu menerusi parti politik mereka, UMNO, boleh memerintah bersendirian tanpa berkongsi kuasa dengan orang bukan Melayu. Ketika itu perpaduan orang Melayu cukup kuat. UMNO tanpa syak, zan dan waham bersedia menyerahkan beberapa kerusi parlimen yang majoriti pengundinya orang Melayu kepada parti bukan Melayu atas nama Perikatan dan semata-mata untuk berkongsi kuasa atas semangat satu tanah air. Manakala parti bukan Melayu yang berkenaan pula tanpa segan dan silu terus menerima pengorbanan UMNO tersebut dengan harapan masa depan yang begitu menggunung.

Hari ini pula, Keadaannya sudah jauh berbeza. Parti-parti politik Melayu bekerjasama dengan pihak bukan Melayu lebih kepada untuk mengukuhkan kuasa politik parti tertentu dan bukan lagi sekadar untuk berkongsi kuasa. Gara-gara perpecahan yang semakin tidak terkawal, hari ini orang Melayu tidak mampu lagi untuk memerintah tanah air mereka secara bersendirian walaupun mereka masih lagi golongan majoriti. Sekiranya fenomena sebegini berterusan, maka tidak lama lagi nama Tanah Melayu hanya akan tinggal sejarah sahaja. Apa yang sedang menimpa ke atas orang Melayu dan pusaka bangsa Melayu di seberang tambak tidak pernah dijadikan iktibar oleh orang Melayu di sebelah sini. Saya amat khuatir apa yang diungkapkan oleh George Santayana iaitu “Those who cannot remember the past are condemned to repeat it” akan sekali lagi menimpa orang Melayu dalam masa terdekat.

Pada awal kurun ke-19, timbul perselisihan antara Tengku Hussein dengan saudaranya yang lebih muda iaitu Tengku Abdul Rahman dalam kesultanan Johor-Riau dalam soal takhta. Ekoran daripada perselisihan berkenaan, maka satu pihak telah memohon bantuan Inggeris untuk campur tangan. Secara evolusinya peristiwa berkenaan telah menjadi punca kepada kemunculan Singapura sebagai sebuah negara yang mempunyai kedaulatannya sendiri pada hari ini. Gara-gara terlalu berpolitik dan hanya sekadar untuk mengekalkan takhta dan kuasa peribadi masing-masing, penguasa dan pembesar Melayu ketika itu gagal melihat kelebihan dan masa depan Singapura. Menerusi Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, kedua-dua kuasa imperialis Barat tersebut telah memecah-belahkan empayar Johor-Riau mengikut sesuka hati mereka tanpa sebarang tentangan pun. Dek kerana kelemahan yang begitu ketara, penguasa dan pembesar Melayu ketika itu hanya mampu melopong melihat tanah leluhur bangsa mereka difaraidkan oleh kuasa asing sewenang-wenangnya. Maknanya, orang Melayu sudah lama berputih mata daripada berputih tulang.

Kesempatan keemasan berkenaan telah berjaya dieksploitasi dengan cukup baik oleh Stamford Raffles. Dengan pandangan “basirah” masa depan Singapura yang begitu tajam dan sangat ke hadapan, Raffles telah berjaya memastikan Singapura kekal berada dalam kekuasaan Inggeris. Bukan itu sahaja, para penggantinya yang berkeupayaan melihat potensi masa depan Singapura yang cukup gemilang, telah berupaya membangunkan pulau tersebut sebagai sebuah kuasa ekonomi yang tiada tolok bandingnya hingga kini. Walhal Singapura tiada langsung hasil buminya. Air minumnya pun dibekalkan oleh orang lain. Hari ini orang Melayu hanya mampu melopong melihat Singapura jauh ke hadapan meninggalkan bekas tanah induknya hampir dalam semua bidang. Lebih perit lagi, orang Melayu hari ini masih gagal belajar daripada sejarah berkenaan untuk dijadikan iktibar dan diteladani oleh mereka.

Demikianlah antara liku dan lekuk sejarah yang pernah dilalui oleh orang Melayu. Banyak lagi kisah sejarah orang Melayu yang seperti ini yang masih termaktub rapi dalam kitab tawarikhnya. Ia sekadar tersimpan dalam kitab sejarahnya sahaja. Orang Melayu hari ini masih tidak berupaya untuk menjadikan sejarahnya sebagai pedoman masa depan buat anak cucunya. Apa yang sedang berlaku ke atas orang Melayu hari ini seakan mereka masih belum serik lagi dengan malapetaka sejarah yang berkali-kali pernah menimpa mereka pada masa lalu. Seolah-olahnya orang Melayu hari ini masih mengundang malapetaka lalu agar ditimpakan ke atas mereka untuk berkali-kali lagi pada masa akan datang?

Pada awal kemerdekaan dahulu, terdapat 2 sahaja parti politik yang berasaskan orang Melayu. Hari ini, selepas hampir 60 tahun kita merdeka, jumlah paarti politik yang secara asasnya diterajui oleh orang Melayu bukannya satu, bukannya dua atau tiga, tetapi sudah menjadi lima. Ini bermakna, secara politiknya, orang melayu kian menuju ke arah perpecahan yang amat kritikal. Ia sama sekali tiada kena-mengena dengan ungkapan “perselisihan membawa rahmat’”. Sejarah lalu menjelaskan bahawa setiap kali orang Melayu berselisih dan berpecah, seinci demi seinci tanah pusaka mereka terlepas ke tangan orang lain. Saya amat bimbang dan khuatir, perpecahan yang sedang melanda orang Melayu hari ini juga akan mengundang implikasi yang serupa yang pernah mereka alami pada masa lalu.

(Klik di sini untuk mendengar lagu Anak Kecil Main Api)

Lagu ini sering dialunkan terutamanya oleh para ahli UMNO. Seperti yang telah saya nyatakan, di awal penubuhannya UMNO sememangnya parti keramat untuk orang Melayu. Semua pertubuhan Melayu pernah bersatu di bawah payung UMNO. Hari ini, sebilangan ahli UMNO hanya pandai menyanyikan lagu tersebut sahaja. Apa yang sedang menimpa UMNO sekarang seolah-olahnya roh lagu berkenaan sama sekali tidak meresap ke tubuh ahli dan parti politik berkenaan. Maka itulah UMNO hari ini sedang dilanda pelbagai masalah dan keadaannya tak ubah bagai bahtera yang sedang senget. Betapa meruncingnya perpecahan dalam UMNO dimanifestasikan oleh salah seorang mantan presidennya yang bukan sahaja telah keluar daripada parti berkenaan, malahan sekarang sedang berusaha untuk menumbangkan parti politik yang pernah dipimpinnya suatu ketika dahulu.

Hakikatnya, untuk pecah-belahkan orang Melayu bukanlah susah sangat. Sebut sahaja “Kita akan laksanakan undang-undang hudud di negara ini”, maka akan bersatupadulah parti-parti politik bukan Melayu, dan akan berpecah-belahlah parti-parti politik orang Melayu!

Kita harus sentiasa beringat, orang asing sudah lama mengkaji perihal bangsa Melayu sama ada dari sudat sosialogi mahupun sudut antropologi. Mereka sudah sangat kenal bangsa Melayu dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, luar dan dalam. Bila-bila masa sahaja mereka mampu meniarapkan orang Melayu sehingga tak terdongak lagi tanpa menggunakan kekuatan militeri.

Sesungguhnya nasib anak cucu kita pada masa depan sedang ditentukan oleh kita selaku nenek moyang mereka pada hari ini.


Sunday, January 22, 2017

Polpero Steak House




Awal malam tadi )21 Januari), saya sekeluarga serta salah seorang anak buah kami telah menjamu selera (makan malam) di sebuah restoran iaitu Polpero Steak House. Letaknya di Seksyen 13, Shah Alam.




Pelbagai jenis makanan barat ada di sini. Apa yang menariknya, hidangan di restoran ini enak dan menyelerakan. Selain itu, makanan yang dipesan cepat sampai walaupun ia sedang dipenuhi oleh pelanggan yang ramai. Bagi saya, harganya cukup berpatutan. Kami berempat menjamu selera memang kenyang tetapi harganya masih di bawah RM100.00.


(Antara hidangan yang dipesan)


Jika ada kesempatan di lain masa, kami akan singgah lagi di restoran ini.


Saturday, January 14, 2017

Cikgu Yong Meninggal Dunia





Dengan rasa dukacita dimaklumkan bahawa Cikgu Yong Chwan Fwu telah meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak sekitar jam 9.40 malam sebentar tadi. Berita sedih ini dikongsikan dengan saya oleh beberapa rakan menerusi SMS.




Saya mengucapkan takziah yang sedalam-dalamnya kepada seluruh ahli keluarga mendiang Cikgu Yong. Saya sendiri merasai kehilangan dengan berita ini. Saya berharap seluruh ahli keluarganya akan tabah di saat-saat yang cukup sukar ini.

Sekiranya masa mengizinkan, saya akan berkongsi catatan ringkas kenangan bersama-sama Cikgu Yong. Kami berdua merupakan penuntut cacat penglihatan pertama di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban. Bukan setakat itu, kami juga merupakan rakan sebilik ketika menuntut di MPRM.

Sekali lagi saya ucapkan takziah kepada seluruh keluarga mendiang Cikgu Yong.


Monday, January 9, 2017

Isa Taib Kembali Ke Rahmatullah




Tengah hari tadi, saya menerima perkhabaran, Saudara Isa bin Taib telah kembali ke rahmatullah. Menurut berita yang saya terima, Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Sebelum meninggal dunia, Saudara Isa merupakan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan KL/Selangor.

Kepada keluarga Allahyarham, takziah diucapkan. Semoga semuanya sabar dan tabah dengan ketentuan Ihali ini.

Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allahyarham Isa Taib akan dihimpunkan bersama-sama dengan para solihin, mendapat keampunan Allah serta dicucuri rahmat sepanjang masa.

Alfatihah ....


Tuesday, January 3, 2017

Selamat Kembali Ke Sekolah 2017




Hari ini, 3 Januari, merupakan hari pertama sesi persekolahan bagi tahun Masihi 2017 bagi kebanyakan negeri di negara kita. Kepada murid yang baru melangkah ke alam persekolahan terutama di taman-taman asuhan kanak-kanak, diucapkan selamat menempuh alam baru dalam hidup kalian. Kepada yang baru menempuh situasi kehidupan di asrama, selamat menempuh kehidupan yang baru juga. Sesungguhnya kehidupan di asrama memang jauh berbeza daripada hidup dalam lingkungan keluarga sendiri. Saya sendiri secara peribadi mempunyai pengalaman selama sekitar 16 tahun hidup di asrama, iaitu dari peringkat sekolah rendah hinggalah sewaktu menuntut di menara gading. Kepada murid yang mula menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah juga diucapkan selamat menempuh situasi baru dalam dunia pendidikan. Alam sekolah menengah merupakan gerbang kepada zaman remaja anda.


(Situasi sesak jalanraya ketika saya menghantar anak tunggal kami ke sekolah barunya)


Kepada semua murid serta seluruh warga pendidik, marilah kita jadikan dunia pendidikan serta profesioan kita sebagai landasan terbaik untuk kita kembangkan minat, bakat serta budaya membaca dalam kalangan sesama kita.

Akhirnya, saya ingin berkongsi kata-kata ini untuk renungan bersama,
Saya tidak takut kepada orang Islam kerana mereka bukanlah masyarakat yang suka membaca” (Moshe Dayan, bekas menteri pertahanan Israel)


Monday, January 2, 2017

Selamat Tahun Baru Masihi 2017 (Catatan Lewat)




Hari ini merupakan hari kedua kita dalam tahun Masihi 2017. Bagi warga pendidik khususnya di sekitar Lembah Kelang, suasana sebenar tahun baru Masihi ini masih belum benar-benar dirasai kerana sesi persekolahan hanya akan bermula pada 3 Januari (Selasa). Namun demikian, di sesetengah tempat, kehangatan suasana tahun baru sudah pun mula dirasai sejak hari terakhir tahun 2016 lagi. Ia ditembah semarak lagi dengan pelbagai acara di ambang tahun baru Masihi 2017.

Di sesetengah kawasan pantai timur semenanjung pula, tahun baru 2017 disambut dalam suasana limpahan air banjir. Walaupun ia merupakan suasana biasa di sebelah sini terutamanya pada bulan Disember, namun demikian, kehadiran tahun baru 2017 pada musim tengkujuh sedikit sebanyak telah menjejaskan kehidupan orang ramai. Beberapa buah sekolah khasnya di Kelantan tidak dapat memulakan sesi persekolahan 2017 dengan sempurna kerana banjir.

Tahun baru 2017 juga turut diawali dengan kenaikan harga minyak antara 15 sen hingga 20 sen seliter. Ada juga orang ramai yang menyifatkannya sebagai “hadiah tahun baru”. Entahlah ....

Biar apa pun situasi dan kondisinya, tahun baru Masihi 2017 tetap muncul seiring dengan peredaran masa sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Pencipta kita.

Selamat tahun baru Masihi 2017.